Bab 1 : Kehilangan
Kawasan berumput di pekarangan
rumah di Dastar Perdana itu sudah dipenuhi kenderaan pelbagai jenis. Ramai juga
yang kelihatan berdiri menunggu di luar, sebagaimana ramai yang ada di dalam
rumah.
Kelihatan seperti ada keramaian
di rumah mewah berwarna putih dengan atap genting kelabu itu. Satu bahagian dinding rumah itu dikhaskan dengan hiasan batu berwarna coklat, sama seperti warna pintu dan
rangka tingkap. Pagar hitam dengan motif berkerawang paku-pakis itu sudah
terbuka luas seolah-olah meraikan tetamu untuk masuk dan keluar dengan mudah.
Namun suasana tidak meriah
bersama gelak tawa atau hidangan jamuan dan muzik yang menjadi halwa telinga.
Wajah-wajah mereka yang ada di luar mengukirkan kesuraman dan suasana yang
hening dan syahdu.
Ada
juga yang sedang asyik dengan perbualan, seolah-olah ada perbincangan hangat tentang gosip yang baru
mereka dengar.
“Muda lagi Si Jalaludin dah jadi
arwah.”
“Kemalangan. Kereta syarikat.”
“Ya? Pelik!”
“Bagaimana dia boleh mati
mengejut?”
“Brek tak berfungsi. Ada
yang kata kena sabotaj. Dah masuk kes polis.”
“Ada
sesiapa yang disyaki terlibat?”
“Tak tahulah. Mungkin dah
dirancang agaknya.”
“Tapi siapalah yang sanggup buat
macam tu ya?”
“Aku pun tak tahu.”
“Kasihan betul isteri dia. Anak
dahlah lima orang, ada seorang down
syndrome.”
“Tapi tak apalah. Dia tinggalkan
harta banyak macam ni. Kalau sehelai sepinggang lainlah. Rumah dah macam
istana. Bukan tempat sembarangan, di Dastar Perdana pulak tu!”
“Kalau aku jadi isteri dia, senang
hati aku. Boleh kahwin lain.”
“Apalah kau ni! Jenazah belum dikebumikan
lagi, kau dah cakap bukan-bukan.”
Antara perbualan di luar yang
rancak kedengaran, sedangkan di dalam suasana bening bersama alunan bacaan
surah Yasin.
Ruang dalam rumah begitu
eksklusif dengan kertas dinding bertekstur dengan warna putih bercorak timbul.
Lekuk-lekuknya jelas apabila terkena pancaran lampu kecil halogen putih di
siling. Warna putih kertas dinding sama seperti bahan lantai kayu putih yang
meliputi kawasan itu, tanpa memerlukan permaidani bagi mengelakkan rasa sejuk
apabila duduk di lantai simen.
Rona putih dan coklat mendominasi
ruang itu bersama perabut kayu kontemporari dan bingkai hiasan dinding yang
menyerikan ruang itu. Sofa dengan fabrik baldu coklat muda dan putih memberikan
sentuhan mewah kepada hiasan dalaman di ruang tamu.
Ruang tamu yang luas telah
dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian hadapan telah dilapangkan setelah
meja kopi dialihkan bagi menjadi tempat kaum Adam duduk berhampiran tubuh yang
sudah berselubung putih. Sebuah rak terbuka yang besar mengasingkan ruang
hadapan dan belakang tanpa menutup pandangan dan cahaya dari bahagian hadapan
atau belakang.
Perhatian para tamu tidak lagi tertumpu
kepada kehebatan hiasan dalaman rumah itu. Mereka sibuk membaca atau mendengar
alunan bacaan Yasin buat bekalan roh arwah yang masih belum disempurnakan, sebelum
jasad itu didakap debu tanah asal kejadiannya.
Benjamin dan Firdaus duduk di
sisi tubuh ayah mereka yang sudah tidak bernafas dan berdenyut nadi lagi.
Kesugulan jelas tampak pada wajah budak berumur sepuluh dan lapan tahun itu. Marissa berusia tiga tahun lebih tua daripada Benjamin manakala Umairah lebih tua setahun daripada Firdaus. Usia Suraya pula sudah pun menjejaki tujuh tahun.
