Anisah ke kedai runcit Taukeh Wong untuk menjelaskan hutang
dan membeli barang runcit. Bahan-bahan untuk berniaga nasi lemak semakin susut.
Jika tidak sempat ditambah stok, alamatnya dia tidak dapat berniaga pada hari
itu.
Tetapi apa yang didengar di kedai runcit Taukeh Wong amat
mengejutkan.
“Masuk kampung orang nak goda jantan kampung ni. Dasar janda
tak sedar diri.” Kata-kata yang Anisah dengar dituturkan oleh salah seorang
wanita berumur yang ada di kedai itu. Mereka yang berada di dalam kelompok itu
menjeling ke arah Anisah.
“Entah-entah laki dia pun dia yang bunuh sebab nak kan
harta. Akhirnya habuk pun tak ada. Padan muka satu sen pun tak dapat. Malang
betul aku tengok anak-anak dia tu. Dapat mak perangai macam tu. Hih!” Kata-kata
hinaan seorang lagi wanita yang ada di situ.
Rancangan Anisah untuk membeli bahan-bahan untuk dibuat nasi
lemak terus terbantut. Usai menjelaskan hutang kepada Taukeh Wong, dia terus
meluru keluar meninggalkan kedai. Rasa sayu dan marah bercampur-baur disebabkan
kata-kata yang didengar tadi.
‘Tergamak mereka keluarkan kata-kata macam tu. Kenapa begini
hina pandangan orang pada janda seperti aku?’ Rasa sebak menghurung Anisah. Air
matanya sudah hampir melimpah dari tubir, tetapi dia cekal menahan perasaan ini
agar tidak menguasai diri.
***
Warung Wak Leman petang itu rancak dengan perbualan dan
derai tawa sekumpulan pemuda kampung di satu sudut warung.
“Macam mana? Hebat tak taktik aku?” Suara Karim sebelum
menghirup kopi di gelas.
“Fuh! Memang hebat drama kau. Boleh kerja dengan Mamat
Khalid!” Tambah seorang pemuda di situ. Pemuda itulah yang mempelawa Anisah
untuk dihantar pulang.
“Lepas ni masuk fasa kedua pulak. Tak lama lagi
tersangkutlah dia dengan aku.” Kata-kata penuh yakin Karim.
“Fasa kedua apa pulak?” Tanya pemuda yang sama.
“Kau ni lembab betul lah Bon,” jawab Karim. “Lepas ni aku
ajaklah dia jalan-jalan. Dia dah mula percayakan aku.”
“Kalau bini kau tahu macam mana?” Tanya Bon lagi.
“Pandai-pandailah aku nak hidup. Bini aku tu kalau aku ayat
sikit cairlah dia. Kita jadi lelaki kena pandai ambil hati orang perempuan.
Barulah langkah panjang sikit.” Suara Karim penuh yakin.
“Untung kau ya Karim. Aku tengok janda tu body boleh tahan. Pandai masak pulak tu.
Lepas ni kau jadi taukeh bisnes nasi lemak mak janda nampaknya. Fuh! Kalau
akulah... bahagia hidup!” Kata Bon disambut derai tawa mereka yang duduk di
meja itu.
“Hehe... siapa tak kenal Karim. Aku pasal mengayat perempuan
memang tak ada boleh challenge. Baru
jumpa kali pertama dah berani naik motor aku. Itu belum kena ayat power aku lagi. Lepas ni kau tengok aje
macam mana janda Anisah tu cair dengan aku. Ini Karimlah!” jawab Karim dengan
sombong.
“Err... Karim...” Suara Bon bersama air mukanya yang sudah
berubah.
“Apa kena kau ni? Nampak hantu ke apa?” Karim menempelak
Bon.
Bon tidak menjawab sebaliknya membuat isyarat mata supaya
Karim melihat ke belakang.
‘Alamak. Ini mesti bini aku. Kantoi!’ Telahan Karim dalam
hati sambil memalingkan kepala.
“Oh, ini kerja abangnya?! Nak menggatal dengan mak janda tu!
