Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 6 Fitnah

Anisah ke kedai runcit Taukeh Wong untuk menjelaskan hutang dan membeli barang runcit. Bahan-bahan untuk berniaga nasi lemak semakin susut. Jika tidak sempat ditambah stok, alamatnya dia tidak dapat berniaga pada hari itu.

Tetapi apa yang didengar di kedai runcit Taukeh Wong amat mengejutkan.

“Masuk kampung orang nak goda jantan kampung ni. Dasar janda tak sedar diri.” Kata-kata yang Anisah dengar dituturkan oleh salah seorang wanita berumur yang ada di kedai itu. Mereka yang berada di dalam kelompok itu menjeling ke arah Anisah.

“Entah-entah laki dia pun dia yang bunuh sebab nak kan harta. Akhirnya habuk pun tak ada. Padan muka satu sen pun tak dapat. Malang betul aku tengok anak-anak dia tu. Dapat mak perangai macam tu. Hih!” Kata-kata hinaan seorang lagi wanita yang ada di situ.

Rancangan Anisah untuk membeli bahan-bahan untuk dibuat nasi lemak terus terbantut. Usai menjelaskan hutang kepada Taukeh Wong, dia terus meluru keluar meninggalkan kedai. Rasa sayu dan marah bercampur-baur disebabkan kata-kata yang didengar tadi.

‘Tergamak mereka keluarkan kata-kata macam tu. Kenapa begini hina pandangan orang pada janda seperti aku?’ Rasa sebak menghurung Anisah. Air matanya sudah hampir melimpah dari tubir, tetapi dia cekal menahan perasaan ini agar tidak menguasai diri.

***

Warung Wak Leman petang itu rancak dengan perbualan dan derai tawa sekumpulan pemuda kampung di satu sudut warung.

“Macam mana? Hebat tak taktik aku?” Suara Karim sebelum menghirup kopi di gelas.

“Fuh! Memang hebat drama kau. Boleh kerja dengan Mamat Khalid!” Tambah seorang pemuda di situ. Pemuda itulah yang mempelawa Anisah untuk dihantar pulang.

“Lepas ni masuk fasa kedua pulak. Tak lama lagi tersangkutlah dia dengan aku.” Kata-kata penuh yakin Karim.

“Fasa kedua apa pulak?” Tanya pemuda yang sama.

“Kau ni lembab betul lah Bon,” jawab Karim. “Lepas ni aku ajaklah dia jalan-jalan. Dia dah mula percayakan aku.”

“Kalau bini kau tahu macam mana?” Tanya Bon lagi.

“Pandai-pandailah aku nak hidup. Bini aku tu kalau aku ayat sikit cairlah dia. Kita jadi lelaki kena pandai ambil hati orang perempuan. Barulah langkah panjang sikit.” Suara Karim penuh yakin.

“Untung kau ya Karim. Aku tengok janda tu body boleh tahan. Pandai masak pulak tu. Lepas ni kau jadi taukeh bisnes nasi lemak mak janda nampaknya. Fuh! Kalau akulah... bahagia hidup!” Kata Bon disambut derai tawa mereka yang duduk di meja itu.

“Hehe... siapa tak kenal Karim. Aku pasal mengayat perempuan memang tak ada boleh challenge. Baru jumpa kali pertama dah berani naik motor aku. Itu belum kena ayat power aku lagi. Lepas ni kau tengok aje macam mana janda Anisah tu cair dengan aku. Ini Karimlah!” jawab Karim dengan sombong.

“Err... Karim...” Suara Bon bersama air mukanya yang sudah berubah.

“Apa kena kau ni? Nampak hantu ke apa?” Karim menempelak Bon.

Bon tidak menjawab sebaliknya membuat isyarat mata supaya Karim melihat ke belakang.

‘Alamak. Ini mesti bini aku. Kantoi!’ Telahan Karim dalam hati sambil memalingkan kepala.

“Oh, ini kerja abangnya?! Nak menggatal dengan mak janda tu! Mari sini. Jom ikut saya. Saya nak jumpa betina tu. Cepat bang! Lepas ni kita dengar ayat power Leha Va Va Voom. Agaknya boleh ke tak lawan ayat power abang tu?” Suara Zaleha sambil menarik lengan baju suaminya.

