Panorama ibu kota ketika mentari
sudah mula berlabuh sungguh indah. Lembayung senja menghiasi kanvas langit ibu kota,
bersama kemilau cahaya menyinari bangunan KLCC yang menceracak bagaikan dua jari
menunjuk ke langit tanpa jemu.
Ibu kota Kuala Lumpur sememangnya
penuh dengan kejutan buat mereka yang setia menghuni dan mencari nafkah di atas
dadanya, sebagaimana panorama menjelang malam ini. Begitu juga dengan cuaca yang
sukar dijangka oleh warga ibu kota.
Sudah agak lama Kuala Lumpur
dilanda ribut pada waktu petang, walaupun matahari sering menampakkan diri pada
waktu pagi. Ada warga kota yang tidak henti menunggu dengan penuh harapan agar hari
akan terus cerah hingga ke petang, tetapi ternyata mereka hampa hingga hampir-hampir
berputus asa.
Namun penantian mereka ternyata
tidak sia-sia apabila hari ini tiada hujan hingga ke petang dan kini sudah beransur
malam.
Dari tingkap ruang makan di
hotel Sri Mahligai, suasana senja di langit Kuala Lumpur terlalu indah bagaikan
lukisan pemandangan hidup yang memenuhi seluruh ruang tingkap kaca di situ. Sebuah
lukisan dengan pancarona menghiasi langit dan bangunan KLCC yang megah dengan cahaya
lampu yang menghiasi struktur berkembar itu di tengah-tengah kota raya.
Panorama itu sungguh menggamit
perasaan mereka yang berada di dewan bankuet di tingkat lima hotel Sri Mahligai.
Begitu juga dengan Anisah yang sedang duduk di meja berhampiran tingkap. Dia bagaikan
terpukau dengan pemandangan di waktu senja sebegitu. Panorama itu begitu tepat dengan keindahan
hatinya ketika itu.
Melihat panorama indah KLCC berlatarkan
kota metropolitan Kuala Lumpur, hati Anisah bagai dibuai dengan keasyikan.
Namun jauh di sudut hatinya ada perasaan yang mengulit diri hingga resah dan
tidak keruan. Ada rasa yang mengaitkan dirinya dengan keindahan pada waktu senja
itu.
'Walaupun langit begitu indah
ketika ini, hakikatnya semuanya akan lenyap apabila tiba waktu malam, dan tiada
siapa dapat menghalang suria daripada berlabuh di ufuk. Ia akur dengan kitaran yang
telah ditakdirkan, dan akan kembali menerangi seiisi alam dengan sinarnya esok dan
kitaran itu tidak akan berubah hingga hari-hari yang seterusnya.' Refleksi Anisah.
Rasa resah itu terus menghantui
Anisah sebelum dia disentak oleh suara garau yang amat dikenalinya.
"Cantik pemandangan pada
waktu senja begini kan? Siapa sangka ciptaan Tuhan dan ciptaan manusia boleh bergabung
menghasilkan pemandangan yang luar biasa seperti ini. Tapi bagi abang, walau bagaimana
cantik sekalipun pemandangan di luar, ia tidak dapat menandingi kecantikan wanita
yang berada di hadapan abang sekarang ini. Wanita yang setia bersama abang setiap
masa, ketika susah dan senang, sihat dan sakit, suka dan duka."
"Abang! Bila abang
sampai?" Anisah terkejut dan teruja pada masa yang sama melihat lelaki
tampan bertubuh tinggi lampai dan segak berbaju kot hitam berdiri beberapa kaki
dari meja tempat dia sedang duduk.
"Sudah beberapa minit.
Abang pun sedang terpukau dengan kecantikan wanita di hadapan abang,
sebagaimana dia terpukau dengan keindahan panorama Kuala Lumpur." Suara
Jalaludin sambil tersenyum dengan matanya galak memandang Anisah membuatkan dia
tersipu-sipu.
"Pandai abang
bergurau." Suara Anisah yang begitu terkesan dengan pujian lelaki yang
menyerikan hidupnya semenjak lima belas tahun yang lepas.
"Abang tak pernah
bergurau bila bercerita tentang kecantikan Anisah. Abang ikhlas sebagaimana
aslinya kecantikan jambak bunga gladioli ini." Ujar Jalaludin sambil
menghulurkan sejambak bunga kuning yang mekar bersama tangkai yang panjang dan
hijau, yang sebelum ini disembunyikan di belakangnya. "Hadiah sempena hari
ulangtahun perkahwinan kita yang ke lima belas."
Anisah hilang kata-kata
melihat jambangan bunga yang diikat reben merah itu. Ia menambahkan lagi
suasana indah ketika malam baru mula berlabuh ketika itu. Ikatan bunga gladioli
kuning itu disambut dengan rasa terharu dan gembira.