Anisah duduk bersama kaum hawa
yang lain di belakang bersama Marissa, Umairah dan Suraya. Ada
yang khusyuk membaca Yasin dan ada yang hanya berdiam. Bunga-bunga putih yang
menjadi hiasan di meja bulat di sudut ruang itu seperti menambah keheningan
suasana suram yang menguasai ruang dalam rumah itu.
Kebanyakan yang hadir adalah
handai taulan Jalaludin. Ibu dan ayah Jalaludin turut hadir bersama adiknya yang
ditemani suami. Keluarga Anisah yag hadir hanyalah ibu dan dua orang kakak
tirinya.
Anisah hanya memerhatikan Datin Rafeah
yang duduk di sudut lain. Boleh dikira berapa kali wanita itu menjejakkan ke
rumah ini selama hayat anaknya, Jalaludin. Setiap kali wanita itu hadir ke
rumah ini, rumah ini akan terasa seperti neraka pada Anisah.
‘Astaghfirullah...’ Lekas-lekas
Anisah menepis ingatan yang singgah di benaknya.
Datuk Kamarul dan adik Jalaludin,
Kamariah tidak seperti itu, walaupun mereka hanya berdiam diri dengan kata-kata
atau perbuatan Datin Rafeah.
Berlainan dengan ibu tiri dan
kakak-kakak tiri Anisah. Mereka semakin mesra dengan Anisah semenjak
perkahwinannya dengan Jalaludin.
Kata-kata arwah ayahnya adakala
menghantui benak Anisah.
“Lebih baik kita biasakan diri
kita dengan kesusahan semasa kita berada dalam kesenangan. Kerana kita belum
tahu bila kesenangan itu akan berakhir, dan jangan pada masa ia berakhir baru kita
terkapai-kapai mencari dahan. Bimbang kita akan tenggelam ke dasar air sebelum
sempat mencari tempat berpaut.”
Kata-kata itu terlalu berharga
bagi Anisah. Tetapi kebahagiaan dan kesenangan semasa berada di samping
Jalaludin membuatkan dia terbuai lena hingga mengkhayalkan naluri.
Hanya kini Anisah tersedar daripada
lena itu. Naluri juga mengatakan bahawa ini hanyalah permulaan, walaupun dia cuba
menyakinkan diri bahawa semua pahit-getir ini akan berakhir tidak lama lagi.
***
Hujan renyai yang tipis turun di
kawasan perkuburan bagaikan renjisan air yang singgah di wajah dan tubuh para
hadirin yang menghadiri majlis pengkebumian itu. Pohon-pohon kemboja dan cempaka
mengisi ruang antara batu-batu nesan yang berceracak di merata tempat.
Sebatang pohon beringin kelihatan
tegap berdiri di sudut kawasan perkuburan itu. Jauh daripada penglihatan dan
pendengaran mereka yang ada di situ, beberapa ekor anak burung riuh berdecip di
celah-celah dahan dan ranting yang tersembunyi lantaran kelaparan. Telah lama
ibu burung tidak pulang untuk menyuapkan cacing atau ulat ke mulut mereka.
Sememangnya ibu burung tidak akan pulang lagi selepas menjadi habuan seekor
helang yang menyambarnya dalam perjalanan pulang ke sarang. Maut umpama satu
kepastian kepada anak-anak burung tanpa ada sesiapa yang akan memberi mereka
habuan buat penghapus kebuluran.
Anisah dan anak-anaknya kelihatan
tenang duduk bersila dan bertimpuh di sebelah longgokan tanah yang baru saja
dikambus, umpama batas untuk menanam sayuran.
Air mata menitis di tubir mereka
kecuali anak lelaki sulungnya yang bernama Benjamin dan anak bongsunya Suraya.
Benjamin yang lincah dan nakal kini hanya duduk berdiam diri, bisu tanpa
kata-kata atau aksi menyakat adik-beradik yang lain. Suraya masih
terpinga-pinga melihat orang ramai yang hadir di kawasan yang terlalu asing
baginya itu.
