Anisah melemparkan pandangan ke luar tingkap teksi yang dinaiki.
Pelbagai rentetan peristiwa bermain di fikiran seperti putaran filem yang
ditayangkan di skrin panggung. Putaran itu sepantas gerakan pemandangan di luar
yang silih berganti dengan kelajuan kereta yang dipandu oleh Pak Majid.
Dengan hati yang berat dia telah melepaskan banyak harta
peninggalan arwah Jalaludin yang merakam nostalgia dalam kehidupannya. Dia
hampir menitiskan air mata apabila terpaksa menggadaikan hampir kesemua barang
kemas yang dihadiahkan oleh Jalaludin. Hanya cincin perkahwinan mereka dan
beberapa barang kemas lain yang menyimpan memori yang kuat antara mereka berdua
masih dipertahankan oleh Anisah. Kenangan yang akan diabadikan hingga ke generasi
anak cucunya kelak.
Mercedez-Benz kelas R telah diserahkan kembali. Rumah di Dastar Perdana telah ditinggalkan kosong. Namun Anisah masih menyimpan
sekelumit harapan agar sesuatu akan berlaku supaya rumah dan kereta itu akan
kembali menjadi milik mereka. Dia berharap akan tiba satu berita yang
mengatakan dia bukan ditinggalkan sehelai sepinggang begini. Dia masih berharap
keadaan akan kembali menjadi seperti dahulu.
Sebenarnya sukar untuk Anisah terima hakikat kehidupan yang
sedang ditempuh sekarang ini bersama anak-anak.
‘Oh Tuhan. Apakah kesilapan yang telah aku perbuat sehingga
aku diberi ujian sebegini? Adakah selama ini aku mengkufuri nikmat yang telah
Engkau beri? Atau ini sekadar ujian untuk menaikkan kedudukanku di sisi-Mu? Aku
takut ya Allah, sekiranya aku tidak mampu bertahan dalam kesabaran. Aku takut
aku akan semakin jauh daripada-Mu.’ Hati Anisah beremosi. Apabila dia terasa
air mata mula tiris, lekas-lekas diseka.
Walaupun pahit, dia terpaksa menelan semua ini sebagai
cabaran hidup. Masih dia ingat bagaimana dia melewati segenap inci ruang di
rumah di Dastar Perdana pagi tadi buat kali terakhir. Apabila melihat kamar
peraduan dia dan Jalaludin, kenangan indah mereka berdua tergambar. Masih dia terbayang
saat Marissa lahir ke dunia dan tempat tidurnya yang diletakkan di sudut bilik
itu. Begitu juga memori kelahiran Benjamin, Umairah, Firdaus dan Suraya. Mereka
adalah legasi yang ditinggalkan oleh Jalaludin dalam hidup Anisah.
Sambil menuruni tangga pagi tadi, dia terbayang peristiwa
Benjamin terjatuh hingga patah tangannya. Kenakalan anak keduanya itu masih
kekal hingga kini. Dia gemar menyakat adik-beradik yang lain hingga gamat
suasana rumah ini dengan riuh tawa dan tangis mereka.
Dengan tidak semena-mena Anisah terbayang peristiwa yang
mungkin akan berlaku sekiranya Jalaludin masih ada lagi. Dia terbayang majlis
perkahwinan Marissa, Benjamin dan anak-anak yang lain. Dia terbayang bagaimana
dia dan Jalaludin melihat Marissa disandingkan dan mesra saling suap-menyuap
bersama suaminya semasa makan berdamai. Dia terbayang kelahiran cucu-cucu
mereka berdua dan rumah ini gamat ketika mereka semua berkumpul di hari raya
dan hari cuti.
Tetapi itu semua adalah impian yang tidak mungkin akan
tercapai. Jalaludin sudah tiada lagi dan rumah ini bukan milik mereka lagi.
Anisah tidak dapat menahan sebak, dan air mata yang berjuraian dibiarkan tidak
diseka. Dia duduk di tangga sambil pandangan dilemparkan jauh ke luar. Entah
apa yang dilihat dia tidak sedar, hanya melayan perasaan hiba yang tidak
kunjung surut.
