Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 16 Musibah

Ustaz Hairi mula mengalami sakit dada sejak akhir-akhir ini.

"Abang tak nak ke klinik? Anisah risau kalau makin melarat bang." Anisah melahirkan kebimbangannya.

"Tak ada apa-apa ni. Mungkin salah makan agaknya. Lagipun masa seminar hari tu aircond kuat sangat. Macam musim salji. Abang tak sesuai dengan keadaan macam tu agaknya." Dalih Ustaz Hairi.

"Yalah... kalau ya pun, sekurang-kurangnya abang pergilah ke klinik. Mungkin doktor tahu apa masalah abang. Penyakit ni bukan boleh dijangka bang." Pujuk Anisah.

"Okey, nanti kalau ada masa abang singgah ke klinik." Ustaz Hairi cuba menyedapkan hati Anisah.

***

Anisah seperti tidak tentu arah pagi itu. Hatinya terasa berdebar-debar tanpa ada apa-apa sebab.

Dia mencapai pisau untuk memotong bahan-bahan yang digunakan untuk memasak hidangan tengah hari. Kemudian pisau itu dilepaskan. Dia duduk di ruang tamu. Tetapi keresahan membuatkan dia berjalan mundar-mandir tanpa ada perkara tertentu yang difikirkan.

Suraya hanya memerhatikan gelagat ibunya yang berkelakuan pelik. Anisah segera ke pekarangan rumah untuk menyapu. Selepas beberapa saat melibas batang penyapu, benda itu diletakkan ke tepi dan dia masuk semula ke rumah.

Segala apa yang dibuat jadi serba tak kena.

'Entah apa berita buruk yang akan aku terima ni?!' Hati Anisah diselubungi keluh kesah.

Farizah sudah lama keluar tanpa memberitahu arah tujuannya. Yang tinggal di rumah hanya dia dan Suraya.

'Ya Allah, berilah aku kesabaran untuk menerima apa saja perkara yang telah Engkau tetapkan.' Bisik hati Anisah memanjatkan doa dalam sepi.

Dia tersentak apabila mendengar telefon berdering. Jantungnya bagaikan mahu gugur. Darahnya berderau dan dalam masa beberapa saat wajahnya seperti tidak berdarah. Tangannya sejuk dan menggigil ketika cuba mencapai gagang telefon. Badannya terasa lemah untuk berdiri tegak walaupun dia masih belum mengetahui berita yang akan diterima.

"Helo," Suara di talian.

"Ya," jawab Anisah ringkas.

"Saya Linda dari Syarikat Insuran Wealthy Life. Pihak syarikat kami ingin memperkenalkan produk terbaru kami iaitu insurans perlindungan..." Suara di talian.

"Saya minta maaf. Tapi buat masa ini saya tak berminat." Jawapan Anisah dalam celaru fikirannya. Perbualan ditamatkan tanpa mendengar jawapan pemanggil.

Anisah cuba berbaring dengan harapan dia dapat melelapkan mata seketika. Mungkin perasaan ini akan hilang setelah dia sedar nanti.

Anisah rasa cuak. Dia mengalami perasaan yang sama semasa pemergian arwah Jalaludin dulu. Dia sudah mendapat tanda semasa dalam perjalanan pulang dari Hotel Sri Mahligai. Namun dia terus berdiam diri semasa Pak Majid sedang memandu.

"Janganlah ada apa-apa yang terjadi pada..."

Riiiiing!

Anisah dikejutkan lagi daripada lamunannya. Dia bergegas mendapatkan gagang telefon.

"Assalamualaikum. Ini rumah Ustaz Hairi?" Suara lelaki di talian.

"Waalaikumsalam. Ya. Saya isteri dia. Ada apa hal encik?" Jawab Anisah, bersedia menerima berita yang ingin disampaikan.

"Ustaz Hairi sekarang berada di hospital. Di sekolah tadi dia tak sedarkan diri secara tiba-tiba. Puan ada pen dan kertas, boleh salin alamat hospital tempat dia berada sekarang ni."

Anisah tergamam seketika. Hampir-hampir gagang itu terlepas dari tangannya.

"Tunggu sekejap ya encik?"

Anisah menggagau mencari benda yang boleh digunakan untuk menyalin alamat itu.

'Apa agaknya yang dah terjadi pada Hairi? Bagaimana aku nak ke sana? Ke mana Farizah ni? Kalau anak-anak kau balik nanti macam mana?' Berbagai perkara menerjah fikirannya serentak sambil dia tergopoh-gapah mencari.

