Anisah melangkah
masuk ke kelab dengan semangat baru hari ini. Kejayaan memerangkap Dato' Shah
hingga lelaki itu diberkas memberikan sensasi baru dalam dirinya. Walaupun
hakikatnya masih ada satu lagi perkara yang perlu dibereskan, sebelum dia boleh
rasa benar-benar puas hati.
Ketika dia
menuju ke bar, Eja dan rakan-rakan sedang duduk di sudut meja kegemaran mereka.
Mereka tidak mempedulikan Anisah. Mungkin kerana cara dia melayan mereka tempoh
hari.
"Okeylah,
aku minta maaf. Aku tak patut cakap macam tu dulu."
Namun masih
tiada respons dengan kata-kata Anisah.
"Korang nak
suruh aku buat apa? Melutut? Merayu? Macam tu?"
"Setakat
merayu buat apa. Kalau belanja makan bagus juga." Kata-kata Sofea bersama
senyuman di bibir.
"Aku
sebenarnya stres hari tu. Semua dah dengar berita terkini?"
"Pasal Dato'
Shah kena tangkap? Mestilah dah tahu." Jawab Rachel.
"Akhirnya
kan? Dah lama aku geram dengan lelaki tu. Baru padan muka dia." Cynthia
beremosi.
"Kau tahu
siapa yang menyebabkan dia tertangkap?" Anisah tersenyum sinis.
"Kau?!...
Kau yang rancang semua ni?" Anisah mengangguk dengan soalan Cynthia.
Cynthia segera
menghulurkan salam kepada Anisah. "Tahniah. Semenjak kau kerja sini, aku
memang dah agak akan ada perubahan di kelab ni. Tak sangka betul kau boleh
tumpaskan lelaki tu."
"Jangan
gembira sangat. Dia tu Dato' Shah. Entah apalah yang dibuat lepas ni. Jangan
terlalu cepat puas hati." Eja mencelah.
"Aku pun
fikir macam yang Eja cakap tadi. Tapi sekurang-kurang dah ada yang buat
sesuatu. Harap-harap semua mangsa yang ada dalam contact list yang Madam
Vie bagi aku akan setuju beri kenyataan. Biar nasib mereka terbela."
Masing-masing
hanya memerhatikan Anisah tanpa berkata apa-apa. Perubahan mendadak Anisah yang
sukar dijangka membuatkan mereka kehairanan, teruja dan risau pada masa yang
sama.
***
VIP Lounge hari
kelihatan lompang tanpa Dato' Shah. Namun kemeriahan mereka yang ada tidak
terkurang walau sedikitpun.
Anisah dan Maya
mengepit Dato' Hazman.
"Maya,
tolong order second round untuk
semua." Lelaki itu dengan taktik biasanya.
Maya bangun tanpa
membantah atau menunjukkan mimik muka bengang. Mungkin di hadapan lelaki itu.
Atau mungkin dia tahu Zetty dan Anne ada di situ untuk memerhatikan gerak-geri
Anisah dan kekasihnya.
"Terasa
lain bila Shah dah tak ada. Kalau tak mesti dia yang duduk di sofa hujung tu.
Itu territory dia." Dato' Hazman
bersuara sambil bersandar.
Anisah hanya
berdiam diri.
"Tak sangka
video dia keluar TV. Tapi tak nampak pulak siapa perempuan yang jadi mangsa tu.
Gambar dah dikaburkan." Rakan Dato’ Hazman mencelah.
Anisah tidak
pasti bagaimana ingin menyampuk perbualan itu.
"Sebenarnya
kami dah lama tahu cerita dia ni. Tapi bila orang tegur atau nasihat, dia buat
tak kisah. After all he is Dato' Shah."
Dato' Hazman tersenyum sambil memandang Anisah.
"Nak buat
macam mana kan? Life must go on."
Kata-kata Dato' Hazman mengakhiri perbualan mereka tentang perkara itu.
Anisah rasa
lega. Sekurang-kurangnya identiti mangsa itu masih dirahsiakan dan tiada siapa
yang tahu dia terlibat. Setakat ini.
***
Fasa kedua
Anisah nampaknya boleh diteruskan. Pagi itu dia menghubungi Dato' Hazman.
"Eh, Anise.
Mimpi apa call saya?"
