Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 4 Niaga

Pagi-pagi lagi Benjamin sudah membuatkan rumah di kampung itu kecoh dengan perangainya.

“Susahlah duduk rumah macam ni. Dahlah malam banyak nyamuk, tidur atas tilam buruk pulak tu. Sakit badan Ben. Tengok, habis badan berbintat-bintat kena gigit nyamuk. Pagi-pagi nak cicah air pun tak sanggup. Sejuk macam air batu!” Rungut Benjamin yang seolah-olah tiada penghujung apabila perkara yang sama diulang-ulang menuruti rasa marah yang tidak kunjung padam.

“Sabarlah Ben. Semua adik-beradik kamu alami perkara yang sama. Boleh tak Ben cuba sabar sikit? Lama-lama biasalah dengan keadaan macam ni.” Pujuk Anisah.

“Mana Ben boleh tahan mama. Ben tak sangguplah tinggal di rumah macam ni. Kita pindahlah tempat lain mama. Mama gunalah duit yang kita ada untuk bayar rumah kita yang lama. Ben tak tahanlah mama. Ben nak pindah balik ke rumah lama kita!” Bentak Ben.

Anisah tidak tahu lagi bagaimana untuk memujuk anak lelakinya yang panas baran itu.

“Abang Ben sabarlah sikit ya? Kesian mama. Macam-macam perkara mama nak fikir.” Suara Umairah lembut. Di antara semua anak-anaknya Umairah yang paling diplomasi menangani keadaan seperti ini. Pada kebiasaannya keadaan akan reda selepas Umairah memujuk sesiapa yang terlibat.

“Kau diamlah Umairah! Jangan nak pandai-pandai nasihatkan aku. Sedarlah diri sikit!” Bentak Benjamin.

Umairah terkebil-kebil disergah begitu. Dia bingkas bangun meluru ke belakang.

“Merajuklah tu! Sikit-sikit merajuk. Tak ada kerja lain!” Benjamin melepaskan keresahannya pada Umairah.

Anisah sudah tidak mampu bersuara melihat gelagat anak-anak yang sedang membesar. Umairah memang suka memujuk orang lain, tetapi dia juga mudah merajuk sekiranya ada kata-kata yang mengecilkan hati dilemparkan padanya.

Benjamin segera meninggalkan rumah untuk duduk di pekarangan rumah. Dia berjalan menuju ke pintu depan sambil terus menggaru-garu badan dan lengan. Mungkin akibat gigitan nyamuk atau mungkin juga pijat yang bermastautin di tilam yang sudah sedia ada di rumah itu. Tilam di rumah mereka di Dastar Perdana terpaksa ditinggalkan kerana keadaan rumah yang agak sempit di kampung ini.

‘Oh Tuhan, berilah aku kesabaran mendidik anak-anak aku dalam keadaan seperti ini.’ Anisah sudah kehabisan ikhtiar.

Firdaus sedang asyik bermain dengan Suraya. Tinggal Anisah dan Marissa yang bersungguh mengemas rumah mereka selepas barang-barang dipunggah dari lori semalam. Umairah sudah menghilangkan diri di dapur, mungkin sedang memujuk rajuknya sendiri.

Suraya tidak meragam kerana ada orang yang melayannya. Dengan sifat yang pendiam dan sudah bergaul, Firdaus masih boleh diharapkan untuk menjaga adiknya. Jika di rumah lama dia akan menghabiskan masa bersama komputer dan internat. Walaupun komputer masih belum dipasang, Firdaus tidak ambil kisah. Dia leka melayan adik bongsunya.

Marissa seperti biasa tidak banyak bercakap semenjak pemergian ayahnya. Perubahan sikap itu merunsingkan Anisah. Dia sudah banyak berubah semenjak dia melepaskan perasaan sebak pada malam tempoh hari. Apa sebenarnya yang bermain di fikiran Marissa masih menjadi tanda tanya bagi Anisah. Mungkin dia cuba menunjukkan sikap tabah kepada adik-adiknya. Atau mungkin dia memendam perasaan. Anisah risau sekiranya budak itu cuba menanggung sehingga sudah tidak mampu ditahan lagi seperti hari itu.

