Peluang yang ditunggu Anisah tiba semasa Maya sedang memperelokkan
mekap di bilik persalinan.
"Maya, aku ada benda nak bincangkan dengan kau." Kata
Anisah.
Setelah melihat Anisah, Maya meneruskan apa yang sedang dibuat.
"Apa dia?"
"Kenapa kau tergila-gilakan sangat dengan Datuk Hazman?"
Soal Anisah telus.
"Aku rasa kau sendiri dah tahu jawapannya. Dia lelaki yang
kacak, tampan, berharta, ada pangkat, ada darjat." Jawab Maya penuh perasaan.
"Tapi dia playboy. Semua perempuan dia nak kenal dan dekati.
Kau rasa kau akan bahagia dengan lelaki macam tu?" Cabar Anisah.
"Bagi aku itu bukan penghalang. Aku akan pastikan dia pilih
aku, bukan perempuan lain." Jawab Maya.
"Tapi kau dah melampau Maya. Kerana impian, kau sanggup
lihat orang lain susah. Sedangkan masalah sebenarnya adalah Datuk Hazman, bukan
perempuan yang kau jadikan mangsa." Anisah cuba mengubah pendirian Maya.
"So, apa yang sebenarnya kau nak aku buat?"
"Aku rasa Datuk Hazman tak sesuai dijadikan pilihan hidup
kau. Lelaki macam tu hanya menyusahkan kau sebab dia tak akan pernah puas dengan
seorang wanita."
Maya ketawa kecil dengan kata-kata Anisah.
"Tak sangka ada orang yang ambil berat pasal aku di sini.
Mungkin tanggapan aku pada kau salah selama ini. Untuk pengetahuan kau, tak ada
orang yang berani tegur aku macam ni. Terima kasih." Kata-kata Maya.
Anisah baru hendak membuka pintu untuk meninggalkan Maya apabila
perempuan itu bersuara sambil tersenyum, "Mulai malam ini kau boleh join group
aku bersama Anne dan Zetty. Kita jumpa di VIP lounge."
***
"Betul ke dia beritahu kau macam tu?" Tanya Sofea.
Anisah hanya mengangguk.
"Aku tak percaya dengan perempuan bermuka-muka tu. Tentu
ada muslihat dia." Kata Rachel.
"Aku nasihatkan kau berhati-hati. Aku takut kau akan jadi
mangsa macam yang lain." Tambah Cynthia.
Anisah serba salah. Adakah kerana mereka semua cemburu dia diterima
menjadi ahli kumpulan Maya, atau sememangnya Maya ada agenda yang tersembunyi.
Sejurus itu Maya muncul. "Anise, Jom..." Katanya sebelum
beredar.
"Be careful," bisik Sofea.
***
Malam itu Anisah menjadi tumpuan kumpulan lelaki yang ada bersama
Datuk Hazman. Teman menari Anisah silih berganti di lantai dansa. Hanya Datuk Shah
yang menghabiskan masa duduk berseorangan sambil memerhatikan para pengunjung yang
ada di situ.
Tumpuan yang diberikan kepada Anisah langsung tidak menggugat
Maya dan rakan-rakannya. Ada ketika mereka berempat duduk berbual bersama jauh dari
klien-klien mereka.
"Apa cerita Datuk Shah tu?" Tanya Anisah.
"Dia memang macam tu. Dah ramai cuba nak tackle dia, tapi dia buat tak layan."
Jawab Zetty.
"Kenapa macam tu?" Tanya Anisah lagi.
"Aku pernah tanya Hazman. Dia kata lelaki tu baru lepas
bercerai dengan isteri dia. Masa dia tengah mabuk dia terlepas lafaz talak. Sampai
talak tiga terus. Sekarang dia terkulat-kulat. Nak rujuk semula dah tak boleh. Bini
dia pun dah tawar hati dengan dia, nak jumpa anak-anak pun susah." Jawab Maya.
"Dia ke kelab sebab nak lupakan masalah. Tapi tak ada sorang
pun yang dapat dekati dia. Dia ni susah sikit." Tambah Anne.
"Kesian dia ya. Kalau aku cuba macam mana?" Tanya Anisah.
"Apa salahnya. Tapi aku tak pasti kau akan berjaya. Kalau
kau berjaya memang hebatlah." Jawab Maya.
Anisah menghampiri Datuk Shah dan duduk di sebelahnya. "Malam
yang indah kan datuk?" Anisah cuba memulakan perbualan.
"Indah? Apa yang indah sangat dengan malam macam ni?"
Kata lelaki itu.
"Yalah, dapat lapangkan masa dengan kawan-kawan. Tenangkan
fikiran dengan irama muzik di tempak eksklusif macam ni."
"Kalau diberi pilihan saya lebih suka lapangkan masa dengan
keluarga di rumah. Dengan isteri dan anak-anak. Tapi semuanya dah terlambat..."
