Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 13 Bahagia

Masjid Salihin biasanya lengang pada waktu begini. Tetapi hari ini kelihatan beberapa buah kereta diparkir di pekarangan masjid. Hari ini adalah upacara akad nikah sempena penyatuan Ustaz Hairi dan Anisah.

Anisah kelihatan anggun dan sopan dengan busana putih yang diserikan dengan kain renda London dan tudung putih berlabuci. Jari-jemarinya sudah merah dengan inai yang menghiasi.

Ustaz Hari kelihatan segak dengan baju melayu serba putih diserikan dengan songkok hitam dan kain samping songket hitam disulam benang keemasan. Sebentuk kerongsang swarovski menghiasi songkok menambahkan serinya sebagai pengantin lelaki.

Farizah begitu tenang duduk berhampiran Anisah dengan baju kurung berwarna biru. Dalam diam Anisah kagum dengan wanita seperti Farizah. Bukan mudah bagi seorang wanita melahirkan kesanggupan berkongsi lelaki yang menemani hidupnya dengan wanita lain.

Zaiton, Jameah dan Rokiah juga ada di situ. Masing-masing mengenakan baju kurung dan selendang.

Selesai majlis akad nikah, mereka ke rumah Ustaz Hairi dan Farizah. Majlis perkahwinan mereka agak sederhana. Ustaz Hairi menjemput jiran, rakan dan keluarga untuk meraikan perkahwinan dengan isteri keduanya.

"Tahniah puan. Semoga berkekalan hingga ke akhir hayat." Ucapan Pak Majid semasa dia bertemu Anisah selepas majlis selesai.

"Terima kasih Pak Majid."

"Selepas ni puan akan tinggal di mana. Di rumah ustaz atau rumah lama?"

"Kami tinggal di sini dulu buat permulaan. Tengoklah kalau perlu, pindah ke rumah lama."

"Tak mengapa. Puan tengoklah mana yang sesuai. Barang-barang tinggalkan di rumah lama dulu pun tak apa. Bawalah apa-apa yang perlu saja."

"Terima kasih Pak Majid. Semenjak arwah tak ada, Pak Majid banyak tolong kami sekeluarga. Tak tahulah macam mana nak balas."

"Jangalah puan risau sangat tentang tu. Saya bersyukur sebab tengok puan dah bahagia sekarang. Keadaan anak-anak pun insya-Allah terjaga. Dah dapat ayah ustaz."

"Saya pun harap macam tu juga Pak Majid."

"Mana budak-budak tu?"

"Ada kat dalam, dengan mak nombor dua."

"Saya kagum dengan madu puan. Yalah, tak ramai yang sanggup buat pengorbanan macam dia."

"Saya pun rasa macam tu juga Pak Majid."

"Okeylah puan. Saya minta diri dulu. Kalau ada apa-apa hal, puan telefon saja saya."

"Insya-Allah Pak Majid. Terima kasih."

Selepas Pak Majid beredar, jiran bertiga Anisah pula mendapatkannya.

"Tahniah Anisah. Tak sangka diam-diam kau dapat suami ustaz. Untung kau." Ucapan Zaiton.

"Amboi Kak Anisah. Kata dulu tak kenal lelaki yang tumpangkan naik kereta Proton Wira putih. Rupa-rupanya bakal suami." Usik Rokiah.

"Untung Kak Anisah. Dahlah dapat suami ustaz. Madu sporting pulak tu. Kalau Jameahlah... Hmm...." Jameah pula menambah.

Anisah terpinga-pinga hendak menjawab ucapan dan usikan bertubi-tubi mereka bertiga.

"Anisah ucap terima kasih pada semua. Kak Eton, Kiah dan Meah banyak bantu. Tak tahulah macam mana nak balas."

"Alah Kak Anisah, itukan adat kehidupan. Ada masa kita di atas, ada masa kita di bawah. Masa kita di atas jangan lupa orang di bawah. Jangan masa dah berada di bawah baru nak ingat orang lain." Kata-kata Rokiah penuh makna.

"Walaupun kita dah tak berjiran lagi, tapi kami akan tetap ingat Kak Anisah. Kalau ada apa-apa masalah, kami sedia bantu." Kata Jameah.

Anisah hanya mengangguk.

***

Tengah hari itu Anisah dikejutkan apabila dia melihat Eja datang. Gadis itu kelihatan manis berbaju kurung bersama hadiah untuk Anisah.

"Tahniah Kak Anisah." Ujar Eja sambil menghulurkan hadiah.

"Terima kasih Eja. Alhamdulillah, akak pun tak sangka hidup akak akan berubah macam ni."

"Itu rezeki namanya. Macam mana akak kenal dia?"

"Oh ya. Akak minta maaf sebab tak sempat terang hari tu. Alih-alih akak jemput Eja ke majlis ni. Sebenarnya dia yang selamatkan akak daripada Datuk Shah dulu. Akak tak sangka dia sanggup melamar akak selepas dia tahu akak kerja kat tempat tu." Anisah sempat menjeling untuk memastikan tiada siapa yang mendengar perbualan mereka berdua.

"Akak jangan risau. Rahsia akak hanya saya dan suami akak yang tahu."

"Itulah. Akak harap pun macam tu juga. Akak tak sanggup kalau nama Ustaz Hairi diburukkan disebabkan akak."

