“ASSALAMUALAIKUM…” Seseorang memberi salam kepada Safi yang sedang
leka membuat kerjanya. Semalam, langsung tiada sesiapa pun yang datang
menjenguk pejabat Hajar. Ini, kira tetamu kedua semenjak dia memulakan tugas.
“Waalaikumussalam,” balas Safi sambil memandang lelaki yang
menegurnya.
“Boleh saya tanya sesuatu?” soal lelaki itu sambil matanya
menghala ke bilik Hajar.
“Ya, apa dia pak cik handsome?”
Spontan ayat itu terucap. Seketika mata Safi juga seakan tidak mahu berkelip.
Nasib ketika ini dia berkaca mata hitam.
“Apa?” Lelaki di hadapan Safi sudah terkejut mendengar
panggilan buat dirinya.
Safi segera menutup mulutnya sebaik tersedar dia sudah terlepas
kata. Dalam hati berkali-kali dia menyumpah diri sendiri. “Ops… ada apa saya
boleh bantu, encik?” Segera Safi bertanya balik.
“Saya ni nampak dah tua sangat ke?” soal lelaki itu pula
sambil membetulkan jaket yang dipakainya.
“Maaf sekali lagi, saya tak sengaja. Tadi pun ada pak cik
yang datang bertanya, tu yang boleh tersasul. Lagipun saya terpaksa pakai kaca
mata hitam ni sebab mata saya merah.” Ada sahaja alasan Safi untuk
menyelamatkan dirinya, kononnya pandangan matanya tidak berapa jelas.
“Habis tu, kenapa tak ambil MC aje?” Lelaki itu turut memandang
Safi.
“Nak buat macam mana, saya baru dua hari kerja kat sini. Takkan
nak ambil MC?”
“Nanti berjangkit pulak kat orang lain, lagi susah,” balas
lelaki itu pula.
“Insya-ALLAH tak,” jawab Safi dengan yakin.
“Ni, saya nak jumpa Puan Hajar. Dia ada?” Lelaki itu terus
menyatakan tujuan asalnya ke situ.
“Maaf encik, dia ada mesyuarat kat luar. Encik ada janji temu
dengan dia ke?” Safi inginkan kepastian. Setahunya Hajar tiada janji temu
dengan sesiapa.
“Pukul berapa dia balik ofis?” soal lelaki itu pula tanpa
mempedulikan pertanyaan Safi.
“Lepas lunch kut.
Tapi tak tahu pukul berapa,” jawab Safi bersahaja.
“Awak PA dia, takkan tak tahu?” Tiba-tiba wajah lelaki itu
berubah serius pula.
Aduhai… karang ada jugak yang kena simbah dengan air kopi.
Safi menahan geram dalam hati dan menarik nafas dalam-dalam. Nasib baik segak.
“Awak tak dengar ke apa saya cakap?” sergah lelaki itu.
“Encik… kalau saya dah lama kerja kat sini, logiklah semua
benda saya tahu. Ni, baru hari kedua saya bertugas.” Safi menjawab pertanyaan
lelaki itu dengan rasa berbuku di hati. Nasib dia masih boleh bersabar.
“Hmm.. lepas ni kerja elok-elok, jangan nak tuang pulak bila
bos tak ada.” Selamba badak lelaki itu memberi nasihat kepada Safi.
“Saya orang, bukannya air yang boleh dituang-tuang!” Sengaja
Safi mencari pasal dengan lelaki di hadapannya. Siapa pun pasti akan geram apabila
disindir begitu. Lainlah kalau diri itu bos besar di pejabat ini.
“Bukak kaca mata awak sekarang!” Tiba-tiba lelaki itu memberi
arahan pula.
Terkejut Safi mendengarnya. “Tak payahlah, nanti jangkit kat
encik pulak.” Safi segera memberi alasan. Tiba-tiba dia perasan sesuatu dan hatinya
berasa kecut sekali.
“Saya kata bukak. Ikut arahan saya atau saya pecat awak!”
Ugutan lelaki itu buat Safi berasa cuak. Pasti sahaja dia
bukan calang-calang orang andai sudah berkata begitu. “Okey… okey…” Safi
terpaksa membuka kaca matanya, namun dia sengaja memejamkan matanya.
“Tunjuk kat saya mata awak yang merah tu,” arah lelaki itu
lagi.
Mahu tak mahu Safi terpaksa mengikut arahannya.
Perlahan-lahan, dia membuka matanya yang sejak semalam lagi sudah merah.
“Awak?!” Lelaki itu sudah terjerit.
Safi juga sama terkejut dan terus menutup mulutnya dengan
kedua belah tangan.
“Apa kecoh sangat ni?” soal Hajar yang kebetulan sudah tiba
di pejabatnya.
Safi hanya mampu mengangkat bahunya.
