Anisah banyak termenung di rumah semenjak mendengar penerangan
doktor berkenaan keadaan Ustaz Hairi. Pelbagai andaian mula menujah benaknya hingga
adakala menyesakkan hingga berdenyut kepala dibuatnya.
Jika tidak kerana Suraya dan anak-anak lain yang perlu ke sekolah,
sudah tentu Anisah akan sentiasa berada bersama Ustaz Hairi di hospital untuk menemaninya.
Semakin hari dia semakin risau akan keadaan lelaki itu. Keadaannya tidak menunjukkan
dia semakin pulih. Wajahnya semakin cekung dan beratnya semakin susut. Hanya doa
yang mampu dipanjatkan bersama pengharapan agar lelaki itu akan segera pulih.
Farizah semakin jarang berada di rumah. Apabila dia pulang dia
akan terus berkurung dan keluar tanpa berbual panjang dengan Anisah
Tengah hari itu Anisah sempat berjumpa dengan Farizah sebelum
dia keluar seperti biasa.
"Bila Farizah nak ke hospital jumpa Hairi? Kesian dia. Bila
akak jumpa dia, mesti dia akan tanya. Farizah mana?"
Farizah serba salah hendak menjawab. Anisah dapat rasakan pergolakan
dalam jiwa wanita itu, cuma dia tidak dapat mengagak apa yang sedang bersarang di
fikirannya.
"Nanti saya akan pergilah kak."
"Dari dulu itulah jawapan kamu. Sampai bila? Sampai dia
dah tak ada lagi?" Anisah cuba membendung kemarahan dengan sikap Farizah terhadap
suaminya, tetapi sedikit sebanyak perasaan itu telah melimpah keluar.
"Kalau saya ke hospital pun apa yang boleh saya buat? Boleh
saya putarkan masa hingga detik kami mula hidup berdua? Atau mungkin balik semula
pada masa saya belum berkahwin dengan dia." Jawapan Farizah. Dingin.
"Kau ni tak ubah macam budak-budak yang hidup dalam alam
dongengan dia sendiri. Yang tak tahu membezakan khayalan dan realiti. Sampai bila
baru kau nak terima hakikat kehidupan yang sebenar? Yang lepas tak boleh diulang.
Apa yang kita hadapi kena diteruskan, walaupun pahit!" Anisah cuba menyedarkan
Farizah.
"Memang saya yang pilih untuk tidak menerima realiti kehidupan
ini, kak. Sebab ia terlalu pahit dan sukar saya telan. Walaupun saya terpaksa berada
di awangan antara fantasi dan realiti kehidupan saya."
"Pergilah jumpa Hairi. Mungkin kau akan sedar realiti kehidupan
sebenar. Hadapilah cabaran, jangan terlalu mengikut emosi kau Farizah." Anisah
masih belum berputus asa.
"Heh! Akak memang tak akan faham perasaan saya. Tak ada
sesiapa akan faham perasaan saya ini termasuk Hairi. Saya sanggup buat apa saja
kak, asalkan saya dapat lupakan realiti hidup saya yang pahit ini. Akak faham tak?
Apa saja!" Farizah beremosi sebelum meluru keluar.
"Farizah!... Farizah!" Panggilan Anisah tidak diendahkan
lagi. Hanya kedengaran deruman kereta meninggalkan pekarangan rumah.
Anisah mula sedar betapa kacaunya jiwa Farizah. Semakin hari
keadaannya semakin parah, sebagaimana keadaan Ustaz Hairi ketika ini.
***
"Abang..." Suara halus Anisah sambil mengusap ubun-ubun
Ustaz Hairi. Wajah lelaki itu semakin cekung dan menjemput sayu. Setiap kali menatap
wajah lelaki itu, terasa seperti air mata ingin melimpah keluar. Tetapi dia cuba
sedaya upaya menahan.
"Farizah mana?" Suara lirih Ustaz Hairi yang menambah
kesayuan hati Anisah. Mahu rasanya dia memaksa Farizah agar berjumpa dengan suaminya
sendiri walaupun dia terpaksa mengheret tangan Farizah dengan kasar.
Anisah sudah tidak mampu membendung ombak perasaannya. Air matanya
tumpah. Soalan lelaki itu dibiarkan tidak berjawab.
"Abang jangan banyak berfikir. Abang berehatlah supaya cepat
sembuh. Anak-anak semua dah rindu nak bersama abang di rumah. Mereka rindu nak solat
jemaah dan makan bersama abang macam selalu. Abang cepatlah sembuh ya?" Suara
Anisah sebak, namun senyuman terus diukirkan walaupun dengan paksa.
"Anisah..."
"Ya bang"
"Kalau ditakdirkan abang pergi..."
