Kisah ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan sesiapa atau apa-apa isu. Walaupun penulis telah cuba sedaya upaya untuk mengelakkan daripada pertembungan dengan realiti, sebarang persamaan harap dimaafkan.
Apa yang dikongsi adalah semata-mata untuk dijadikan iktibar oleh penulisnya dan sesiapa yang merasakan ia perlu.
Harap maklum.
POTRET
Sebuah cerpen thriller oleh Salleh Kausari
MAYA
memarkir kereta di pekarangan sebuah rumah banglo dua tingkat. Kemudian dia
masuk menerusi pintu pagar yang tidak berkunci.
“Assalamualaikum.”
Tidak lama
kemudian pintu dibuka.
“Waalaikumussalam.
Oh, Maya.” jawab wanita di muka pintu.
“Kau okey
Qad?” tanya wanita bernama Maya.
Riak wajah
Qadriya suram, seperti kehilangan mood dengan rupa yang tidak disolek atau
terurus.
“Aku
risaukan kau. Sebab tu aku datang ke sini. Facebook dan WhatsApp dah lama tak
masuk. Instagram pun dah lama tak up gambar. Kenapa Qad?”
Qadriya mendengus. “Kau tanya soalan macam tu?
Kau macam tak tahu career aku dah
hancur. Dah ranap Maya. Dah lebur!”
Maya
memegang bahu rakannya. “Sabar Qad. Ini dugaan Tuhan.”
Itu bukan
kali pertama dia menasihat Qadriya. Sudah beberapa kali termasuk sebelum
kemelut yang melanda hidupnya.
“Sekarang
baru aku sedar semuanya. Sabar tu patutnya aku tanamkan masa kena buli dengan
minah tu. Tapi aku degil. Sekarang apa dah jadi.” Suara Qadriya mula bernada
sebak. Bila-bila masa air matanya akan tumpah.
“Masih belum
terlambat Qad. Tuhan sentiasa uji kita. Lagi besar ujian, lagi besar
ganjarannya kalau kita sabar.”
Kata-kata
Maya menyebabkan airmata Qadriya tumpah. Seolah-olah beban yang ditanggung
terlalu berat untuk dipikul.
“Aku dah
nekad Maya. Aku nak tinggalkan dunia penulisan. Mungkin ini bukan untuk aku.
Masih banyak cara untuk dapatkan pendapatan dalam dunia ni. Aku dah tak sanggup
nak hadapi semuanya. Biarlah aku mengalah dan mengundur diri.” Qadriya
benar-benar putus asa.
“Qad, ini
bukan kau. Kau yang aku kenal adalah pejuang. Kau selalu dapat apa yang kau nak.
Takkan dengan masalah yang dibuat minah tu kau nak angkat bendera putih. Aku
rasa kau macam bukan kawan aku yang dulu.”
Tiada
ekspresi di wajah Qadriya. Seolah-olah apa yang dia dengar tidak mengesankan
hatinya.
“Aku dah
nekad Maya. Tak ada apa yang kau boleh buat untuk ubah fikiran aku.”
Maya
tergamam. Tapi dia masih belum berputus asa lagi. Hanya melayan kerenah
rakannya ketika itu.
~~****~~
ADRELIA
menyedut coconut shake melalui straw dengan berselera. Suasana di Kafe Coco
Latte cukup menyenangkan dengan ambien yang melapangkan fikiran. Bersama nikmat
air yang diminum. Gabungan air kelapa, susu dan aiskrim. Bersama hirisan
strawberi merah dan segar yang menari-nari di atas deria rasanya. Dia rasa
begitu gembira. Sebagaimana gembiranya dia meneliti satu demi satu komen di
status yang dimuatnaik. Ada di Facebook, WhatsApp, Twitter dan Instagram. Senyumannya
melebar. Sinis dan menjengkelkan.
“Lia, apa
yang kau dah buat ni?” Suara rakannya Shawna di meja yang sama dengan nada
serius.
“Apa?” Dahi
Adrelia berkerut sambil matanya terpaku di skrin tabphone.
“Kau baca
status Qadriya Qasha. Sekarang!” Ada nada seperti arahan dalam suara Shawna.
Segera
Adrelia mencari status yang dimaksudkan.
Qadriya Qasha:
Hari ini aku telah buat tindakan nekad untuk
meninggalkan dunia penulisan yang penuh onak duri dan ranjau. Walaupun nikmat
mendaki tangga kerjaya dalam bidang ini hanya sementara, tapi aku redha.