Pohon-pohon kemboja yang ditanam
di pinggiran tanah perkuburan itu mengharum dengan aroma yang dibawa angin,
bersama dedaun kering yang berterbangan. Dedaun yang satu masa dahulu hijau dan
segar, kini rapuh menyentuh bumi. Dedaun kering itu gemerisik dan hancur apabila
dipijak oleh mereka yang tiba, hanya menunggu masa untuk peroi menjadi tanah
yang basah ketika hujan dan ditiup angin sebagai debu ketika hari telah kering.
Wakil yang dijemput kini akan
membaca talkin sambil didengar oleh mereka yang hadir. Satu upacara ironik dan
penuh makna kerana hakikatnya bacaan untuk si mati itu ditujukan kepada merka
yang masih bernafas bagi menyedari hakikat hidup masing-masing.
Setelah dimulakan dengan ucapan
memuji Tuhan, wakil itu memulakan bacaan.
"Maha Suci Tuhan yang bersifat
dengan baqa dan qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa. Maha
Suci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan
siapa yang kecewa.
"Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran
untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada
orang yang masih hidup. Ingatlah! Bahawa sekalian makhluk Allah akan jahanam
dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Dialah Tuhan yang Maha Besar kuasa
menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah
Taala."
Para
hadirin bertafakur mendengar setiap bait-bait yang menusuk kalbu itu.
"Wahai Jalaludin bin Rafeah, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah
yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju
masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah
dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu
Pesuruh Allah.
“Ingatlah wahai Jalaludin bin
Rafeah, apabila datang kepada kamu dua orang malaikat yang serupa dengan kamu
iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu
berdukacita dan risau serta janganlah kamu bersusah hati dan terkejut.
Ketahuilah wahai Jalaludin bin Rafeah, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu
makhluk Allah Taala, sebagaimana kamu juga makhluk Allah Taala. Apabila mereka
menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu."
Hanya rembesan airmata menuruni
tubir mata Anisah mendengar nama arwah suaminya disebut dalam bacaan talkin
itu.
"Siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah kiblat
kamu? Siapakah saudara kamu? Apakah pegangan iktikad kamu? Dan apakah
kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?" Bertubi-tubi soalan yang
dibacakan oleh pembaca talkin.
"Di masa itu hendaklah kamu
menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang serta
dengan lidah yang fasih, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah
cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati. Hendaklah
kamu jawab begini. Allah Taala Tuhanku, Muhammad nabiku, Islam agamaku, Kitab
suci al-Quran ikutanku, Baitullah itu kiblatku, malahan solah lima waktu, puasa
di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas
aku. Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan
dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap La'ilaha'illallah Muhammadurrasulullah".
Suasana hening dan syahdu
meliputi kawasan itu semasa talkin dibacakan.
"Wahai Jalaludin bin Rafeah, tetapkanlah hatimu. Inilah suatu dugaan yang
paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam
Barzakh. Sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk
berkumpul di Padang Mahsyar.
"Insaflah wahai Jalaludin bin Rafeah, bahawa mati ini adalah benar. Soalan
malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur ini adalah benar. Kebangkitan dari
kubur dan adalah benar. Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar.
Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar. Minum dari telaga Kausar
adalah benar. Syurga dan neraka adalah benar. Bahawa hari Kiamat tetap akan
ada. Begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang yang
berada di dalam kubur.
"Akhir sekali kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kepada kamu
yang berada di sisi Allah Taala. Semoga
Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu.
Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar,
dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di
dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan
kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu."
Panjang lebar bacaan talkin
sebelum diakhiri dengan doa buat arwah yang telah pergi.
Usai majlis pengkebumian dan ketika
hadirin mula bersurai, Anisah dan anak-anaknya duduk menghadap ke kubur. Anisah
mahu bersama jasad suaminya buat kali terakhir, walaupun dia hanya melihat
tanah yang masih basah dengan siraman air mawar bersama taburan bunga.
“Sabarlah Anisah. Ini semua
dugaan buat kau nak.” Ucap Salbiah, ibu tiri Anisah semasa mereka yang ada
sudah beransur meninggalkan tanah perkuburan.