Mari sini. Jom ikut saya. Saya nak jumpa betina tu. Cepat bang! Lepas ni kita
dengar ayat power Leha Va Va Voom.
Agaknya boleh ke tak lawan ayat power
abang tu?” Suara Zaleha sambil menarik lengan baju suaminya.
Dengan tidak membantah Karim meninggalkan rakan-rakan di
warung. Tanpa menoleh dia menunggang motosikal bersama Zaleha meninggalkan
warung Wak Leman.
***
Anisah melemparkan pandangan keluar sambil ketiga-tiga
jirannya sedang rancak berbual di ruang tamu sambil melayan keletah Suraya.
“Budak Down syndrome
ni kalau kita faham dia senang jaga kan?”
Suara Jameah.
“Dia pun macam budak-budak lain. Cuma cara layan dia lain
sikit.” Jawab Zaiton.
“Eh, Kak Eton ni. Mengalahkan doktor pakar pulak.” Usik
Rokiah.
“Aku bukan macam kau. Kalau tengok TV asyik melayan artis
K-pop dengan drama Korea
kau tu. Macam-macam ilmu ada kat TV tu kalau kau rajin dengar. Termasuklah ilmu
tentang anak Down syndrome macam
Suraya ni.” Bidas Zaiton.
“Kat tempat kita ada tak tempat untuk kanak-kanak macam
Suraya ni?” Celah Jameah.
“Itu akak tak pasti. Tapi kalau kat KL memang ada. Anisah
mungkin tahu tempatnya.” Suara Zaiton sambil melihat ke arah Anisah. Dia
mengharap Anisah memberikan maklumat itu, tetapi Anisah leka termenung sambil
melemparkan pandangan ke luar.
“Kenapa akak tengok kau banyak termenung Anisah. Ada
masalah ke?” Tanya Zaiton.
Mendengar namanya disebut, Anisah tersedar dari lamunannya.
“Entahlah kak. Apalah malangnya nasib saya ni. Dahlah
kematian suami, kena tuduh pulak bunuh laki sendiri. Lepas tu orang ingat saya
nak kacau lelaki yang ada kat kampung ni.” Keluh Anisah. Perhatian jiran bertiga
kini berpindah kepada Anisah.
“Siapa yang tergamak cakap macam tu?” Rokiah tidak puas
hati.
“Adalah Kiah... tadi akak dengan masa ke kedai Taukeh Wong.”
Jawapan lesu Anisah.
“Sampainya hati dia orang. Tak tahu hujung pangkal janganlah
buat mulut!” Protes Jameah.
Anisah tidak menjawab. Sebaliknya dia melemparkan pandangan
ke luar semula.
“Sabarlah Anisah. Benda dah nak berlaku. Kami pun silap tak
beri amaran pasal Si Karim tu. Tahu-tahu dia dah buat rancangan dulu.”
“Memang saya dah banyak bersabar kak. Saya takut kalau dah
sampai tahap tepu sabar saya ni. Tak tahulah macam mana nanti.” Ada
nada marah dalam kata-kata Anisah terhadapa manusia yang tega melepaskan
perkataan sesuka hati.
Mereka terdengar bunyi motosikal menuju ke pekarangan
rumahnya. Sejurus itu kedengaran suara lantang.
“Anisah! Anisah! Kau keluar cepat!”
Anisah segera ke muka pintu.
“Eh, Leha. Ada
apa terjerit-jerit ni?” Tegur Anisah.
“Dasar janda miang! Kau ingat aku tak tahu kau cuba
goda laki aku?!” Tuduh Leha.
“Astaghfirullah... Mana ada. Tak percaya tanya Bang Karim.”
Anisah cuba
membela diri. Dilihatnya Karim masih duduk di motosikal tanpa berganjak sedikit
pun. Lelaki itu melemparkan pandangan ke tempat lain, seolah-olah enggan
terlibat dengan perbualan mereka.
“Oh... Bang Karim ya? Buat main manja lagi panggilannya...”
Sindir Zaleha.