Walaupun aku hanya dapat tinggalkan tiga
novel untuk tatapan kalian, biarlah ia menjadi khazanah berharga. Dulu aku
sangka dunia penulisan ini penuh warna-warni, tapi rupa-rupanya ia dipenuhi
dengan pelbagai tipu muslihat. Akhirnya aku tewas dan aku mohon izin mengundur
diri.
Selamat tinggal dunia yang kejam. Biarlah
nama ini abadi di atas novel yang telah kalian miliki.
~ Qadriya Qasha.
“So,” kata
Adrelia dengan nada angkuh.
“Hah?”
Jerkah Shawna dengan nyaring. “Kau yang menyebabkan dia jadi macam ni, kau tak
ada rasa apa-apa?”
“Hei! Jaga
sikit mulut kau! Bukan salah aku. Dia yang termakan perangkap aku.”
Mulut Shawna
terlopong dengan rasa tidak puas hati yang teramat. “Lepas apa yang kau dah
buat pada dia, kau kata ini salah dia?”
Adrelia
menyedut air coconut shake sebelum bersedia mengemukakan hujahnya. “Shawna, kau
dengar ni baik-baik. Aku cuma up status nak provok dia untuk suka-suka. Siapa
suruh dia maki hamun aku? Lepas tu aku dah tak buat apa-apa, geng aku yang
serang dia. Kau masih nak salahkan aku?”
Shawna
geleng dengan rasa kesal. “Kau langsung tak ada rasa bersalah atau nak pujuk
Qadriya supaya jangan tinggalkan kerjaya penulisan ni. Apa salahnya kalau kau
minta maaf?”
Adrelia
ketawa sinis. “Excuse me. No way Jose!” Dia
buat gaya head bobbing.
“Kau tak
patut buat dia macam tu.” Shawna masih belum sedia untuk mengalah.
“Salah dia,
kau tahu tak? Dulu aku komen pasal novel dia, dia tak terima. Dia kutuk aku
pulak. Dia kata aku ni tak reti menulis, so
jangan nak berlagak macam terer sangat. Aku pun menulis juga, okey! Cuma novel
aku belum diterbitkan lagi. Itu je.”
Adrelia
berhenti untuk menjamah hirisan strawberi.
“Selagi ada
geng kaki bakar aku, selagi tu aku boleh buat apa yang aku suka. Aku boleh
kenakan sesiapa dan lepas tangan macam tu je. Aku macam permaisuri dengan orang
suruhan yang ramai. Biar dia orang yang buat kerja kotor untuk aku. Pencacai
aku ramai!”
Shawna
memicingkan mata mendengar kata-kata Adrelia. “Aku pun tak tahu kenapa aku masih
nak berkawan dengan manusia yang tak berhati perut macam kau.”
“Kalau dah tak suka, tunggu apa lagi. Blah lah!” Nada angkuh Adrelia.
Telefon
bimbit berdenting. Ada emel masuk. Segera Adrelia memeriksa tabphone.
“Wow! Best-nya! Manuskrip aku diterima
penerbit!” Adrelia separuh menjerit kerana terlalu gembira.
“Ya ke? Congratz wei!” Shawna tumpang gembira,
seolah-olah dia sudah lupa apa yang mereka bincangkan tadi.
Status yang
ditulis oleh Qadriya Qasha itu adalah yang terakhir, sebelum akaun Facebook itu
tidak diaktifkan lagi.
~~****~~
5 tahun kemudian
ADRELIA
memandang dinding dengan rasa takjub dan bangga. Kertas dinding eksklusif itu
adalah bersempena kejayaan novel sulungnya yang masih tidak dapat ditandingi
novel-novelnya selepas itu.
Adrelia
tersenyum bangga. “Novel Potret tulisan Riella Syamel adalah mercu kejayaan aku
dalam bidang ini. Aku tak sangka kisah ini akan dapat sambutan yang tidak
pernah aku bayangkan selama ini. Kisah manusia yang melakukan jenayah setelah
terdengar bisikan oleh gambar-gambar potret yang menghiasi dinding rumahnya.
Aku sendiri terkejut dengan kejayaan aku sendiri.”
Adrelia
telah mendapat anugerah khas dari syarikat dia bernaung kerana jualan
novel yang begitu luar biasa sepanjang sejarah penubuhan syarikat itu.