"Kak Anisah janganlah risau sangat. Untunglah sebab akak dah tak payah nak menghadap kerenah lelaki macam Datuk Shah lagi. Manusia yang hanya manis di bibir, tapi penuh agenda tersembunyi dalam hati dia yang dah hitam gelap macam tu. Saya rasa pun akak tak akan kerja kat tempat macam tu lagi kan? Akak doakanlah semoga saya jumpa lelaki yang dapat membimbing keluar saya dari jalan ni."

"Insya-Allah Eja. Sama-samalah kita berdoa." Kata Anisah bersama senyum menguntum di bibir.

***

Anisah sedang duduk di birai katil ketika Ustaz Hairi masuk ke bilik peraduan mereka. Anisah terasa berdebar-debar menanti detik ini. Kenangan silam semasa dia diijab kabulkan dengan Jalaludin kembali singgah di fikiran. Walaupun dia sudah berpengalaman menghadapi detik-detik sebegini, tetapi debar untuk bersama lelaki baru di dalam hidupnya ini masih serupa.

Ustaz Hairi duduk di sisinya. Dagu Anisah yang sedang tunduk dipegang lembut agar pandangan wanita itu berpaling memandang wajahnya. Dengan malu-malu Anisah membiarkan matanya merenung wajah lelaki yang sudi menyerikan hidupnya. Wajah yang begitu rapat itu menyebabkan debaran hati Anisah semakin kencang.

Kemudian tangan kanan Ustaz Hairi diletakkan di ubun-ubun Anisah dan dia melafazkan doa yang boleh didengar oleh Anisah.

“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.” Doa yang dibaca oleh Ustaz Hairi.

"Terima kasih kerana Anisah sudi menyerikan hidup abang." Kata Ustaz Hairi.

"Terima kasih kerana abang sudi terima Anisah tanpa mempedulikan masa lampau Anisah."

Ketika itu Ustaz Hairi menyuramkan lampu di bilik.

Udara begitu nyaman bertiup pada malam itu bersama taburan bintang indah menghiasi langit. Wajah bulan begitu berseri memancarkan cahaya yang indah pada malam yang istimewa itu. Malam yang menyatukan Anisah dan Ustaz Hairi.

***

Anisah merebahkan kepala di dada Ustaz Hairi sambil tubuh mereka masih diselimuti duvet. Ustaz Hairi mengelus-elus rambut Anisah yang menutupi pipinya.

"Abang tak percaya abang bersama dengan Anisah sekarang." Kata lelaki itu.

"Kenapa?"

"Yalah, wanita yang secantik Anisah sedia terima lamaran abang."

"Abang juga yang ajar Anisah dulu. Kemampuan fikiran kita ni terhad, sebab tu kita kena minta petunjuk dari Tuhan." Anisah menjawab.

"Betul tu. Abang bersyukur dengan peluang yang diberikan Tuhan kepada abang. Insya-Allah abang akan laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin. Kepada Anisah dan anak-anak kita."

"Anisah berterima kasih kepada Tuhan. Juga kepada Farizah kerana sudi terima Anisah sebagai madu."

"Hidup ni penuh dengan kejutan kan? Siapa sangka kejadian hitam itu boleh menemukan kita. Sekarang kita bahagia sebagai satu keluarga yang besar." Kata Ustaz Hairi. Anisah hanya tersenyum sambil mengusap lembut tangan suaminya.

"Anisah harap kita akan berkekalan begini. Rasa perit memori silam masih belum hilang lagi. Anisah nak rasa keindahan buat seketika. Biarlah yang turun hanya air mata gembira. Anisah dah lelah menangis kerana kesukaran hidup. Anisah nak rasa bahagia hidup bersama abang."

"Siapa kita untuk menolak kepayahan dalam hidup? Kita hanya hamba, Anisah. Kita kena reda terima apa juga yang mendatang. Walaupun ia terlalu menggembirakan atau terlalu menyusahkan. Semuanya ada maksud yang tersurat dan tersirat." Anisah hanya mendengar kata-kata Ustaz Hairi yang penuh dengan nasihat berharga.

"Anisah ada satu permintaan pada abang." Kata Anisah.

"Permintaan apa tu?"

"Anisah harap abang jangan sia-siakan hidup Anisah dan anak-anak. Kami dah tak ada sesiapa lagi untuk membimbing kami dalam hidup. Hanya abanglah harapan kami."

"Insya-Allah, selagi ada hayat abang, abang akan buat apa yang termampu. Abang pun ada satu permintaan." Tanya Ustaz Hairi sambil mengusap lembut bahu Anisah.

"Apa dia bang?" Tanya Anisah.

"Apa perasaan Anisah kalau abang ditimpa kecelakaan?"

"Eh, tentulah Anisah risau."

"Kalau abang terlantar sakit di hospital?"

"Anisah akan jaga abang."

"Kalau abang dicampakkan dalam api kerana perbuatan Anisah?"

"Anisah akan buat apa saja supaya abang terselamat."

"Sebab itu abang ada permintaan penting. Abang harap Anisah akan kekal bertudung seperti masa majlis tadi. Anisah nampak manis bila bertudung. Berseri-seri sinar wajah Anisah bila bertudung, walaupun zahirnya Anisah tampak menarik hati ramai lelaki bila tunjuk rambut."

"Anisah faham bang. Anisah akan terus bertudung seperti yang abang mahukan." Kata Anisah.

"Terima kasih sayang." Suara romantis Ustaz Hairi sambil mengucup dahi Anisah.

Pelukan mereka malam itu semakin erat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.