"Terima kasih bang.
Suka Anisah melihat bunga ni. Gladioli? Tak pernah Anisah dengar nama tu."
Anisah bersuara sambil khusuk membelek kelopak sehelai bunga dengan jemarinya.
"Bunga gladioli ini
adalah simbol keutuhan cinta kita bersama mahligai yang telah lima belas tahun
kita tegakkan, walaupun dibakar mentari terik atau dihentam ribut dan
badai." Ujar lelaki sawo matang yang baru melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapanan dengan Anisah.
"Gladioli adalah kata
jamak. Kalau sekuntum dipanggil gladiolus. Itu dalam istilah bahasa
Inggeris." Jalaludin menjawab sambil asyik memerhatikan isterinya
mengamati bunga yang belum pernah dilihat atau pegang itu. Senyum yang diukir
di bibir lelaki itu tidak menggambarkan kerisauan dan rasa gusar yang melanda
hatinya ketika itu.
"Bunga ini adalah
lambang keteguhan cinta abang pada Anisah, hingga ke akhir nafas abang."
Kata-kata Jalaludin mengakhiri penerangan yang dibuat.
Jalaludin asyik memandang Anisah
pada waktu itu. Kejelitaan semulajadi Anisah tambah menyerlah dengan rambut yang
disanggul bersama subang berlian yang bergemerlapan. Rona baju merah gabungan kain
renda London dan sifon menaikkan seri wajah dan penampilan wanita yang telah menjadi
isterinya selama lima belas tahun yang lepas.
Dia tertarik pada wanita itu
pada pandangan pertama semasa pertemuan mereka suatu masa dahulu. Semakin hari dia
melihat Anisah semakin ayu dan jelita, walaupun selepas melahirkan lima orang cahaya
mata mereka berdua.
Anisah pandai mengekalkan kecantikan
wajah dan tubuhnya. Dalam kesibukan menjaga dan membesarkan anak-anak mereka, Anisah
tidak leka meluangkan masa untuk mendandan dirinya.
Melihat kejelitaan Anisah menimbulkan
keresahan di hati Jalaludin. Perasaan cintanya pada Anisah membuatkan dia terlalu
risau sekiranya sesuatu akan berlaku menyebabkan mereka tidak dapat bersama lagi.
Masalah yang terbeban di benaknya menambahkan kusut fikiran.
"Sudah lama sayang menunggu
abang?" Jalaludin memecah kesunyian dirinya yang lama khayal memerhatikan kecantikan
Anisah ketika wanita itu asyik membelek jambangan bunga yang baru dihulurkan.
"Belum sampai setengah jam.
Pak Majid terus ambil Anisah lepas abang telefon dia tadi." Jawab Anisah.
"Abang yang terlambat keluar
dari lapangan terbang, ada masalah sehingga kami ditahan sebelum boleh turun dari
kapal terbang."
"Kenapa Anisah lihat abang
macam tak ceria macam selalu. Ada masalah semasa abang di Sabah?" Tebak Anisah
sambil membaca raut wajah Jalaludin.
"Abang ada perselisihan
dengan rakan kongsi perniagaan abang. Dia mahu buat sesuatu yang melanggar
prinsip kami semasa mula-mula menubuhkan syarikat dulu." Anisah mendengar
dengan penuh khusyuk penerangan itu.
"Maksud abang,
Rafiq?" Tanya Anisah. Jalaludin hanya mengangguk
"Siapa lagi rakan
kongsi abang kalau bukan dia. Mana ada orang lain lagi. Keadaan ekonomi agak
gawat sekarang. Dia mahu melabur dalam perniagaan baru yang dia mahu ceburi.
Abang bangkang, sebab perniagaan itu agak tinggi risikonya. Abang minta dia
sediakan proposal, tapi dia mengelak. Abang syak dia terlibat dengan satu skim
haram." Jawapan Jalaludin yang menerangkan punca kegusarannya malam itu.
"Abang takut dia akan
bertindak lebih agresif, sebab abang bantah kemahuan dia." Jalaludin
mengakhiri penerangan. Kerisauan juga sudah mula menular ke dasar hati Anisah.
"Jika ditakdirkan sesuatu
berlaku kepada abang, agak-agaknya Anisah sudah bersedia?" Kata-kata Jalaludin
menyebabkan Anisah memandangnya dengan mata yang tajam.
"Apa abang merepek pada
hari istimewa kita ini?!" Anisah bagai tersentap dengan kata-kata itu.
"Kenapa abang bercerita tentang kematian?"