“Jauh puan termenung,” tegur Pak Majid yang duduk di
sebelahnya. Air mata yang bersisa diseka bersama mata yang masih hangat dan
kepedihan yang masih terasa di hati. Mungkin lelaki itu tidak mahu dia terlalu
melayan perasaan. Mungkin dengan perbualan ini dia akan dapat menepis memori
yang menggamit rasa sempit yang mencengkam jiwanya.
Anisah cuba
senyum, tetapi hambar. “Saya sedang fikirkan masa depan saya dan anak-anak.”
Itulah sahaja perkataan yang mampu dilahirkan oleh Anisah dalam keadaan
sebegitu.
“Tak payahlah terlalu difikirkan puan. Takut nanti
mengganggu kesihatan pula. Lalukan saja dengan rasa reda. Tangani masalah yang
datang satu persatu. Fikiran manusia pun ada tahap kemampuannya juga.” Nasihat
Pak Majid yang jelas menunjukkan kematangannya menghadapi kehidupan. Mungkin
apa yang telah dilalui dahulu menjadikan dia seorang yang hikmah dan penuh kebijaksanaan.
‘Betul kata Pak Majid. Aku tak boleh terlalu memikirkan
semua ini. Banyak lagi yang perlu aku tempuh, dan aku perlu hadapi dengan jiwa
yang tenang dan akal yang waras. Demi anak-anak aku.’ Bisk
hati Anisah. Rasa sempit di dada sudah mula hilang dan dia sudah mula terasa
lapang.
“Jauh ke lagi rumah tu Pak Majid?” Suara Marissa dari
belakang. Panggilan ‘Pak Majid’ telah menjadi kebiasaan mereka sekeluarga dan
gelaran itu bukannya melambangkan perbezaan umur antara mereka.
“Eh, takkan Marissa tak ingat. Hari tu kan
kita dah pergi ke rumah tu. Masa kita cuci rumah tu.” Pak Majid mengingatkan Marissa.
“Nak ingat macam mana Pak Majid. Marissa kan
membuta hari tu.” Usik Benjamin.
“Jaga sikit mulut kau tu Ben!” Marissa tidak boleh menerima
kata-kata Benjamin.
“Dah termalulah tu!” Ejek Benjamin sambil menjelir ke arah
Marissa.
Marissa segera menggenggam penumbuk untuk dilepaskan ke bahu
Benjamin, tetapi rancangannya terbantut apabila Anisah bersuara.
“Marissa, Ben, kamu berdua tak habis-habis bergaduh. Tanah
pusara papa masih merah lagi, kamu berdua dah berkelahi semula. Cuba
tunjuk tauladan baik pada adik-adik kamu. Pada siapa lagi mama nak harapkan
kalau bukan kamu berdua. Tolonglah.”
Benjamin sempat menjeling Marissa yang melemparkan pandangan
tajam padanya, dan dengan segera dibalas dengan jeliran. Anisah yang melihat
hanya menggeleng. Pada masa yang sama dia sempat memerhatikan
wajah-wajah Umairah, Firdaus dan Suraya. Rasa hiba menguasai dirinya dengan
tiba-tiba.
‘Kasihan mama tengok kamu semua. Pada usia semuda ini kamu
terpaksa hidup tanpa seorang ayah untuk memandu perjalanan hidup kamu semua.
Mama akan cuba
sedaya upaya menggalas tugas itu selagi mama mampu.’ Bisik hati Anisah. Dengan
segera pandangannya dikalih ke hadapan sebelum ada air yang tiris dari tubir
matanya.
“Kebetulan rumah pusaka tu terletak tak jauh dari jalan besar,
jadi mudahlah puan nak ke mana-mana dengan bas. Sekolah menengah dan sekolah
rendah pun tak jauh, jadi budak-budak ni boleh jalan kaki.” Pak Majid cuba
menghidupkan semula perbualan mereka selepas kerenah Marissa dan Benjamin.
“Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya dalam kepayahan kami ni
ada juga perkara yang dimudahkan Tuhan.” Jawab Anisah.
“Betul tu puan. Dia tahu kemampuan kita.” Jawab Pak Majid.
“Puan dah fikir nak dapatkan kerja di mana nanti?” Tanya Pak
Majid.