“Aku tak
sangka idea yang aku dapat lepas berkunjung ke kedai menjual bingkai gambar
boleh mencetuskan idea meletup ni. Sambil melihat gambar-gambar sampel dalam
bingkai, aku terasa seperti mereka berbicara dengan aku. Eiii… seram! Tapi
inilah yang menjadi penyebab kejayaan aku.”
Adrelia
khayal dengan kejayaannya sendiri, persis seorang narsisistik.
Setelah puas
hati, dia membancuh secawan kopi. Air panas dari mesin dispenser dituangkan ke
dalam cawan berisi serbuk kopi segera 3 dalam 1. Aromanya menyegarkan dan
wapnya terasa seperti terapi di wajahnya.
Sambil minum
dia melayan kerenah peminat di Facebook.
Amirul Hafiq: Tahniah Riella dengan kejayaan
Potret. Novel tu memang ohsem!
Adrelia
menekan butang like, kemudian dia membalas.
Riella Syamel: Terima kasih. Kejayaan saya
atas sokongan kalian juga.
Kemudian dia
membaca komen seterusnya.
Ann Deux: Potret memang best. Kalau buat
Potret 2 mesti gempak kan? Tak sabar rasanya.
Adrelia
membalas.
Riella Syamel: Buat masa ni saya sedang sibuk
dengan perbincangan tentang adaptasi cerita itu menjadi filem. Doakan kejayaan
saya.
Dia membaca
balasan komennya.
Ann Deux: Insyaallah…
Komen itu
disertai dengan emotikon bertepuk tangan.
Telefon
berdenting. Ada mesej peribadi masuk. Daripada seseorang yang tidak dia kenali
bernama Katrina Love.
“Pergh… nama
FB bukan main.” Dia tersenyum sendirian.
Katrina Love: Salam Riella. Saya peminat
semua novel-novel awak. Tahniah atas kejayaan Potret. You deserve it!
Adrelia rasa
terharu. Dia membalas.
Riella Syamel: Terima kasih atas sokongan
awak. Terharu saya.
Skrin
menunjukkan Katrina sedang menaip. Begitu lama dia menunggu.
“Mesti
panjang apa yang dia taip ni.” Adrelia terasa digeletek.
Kemudian
mesej muncul.
Katrina Love: Saya memang minat dengan
Riella. Membaca tulisan Riella menyebabkan saya pun teringin jadi penulis.
Penulis thriller juga. Potret memang best. Tapi saya nak buat cerita lain
sikit.
Riella
melayan peminatnya itu.
Riella Syamel: Kalau nak menulis novel kena
ada cerita yang mantap. Kena banyak membaca. Zaman ni penulis dah ramai. Kalau
semua berfikir nak tulis benda yang sama, haru jadinya. Pada hal tak ada pun
yang menciplak sesiapa.
Katrina Love: Saya dah ada cerita yang saya
nak buat. Macam potret, tapi lain. Kisah ni melibatkan seorang penulis.
Adrelia
menunggu mesej seterusnya.
Katrina Love: Penulis ni pernah buat taik
dengan seseorang. Kerana dendam, insan itu menjejaknya di kemuncak kejayaannya.
Bulu roma
Adrelia meremang dengan tiba-tiba. Seperti dia sedang diburu bayangan dari
kisah silamnya.
Katrina Love: Penulis itu mengalami satu
demi satu detik ngeri dan kemalangan. Semuanya seperti satu kebetulan, tapi
sebenarnya telah dirancang oleh pemburunya.
Peluh
Adrelia mula merecik keluar. Dadanya berdebar dengan rasa yang amat tidak
selesa.
Katrina Love: Saya dah pilih nama yang
sesuai untuk watak-watak cerita saya. Watak jahat itu saya beri nama Qadriya
Qasha. Mangsa pembunuhan kejam itu… A.D.R.E.L.I.A
HA HA HA HA HA HA HA HA
Adrelia
menelangkupkan telefon ke meja. Dentingan dan gegaran telefon diabaikan. Rasa
ngilu terasa hingga ke sumsum tulangnya.
Adakah
Katrina Love sebenarnya Qadriya Qasha yang ingin membalas dendam ke atas aku?
Bisik hatinya sambil mematah-matahkan jari dalam resah gelisah.