“Kalau ada apa-apa, telefon kami.
Kami akan datang bantu kau.” Tambah Orkid, kakak tirinya yang sulung sambil
mengusap lembut bahu Anisah.
“Jangan terlalu melayan perasaan
Anisah. Anak-anak perlukan bimbingan dan perangsang kau. Tabahkan hati Anisah.
” Kakak tirinya yang bernama Dahlia pula bersuara, sebelum mereka bertiga
meninggalkan tempat itu.
Sedikitpun tidak Anisah sangka bahawa
makan malam semalam adalah kali terakhir dia bersama lelaki yang telah menemani
hidupnya dan anak-anak selama lima
belas tahun. Kata-kata lelaki itu semalam rupa-rupanya adalah gambaran bahawa
dia akan pergi buat selama-lamanya. Dia telah terlibat di dalam kemalangan
dalam perjalanan pulang ke rumah dari pejabat selepas malam tadi.
Kini Anisah terpaksa menggalas
sendirian tanggungjawab membesarkan lima
orang anak mereka. Anisah dapat rasakan perjalanan yang getir menunggunya tanpa
seorang lelaki bergelar suami di sisi.
Anisah memandang kosong pusara
Jalaludin, sebagaimana kosongnya hatinya yang dilanda gusar dan gundah. Dia dapat
rasa kehilangan yang terlalu dalam. Sedalam hatinya yang gersang dan kontang
setelah dahan yang dia tumpang berpaut selama ini telah patah secara tiba-tiba,
tanpa sempat dia membuat persediaan. Kini dia jatuh terjelepuk di tanah, terpinga-pinga
dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini.
Fikirannya melayan sambil menatap
tanah yang masih merah dan basah.
‘Pada mulanya Anisah ingin berkata
sampai hati abang kerana tinggalkan Anisah dan anak-anak, tapi Anisah sedar ini
semua bukan kehendak abang. Kalaulah semalam Anisah tahu kata-kata abang adalah
amaran buat Anisah, tentu Anisah tak akan bertindak macam tu.’ Anisah beremosi
dalam diam.
‘Anisah rasa terkilan tak dapat
ucapkan selamat tinggal kepada abang semalam. Kalaulah Anisah tahu bang....
Kalaulah Anisah tahu pertemuan kita semalam adalah pertemuan kita yang
terakhir....’ Rasa sebak menghimpit dada Anisah. Matanya hangat bersama air
yang sudahpun melimpah.
‘Pada siapa lagi Anisah nak
mengadu sekarang bang? Selama ni pada bahu abanglah tempat Anisah bersandar.
Pada abanglah Anisah luahkan segala masalah yang berbuku dalam hati dan benak
Anisah.’ Air mata Anisah yang mengalir hangat diperhatikan oleh Suraya.
‘Abang pergi pada saat kami
perlukan bimbingan abang. Anisah selalu berangan-angan abang akan bersama
Anisah melihat Marissa diijabkabul dan bersanding di atas pelamin. Kemudian kita
ke London bersama untuk hadiri
majlis konvokesyen Benjamin. Anisah juga bayangkan Anisah sentiasa berada di
samping abang semasa anak-anak kita membawa pulang berita gembira tentang
pelajaran mereka yang cemerlang.’ Anisah menyeka airmata yang sudah berhamburan
keluar.
‘Tapi sekarang semuanya tinggal
angan-angan Anisah. Anisah tak dapat bayangkan bagaimana Anisah akan hadapinya
bila saat itu tiba nanti. Bila Marissa diijabkabulkan dan bersanding. Abang tiada
di sisi Anisah.’ Dadanya terasa dihimpit sayu yang amat menyakitkan.
‘Bagaimana Anisah nak hadapi
semua ni bang? Bagaimana Anisah akan kawal perasaan nanti? Bila Anisah toleh ke
sebelah, abang sudah tiada di sisi Anisah.’ Anisah terasa seperti mahu meraung
sekuat-kuat hatinya, akibat perasaan yang benar-benar mencengkam jiwanya.