***

Anisah bersandar dalam keadaan tidak bermaya. Matanya sudah bengkak kemerahan kerana tangisan yang tidak putus-putus. Suraya kelihatan tenang duduk di sebelahnya.

Sudah hampir dua jam dia menunggu di hospital. Mujurlah Suraya tidak banyak kerenah, seolah-olah dia dapat memahami apa yang dilalui oleh ibunya.

Selepas menerima berita pagi tadi, Anisah menelefon Farizah tetapi tidak berjawab. Akhirnya dia buat keputusan untuk menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit Farizah.

Kemudian Anisah menelefon Pak Majid.

"Pak Majid saya betul-betul mengharapkan pertolongan Pak Majid. Saya terpaksa ke hospital sebab Ustaz Hairi masuk ICU."

"Dia sakit apa puan?"

"Saya pun tak tahu. Akhir-akhir ni dia selalu mengadu sakit dada. Tadi di sekolah dia pengsan."

"Mungkin dia kena serangan jantung agaknya. Ada apa-apa yang saya boleh tolong?"

"Saya terpaksa menyusahkan Pak Majid. Saya nak minta tolong ambil Marissa dan adik-adik dia di sekolah. Saya takut tak ada orang di rumah. Farizah belum balik lagi. Entah ke mana dia pergi saya pun tak tahu."

"Okey, nanti saya akan ke sekolah ambil mereka semua. Saya akan bawa mereka semua ke hospital nanti."

"Terima kasih Pak Majid."

"Sama-sama. Puan jangan terlalu risau. Insya-Allah ustaz tak ada apa-apa tu." Pesan Pak Majid sebelum tamat perbualan mereka berdua.

"Puan Anisah."

"Puan"

"Puan Anisah."

Akhirnya Anisah disedarkan dari lamunannya. Berkali-kali namanya dipanggil tetapi dia seperti hanyut dalam alamnya sendiri.

"Ya, saya." Anisah duduk tegak selepas lama bersandar tadi.

"Encik Hairi dah sedar. Puan dah boleh jumpa dia sekarang." Suara jururawat yang datang bertemu dengannya.

Anisah memimpin tangan Suraya sambil mereka mengekori jururawat itu.

Anisah lihat Ustaz Hairi terlantar tidak bermaya dengan wajah yang pucat. Matanya dibuka dengan kuyu, seperti seseorang yang baru bangkit dari tidur.

"Abang..." suara lirih Anisah sambil menggenggam tangan Ustaz Hairi yang lemah dan dingin.

"Ani...sah..." suara lelaki itu yang hampir-hampir tidak dapat didengar oleh Anisah.

"Abang berehatlah. Anisah akan ada di sini menemankan abang."

"Fa...rizah?..."

Anisah terdiam. Dia tidak mampu menjawab. Hanya setelah beberapa saat berlalu baru dia menjawab.

"Anisah dah cuba hubungi dia, tapi dia tak jawab. Anisah dah SMS. Nanti dia datanglah ke sini. Abang janganlah risau." Pujuk Anisah dengan nada yang lembut. Dia cuba mengukir senyum pada wajahnya, walaupun dadanya bergelora dengan badai kebimbangan.

Hakikatnya, dia takut kehilangan Hairi. Dia tak sanggup kehilangan seorang lagi lelaki yang singgah bertamu dalam hatinya. Kepedihan setelah pemergian Jalaludin masih lagi terasa. Luka itu masih belum kunjung sembuh. Hanya setelah kehadiran Hairi luka itu reda seketika dan belumpun sempat meninggalkan parut. Kini luka itu kembali, setelah melihat apa yang menimpa Hairi.

"Abang berehatlah..." Suara lirih Anisah dengan senyuman hambar yang diukir. Air mata yang tiris lekas-lekas diseka sebelum dilihat oleh lelaki itu.

***

Anisah melemparkan pandangan ke luar jendela. Sambil membelai rambut Suraya yang sedang lena diribanya, dia melayan perasaan.

'Kenapalah sampai begini sekali dugaan Tuhan kepada aku? Belum sempat aku puas mengecap nikmat kebahagiaan hidup bersama Hairi, sekarang musibah datang lagi. Kenapa aku tak dapat rasa kesenangan hidup seperti orang lain? Tanpa ada dugaan yang datang silih berganti?' Anisah seolah-olah mempertikaikan hidup yang sedang dialami.