"Tak ada
apa. Cuma... I bosanlah. Dato' Shah dah tak ada. Kalau tak, boleh keluar dengan
dia hari ni."
"Apa kaitan
dengan saya?" Susah Anisah ingin mengagak kata-kata lelaki itu. Mungkin
sekadar memancing Anisah dengan 'jual mahal'.
"Alah,
Dato' ni buat tak fahamlah... Anise nak ajak Dato' keluar. Itupun kalau tak
keberatan."
"Kan saya
dah kata dulu. Janganlah berdato' dengan saya. Panggil Hazman atau Man aje."
"Panggil
sayang tak boleh?" Gurauan berani Anisah. Nakal.
"Boleh. Apa
salahnya." Dato' Hazman ketawa kecil. "Itulah... dulu saya ajak
keluar, Anise jual mahal. Kata nak call
tapi sampai sekarang baru nak call."
"Dulu
lain..." Suara Anisah manja.
"Saya
faham. Dulu ada Dato' Shah kan? Tapi Anise punya pasal, jadi nombor dua pun tak
apa."
"Nakal lah you Hazman."
"Nanti saya
jemput Anise di rumah."
"Eh, tak
payah. Kita jumpa di Heritage Kopitiam pukul dua belas."
"Okey, kita
jumpa di sana. Bye." Suara Dato'
Hazman menamatkan perbualan mereka.
Anisah tersenyum
sinis selepas panggilan ditamatkan, "Sekarang giliran kau pula Maya."
***
Setelah beberapa
minit bertemu Dato' Hazman di Heritage Kopitiam, Anisah mula menjalankan
'jarum'nya.
"Kenapa ni?
Nampak resah aje?" Dahi Dato' Hazman berkerut.
Anisah mengukir senyum,
dengan lakonan seolah-olah cuba menyembunyikan perasaannya. "Eh, tak ada
apa-apa."
"Tak
payahlah berselindung. Saya tahu ada yang tak kena kan?"
Anisah
meneruskan dramanya.
"Bukan apa.
Anise sebenarnya serba salah nak keluar dengan Man. Sebab..." Anisah
seolah-olah takut untuk memberitahu hal sebenar.
"Sebab
Maya?" Telahan Dato' Hazman dibalas dengan anggukan Anisah.
"Kenapa nak
risaukan dia? Dia sekadar teman di kelab itu saja."
"Tapi dia
beria-ia nak Man terima dia. Kasihan dia kalau dia tahu cinta dia tak
berbalas."
"Sebenarnya
dia yang terhegeh-hegeh nak saya terima dia. Dah berapa ramai perempuan baru di
kelab yang hilang lepas saya cuba tackle.
Mungkin itu semua kerja Si Maya." Keluh Dato' Hazman.
'Dato' Hazman
tak tahu atau berpura-pura tak tahu rancangan Maya dan Dato' Shah ni?' Anisah
cuba mengagak.
"Lepas
Anise berhenti dulu pun saya dapat agak itu semua kerja Si Maya. Bila Anise
masuk semula, saya terkejut. Semenjak itu saya nampak ada sesuatu yang luar
biasa pada Anise."
'Kau belum tahu
apa rancangan aku,' Anisah melayan fikiran.
"Maksudnya
antara Man dan Maya tak ada apa-apalah ya?" Anisah bersuara manja.
"Tak. Malam
nanti kalau dia buat hal biar Man cakap dengan dia. Face to face."
Anisah tersenyum
meleret. Hatinya melonjak gembira.
***
Malam itu Anisah
begitu intim bersama Dato' Hazman. Tangannya memaut lengan lelaki itu tanpa
rasa segan silu atau teragak-agak. Berlainan sekali berbanding malam-malam
sebelumnya, ketika Maya ada di situ.
Wajah Maya yang
jelita hilang serinya malam itu. Melihat Anisah bersama Dato' Hazman dalam
keadaan begitu mencetus gelora dalam jiwanya.
Setelah Anisah
dan Dato' Hazman meninggalkan lantai tari, Maya menarik tangan Anisah. Dato' Hazman
sedang menuju ke tempat melepak di sofa tanpa mengetahui drama yang sedang
tercetus itu.
"Apa kena
dengan kau hah?! Depan mata aku pun kau berani tackle Hazman."
"Kau tanya
aku? Aku yang patut tanya kau. Kenapa depan klien kau nak cari pasal dengan aku?"