Tetapi dia harus kuat. Dia perlu
tabah demi anak-anak. Anak-anak yang sudah kehilangan seorang ayah yang
sepatutnya ada bersama mereka untuk menghadapi saat-saat indah, pahit dan
mencabar dalam hidup. Seorang ayah yang akan memberi semangat ketika mereka
lemah. Seorang ayah yang akan berkongsi kegembiraan bersama mereka. Dan seorang
ayah yang akan menghulurkan tangan ketika mereka terjatuh.
‘Dan aku juga perlukan bahu
seorang suami untuk aku sandarkan segala kegusaran hati ini. Untuk aku rangkul
ketika hati ini berbunga dengan kegembiraan. Tapi sekarang....’
Perasaan ini sudah tidak mampu
dibendung lagi.
“Jom kita balik.” Suara Anisah
yang cuba
mengatasi kepedihan yang meramas hatinya sebelum dia membuat sesuatu di luar
kawarasannya.
‘Selamat tinggal bang. Semoga
abang sentiasa berada di dalam perlindungan Tuhan.’ Bisik hati Anisah sambil
menyentuh batu nisan yang masih putih bersih.
Pak Majid sudah menunggu di
sebelah Mercedes-Benz hitam kelas R yang menjadi pengangkutan mereka sekeluarga
ke mana-mana. Semasa Jalaludin ada, dia akan duduk di hadapan. Anisah dan
anak-anak perempuan yang lain akan duduk di tengah. Benjamin dan Firdaus akan
duduk di bahagian belakang. Peluang itu akan digunakan oleh Benjamin untuk
mengusik kakak dan adiknya.
Kenangan yang singgah itu hanya
menambahkan pedih di hatinya yang telahpun parah.
Tidak jauh dari kereta itu ada
sebuah lagi kereta Mercedes-Benz hitam yang Anisah kenal. Melihat Anisah dan
anak-anaknya menuju keluar dari kawasan tanah perkuburan, mereka yang berada di
dalamnya keluar.
“Anisah!” Suara Datin Rafeah
sambil menuju ke arah Anisah dan anak-anaknya.
“Aku memang dah agak Jalaludin
buat kesilapan kerana bernikah dengan perempuan pembawa malang
macam kau!” Suara Datin Rafeah tanpa menghiraukan cucu-cucunya yang ada di
situ. Datuk Kamarul tidak berbuat apa-apa untuk menahan isterinya yang tega
mengeluarkan kata-kata yang lancang. Kamariah hanya melihat Anisah dengan
perasaan simpati. Suaminya memalingkan wajah kerana tidak sanggup melihat
Anisah dihamburkan kata-kata sebegitu pada hari dia kehilangan orang tersayang.
“Semenjak kau kahwin dengan anak
aku, aku dah agak nasib dia akan jadi macam ini. Entah-entah kau yang rancang
semua ini untuk bolot harta dia. Bukan begitu?” Mata Datin Rafeah seperti mahu
menelan Anisah.
“Astaghfirullahalazim. Tergamak
mak cakap macam tu pada saya. Ini semua dah takdir Mak. Allah lebih sayangkan
dia, sebab itu dia dipanggil kembali lebih awal.” Anisah menjawab dengan suara
sebak.
“Bercakap memanglah senang. Kau
ingat kau boleh sembunyikan rancangan jahat kau tu daripada aku. Dasar perempuan
tak tahu malu!” Hati Anisah bagai dicucuk-cucuk dengan kata-kata ibu mertuanya
yang tidak beralas.
“Kau dengar sini baik-baik. Kalau
kau tersilap langkah, aku akan pastikan kau menyesal seumur hidup. Kau boleh
buat macam tu pada anak aku, tapi bukan pada anak-anak Jalaludin, keturunan aku.
Jangan harap kau akan dapat hak penjagaan kalau kau buat hidup mereka
menderita. Pada masa tu aku akan pastikan kau tak akan dapat menjenguk mereka
lagi walaupun sesaat. Masa tu baru puas hati aku dengan perbuatan perempuan
hina macam kau!” Kata Datin Rafeah seperti meninggalkan mereka.