IDAN
sudah berang. Sebentar tadi, dia memang terkejut sebaik mengetahui siapa yang
menggantikan Mila, pembantu peribadi kakaknya yang telah berhenti kerja.
“Duduklah dulu,” jemput Hajar. Tahu sangat kenapa adiknya
naik angin. Dia baru sahaja balik dari mesyuarat, adiknya sudah datang
bertandang.
Idan masih berdiri sambil menyilang tangannya. Mereka hanya
dua beradik. Hajar adalah kawan berbincang dan bertengkar juga. Setiap hari ada
sahaja isu yang sering membuat mereka berdua tidak sehaluan.
“Akak memang sengaja,
kan?” Mata Idan tunak memandang kakaknya.
“Apa yang sengaja?” Hajar pura-pura buat tidak faham maksud
adiknya.
“Pasal budak tulah! Siapa suruh akak ambil dia bekerja dengan
kita? Saya awal-awal dah reject dia!”
Sedikit meninggi suara Idan.
“Dia bukan budak! Nama dia Safi Awadah. Manis orangnya,
seindah namanya.” Dalam memerli, Hajar sempat memuji pembantu peribadi baharunya.
“Huh!” Idan merengus.
“Paling penting dia ada kelulusan dan memang layak pegang
jawatan tu. Tak nak duduk ke?” sambung Hajar sambil meraup wajahnya. Penat
menghadiri mesyuarat belum habis, kini kena menghadap kerenah adik kesayangan
pula. Terpaksa sayang sebenarnya!
Akhirnya Idan
menghenyakkan dirinya di kerusi di hadapan meja kakaknya.
“Lagi satu, mana akak tahu siapa yang datang temu duga di
pejabat Idan. So, jangan nak
marah-marah tak tentu pasal,” tegur Hajar.
“Alasan! Akak dah ada senarainya dan dah tengok resume
calon-calon tu.”
“Betullah tu, tapi akak tak ada semasa Idan menemu duga dia.
Mana akak tahu siapa yang Idan ambil dan siapa pulak yang kena reject,” balas Hajar.
“Habis tu, macam mana akak boleh ambil dia bekerja pulak?”
soal Idan pula.
“Okeylah, akak berterus-terang aje dengan adik nan sorang ni.
Akak hampir terlanggar dia dan nak belanja dia makan kat restoran. Pada masa
yang sama dia bercerita pasal dia gagal temu duga tanpa sebab. Dah dia memenuhi
kriteria yang akak nak, buat apa akak nak lepaskan?” Hajar memberikan
alasannya.
“Melalui cerita dia, akak dah tahu saya reject dia, kan?” Mata Idan sudah terjegil.
“Akak tak fahamlah dengan Idan ni. Ini bisnes dan kita kena
rembat apa sahaja yang bagus di hadapan mata.” Hajar mempertahankan
tindakannya.
“Tapi kenapa dia?” Idan masih tidak berpuas hati.
“Safi Awadah tak ada cacat celanya duhai adik kusayang…”
Hajar cuba mengawal suaranya. Memang tipulah andai langsung tidak berasa
bengang dengan adik bertuahnya ini.
“Tapi saya tak suka!” tegas Idan, geram.
“Tak adil Idan buat begitu kat dia. Kesian tau, dia tu dahlah
hidup sebatang kara. Besar tau pahalanya dapat menolong anak yatim ni.”
“Sempat pulak dia bercerita asal usul bagai? Dia dah besarlah
kak, orang dah tak panggil anak yatim!”
“Tak kiralah,” balas Hajar.
“Sebenarnya akak memang ada niat lain, kan?” duga Idan.
“Niat apa? Akak pun perlukan pembantu untuk tolong uruskan
bisnes kita.”
“Itu hanya alasan akak!”
“Suka hati Idanlah nak fikir apa pun. Akak dah ambil dia
bekerja. Dia staf akak dan Idan tak ada hak nak tentukan siapa akak nak ambil,”
tegas Hajar.
“Baik!” sebut Idan lalu bangun dan melangkah keluar dari
bilik Hajar.
Hajar hanya mampu mengeluh dengan tingkah adiknya. Dia
sebenarnya sudah bosan dengan sikap Idan yang tidak mahu berubah. Orang lain
pun ada masalah juga, tetapi tidaklah sampai tidak boleh diselesaikan langsung.
Sebetulnya Idan ini bukannya ada masalah besar sangat dalam
hidup, tetapi sengaja mencari masalah! Perkara kecil suka diperbesar-besarkan.
Benda yang sudah tidak ada dan patut dilepaskan, masih mahu digenggam pula.
Hajar amat pasti tiada yang akan tahan dengan sikapnya. Ego,
tidak boleh ditegur dan bermacam lagilah. Memang malanglah nasib perempuan yang
akan menjadi isterinya. Bukan setakat tiap-tiap menjeruk rasa, tidur pun pasti tidak
lena!