Dengan tidak membantah Karim meninggalkan rakan-rakan di warung. Tanpa menoleh dia menunggang motosikal bersama Zaleha meninggalkan warung Wak Leman.

***

Anisah melemparkan pandangan keluar sambil ketiga-tiga jirannya sedang rancak berbual di ruang tamu sambil melayan keletah Suraya.

“Budak Down syndrome ni kalau kita faham dia senang jaga kan?” Suara Jameah.

“Dia pun macam budak-budak lain. Cuma cara layan dia lain sikit.” Jawab Zaiton.

“Eh, Kak Eton ni. Mengalahkan doktor pakar pulak.” Usik Rokiah.

“Aku bukan macam kau. Kalau tengok TV asyik melayan artis K-pop dengan drama Korea kau tu. Macam-macam ilmu ada kat TV tu kalau kau rajin dengar. Termasuklah ilmu tentang anak Down syndrome macam Suraya ni.” Bidas Zaiton.

“Kat tempat kita ada tak tempat untuk kanak-kanak macam Suraya ni?” Celah Jameah.

“Itu akak tak pasti. Tapi kalau kat KL memang ada. Anisah mungkin tahu tempatnya.” Suara Zaiton sambil melihat ke arah Anisah. Dia mengharap Anisah memberikan maklumat itu, tetapi Anisah leka termenung sambil melemparkan pandangan ke luar.

“Kenapa akak tengok kau banyak termenung Anisah. Ada masalah ke?” Tanya Zaiton.

Mendengar namanya disebut, Anisah tersedar dari lamunannya.

“Entahlah kak. Apalah malangnya nasib saya ni. Dahlah kematian suami, kena tuduh pulak bunuh laki sendiri. Lepas tu orang ingat saya nak kacau lelaki yang ada kat kampung ni.” Keluh Anisah. Perhatian jiran bertiga kini berpindah kepada Anisah.

“Siapa yang tergamak cakap macam tu?” Rokiah tidak puas hati.

“Adalah Kiah... tadi akak dengan masa ke kedai Taukeh Wong.” Jawapan lesu Anisah.

“Sampainya hati dia orang. Tak tahu hujung pangkal janganlah buat mulut!” Protes Jameah.

Anisah tidak menjawab. Sebaliknya dia melemparkan pandangan ke luar semula.

“Sabarlah Anisah. Benda dah nak berlaku. Kami pun silap tak beri amaran pasal Si Karim tu. Tahu-tahu dia dah buat rancangan dulu.”

“Memang saya dah banyak bersabar kak. Saya takut kalau dah sampai tahap tepu sabar saya ni. Tak tahulah macam mana nanti.” Ada nada marah dalam kata-kata Anisah terhadapa manusia yang tega melepaskan perkataan sesuka hati.

Mereka terdengar bunyi motosikal menuju ke pekarangan rumahnya. Sejurus itu kedengaran suara lantang.

“Anisah! Anisah! Kau keluar cepat!”

Anisah segera ke muka pintu.

“Eh, Leha. Ada apa terjerit-jerit ni?” Tegur Anisah.

“Dasar janda miang! Kau ingat aku tak tahu kau cuba goda laki aku?!” Tuduh Leha.

“Astaghfirullah... Mana ada. Tak percaya tanya Bang Karim.” Anisah cuba membela diri. Dilihatnya Karim masih duduk di motosikal tanpa berganjak sedikit pun. Lelaki itu melemparkan pandangan ke tempat lain, seolah-olah enggan terlibat dengan perbualan mereka.

“Oh... Bang Karim ya? Buat main manja lagi panggilannya...” Sindir Zaleha.

“Hei Leha! Kau tak malu ke, serang rumah orang ikut suka hati kau? Kau tahu tak? Kalau bukan kerana Si Karim yang ajak Anisah ni naik motor, dia tak ikut tahu tak?” Zaiton cuba membela Anisah. Mereka bertiga telah berada di muka pintu tidak jauh dari Anisah.

“Tak payahlah Kak Eton nak bela janda miang ni. Saya memang dah dapat agak dia akan buat kecoh kat kampung kita ni.” Tempelak Zaleha.

“Aduhai Kak Leha Va Va Voom oi. Sekarang ni siapa yang buat kecoh? Siapa yang serang ke rumah orang dengan tak siasat betul-betul?” Sindir Rokiah.