Datuk Kamarul tidak berkata
apa-apa. Dalam keadaan serba salah dia juga meninggalkan tempat itu. Anisah
masih belum mengerti kenapa Datuk Kamarul bersifat sedemikian. Adakah kerana terlalu
sayangkan isterinya hingga tidak sanggup menegur perbuatannya yang salah? Atau
dia juga merupakan salah seorang mangsa lelaki yang dikawal oleh isteri?
Mungkin Anisah tidak akan tahu jawapannya sampai bila-bila.
“Sabarlah Kak Anisah. Yah minta
maaf bagi pihak mak.” Suara Kamariah dengan nada sayu dan. Wajahnya menampakkan
rasa belas terhadap apa yang sedang Anisah lalui. Anisah tidak berkata apa-apa.
Dia hanya mampu memberikan satu senyuman yang tawar.
Anisah melangkah lemah menuju
kereta bersama anak-anaknya. Sudahlah dia kesedihan setelah kehilangan
Jalaludin, kini dia terpaksa menahan kepedihan akibat kata-kata ibu mertuanya
sendiri.
‘Ya Allah. Aku benar-benar
memohon kekuatan untuk hadapi semua ini.’ Rintih Anisah ketika mereka
meninggalkan kawasan tanah perkuburan bersama Mercedes-Benz kelas R hitam yang
dipandu oleh Pak Majid.
***
“Ben!” Anisah memanggil anaknya
yang sedang duduk di tangga sambil merenung keluar. Belum pernah Anisah lihat
anak lelakinya bertabiat seperti itu. Biasanya akan kedengaran riuh suaranya menyakat
seorang demi seorang kakak dan adik-adiknya, membuatkan suara Anisah lantang
bergema memarahinya. Seolah-olah yang duduk di situ adalah budak yang
menyerupai Benjamin, tetapi bukan dia.
“Mari makan Ben. Nanti lauk
sejuk. Mak masak asam pedas kegemaran Ben.” Pujuk Anisah sambil menuju ke
tempat Benjamin duduk. Benjamin tidak menjawab, sebaliknya dia terus
melemparkan pandangan kosong ke luar. Melihat keadaan anaknya itu, Anisah
melabuhkan punggung di tangga bersebelahan budak itu.
“Kenapa papa tinggalkan kita
mama? Kenapa tak tunggu sampai kami semua dah besar dan pandai berdikari?”
Suara Benjamin, masih memandang keluar.
“Perkara macam tu bukan
bergantung pada kehendak kita Ben. Bukan sesuatu yang boleh kita buat pilihan
atau keputusan mengikut kemahuan kita. Bukan keputusan mama, bukan keputusan
papa, bukan keputusan Ben, dan bukan keputusan sesiapa saja. Itu keputusan yang
dibuat oleh Tuhan.” Anisah cuba
memberi jawapan sehikmah mungkin.
“Tapi kenapa Tuhan ambil nyawa
papa cepat sangat. Rasa belum puas kami semua berada bersama papa. Sekarang dia
dah tak ada lagi mama.” Benjamin beremosi. Anisah mengusap belakang badan
anaknya.
“Itulah namanya hidup. Setiap
orang ada perjalanan hidupnya sendiri. Tak ada dua orang yang sama perjalanan
hidup masing-masing, walaupun mereka dilahirkan kembar dengan rupa yang sama.”
Giliran Anisah pula melemparkan pandangan ke luar, memerhatikan sayup laman
hijau di sekeliling rumah mereka. Sesekali ada burung ciak melompat-lompat di
hamparan hijau sambil melihat sekeliling dan mencari habuan yang tersembunyi di
celah daunan rumput.
“Bukan kita yang tentukan
perjalanan hidup kita. Dalam setiap kelebihan yang kita ada, ada sesuatu yang
perlu kita tunaikan. Dalan kekurangan yang kita ada, ada cabaran yang akan
menjadikan kita lebih tabah.” Sambung Anisah memberi semangat kepada Ben,
walhal semangatnya juga sudah nipis menghadapi dugaan mengejut yang singgah
tanpa sempat dia membuat persiapan itu.