Jalaludin dapat lihat wajah
Anisah berubah dengan kata-katanya itu. "Maut itu satu kepastian Anisah. Sama
ada kita sedia atau tidak, ia akan tiba tanpa terlebih atau terkurang walau
sesaat sekalipun. Lebih baik kita buat persiapan sebelum ia tiba, daripada kita
terkapai-kapai mencari dahan untuk berpegang apabila ia datang."
"Anisah tahu. Tapi
kenapa kita perlu berbincang tentangnya pada malam sebegini?"
Jalaludin hanya berdiam
diri. Dia sedar Anisah belum bersedia untuk menerima kenyataan itu walaupun
pahit. Itu menambahkan lagi kegusaran yang bersarang di dalam hatinya.
"Bagaimana kalau
ditakdirkan abang sudah tiada lagi esok?" Suara Jalaludin bagai tamparan
yang hinggap di pipi naluri Anisah. Jalaludin sedar itu hanya merosakkan
suasana malam itu, tetapi Anisah perlu menerima hakikat itu.
"Anisah minta tolong,
abang. Janganlah bangkitkan isu kematian pada malam ini." Jalaludin
terpaksa akur dengan kemahuan Anisah, walaupun ada perkara yang mahu
disampaikan secara halus kepada wanita itu.
Jalaludin memang sudah kenal
benar dengan sikap Anisah. Dia sudah sebati dibesarkan dalam kesenangan, walaupun
dia tidak datang dari golongan berada. Anisah tidak suka memikirkan tentang kesusahan.
Segala urusan kewangan dikendalikan oleh Jalaludin.
Malam sudah pun berlabuh ketika
mereka mula menikmati juadah makan malam mereka. Hanya cahaya lampu di KLCC dan
bangunan di ibu kota memancar di kelam malam itu. Taburan bintang dan wajah bulan
juga menghiasi gelap malam.
"Anak-anak semua sihat?"
Jalaludin memecah kesunyian mereka malam itu. Sedikit-sebanyak Anisah dipengaruhi
emosi dengan isu yang dibangkitkan tadi. Naluri Jalaludin menyebabkan dia menyentuh
isu itu. Dia dapat rasakan masa semakin suntuk dan dia perlu menyedarkan Anisah.
Jalaludin terpaksa akur dengan Anisah. Mahu atau tidak, dia terpaksa menukar topik
perbualan mereka pada malam yang cukup istimewa bagi mereka berdua.
"Sihat. Cuma Yaya dengan
kerenah dia seperti selalu." Anisah menjawab.
"Suraya? Kenapa dengan dia?"
Tanya Jalaludin.
"Akhir-akhir ni dia selalu
marah-marah. Doktor pakar sindrom Down sudah beritahu Anisah cara hadapi masalah
macam tu."
"Jadi apa masalahnya?"
Tanya Jalaludin sebelum menyisip air dari gelas.
"Dia mahukan perhatian.
Abang tentu tahu bagaimana nakalnya hero abang si Benjamin. Ada saja idea dia untuk
menyakat Marissa, Umairah dan Firdaus. Bila tumpuan saya lari kepada abang dan kakak
dia, Yaya mulalah buat hal. Abang pula dah seminggu tak balik rumah." Jalaludin
hanya tersenyum mendengar penerangan Anisah.
"Abang terpaksa, Anisah.
Perniagaan ni perlu dipantau. Abang tak berani serahkan bulat-bulat kepada Rafiq.
Tak tahulah apa yang akan dibuatnya nanti. Dia sudah banyak berubah sekarang. Dulu
masa mula-mula tubuhkan syarikat dia seorang yang dedikasi dan bekerja keras. Tapi
semenjak syarikat mula terkenal selepas anugerah E50, dia mula ambil enteng hal
perniagaan. Bila abang minta laporan kewangan, lama baru dia siapkan. Abang risau
kalau-kalau dia ada rancangan lain yang abang tak tahu." Anisah sedar Jalaludin
sudah mula mencurigai rakan kongsi perniagaannya.
"Selepas ni abang akan ke
pejabat sebentar untuk selesaikan urusan kerja sebelum balik rumah. Rindu rasanya
sudah lama tak jumpa anak-anak kita. Lepas ni Pak Majid akan hantar Anisah balik.
Abang akan ke pejabat naik teksi. Abang akan pandu kereta syarikat balik ke rumah."
Kata-kata Jalaludin sebelum mereka bersurai malam itu.
"Sempena malam yang istimewa
ini, abang nak ucapkan kepada Anisah, Selamat hari ulangtahun perkahwinan kita yang
ke lima belas." Itulah ayat terakhir yang dilafazkan oleh Jalaludin di telinga
Anisah pada malam itu.
Juga kata-kata terakhir yang
dilafazkan buat selama-lamanya.