Nasib malang yang menimpa mereka sekeluarga secara mendadak ini masih Anisah harapkan akan mengubah kehidupan mereka menjadi manusia yang lebih tabah dan tahan ujian. Adakala timbul rasa keinginan di hati Anisah untuk hidup bersenang-lenang seperti sebelum ini. Apabila perasaan itu tiba, lekas-lekas ditepis kerana bimbang dia terlalu mengharapkan sesuatu yang mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

‘Aku perlu berusaha lebih keras sekarang. Wang simpanan yang ada perlu aku ketepikan untuk masa depan mereka berlima dan waktu kecemasan. Aku perlu mencari sumber lain bagi menampung kehidupan kami seharian.’ Tekad Anisah.

***

Siang itu Pak Majid datang dan membawa mereka sekeluarga bersiar-siar di kawasan kampung.

“Itu warung Wak Leman.” Suara Pak Majid ketika mereka lalu di hadapan sebuah warung kayu beratap zink. Ramai lelaki yang duduk ‘mengeteh’ di situ. Ada juga juga yang berpaling melihat teksi yang lalu di hadapan warung.

Kemudian Pak Majid menunjukkan lokasi pasar pekan di mana barang-barang basah seperti ikan, daging dan sayur dijual.

“Pak Majid rasa mana lebih elok? Saya buat nasi lemak sambal biasa atau masak lemak kerang?” Tanya Anisah.

“Kerang! Kerang!” Suara Umairah dan Firdaus. Adakala naluri mereka berdua ada persamaan. Mungkin kerana mereka berdua agak rapat berbanding adik-beradik yang lain.

“Shhh.... Mama tengah bercakap dengan Pak Majid tu. Diamlah!” Tegur Marissa.

Benjamin yang duduk di tepi tidak mengendahkan mereka. Dia melayan perasaan sendiri sambil melihat ke luar tingkap.

“Apa kata puan buat dua-dua sekali. Nanti tengok yang mana lebih laris.” Jawab Pak Majid.

“Harga pula macam mana?” Tanya Anisah.

“Puan buat sampel dulu. Lepas tu kita bincang.” Jawab Pak Majid memberikan jalan penyelesaian yang bijak. Anisah tersenyum lega.

***

Petang itu Anisah duduk di pangkin yang terletak di pekarangan rumah bersama jiran-jirannya. Anak-anaknya bermain di laman rumah sambil dia berbual bersama Zaiton, Rokiah dan Jameah.

“Syarikat arwah suami kau tu macam mana Anisah? Tutup macam tu saja?” Tanya Zaiton.

“Nak buat macam mana kak. Masa arwah ada saya tak ambil tahu langsung pasal semua ni. Macam mana saya nak uruskan bila dia dah tak ada?” Jawab Anisah.

“Memang tak berkatlah hidup orang yang buat akak sekeluarga macam ni. Belum sempat kat sana nanti, di sini lagi dia akan terima akibatnya. Dia ingat dia boleh lari macam tu aje?” Rokiah beremosi.

“Eh, kau ni. Marah mengalahkan tuan punya syarikat.” Sindir Zaiton.

“Apa rancangan Kak Anisah sekarang?” Tanya Jameah.

“Sekarang tengah rancang nak jual nasi lemak. Tapi tempat tak pasti lagi.” Jawab Anisah.

“Elok juga. Dulu ada orang jual nasi lemak di kampung ni. Tapi sekarang dah tak ada lagi.” Jawab Zaiton.

“Nasi lemak? Susahlah macam ni. Alamatnya bertambah montel saya nanti.” Keluh Rokiah.

“Apa susahnya. Hari-hari jangan ke pekan guna skuter Yamaha kau tu. Kau jalan kaki aje, biar terbakar lemak-lemak dalam badan kau.” Zaiton mengusik.

“Amboi amboi asam boi Kak Eton... sedapnya cakap. Saya boleh berjalan ke pekan kalau Kak Eton ikut saya sekali. Tinggalkan Proton Saga cabuk arwah suami Kak Eton kat rumah.” Rokiah menjawab. Zaiton ketawa mendengar jawapan Rokiah. Rokiah menarik wajah ‘sentap’ dengan usikan Zaiton.

“Alah... itupun kau nak ambil hati dengan aku. Wajah kena manis, barulah naik seri untuk orang datang meminang.” Usik Zaiton lagi.

Anisah hanya memerhatikan kemesraan dua orang jirannya. Tetapi Jameah tidak banyak bercakap atau senyum, seperti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

‘Kenapa dengan Si Meah ni ya?’ Hati Anisah berdetik.