Dentingan
dan gegaran telefon masih berterusan. Dalam keadaan cemas, dia memasukkan
telefon ke dalam kabinet. Dengan harapan dia tidak dengar dentingan dan gegaran
telefon itu lagi.
Adrelia lari
menuju ke arah feature wall dengan
gambar pelbagai potret memenuhi dinding itu.
“Benarkah
itu Qadriya Qasha? Mungkin selama ini dia mencari peluang untuk membalas dendam
terhadap apa yang telah aku buat dulu. Lima tahun dah berlalu… dan sekarang dia
datang untuk melunaskan perhitungan dengan aku.”
Adrelia
mundar-mandir dalam keadaan tidak tentu hala. Tangannya sudah terasa dingin dan
lembab dengan tiba-tiba.
Tiba-tiba
dia terdengar bisikan di telinga. “Kau tak boleh biarkan ini semua berlaku.”
Nafasnya
seperti tersekat buat seketika. Dia menepis-nepis telinga seolah-olah ada
serangga sedang menyerang.
“Kau tak
boleh biarkan Riella!”
“Kau dalam
bahaya.”
“Kau kena
bertindak!”
“Cepat! Kau
tak boleh berlengah! Cepat! Cepat! Cepat!”
Suara demi
suara bergema di telinga. Tetapi tiada siapa di situ.
Apabila dia
terpandang kertas dinding, dia bertambah kaget.
“Nyawa kau
dalam bahaya! Kau kena hapuskan dia sebelum dia hapuskan kau!”
Salah satu
gambar di dalam potret seolah-olah bernyawa. Begitu juga beberapa yang lain.
Ekspresi wajah mereka seperti sedang memarahi Adrelia.
“Kau kena
bunuh dia, sebelum dia bunuh kau!”
“Bunuh dia!”
“Bunuh
dia!!!”
“BUNUH DIA!
BUNUH DIA! BUNUH DIA!”
Adrelia
meluru ke bilik tidur. Dia mencampakkan diri ke atas katil. Telinga ditekup
kuat-kuat dengan bantal hingga telinganya berdesing kerana terlalu sunyi.
Seluruh
tubuhnya menggigil. Tangisannya begitu teruk hingga tubuhnya terkujat-kujat
kerana esakannya terlalu kuat.
Semalaman
dia tidak boleh tidur hingga matanya bengkak dan lebam pagi itu. Ketika mentari
mula memunculkan diri, wajahnya pucat dan keliru. Rambutnya berserabut.
Dia
menghidupkan televisyen dan menonton kosong berita yang sedang dipaparkan.
Berita tentang gerhana matahari yang akan terjadi dalam masa beberapa hari
lagi.
Suara-suara
halimunan tadi sudah tidak kedengaran, tetapi apa yang disampaikan masih
berlegar dalam fikiran Adrelia.
Dalam
keadaan buntu dan keliru itu dia mengatur rancangan.
~~****~~
Qadriya
pulang agak lewat hari itu. Kerja-kerja di pejabat terpaksa dibawa pulang. Hujung bulan memang agak sibuk bagi seorang
eksekutif akaun seperti dirinya.
Qadriya
bermula dalam bidang penulisan semasa di universiti. Seorang penulis mengadakan
bengkel sehari sambil mempromosi novel terbarunya. Semenjak itu Qadriya mula
berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Genre cinta dan thriller menjadi
pilihannya. Setelah membaca beberapa naskhah novel pilihannya, dia mula
menggarap novelnya sendiri. Malangnya ia telah ditolak dan semangatnya mula
menurun.
Selepas mula
bekerja, Qadriya ingin mencuba sekali lagi. Pengalaman bekerja banyak digunakan
dalam karya hingga novel cinta yang pertama telah dilamar sebuah syarikat
penerbitan. Hasil tulisannya diterima peminat hingga namanya mula meningkat
naik.
Qadriya
bercita-cita ingin menulis novel thriller. Malangnya kemahirannya masih belum
cukup. Semasa kemelut dengan pembaca bernama Adrelia, dia sedang menulis
beberapa bab pertama novel thriller yang masih belum bertajuk. Setelah namanya
menjunam jatuh, novel itu terbengkalai hingga kini.
Qadriya
tercegat di depan rumah. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia pasti pada kebiasaannya
dia merantai pagar dengan mangganya disembunyikan ke bahagian dalam.
“Kenapa
nampak lain? Macam ada orang yang dah alihkan.” Setelah berdiri buat seketika,
dia membuka mangga.