"Abang! Jangan cakap macam tu!" Anisah tidak dapat
menahan rasa yang berbuku di dalam dada. Dengan serta-merta kenangan semasa perbualan
terakhir bersama Jalaludin kembali singgah di benak. Seperti panahan petir yang
membakar rentung naluri wanitanya.
Air matanya menghambur keluar. Sakit di dalam dada mencucuk-cucuk
hingga merenggut perasaannya dan sukar dikawal.
"Terima hakikat Anisah... Inilah namanya dunia yang manusia
kejar seharian dan semalaman. Sebagaimana besar jelaan mimpi dan keinginan kita
sekalipun, tiada siapa dapat menyangkal ketibaan maut... Ia sentiasa menanti dan
memerhati kita saban hari. Hanya menunggu detik dan ketika yang tepat, untuk menjemput
kita pergi." Suara Ustaz Hairi tersekat-sekat. Mungkin menahan kesakitan atau
nafasnya sudah semakin payah.
"Abang..." Raungan Anisah bersama dada yang terhincut-hincut.
Dia enggan menerima hakikat bahawa Ustaz Hairi mungkin akan pergi meninggalkannya
seperti Jalaludin.
"Siapa kita Anisah?... Siapa kita untuk menidakkan semua
ini? Berlapang dada... Terimalah dengan hati yang terbuka." Ustaz Hairi mengatur
ayat dalam kesakitan di dada yang jelas tergambar di wajahnya.
Anisah cuba menyerap setiap kata-kata hikmat Ustaz Hairi dan
mengawal emosinya. Dia cuba. Sesungguhnya dia benar-benar mencuba.
"Abang tak mampu tinggalkan mahligai istana buat Anisah
dan anak-anak. Abang tak mampu anugerahkan legasi yang dapat diwarisi turun-temurun
buat Anisah. Malah abang tidak mampu memberikan apa yang Anisah dan anak-anak inginkan
selama kita bersama."
"Tak bang. Abang telah berikan Anisah kebahagian. Anisah
dahagakan kasih sayang seorang suami, dan abang telah penuhi hasrat Anisah. Anisah
bahagia bersama abang." Anisah menyeka air mata yang masih bersisa.
"Abang harap kalau ditakdirkan abang sudah tiada lagi nanti,
abang harap Anisah akan teruskan hidup bersama Farizah dan anak-anak. Rumah itu
dan segala harta peninggalan abang adalah milik bersama Anisah dan Farizah. Berbaik-baiklah
dengan dia. Jangan biar hawa nafsu dan sifat tamak menguasai hingga hidup di dunia
ini jadi porak peranda." Nasihat Ustaz Hairi penuh makna.
"Insya-Allah bang." Anisah cuba menenangkan dirinya.
***
Anisah pulang lebih awal daripada biasa. Ustaz Hairi dinasihatkan
oleh doktor agar banyak berehat. Setelah diberikan ubat, lelaki itu terlantar tenang
dalam lena.
Farizah sudah pun berada di rumah ketika Anisah pulang. Kereta
Proton Wira putih diparkir di pekarangan rumah. Anisah masih belum nampak kelibat
Farizah di dalam rumah. Cuma pintu bilik agak renggang dan Anisah dapat dengar dengan
jelas perbualan Farizah di telefon.
'Dengan siapa Si Farizah ni berbual?' Sedik hati Anisah sambil
dia menguruskan Suraya setibanya dia di rumah.
Bukan kebiasaan Anisah mendengar perbualan orang lain. Tambahan
pula dia tidak pernah memikirkan yang bukan-bukan tentang Farizah. Dia memikirkan
tentu itu panggilan rakan yang biasa ditemui.
"Sabarlah sayang. Sampai masa nanti kita jumpa lagi ya?"
Kata-kata Farizah bagai menyentap nalurinya sebagai seorang isteri.
'Astaghfirullahal'azim... sayang?...' Anisah memegang dada dalam
keadaan yang amat terkejut.
"You jangan gelojoh okey... Yalah, I pun sayang kat you...
I really miss you, walaupun kita baru lepas bersama... Nakal lah you ni... Gatal
betul you ni... Tak naklah, I segan... Okey, muah!... puas hati..."
Lutut Anisah
terasa longlai. Dia berpaut pada dinding. Jika tidak sudah tentu dia akan terjelepuk
ke lantai.
"Bye bye sayang... see you tonight... I can't wait!"
Anisah segera mengumpul kudrat yang ada. Dia perlu beredar sebelum Farizah sedar
dia mengintip perbualannya di telefon tadi.
"Ya Allah, apalah bala yang dah melanda rumah ni sekarang?..."
Anisah jadi tidak tentu arah.