“Akak rasa kalau kau jual depan rumah ni pun tak apa. Nanti kami bertiga beritahu orang kampung. Biar ramai sikit pelanggan kau. Warung Wak Leman pun kita beritahu juga. Manalah tahu kalau dia nak letak nasi lemak kau di kedai dia. Kedai dia ramai orang singgah. Kadang-kadang drebar lori dan drebar treler pun ada berhenti makan.” Zaiton memberi cadangan.

“Lagipun rumah ni kan tak jauh dari jalan besar. Kalau orang nak menyinggah pun senang.” Tambah Rokiah.

“Eh, Meah lupalah ada tinggalkan ikan dalam sink. Takut nanti ada kucing masuk lalu tingkap. Habis dikerjakan semua ikan Meah. Meah balik dulu ya.” Suara Meah sambil bergegas meninggalkan mereka.

“Kenapa dengan Meah tu? Saya tengok lain macam aje keadaan dia. Dia ada masalah?” Tanya Anisah.

“Adalah yang menyentuh perasaan dia tu.’ Jawab Zaiton.

“Agaknya sebab akak sebut pasal drebar treler tadi. Itu yang buat dia teringat pada laki dia?” Tambah Rokiah.

“Apa hal dengan suami Meah?” Tanya Anisah lagi.

“Laki dia tu kerja bawa treler. Seminggu sekali baru balik. Orang lain pun bawa treler, tapi taklah sampai macam tu. Lepas tu mulut Si Kiah ni kau tau ajelah.” Jawab Zaiton.

Anisah terdiam, cuba memikirkan maksud tersirat di sebalik kata-kata Zaiton.

“Saya cuma suarakan pendapat saya saja. Itu pun salah ke?” Rokiah tidak puas hati.

“Memang tak salah. Tapi orang dalam keadaan macam tu. Risaulah dia bila kau kata laki dia buka cawangan lain. Kalau laki kau kahwin lain tak beritahu kau macam mana? Tentu kau sakit hati kan?” Jawapan Zaiton menyebabkan Rokiah terdiam dengan muka yang selamba.

Segala kemusykilan Anisah akhirnya terjawab. Kini dia faham bahawa hanya Jameah yang bersuami ketika ini. Suami Anisah dan Zaiton sudah meninggal dunia manakala Rokiah masih lagi membujang pada usia sebegini.

“Bila kau nak mula jual nasi lemak?” Tanya Zaiton.

“Saya tunggu Pak Majid siapkan khemah, meja dan kerusi. Kalau dah siap, esok pun boleh.” Jawab Anisah.

***

Sebelum subuh Anisah sudah bangun menyiapkan nasi lemak untuk jualan pertamanya hari itu. Dia mengejutkan Marissa dan Umairah, tetapi hanya Umairah yang bangun. Mungkin Marissa masih kepenatan kerana menolongnya mengemaskan rumah hingga selesai mereka memunggah barang-barang yang dibawa lori tempoh hari.

Anisah menggunakan kertas surat khabar dan daun pisang untuk membungkus nasi lemak. Pokok pisang yang tumbuh meliar di belakang rumah pusaka yang ditinggalkan itu menjadi sumber daun pisang pembungkus nasi lemaknya.

Pak Majid telah membawa khemah petang semalam. Dia dan Benjamin memasang khemah di depan rumah. Cadangan Zaiton telah diterima untuk menjual nasi lemak di depan rumah pada peringkat permulaan. Rokiah telah menjadi juruhebah tidak bertauliah dan tidak berbayar bagi pihak Anisah. Pak Majid juga telah menyampaikan berita kepada Wak Leman dan mereka yang ada di warung.

Pak Majid juga telah membawa Anisah berjumpa Taukeh Wong, kenalannya semenjak bertahun-tahun yang lalu. Setelah mendengar kisah Anisah, lelaki cina itu telah membenarkan Anisah mengambil barang dengan tempoh kredit selama seminggu. Sama ada untung atau tidak, Anisah perlu menjelaskan hutang barang-barang runcit yang dibeli minggu depan.

Segalanya terletak pada nasi lemak Anisah sekarang ini. Jika nasi lemak sambal bilis dan sambal kerangnya berjaya menambat hati penduduk kampung, maka peluangnya untuk terus bertapak adalah cerah, sebagai sumber rezeki mereka sekeluarga.