'Aku faham dugaan ini akan menjanjikan kehidupan yang indah di sana sekiranya aku hadapi dengan sabar. Tapi... aku ingin juga rasa nikmat kebahagian di sini. Di dunia ini. Seperti orang lain.'

Sedang Anisah memerhatikan pemandangan di luar tingkap, dia terlihat Proton Wira putih berhenti di luar pagar. Farizah keluar membuka pagar sebelum memarkir kereta di pekarangan rumah.

"Farizah ke mana? Semalaman tak balik ke rumah?" Tanya Anisah. Jujur.

"Tidur rumah kawan." Jawab Farizah. Selamba.

"Dah tiga hari Hairi terlantar di hospital. Farizah tak pergi tengok dia? Dia asyik tanya pasal Farizah. Kesian akak tengok dia." Tanya Anisah.

"Nantilah kak. Kalau ada masa lapang nanti saya pergilah jenguk dia." Jawab Farizah sebelum masuk ke bilik.

'Tergamak Farizah buat suami dia sendiri macam tu. Apalah yang dah jadi pada Farizah? Risau pulak aku dibuatnya.'

***

Petang itu Anisah membawa anak-anaknya ke hospital untuk menziarahi Ustaz Hairi. Lelaki itu nampaknya sudah boleh duduk bersandar walaupun tubuhnya masih kelihatan lemah. Wajahnya juga masih pucat tak bermaya.

"Abang nak makan buah? Anisah ada bawakan." Tanya Anisah sambil mengeluarkan buah-buahan dari dalam beg plastik yang dibawa. Ustaz Hairi mengangguk bersama senyuman.

Anisah memotong buah epal dan buah pir sebelum dimasukkan ke dalam bekas. Kemudian dia menyuapkan Ustaz Hairi. Lelaki itu mengunyah dengan begitu berselera sekali.

"Tak sabar rasanya Anisah menunggu abang pulang ke rumah. Anak-anak semua pun dah rindu dengan abang." Kata Anisah.

"Farizah mana?" Tanya Ustaz Hairi. Dia masih lemah untuk banyak berbicara.

"Anisah pun tak tahu bang. Sejak akhir-akhir ni dia selalu balik lewat malam. Kadang-kadang tak balik langsung." Anisah buat keputusan untuk berkata dengan telus,. Dia sudah tidak mampu merahsiakan tentang Farizah lagi.

Ustaz Hairi berdiam diri. Namun Anisah tahu apa yang bersarang di dalam benaknya.

"Abang banyak-banyaklah berehat. Kami semua tak sabar tunggu abang sembuh. Supaya kita dapat bersama macam dulu lagi." Kata Anisah.

"Puan Anisah?" Suara lelaki di belakang Anisah. Dia kelihatan segak dengan kemeja biru berbelang-belang dengan tali leher berwarna perak. "Boleh saya jumpa puan sekejap?"

Anisah dan lelaki itu menuju ke sebuah bilik. Di meja itu tertera nama Aidil.

"Saya doktor Aidil. Saya nak berbincang dengan puan tentang keadaan suami puan."

"Kenapa dengan suami saya? Teruk sangat kah keadaan dia?" Anisah tidak sabar.

"Kami dah jalankan bermacam-macam ujian. Tapi kes suami puan ni pelik sedikit."

"Apa yang peliknya?"

"Dia mengalami tanda-tanda seseorang yang mengidap penyakit jantung. Tetapi keadaan fizikalnya sihat."

"Macam mana boleh jadi macam tu?"

"Kami pun masih tercari-cari jawapan kepada soalan yang sama. Apa-apapun kami akan maklumkan kepada pihak puan."

Kata-kata Doktor Aidil membuatkan Anisah resah. Bagaimana suaminya boleh terkena serangan jantung dalam keadaan tubuh badannya yang sihat.

"Tapi dia akan sembuh kan doktor?" Anisah curiga.

"Setelah kami temui jawapan nanti, kami akan atasi masalah ini. Insya-Allah, dia akan sihat setelah jalani rawatan nanti." Jawapan doktor muda itu masih belum cukup untuk meredakan gelombang keresahan di dada Anisah. "Apa yang kita boleh buat pada masa ini adalah berdoa dan bertawakal."

Anisah tergamam seketika di kerusi, tenggelam dengan pelbagai andaian tentang musibah yang melanda Ustaz Hairi dan dirinya sekeluarga.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.