“Saya pun tak tahulah Pak Majid. Saya dah lama tinggalkan
dunia pekerjaan ni. Entah apa kerja yang sesuai, saya pun tak tahu. Lagipun
kalau saya bekerja macam mana nak jaga Suraya.” Jawab Anisah telus.
“Puan jangan bimbang. Nanti adalah jalannya tu,
insya-Allah.” Pak Majid cuba
menenangkan Anisah.
“Apa kata kalau mama berniaga kuih?” Dengan tiba-tiba
terpacul kata-kata dari mulut Firdaus, anaknya yang pendiam. Budak itu memang
selalu mengejutkan mereka dengan idea dan keletahnya.
“Ha’ah mama. Mama kan
pandai buat nasi lemak. Apa kata mama jual nasi lemak. Tentu ramai orang suka.”
Tambah Umairah.
‘Boleh tahan juga bergeliga otak anak-anak aku ni.’ Bisik
hati Anisah.
“Saya sokong cadangan tu puan. Lagipun saya dah rasa nasi
lemak puan dulu. Memang special.
Nanti saya tolong carikan tapak yang sesuai untuk buat tempat berjual.”
Kata-kata Pak Majid membuatkan Anisah rasa lega. Sedikit demi sedikit jalan
sudah terbuka untuk dirinya dan anak-anak.
“Kalau puan ada masa nanti saya bawa ke pasar dan kedai
runcit Taukeh Wong. Mungkin dia boleh benarkan puan ambil barang dulu. Bila dah
dapat untung untuk dibuat modal pusingan nanti baru bayar pada dia.” Pak Majid
memberi cadangan.
“Nantilah saya fikir dulu macam mana.” Jawab Anisah.
Tidak lama kemudian mereka tiba ke rumah pusaka keluarga Pak
Majid.
“Puan dan anak-anak duduklah berehat dulu sementara tunggu
lori sampai. Saya nak ke pekan sekejap cari barang dapur. Nanti saya tanya
kawan saya untuk dapatkan perkakas buat tapak niaga puan. Saya cuba
dapatkan khemah, meja dan kerusi.” Kata-kata Pak Majid.
“Menyusahkan Pak Majid saja kami ni.” Anisah rasa bersalah.
“Kan saya dah beritahu puan dulu, inilah saja cara untuk
saya balas jasa arwah Encik Jalaludin. Puan anggap saja ini sebagai cara saya
bayar hutang pada arwah suami puan.” Jawab Pak Majid seperti berseloroh, tetapi
besar maknanya. Anisah hanya tersenyum mendengarnya.
Anisah kagum dengan Pak Majid. Semasa ada arwah, dia
menjalankan tugas dengan jujur. Dia memang seorang yang setia dan menjalankan
tugas dengan penuh dedikasi. Sifat itu semakin jelas setelah kematian
Jalaludin. Ini menunjukkan dia menjalankan tugas dengan ikhlas, bukan
semata-mata untuk mengampu atau kerana ada kepentingan sendiri. Anisah benar-benar
terharu. Dia terharu dengan keluhuran budi Pak Majid dan pertolongan yang
dihulurkan dalam keadaan sebegini.
***
“Assalamualaikum.”
Kedengaran suara wanita dari anjung rumah. Anisah bergegas
keluar dan dilihatnya tiga orang wanita sedang berada di pekarangan rumahnya.
“Waalaikumsalam.” Jawab Anisah.
“Minta maaflah ya kalau kami mengganggu. Kami tinggal
berjiran dengan rumah ni. Saja nak jenguk siapa yang baru pindah ke sini.”
Wanita yang berserkup kepala memulakan bicara. Antara mereka bertiga, dialah
yang paling berusia dan mungkin juga lebih tua daripada Anisah.
“Naiklah. Tapi rumah bersepah lagi. Baru sekejap tadi lori sampai
hantar barang.” Anisah mempelawa mereka bertiga.
Jauh di hati Anisah timbul kerisauan sekiranya mereka
bertiga ini jenis yang suka membawa mulut. Pastinya kisah dia dan anak-anak
akan dijaja di seluruh kampung. Selepas apa yang berlaku antara dia dan
keluarga tirinya, Anisah terasa sukar untuk mempercayai orang yang baru dikenali.