Anisah sudah membuat sampel semalam. Setelah melihat nasi lemak bilis dan kerang Anisah, Pak Majid telah memberi cadangan. Nasi lemak bilis akan dijual dengan harga lapan puluh sen manakala nasi lemak kerang dengan harga satu ringgit lima puluh sen.

Pada hari pertama Anisah berjaya menyiapkan lebih kurang lapan puluh bungkus, empat puluh bungkus nasi lemak biasa dan empat puluh nasi lemak kerang. Dia belum dapat mengagak berdasarkan sukatan yang ada. Jualan hari ini akan menjadi panduan baginya pada hari-hari yang akan datang.

***

Zaiton, Rokiah dan Jameah turut hadir bersama Anisah di khemah tempat dia menjual nasi lemak.

“Sabarlah Anisah. Hari pertama memang macam ni. Nanti bila ramai dah tahu nanti, tak cukup tangan kau dibuatnya.” Pujuk Zaiton.

“Saya faham kak. Saya dah rancang kalau tak habis nanti buat makan kami sekeluarga ajelah.” Jawab Anisah rendah diri.

“Awal lagi. Baru sejam akak buka gerai. Apa kata orang putih? Kita kena... think positive.” Rokiah bersuara.

“Boleh tahan juga kau speaking London, ya Kiah? Cerah masa depan dapat laki mat saleh.” Usik Zaiton.

“Kak Eton jangan pandang saya sebelah mata tau.” Jawab Rokiah dengan gaya berlagak yang dibuat-buat.

Tidak lama kemudian tiba seorang lelaki berumur menunggang motosikal. Songkok menutup rambut di kepalanya yang sudah dipenuhi uban.

“Eh, Wak Leman dah sampai.” Suara Zaiton ketika melihat lelaki itu sudah semakin hampir dengan motosikal.

“Wak Leman nak beli nasi lemak special air tangan Anisah, orang baru kampung kita?” Tegur Zaiton.

“Memanglah itu tujuan aku. Takkanlah aku datang ke sini nak mengorat kau pulak.” Usik Wak Leman.

“Amboi, amboi, bila mak janda bertemu duda... boleh tahan miangnya...” Sergah Rokiah.

Anisah dapat melihat Zaiton tersipu-sipu dengan gurauan Wak Leman.

‘Ada apa-apa ke mereka berdua ni?’ Bisik hati Anisah.

“Oh, inilah Anisah yang Majid beritahu tu ya? Boleh tahan juga... Eh, tak! Maksud Wak Leman boleh tahan juga nasi lemak kamu ni ya? Nampak sedap.” Usikan Wak Leman yang nampak jauh tersasar kerana dia masih belum merasa atau melihat nasi lemak yang masih berbungkus lagi.

“Amboi... ulat bulu dah naik daun nampaknya!” Zaiton seperti cemburu.

“Eh, tolong bungkuskan dua puluh bungkus untuk Wak Leman.” Lelaki itu lekas-lekas mengubah topik.

“Wak Leman nak sambal bilis atau kerang?” Tanya Anisah.

“Oh, ada dua ya? Alah, bungkus ajelah sepuluh sambal biasa, sepuluh sambal kerang. Saja nak tengok sambutan di kedai nanti. Kalau laku esok Wak Leman datang lagi. ” jawab lelaki itu.

Anisah menyerahkan plastik berisi nasi lemak yang diminta oleh Wak Leman. Lelaki tu kemudiannya menghidupkan enjin motosikal setelah dapat apa yang dia inginkan.

Bye bye Wak Leman.” Usik Rokiah.

Bye bye. See you.” Jawab Wak Leman sebelum motosikalnya berderum meninggalkan kawasan itu.

Anisah geli hati melihat telatah penduduk-penduduk kampung itu.

Selepas itu Anisah ditinggalkan berseorangan di bawah khemah. Zaiton dan Rokiah telah pulang ke rumah masing-masing.

Selang setengah jam kemudian, Anisah lihat dari kejauhan tiga orang wanita berjalan menuju ke jalan besar. Seorang berambut lurus panjang dan agak tinggi lampai dengan gaya berjalan seperti model yang belum tamat kursus pemodelan. Seorang lagi agak kurus, manakala seorang lagi kecil molek berkulit hitam manis.

Seperti yang Anisah jangkakan, mereka bertiga singgah ke gerainya.