“Kenapa perlu kita hadapi semua
ini? Kenapa kita tak boleh hidup dalam keadaan aman dan senang sentiasa. Kenapa
perlu kita lalui kesusahan seperti ini?” Anisah termenung mendengar soalan Ben.
Walaupun dia menjawab soalan anaknya, tetapi kata-kata yang diucapkan juga
adalah nasihat yang amat diperlukanoleh dirinya sendiri dalam keadaan seperti
itu.
“Kerana di sini bukan tempat
kita. Di sini kita adalah hamba yang diuji oleh Tuhan, untuk tahu sejauh mana
kemampuan kita. Sejauh mana kita layak menjadi hamba di sisi-Nya. Untuk kita
menjadi jiran-jiran para kekasih-Nya di sana
nanti, di alam Akhirat.”
“Bagaimana kalau Ben tak mampu
hadapi semua ini mama? Macam mana kalau Ben marah dengan Tuhan? Sampai Ben
langgar semua perintah Dia nanti?” Soalan Ben telus.
Anisah tidak mampu menjawab.
Sememangnya jawapan yang perlu diberikan itu senang, tetapi dia memikirkan
sesuatu. Dia memikirkan bagaimana jika dia diletakkan dalam situasi seperti yang
dikatakan oleh Benjamin. Adakah dia mampu bersabar dengan segala ujian yang
diberi Tuhan, walau berat mana sekalipun? Adakah dia akan marah dan memberontak
dengan kesukaran yang dihadapi hingga melakukan sesuatu diluar batas keteguhan
imannya?
Agak lama baru Anisah menjawab. “Tuhan
tahu kemampuan kita. Dia tidak akan bebankan kita dengan sesuatu yang lebih
daripada kemampuan. Dia tahu kita akan berjaya sekiranya kita lalui semua
dengan sabar dan tabah.” Kata-kata Anisah dalam suasana yang syahdu itu,
walaupun hatinya bergelodak dengan kerisauan yang tidak terucap.
‘Adakah aku akan berjaya menghadapi
semua dugaan yang di beri Tuhan? Adakah aku akan menjadi semakin dekat atau
semakin jauh dari-Nya nanti?’ Anisah mempertikaikan kemampuan dirinya.
Akhirnya anak-beranak berdua itu
melayan perasaan sambil memerhatikan ciak yang bebas melompat di atas rumput
tanpa gangguan, membiarkan ahli keluarga yang lain makan tanpa kehadiran
mereka.
***
Anisah duduk di sudut rumah
memerhatikan gelagat anak-anaknya. Marissa tidak menunjukkan sebarang perubahan
pada dirinya. Dia tidak menunjukkan kesedihan pada raut wajahnya walaupun
sesekali air mata yang mengalir segera diseka. Seperti biasa dia melayan sambil
memerhatikan tingkah-laku adik-adiknya. Jika ada yang tidak kena pada pandangan
matanya, akan ditegur.
‘Marissa memang seorang anak yang
tabah. Melihat kekuatannya membuatkan aku rasa bertambah kuat untuk menghadapi
dugaan ini.’ Bisik Anisah sambil memerhatikan Umairah yang giat menenangkan
Firdaus yang menangis teresak-esak.
Anisah tahu Umairah memang
seorang yang pandai mengambil hati. Tetapi dalam pada itu dia juga seorang yang
mudah merajuk. Firdaus pula tidak banyak bercakap, tetapi dia sering
mengejutkan mereka dengan kata-kata yang bijaksana atau perbuatan yang
mengujakan.
Suraya seperti berada di dalam
dunianya sendiri.
‘Kaulah permata mama Yaya. Saat
kau lahir mama sedar ada kejaiban di alam hidup mama, biarpun apa tanggapan dan
kata-kata orang lain terhadap kamu.’ Ujar Anisah sambil tersenyum sendirian.
‘Kamu semua adalah kekuatan hidup
Mama untuk mengharung dugaan hidup yang melanda kita ketika ini. Kerana kamu
semua, mama akan memaksa diri mama untuk tabah. Kita akan lalui semua ini
bersama-sama, biar apapun yang terjadi.’ Kata-kata semangat yang Anisah
tancapkan ke dalam hatinya.