Anisah cuba melepaskan genggaman Maya.
"Kenapa?
Kau rasa dah hebat sangat sebab Shah dah tak ada? Kau jangan nak cari pasal
dengan aku." Maya menggetap bibir.
"Yang kau
nak marah-marah ni apasal? Apa hubungan kau dengan Hazman?" Anisah cuba
memprovokasi Maya.
Maya sudah
hilang sabar. Tangannya dihayun untuk menampar Anisah, tetapi dihalang oleh
Dato' Hazman.
"Apa kena
dengan you Maya?!" Lelaki itu
membentak.
"Perempuan
jahanam ni nak menggatal dengan you.
Mestilah I marah." Maya menjawab.
Drama itu
diperhatikan dengan rasa puas hati oleh Anisah bersama kening yang menjengkit.
"You nak marah apasal? Ada syarat-syarat
mengatakan I kena layan you sorang saja di kelab ni? Ada?"
Maya tergamam.
"I ingat... kita..."
"Kita tak
ada apa-apa hubungan Maya. You hanya pelayan kelab. Dan I klien
di sini. Itu saja. Faham?! Jom Anise." Suara Dato' Hazman sambil memimpin
tangan Anisah meninggalkan Maya terpaku di situ.
Anisah sempat
menjeling Maya dengan pandangan sinis.
Air mata Maya
tidak dapat ditahan lagi. Dia meluru meninggalkan VIP lounge. Dia terus
meninggalkan kelab yang masih dipenuhi pengunjung.
***
"Maya dah
berhenti?!" Anisah hampir terbeliak semasa dia bersama rakan-rakan lain melepak
di meja bar. Pengunjung kelab sudah ramai meninggalkan tempat itu.
"Lepas kena
dump dengan Dato' Hazman depan orang ramai tadi." Eja menambah.
"Aku dah
nampak sinar harapan di Nirvana Night Life ni. Terima kasih kepada kau."
Sofea pula berkata.
"Aku?"
Anisah pura-pura terkejut.
"Yalah.
Semenjak kau datang macam-macam dah terjadi di kelab ni. Engkau ni macam
bintang yang menunjukkan jalan keluar dalam kegelapan." Sofea mengusik
Anisah.
"Sudah.
Jangan puji lebih-lebih. Nanti Anise jalan pun tak jejak. Silap haribulan
kembang sampai sendat baju tu nanti." Rachel berseloroh.
***
Anisah baru
melangkah keluar melalui pintu belakang apabila dia terdengar namanya
dipanggil.
"Anise!"
Suara Zetty. Dia dan Anne menghampiri Anisah dalam keadaan tergesa-gesa.
Anisah tidak
berkata apa-apa.
'Entah apalah
pulak ni?' Hatinya merungut.
"Kami nak
ucapkan terima kasih." Kata Zetty.
"Terima
kasih? Apasal?"
"Kami dah
lama tak setuju dengan Maya. Bila dia dah berhenti baru lega rasanya. Esok kau join
kami ya? Tak syoklah kalau kami berdua aje. Macam tak meriah." Pelawa
Anne.
Anisah
tersenyum. Kemudian dia mengangguk.
***
Ruang menerima
tetamu di pusat tahanan itu agak lengang ketika itu. Hanya sebuah meja sahaja
yang sedang digunakan. Dari jauh pengawal memerhatikan mereka yang sedang duduk
di situ.
"Dia tu dah
melampau!" Dato' Shah beremosi.
"Takkan
kita nak biarkan dia lepas macam tu aje?" Maya tidak puas hati.
"Aku tak
boleh buat apa-apa. Aku ada kat dalam. Kau boleh. Kau aturkan rancangan untuk
ajar dia." Dato' Shah merendahkan suara sambil menjeling kepada pengawal
yang ada di situ. Lelaki itu berdiri tercegat tanpa menghiraukan perbualan
mereka berdua.
“Aku? Apa yang
aku boleh buat?” Maya kurang pasti.
"Kau cuba
hubungi Lee. Dia boleh aturkan rancangan untuk kau. Kau ada nombor dia
kan?" Dato’ Shah merenung tepat ke muka Maya.
Maya mengangguk.
"Aku takkan
dapat tidur dengan aman dalam ni selagi perempuan tu belum terima balasan atas
apa yang dia dah buat." Dato' Shah bersuara sambil giginya digetap. Kuat.