Zaleha menggetap bibir mendengar kata-kata Rokiah.

“Eh janda! Kau dengar sini baik-baik. Aku tak akan puas hati selagi aku belum tengok kau berambus dari kampung ni!” Kata-kata Zaleha sebelum beredar bersama Karim yang tidak berkata walau sepatah pun.

“Tengoklah tu. Dia yang buat masalah tapi dia buat selamba aje. Dasar muka jantan tak tahu malu!” Bentak Jameah.

Anisah tidak terkata apa-apa lagi. Dugaan demi dugaan mula mencabar kesabaran dirinya. Baru sahaja dia ingin menikmati hidup yang tenang selepas pemergian Jalaludin, kini semuanya lenyap dalam sekelip mata.

***

Anisah menghayun langkah menuju ke warung Wak Leman untuk menghantar nasi lemak seperti biasa. Dia berharap dalam keadaan pelbagai tohmahan yang dilemparkan ke atas dirinya, jualan nasi lemak akan berterusan. Sekurang-kurangnya dengan duit jualan ini dapat juga dia menampung perbelanjaan sekolah anak-anak seramai empat orang termasuk Marissa yang sudah bersekolah menengah.

Mahu atau tidak dia terpaksa menebalkan telinga mendengar cacian penduduk kampung itu terutamanya kaum wanita yang sudah bersuami. Masing-masing khuatir Anisah akan merampas suami mereka sedangkan tidak pernah terlintas di fikiran Anisah untuk berbuat demikian.

‘Lantaklah nak kata apa pun. Berani cakap berani tanggung...’ Bisik hati Anisah.

Wak Leman ada di kedai hari ini. Melihat Anisah bersama beg plastik penuh berisi nasi lemak, wajahnya berubah. Seperti ada berita buruk yang ingin disampaikan dengan hati yang berat.

“Anisah, Wak Leman minta maaf banyak-banyak. Wak dah tak boleh ambil nasi lemak dengan kamu lagi. Nasi semalam pun tak habis.” Terang Wak Leman.

“Kenapa sampai macam tu Wak Leman?” Anisah resah.

Wak Leman berdiam diri. Lama Anisah menunggu tetapi masih belum ada jawapan.

“Ceritalah pada saya Wak Leman. Apa yang tak kena ni?” Desak Anisah.

“Wak tak percaya semua cerita ni. Wak yakin kamu tak buat macam apa yang orang cakap tu.” Wak Leman masih teragak-agak untuk menerangkan hal sebenar.

Anisah semakin resah menunggu kisah yang sebenar.

“Ceritalah Wak Leman. Apa yang dah jadi?.” Anisah keresahan.

“Ada orang bawa mulut pasal kamu. Katanya kau ada letak ubat guna-guna dalam nasi lemak. Sebab tu nasi lemak kamu laris sampai licin.” Suara Wak Leman seperti berbisik.

‘Ya Allah! Sampai begini sekali fitnah ke atas diri aku.’ Keluhan hati Anisah.

“Kalau macam tu tak apalah Wak Leman. Nak buat macam mana, terpaksalah saya tanggung.” Suara Anisah dengan nada kesal.

“Wak Leman minta maaf sekali lagi ya, Anisah.” Suara Wak Leman sebelum Anisah meninggalkan kedai.

‘Padanlah oragn kat kedai ni pandang macam aku ni hina sangat! Rupa-rupanya dah ada yang jaja cerita pasal aku.’ Bisik hati Anisah sambil dia cuba menguatkan semangat yang sudah mula pudar setelah pelbagai peristiwa yang terjadi.

Rasa serba-salah mula menguasai diri. ‘Kalau jual nasi lemak dah tak laku, apa lagi ikhtiar aku lepas ni?’

“Kenapa kak?” Tanya Rokiah yang sedang menunggu di luar kedai dengan skuternya.

“Tak apalah. Nanti kat rumah akak ceritakan.” Suara Anisah cuba menyembunyikan rasa sedih dan hampa yang ada.

***

Anisah masih tegar duduk di khemah di depan rumahnya. Biar apapun kata-kata yang dilempar terhadapnya, dia masih berharap masih ada yang sudi membeli nasi lemak ikan bilis atau kerang yang sudah tersedia di situ.