“Kau Anisah ya?” Tanya wanita yang tinggi lampai dengan lagak seperti model ‘kampung’. Anisah mengangguk.

“Zaiton ada perkenalkan siapa kami?” Soalan wanita itu membuatkan Anisah musykil. Dia hanya menggeleng.

“Okey, tak mengapa. Biar aku perkenalkan. Nama aku Zaleha, tapi biasanya orang kampung panggil aku Leha Va Va Voom. Macam lagu Nicki Minaj tu.” Suara Zaleha dengan gaya gedik.

‘Lain macam betul dia ni.’ Detik hati Anisah.

“Yang ini Normah. Atau lebih dikenali dengan Mah Letop, sebab mulut dia yang meletup-letup.” Suaranya lagi sambil menuding jari ke arah wanita kurus. Pipinya begitu kempung kerana terlalu kurus.

“Yang itu Kalsom. Tapi orang panggil Som.” Dia merujuk kepada wanita kecil molek berkulit hitam manis. Gaya wanita itu tidak ‘gedik’ seperti Zaleha dan Normah, dan dia kelihatan seperti terpaksa bersama mereka berdua.

“Jual nasi lemak ya? Berapa harga?” Tanya Zaleha.

“Yang sambal bilis lapan puluh sen. Yang kerang seringgit setengah.” Jawab Anisah.

What?! Mahalnya. Biasa orang jual lima puluh sen saja. Kerang? Siapa nak makan nasi lemak sambal kerang?” Suara Zaleha sambil bercekak pinggang. Normah mengangguk-angguk seperti burung belatuk.

‘Berlagak betul dia ni. Aduh... sabar ajelah.’ Keluh hati Anisah.

“Saya letak nasi dan sambal banyak. Buat makan tengah hari pun boleh. Lagipun saya berjual ni untuk menampung rezeki sekeluarga. Anak saya ramai.” Jawab Anisah.

“Tak kiralah. Nasi banyak ke, sambal lebih ke, anak ramai ke, tapi ini dah mencekik darah namanya! Jomlah!” Suara Zaleha sambil dia berlalu meninggalkan khemah, diikuti oleh Normah.

“Saya pergi dulu kak.” Suara lirih Kalsom sambil mengangkat tangan ketika Zaleha dan Normah telah berjalan di depannya.

‘Aku hairan kenapa Kalsom boleh masuk kumpulan minah-minah kekwat ni?’ Getus hati Anisah.

***

Anisah kecewa. Matahari sudah meninggi, tetapi nasi lemak jualannya masih bersisa. Hanya Zaiton, Rokiah, Jameah dan Wak Leman yang membeli nasi lemak yang dijual.

‘Makan tengah hari nasi lemaklah aku dan anak-anak nampaknya.’ Keluh Anisah.

Dia bersiap sedia mengemas perkakas untuk dibawa masuk. Nasi lemak dikumpulkan di dalam bakul.

Tiba-tiba dia terdengar deruman motosikal menuju ke arahnya. Rupa-rupanya Wak Leman datang lagi.

“Ada apa Wak Leman?” Tanya Anisah setelah dia berhenti mengemas seketika.

“Wah! Nasi lemak kamu laris betul. Semua puji sedap sampai ada yang berebut!” Suara Wak Leman sambil ketawa kecil.

“Ya ke Wak Leman? Macam tak percaya saya mendengarnya.” Jawab Anisah sambil tersenyum.

“Betul! Sebab tu Wak Leman datang ke sini. Wak Leman nak beli semua baki yang ada, nak letak di warung. Esok Anisah buatkan lima puluh untuk Wak Leman. Dua puluh lima sambal biasa. Dua puluh lima sambal kerang.” Suara Wak Leman dengan wajah berseri-seri.

Anisah terharu dengan rasa syukur yang memenuhi dada. Dengan segera dia membungkus nasi lemak yang ada untuk Wak Leman.

“Dulu ada orang hantar nasi lemak ke warung Wak Leman. Tapi semenjak dia pindah ikut anak ke KL, dah tak ada orang lain. Sekarang kamulah yang menggantinya.” Suara Wak Leman sambil melihat Anisah memasukkan nasi lemak ke dalam beg plastik.

“Esok pagi Wak Leman minta tolong kamu hantarkan ke kedai, sebab Wak ada urusan. Boleh?” Tanya Wak Leman dan dibalas dengan anggukan Anisah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.