Keluh Datuk Shah.
"Terlambat?" Tanya Anisah.
"Saya dah buat kesilapan besar. Kesilapan yang akan saya
kesali seumur hidup."
"Setiap orang buat kesilapan datuk. Tapi kita yang buat
pilihan sama ada untuk terus meratapi kesilapan itu atau memperbaiki kehidupan menjadi
lebih baik." Jawab Anisah.
"Saya rasa awak ni terlalu cantik dan bijak untuk jadi perempuan
pelayan di kelab ni." Puji Datuk Shah.
"Saya mangsa keadaan datuk. Kerja di sini batu loncatan
saya untuk ubah kehidupan saya dan anak-anak. Tak mungkin saya akan kekal bekerja
di sini dalam jangkamasa yang lama." Jawab Anisah.
"Saya ada satu permintaan." Kata Datuk Shah.
"Apa dia datuk?"
"Anak perempuan saya akan sambut hari jadi dalam masa beberapa
hari lagi. Saya nak minta awak temankan saya carikan hadiah yang sesuai untuk dia."
"Berapa umur dia datuk?"
"Tiga belas tahun. Dia dalam tingkatan satu sekarang."
"Oh, samalah dengan anak sulung saya. Boleh, nanti datuk
telefon saya esok."
"Datuk tak nak menari?" Tanya Anisah.
"Boleh juga." Jawab lelaki itu sebelum mereka menuju
ke lantai dansa sambil diperhatikan oleh Maya dan rakan-rakannya yang lain.
***
Menjelang pagi, Anisah melapangkan masa bersama Sofea dan rakan-rakan
yang lain di bar.
"Sampai bila agaknya kita akan kerja di tempat macam ni?"
Tanya Anisah.
"Apa salahnya dengan tempat macam ni?" Tanya Rachel.
"Kita semua tahu apa tanggapan orang pada perempuan yang
kerja di tempat macam ni." Jawab Anisah beralas.
"Nak ikut cakap orang memang susah. Masa kita merempat pun
bukan ada yang nak ambil tahu. Tapi bila kita buat kerja macam ni, macam-macam pula
yang dikutuk dan keji." Kata Sofea.
"Tapi kita semua tentu ada impian masing-masing, di samping
mencari rezeki di tempat macam ni."
"Apa maksud kau Anise?" Tanya Rachel.
"Maksud aku, mungkin dengan duit yang kita kumpul ni kita
akan buka bisnes. Mungkin butik? Spa? Kedai makan?" Kata Anisah.
"Oh, macam tu. Aku... Aku nak kumpul duit untuk biaya pengajian
David di universiti. Itu yang paling penting bagi aku." Jawab Rachel.
"Kau Cynthia?" Tanya Anisah.
"Aku nak suami yang gentle dan caring, yang akan ubah hidup
aku. Kalau dapat yang kaya lagi bagus. Boleh bercuti di Greece, Rome, mungkin juga
di Hawaii." Jawab Cynthia dengan gaya mengelamun membayangkan apa yang dia
katakan.
"Amboi, jauhnya angan-angan kau. Kalau aku, aku nak buka
bisnes. Tak kiralah bisnes apa pun. Rupa kita bukan sampai bila-bila macam ni. Sampai
masa kita terpaksa terima hakikat dan mengundur diri. Masa tengah ada rupa nilah
kita kena gunakan untuk majukan perniagaan." Celah Sofea.
"Bagus idea tu kan? Kalaulah kita boleh jadi rakan kongsi
buat bisnes bersama." Tambah Anisah.
"Tapi niaga ni bukan mudah. Nak dapat klien. Nak kumpul
modal. Lainlah kalau ada datuk yang nak sponsor." Jawab Sofea.
Anisah hanya mengangguk.
***
Setelah Anisah dan Eja beredar awal pagi itu, Maya dan rakan-rakannya
berbual di bilik persalinan.
"Aku macam tak percaya rancangan kita berjalan lancar semudah
ini," Zetty memulakan perbualan mereka.
"Aku pun tak sangka perempuan tu boleh tanya pasal Datuk
Shah sebelum sempat kita mulakan apa-apa." Tambah Anne.
"Dia tu nak jadi kaunselor yang menyelamatkan hidup orang
lain. Tapi dia tak tahu, sikap yang suka buat baik tu akan memakan diri dia sendiri
tak lama lagi. Anise, Anise, bersimpati aku bila memikirkan nasib kau." Sindir
Maya.
"Konon-konon nak ceriakan hidup Datuk Shah yang tengah sugul.
Kau belum kenal siapa lelaki tu yang sebenarnya." Tambah Zetty.
"Tak lama lagi nasib kau sama
seperti mangsa-mangsa aku sebelum ni. Kau tunggu sajalah Anise..." Kata Maya
dengan senyuman yang menjengkelkan.