Kesusahan yang dialami kini membuka matanya kepada pelbagai ragam manusia. Ada yang hanya bermanis muka ketika dia sedang senang dan mewah. Apabila dia berhadapan dengan kesukaran, orang seperti ini akan berpaling. Ada juga yang setia hinggalah ketika dia menghadapi kesukaran. Yang paling teruk adalah mereka yang sanggup melihat dia bertambah susah dalam keadaan yang telah pun menghimpit dengan menabur fitnah yang tidak berasas sama sekali.

‘Hanya kerana aku menumpang motor Si Karim, macam-macam cerita dah keluar pasal aku!’ Bentak Anisah dalam diam.

Ketika Anisah tenggelam dalam lamunannya, kelihatan seseorang sedang melangkah pantas menuju ke arah khemahnya. Insan itu memang pernah dia lihat, cuma kali ini dia berseorangan. Wanita bertubuh kecil molek dan hitam manis itu menghampiri Anisah dengan tergesa-gesa. Dia melihat sekeliling seperti seseorang yang baru lepas melakukan kesalahan.

“Kak, saya ada perkara nak beritahu ni.” Suaranya cemas dengan nafas tercungap-cungap selepas menghayun langkah dengan patas tadi.

“Ada apa Som? Kenapa kau ni resah semacam aje?” Anisah cuba mendapatkan penjelasan.

“Kak... Satu kampung dah heboh pasal Kak Anisah. Si Normah yang buat mulut... Dia kata akak letak ubat pelaris dengan ubat pengasih dalam nasi lemak akak. Sebab tu laris walaupun mahal. Ini semua kerja Kak Leha sebab akak tumpang motor laki dia hari tu. Dia siap warning orang kampung jangan bagi orang lelaki makan nasi tu.” Si Kalsom memecahkan rahsia. Nafas yang tercungap-cungap masih bersisa.

‘Aku dah dapat agak dah ni kerja dia orang berdua. Betul macam apa yang jiran-jiran aku beritahu.’ Anisah membuat deduksi dalam diam.

“Tapi yang kau beritahu aku ni kenapa? Bukan ke kau baik dengan minah berdua tu?” Anisah keliru.

Kalsom segera mencebikkan muka.

“Heh! Saya sebenarnya bukan berkenan sangat dengan dia orang tu kak. Tapi disebabkan saya tumpang glamor kalau join dia orang, itu yang saya tahan aje. Saya ni pemalu sikit orangnya, sebab tu asyik kena buli dengan budak kampung ni. Bila ada Kak Leha dengan Normah, baru tak kena usik.”

Jawapan Kalsom sedikit sebanyak menjawab apa yang bersarang di hati Anisah.

“Sampai bila kau nak berpura-pura baik dengan minah berdua tu Som?” Tanya Anisah.

“Entahlah kak. Kadang-kadang saya teringin juga berdikari sendiri. Kalau ada kerja yang elok-elok barulah orang tak pandang lekeh dengan saya ni. Tapi tak tahulah, bila agaknya baru tercapai hajat tu.” Keluh Kalsom. “Eh kak, Som pergi dulu ya. Nanti kantoi dengan Kak Leha dengan Normah, teruk saya nanti. Saya mintak diri kak.”

Anisah hanya melihat Kalsom berlalu dengan langkah yang pantas.

‘Bagus juga ada orang macam ni bersama-sama dengan Si Leha dengan Normah tu. Sekurang-kurangnya aku tahu apa rancangan dia orang berdua tu.’ Fikir Anisah.

Dia hanya menggeleng memikirkan telatah Kalsom yang memainkan peranan seperti perisik.

Sedang Anisah asyik melayan apa yang singgah di fikiran, sebuah kereta Proton Saga berhenti berhampiran dengan khemah tempat dia duduk berteduh.

‘Wah! Lawa kereta Proton hitam ni, berkilat lagi. Tentu tuannya ada kerjaya. Paling kurang pun eksekutif syarikat.’ Telahan hati Anisah.

Tidak lama kemudian muncul seorang gadis berambut panjang berkaca mata hitam. Umurnya dalam lingkungan awal dua puluhan. Penampilannya agak berani dengan skirt dan baju yang mendedahkan bahagian tubuh walaupun tidak terlalu menjolok mata. Anisah hairan kerana selama dia berpindah ke kampung ini, dia belum pernah melihat seseorang dengan penampilan yang berani seperti itu.