Dia menuju
ke pintu hadapan sambil memerhati keadaan sekeliling. Tiada yang mencurigakan.
Kemudian dia membuka kunci gril pintu. Ketika itu dia perasan ada tanda pintu
diumpil walaupun pintu berkunci.
Dia tidak
mengendahkannya dan terus masuk ke rumah. Ketika itu dia ternampak kelibat
seseorang melintas di dapur.
Tangan
Qadriya menggigil sambil mencapai telefon. Baru saja dia hendak mendail, dia
terlihat seseorang di dapur bersama pisau pemotong daging di tangan.
Qadriya
ingin memekik tetapi tiada suara yang keluar. Dia terus berlari ke tingkat
atas. Dia masuk ke bilik tidur dan mengunci pintu.
Dia cuba
menekan skrin untuk mendail nombor kecemasan, tetapi dia tersalah tekan
beberapa kali kerana tangan yang menggigil.
Tombol pintu
dipulas-pulas dengan kasar. Kemudian pintu dihentak dengan kasar.
DAM! DAM!
DAM!
Qadriya
semakin menggigil. Dia berlari ke bilik air dengan keadaan cemas dan kelam
kabut dan mengunci pintu.
DAM! DAM!
DAM!
Pintu bilik
terus dihentak.
DAM!
Suasana
sunyi. Qadriya pasti pintu sudah berjaya dibuka. Dia cuba mendail nombor
kecemasan dan kali ini berjaya.
“Helo,”
suara di talian.
DAM! DAM!
DAM!
Qadriya
sukar mendengar suara di talian. Hentakan di pintu cukup kuat.
DAM! DAM!
DAM!
Bunyi itu
berdengung di ruang kecil bilik air. Qadriya terjelepuk di sudut dalam keadaan
ketakutan.
DAM!
Pintu
terbuka.
Qadriya
menjerit sekuat-kuat hati seolah-olah ajal sudahpun berada di depan matanya.
Dia pasti manusia psiko yang berjaya masuk ke rumah itu akan berjaya menetaknya
dengan pisau. Mungkin di kepala hingga terbelah dua. Otaknya akan meleleh
keluar dengan darah likat merah.
Mungkin juga
bahunya akan ditetak hingga terkulai. Ditetak lagi hingga putus. Atau mungkin
dadanya akan ditetak hingga terbelah. Kemudian jantungnya ditarik keluar tanpa
belas ketika rohnya terbang meninggalkan jasad.
Qadriya
menggigil dalam keadaan berpeluh. Menunggu ajal yang sudah berada beberapa inci
di depannya. Dia menunggu dan menunggu, tetapi tiada apa yang berlaku.
“Cik okey?”
suara anggota polis yang berdiri di depan pintu bilik air yang terbuka.
Qadriya
masih menggigil dengan mulut terketar-ketar. Dia tidak menjawab soalan. Anggota
polis itu kemudiannya mencapai selimut dan menyelimutkan tubuh Qadriya.
Anggota
polis itu melihat Qadriya bangun meninggalkan bilik air dalam keadaan yang
begitu trauma.
Setelah
perasaannya mula tenang, Qadriya bertanya. “Macam mana encik boleh datang ke
sini? Sedangkan saya tak sempat beritahu lagi lepas telefon nombor kecemasan tadi?”
Polis itu
menjawab, “Ada orang telefon kami dulu tadi. Mungkin jiran awak yang ternampak
ada orang mencurigakan. Untung awak ada jiran yang prihatin.”
Qadriya
mengangguk. Gigil tubuhnya sudah mula reda.
“Kami dah
berkas penceroboh di rumah awak.” Kata polis itu sebelum mereka berdua turun
menuju ke kereta polis yang terparkir di luar.
Melihat
insan di dalam kereta itu menyebabkan Qadriya seperti ingin rebah kerana lutut
yang terasa lemah. Matanya buntang melihat insan dengan rambut tak tersisir
berjuntai menutupi sebahagian matanya.
“Awak kenal
orang ni?” tanya polis itu.
Qadriya
angguk dengan bibir bergetar.
“Siapa dia
ni?”
“A-A-Adre…lia.”
Dia terus
merenung wajah Qadriya seperti ada hutang yang belum dilunaskan.
~~****~~
Qadriya
khusyuk mengadap komputer hingga tidak sedar lebih sejam telah berlalu. Dia
asyik membalas komen dan mesej yang tidak henti-henti sejak tadi.