***
Jam sudah melepasi waktu tengah
malam, tetapi Anisah masih duduk di meja makan melayan perasaan. Anak-anaknya
semua sudah masuk tidur. Dia keseorangan merenung jambangan bunga gladioli yang
terletak di atas meja. Batangnya yang tebal dan panjang direndam di dalam pasu
tinggi kristal jernih, menampakkan batang-batang hijau yang teguh berdiri. Kembang
kuning itu memiliki enam kelopak, tiga di dalam dan tiga di luar.
Itulah hadiah terakhir Jalaludin,
menandakan berakhirnya detik-detik mereka bersama mengharung badai dan
mengecapi nikmat perkahwinan selama lima
belas tahun. Bersama mahligai yang mereka pertahankan itu, telah lahir lima
orang cahaya mata penyejuk hati.
Bagi Jalaludin, jambangan bunga
gladioli ini adalah lambang kesetiaan dan keteguhan cinta mereka berdua. Tetapi
bagi Anisah, ia adalah amanat yang diserahkan oleh Jalaludin kepadanya bersama
maksud tersirat yang dalam. Bahawa Anisah perlu tabah menghadapi mengharungi
semua kepayahan ini, sebagaimana tegaknya batang-batang yang memegang kelopak
kembang di hujungnya. Tanpa batang-batang yang teguh itu seri kelopak kuning
itu tidak akan terserlah apabila ia rebah menyembah bumi.
Anisah terdengar rintihan halus
pada malam itu yang datang dari tepi tangga yang terlindung dan gelap. Tempat
yang sama semasa dia duduk bersama Benjamin siang tadi. Anisah menggagahkan
diri menuju ke situ sambil mengintai untuk melihat pemilik suara itu.
Rintihanya halus, sayu dan menggambarkan kesedihan yang cuba
ditahan-tahan.
Anisah lihat satu tubuh sedang
duduk sambil memeluk lutut dan teresak-esak, hanya diterangi simbahan suram
cahaya lampu dari luar. Sebagaimana dia dengan Benjamin, Anisah duduk di
sebelah tubuh itu. Dia lantas mendakapnya perlahan-lahan.
“Marissa belum tidur lagi?” Suara
lirih Anisah. Soalannya tidak berjawab oleh remaja yang masih teresak-esak itu.
Anisah tahu Marissa cuba
untuk mengawal kesedihan yang sudah melimpah keluar dari benteng yang cuba
dibendungnya.
“Perasaan sedih adalah sesuatu
yang lumrah Marissa. Ia bukan bermaksud kita lemah. Malah ia mungkin akan
memberikan kita kekuatan baru. Meluahkannya adalah perkara yang sihat.” Ujar
Anisah sambil mengusap lembut belakang Marissa.
Ketika itu Marissa mendakap
Anisah dan meraung semahu-mahu hatinya dengan nada yang sayu dan pilu.
“Kenapa papa pergi terlalu cepat
mama? Marissa rasa belum puas ada papa di sisi Marissa. Marissa rindu pada
papa, mama! Marissa rindu!” Suaranya sambil melepaskan tangisan yang lantang.
Benjamin, Umairah, Firdaus dan Suraya telahpun berdiri di tepi tangga apabila
mendengar suara tangisan yang kuat.
“Sabarlah Marissa. Sudah takdir
Tuhan memanggil papa kembali lebih awal daripada kita semua. Kita tak boleh
biarkan perasaan ini menguasai kita sayang. Kita kena terima hakikat ini dan
jalani hidup seperti biasa. Sehinggalah kita dapat terima ketentuan Tuhan
seadanya.” Anisah sendiri sudah mula digenangi air mata, hanya menunggu masa
untuk ia menitis.
“Kita tak hadapi kesukaran ini
bersendirian. Kita ada keluarga kita. Mama, kamu dan adik-adik yang lain. Kita
akan hadapi semua ini bersama-sama.” Suara sebak Anisah.
Adik-adik Marissa turun
mendapatkan mereka berdua. Dalam kesuraman cahaya di tingkap, mereka berpelukan
bersama dada yang sebak dan rembesan yang tidak kunjung surut.