Dia bimbang jika firasatnya tersalah lagi.
“Nama akak Zaiton. Tapi orang kampung ni biasa panggil Kak
Eton aje. Rumah akak sebelah rumah ni.” Wanita itu memulakan bicara.
“Yang ini Rokiah. Dia tinggal berdepan dengan akak. Orang
biasa panggil dia Kiah.” Sambung wanita itu sambil merujuk kepada seorang
wanita yang montel dengan wajah yang berseri setelah disolek.
“Yang ini pulak Jameah. Orang biasa panggil dia Meah. Rumah
dia bersebelahan dengan rumah akak.” Zaiton bersungguh-sungguh memperkenalkan jiran-jiran Anisah.
“Saya Anisah.” Jawab Anisah ringkas. Dia tahu lambat laun
dia terpaksa menceritakan dengan panjang lebar tentang dirinya.
“Dah lama rumah ni kosong. Bila tengok ada orang pindah rasa
seronok pulak.” Kata Zaiton.
“Kenapa duduk rumah ni? Dah tak ada rumah lain lagi nak
disewa ke?” Soalan yang terpacul dari mulut Rokiah.
“Kau ni Kiah. Cakap tu biarlah beralas sikit.” Zaiton menegur
Rokiah.
“Minta maaf ya Anisah. Si Kiah ni mulut dia memang macam tu.
Sebab tu dia ni dah masuk kategori andalusia. Orang takut dengan mulut dia.”
Zaiton menjeling ke arah Rokiah. Dengan segera Rokiah mencebik bibir.
“Tak apalah kak. Memang saya faham benar kalau ada orang
rasa pelik tengok kami macam ni. Nak buat macam mana kak. Dah memang nasib
kami. Dahlah suami saya mati kemalangan sebab ada orang dengki. Harta pencarian
dia habis semuanya diseleweng sampai syarikat nak tutup.” Jawab Anisah dengan
telus dan selamba.
Wajah Rokiah terus berubah, seperti bersalah dengan
soalannya tadi.
“Saya minta maaf Kak Anisah. Saya tak sangka sampai macam tu
sekali.” Suara Rokiah.
“Hah! Itulah kau. Lain kali sebelum bercakap fikir dulu.
Bukan main tembak semacam aje!” Sergah Zaiton.
“Tak kisahlah kak. Saya tak ambil hati pun. Saya sebenarnya
terhutang budi dengan Pak Majid sebab beri kami tumpang di rumah ni. Kalau tak,
tak tahulah apa ikhtiar saya.” Jawab Anisah.
“Kau jangan susah hati Anisah. Kalau kau ada apa-apa
masalah, kau jumpa akak. Apa yang akak boleh tolong, akak tolong.” Tambah
Zaiton.
“Ramai juga anak Kak Anisah. Berapa orang semuanya?” Tanya
Jameah yang membisu sejak tadi.
“Lima orang. Ada
seorang tu namanya Suraya. Dia menghidap down syndrome.” Suara Anisah sambil
berpaling ke arah anak-anaknya yang sedang membelek barang-barang yang dibawa
oleh lori tadi.
“Akak kagum dengan kau. Tabah betul kau hadapi semua ni.”
Kata Zaiton.
“Mahu tak mahu saya terpaksa hadapi kak. Walau apapun
terjadi saya tak boleh mengalah. Demi budak-budak ni.” Jawab Anisah. Suaranya
sudah mula sebak.
“Saya ke dapur sekejap buat air.” Anisah seperti membuat
alasan untuk mengelakkan dirinya daripada berderai dengan tangisan di depan
tetamu yang ada.
“Eh, tak apa. Kami pun dah nak balik ni. Akak pesan satu
aje. Kau kena kuatkan semangat. Kami bertiga akan cuba
bantu setakat yang kami mampu.”
Kata-kata Zaiton itu sudah cukup melapangkan dada Anisah
yang sempit. Selepas Pak Majid, dia ada tiga kawan baru yang sanggup berkongsi
masalah dengannya.
Setelah mereka bertiga beredar, Anisah mengesat air mata
yang tumpah dengan lengan baju.