Amirul Hafiq: Takziah kak atas apa yang
berlaku. Tak sangka Riella boleh jadi gila sampai macam tu sekali.
Ann Deux: Akhirnya Riella dah terima balasan
atas apa yang dia buat terhadap kakak.
Qadriya Qasha: Terima kasih semua. Ini
adalah pengalaman paling buruk dalam hidup kakak.
Tiba-tiba
komputer berdenting dengan satu mesej yang masuk.
Suri Hani: Kami dari syarikat penerbitan
Mawarnis mengucapkan takziah atas apa yang berlaku. Kami ingin jemput awak
menulis bersama kami semula. Hantar saja manuskrip yang dah siap. Nanti kami
akan terbitkan.
Qadriya
menjawab.
Qadriya Qasha: Terima kasih puan. Saya akan
siapkan secepat mungkin.
Dia buat
keputusan untuk mengakhiri sesi di media sosial malam itu. Komputer dipadamkan
dan dia duduk bersandar di sofa dengan senyuman lebar. Begitu lebar. Televisyen
terpasang ketika itu. Liputan tentang gerhana matahari yang berlaku siang tadi.
Qadriya
menghela nafas sedalam-dalamnya. Kemudian dihembus lega dengan tawa yang
menjengkelkan.
“Aaah!...
Leganya aku sebab dah dapat balik hidup aku yang kau rampas dulu Adrelia, atau
nama yang amat menyampah aku dengar… Riella Syamel.”
Dia mencapai
botol plastik berwarna putih.
“Terima
kasih atas ilham yang kau kongsikan dalam Potret. Kisah penjenayah psiko yang
mendengar bisikan dari potret di dinding rumahnya telah menjadi realiti dalam
hidup kau. Semuanya dengan magis pil ajaib ni. Pil yang aku beli di pasar gelap
dengan harga yang cukup mahal untuk melunaskan dendam aku. Aku lumatkan dan aku
masukkan ke dalam takungan dispenser di rumah kau. Dengan pil ini, seseorang
akan mengalami kesan skizofrenia walaupun dia sebenarnya sihat seperti kau!”
Botol itu
dipusing-pusing dengan bunyi pil bergolek-golek.
“Aku tak
sangka kesannya begitu cepat. Setelah hampir setahun aku intip kehidupan kau
untuk memastikan rancangan yang sesuai, semuanya beres dalam beberapa hari. Walaupun
aku terpaksa ambil risiko kau mungkin akan berjaya mencederakan aku. Tapi tak
sempat kan? Segala pergerakan kau dalam rumah aku dipantau melalui skrin telefon aku. Aku dah telefon polis awal-awal supaya mereka dah standby. Bijak tak aku?”
Dia ketawa
dengan nyaring.
“Kau fikir
lima tahun lepas begitu mudah untuk aku? Aku lihat manusia seperti kau mendaki
naik dengan begitu mudah setelah segala onar jijik yang kau lakukan pada aku.
Aku dah bosan dengan cara bersih dan jujur. Manusia seperti kau telah ajar aku
untuk lihat jauh ke dalam sisi gelap aku. Dan akhirnya aku telah jumpa dan memanipulasinya
sebaik mungkin. Terima kasih dari aku buat kau Adrelia… atau Riella Syamel.”
Qadriya
mencapai buku nota.
“Cerita apa
aku nak tulis ya? Hmm… apa kata aku buat sambungan Potret, tapi aku ubah
sebahagian besar ceritanya. Supaya orang tak boleh kaitkan kedua-dua cerita.
Kisah penulis yang menjadi mangsa apa yang ditulis. Judulnya? Err… hah!
Bersempena gerhana yang baru terjadi ni, aku beri judul novel thriller aku yang
terbaru… Gerhana!”
Qadriya
melayan apa yang bermain di fikiran. Sisi gelapnya sudah mula mendiskriminasi
sisi cerahnya. Sebagaimana bulan bergerak melitupi permukaan matahari hingga
hilang seri cahaya ketika gerhana.
~ S E K I A N ~
Nota Penulis:
Pemangsa atau mangsa, dunia media sosial ini terlalu luas dengan pembahagi yang tidak begitu ketara. Buatlah yang terbaik dan jangan sampai terlajak hingga memasuki Zon Thriller SK
Kembali ke indeks Zon Thriller SK...
http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=6778&idc=35908