“Assalamualaikum.” Suara gadis itu.

“Waalaikumsalam. Nak beli nasik lemak?” Tegur Anisah.

“Ha’ah. Biasa kawan saya tolong belikan di warung Wak Leman. Tapi hari ni tak ada jual pulak. Kawan saya tanya kat mana nak beli nasi lemak yang biasa ada kat warung tu. Taukeh warung beritahu tempat ni, tapi kawan saya malas nak ke sini. Jadi terpaksalah saya datang sendiri. Dah macam ketagih pulak dengan nasi lemak akak.” Terang gadis itu. Orangnya ramping dengan perwatakan yang menarik. Solekannya juga persis seorang model.

“Akak tak jual kat warung hari ni.” Anisah sengaja membuat alasan. Dia malas bercerita tentang sebab yang sebenar.

“Nak nasi lemak bilis atau kerang?” Tanya Anisah.

“Tolong bungkuskan kerang lima.Saya suka sambal kerang yang akak buat. Sedap betul!” Puji gadis itu.

Anisah ketawa kecil mendengar. “Anak-anak akak pun suka sambal kerang. Dia orang yag beria-ia suruh akak jual nasi lemak sambal kerang ni.”

“Baguslah kak. Menyambil jual nasi lemak. Boleh juga tampung perbelanjaan keluarga. Taklah membebankan suami sangat kan?” Kata gadis itu.

Anisah terkedu sebentar mendengar.

“Sebenarnya akak sorang yang menyara keluarga sebab suami akak dah meninggal. Ini sajalah cara yang akak tahu.”

“Eh, akak tak cuba cari kerja di bandar? Macam-macam kerja ada kalau akak tak memilih.”

“Akak dah lama tinggalkan bidang pekerjaan ni. Selama ni pun suami akak yang uruskan semuanya. Nak mula kerja dak rasa kekok. Lagipun siang anak-anak sekolah. Kalau akak kerja siang, siapa yang nak ambil tahu makan minum dia orang.” Jawab Anisah.

Gadis itu terdiam sebentar setelah mendengar penerangan Anisah. Kemudian dia mengeluarkan pen dan menulis sesuatu pada secebis kertas.

“Kalau akak berminat cari kerja, akak telefon saya. Tempat saya pun memang tengah cari orang yang ada rupa macam akak. Kerja memang shif malam, jadi tak ada masalah kalau akak nak uruskan anak-anak. Gaji pun boleh tahan lumayan. Kalau nak banding kerja pejabat memang bertahun nak dapat gaji macam ni. Nah, ini nombor telefon saya.”

Anisah mengamati nama tulisan di cebisan kertas itu. Tertulis nama Eja bersama nombor telefon.

“Terima kasih Eja.”

“Sama-sama Kak...” Gadis itu seperti menunggu jawapan.

“Anisah.”

“Okeylah Kak Anisah. Eja balik dulu. Jangan lupa telefon ya kalau berminat.”

Anisah hanya memerhatikan gadis bernama Eja itu berlalu dengan Proton Saga hitam berkilat itu.

‘Eh, terlupa aku nak tanya apa kerjanya?’ Hati Anisah berbicara setelah Eja telah hilang dari pandangan.

***

Malam itu Anisah sukar melelapkan matanya. Pelbagai perkara bersarang di fikiran menyebabkan kantuknya hilang.

Dia asyik memikirkan peluang yang datang bergolek di depan mata ketika dia dilanda fitnah dan tohmahan di kampung ini. Tambahan pula dia berpeluang kerja shif malam dan boleh menguruskan anak-anaknya di siang hari.

‘Tapi kenapa dia kata syarikat tu cari orang dengan rupa macam aku? Takkanlah kerja kilang pun pandang rupa juga? Agaknya gaji lumayan sebab kena berjaga malam. Tapi kerja apa?’ Pelbagai soalan menujah benak Anisah.

Anisah masih berkira-kira sama ada ingin mencuba atau tidak. Akhirnya dia membuat keputusan.

“Helo Eja.” Suara Anisah bersama telefon di tangan dalam kegelapan malam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.