“Hei Leha! Kau tak malu ke, serang rumah orang ikut suka
hati kau? Kau tahu tak? Kalau bukan kerana Si Karim yang ajak Anisah ni naik
motor, dia tak ikut tahu tak?” Zaiton cuba
membela Anisah. Mereka bertiga telah berada di muka pintu tidak jauh dari
Anisah.
“Tak payahlah Kak Eton nak bela janda miang ni. Saya memang
dah dapat agak dia akan buat kecoh kat kampung kita ni.” Tempelak Zaleha.
“Aduhai Kak Leha Va Va Voom oi. Sekarang ni siapa yang buat
kecoh? Siapa yang serang ke rumah orang dengan tak siasat betul-betul?” Sindir
Rokiah.
Zaleha menggetap bibir mendengar kata-kata Rokiah.
“Eh janda! Kau dengar sini baik-baik. Aku tak akan puas hati
selagi aku belum tengok kau berambus dari kampung ni!” Kata-kata Zaleha sebelum
beredar bersama Karim yang tidak berkata walau sepatah pun.
“Tengoklah tu. Dia yang buat masalah tapi dia buat selamba
aje. Dasar muka jantan tak tahu malu!” Bentak Jameah.
Anisah tidak terkata apa-apa lagi. Dugaan demi dugaan mula
mencabar kesabaran dirinya. Baru sahaja dia ingin menikmati hidup yang tenang
selepas pemergian Jalaludin, kini semuanya lenyap dalam sekelip mata.
***
Anisah menghayun langkah menuju ke warung Wak Leman untuk
menghantar nasi lemak seperti biasa. Dia berharap dalam keadaan pelbagai
tohmahan yang dilemparkan ke atas dirinya, jualan nasi lemak akan berterusan.
Sekurang-kurangnya dengan duit jualan ini dapat juga dia menampung perbelanjaan
sekolah anak-anak seramai empat orang termasuk Marissa yang sudah bersekolah
menengah.
Mahu atau tidak dia terpaksa menebalkan telinga mendengar
cacian penduduk kampung itu terutamanya kaum wanita yang sudah bersuami.
Masing-masing khuatir Anisah akan merampas suami mereka sedangkan tidak pernah
terlintas di fikiran Anisah untuk berbuat demikian.
‘Lantaklah nak kata apa pun. Berani cakap berani
tanggung...’ Bisik hati Anisah.
Wak Leman ada di kedai hari ini. Melihat Anisah bersama beg
plastik penuh berisi nasi lemak, wajahnya berubah. Seperti ada berita buruk
yang ingin disampaikan dengan hati yang berat.
“Anisah, Wak Leman minta maaf banyak-banyak. Wak dah tak
boleh ambil nasi lemak dengan kamu lagi. Nasi semalam pun tak habis.” Terang
Wak Leman.
“Kenapa sampai macam tu Wak Leman?” Anisah resah.
Wak Leman berdiam diri. Lama Anisah menunggu tetapi masih
belum ada jawapan.
“Ceritalah pada saya Wak Leman. Apa yang tak kena ni?” Desak
Anisah.
“Wak tak percaya semua cerita ni. Wak yakin kamu tak buat
macam apa yang orang cakap tu.” Wak Leman masih teragak-agak untuk menerangkan
hal sebenar.
Anisah semakin resah menunggu kisah yang sebenar.
“Ceritalah Wak Leman. Apa yang dah jadi?.” Anisah keresahan.
“Ada orang bawa mulut pasal kamu. Katanya kau ada letak ubat
guna-guna dalam nasi lemak. Sebab tu nasi lemak kamu laris sampai licin.” Suara
Wak Leman seperti berbisik.
‘Ya Allah! Sampai begini sekali fitnah ke atas diri aku.’
Keluhan hati Anisah.
“Kalau macam tu tak apalah Wak Leman. Nak buat macam mana,
terpaksalah saya tanggung.” Suara Anisah dengan nada kesal.
“Wak Leman minta maaf sekali lagi ya, Anisah.” Suara Wak
Leman sebelum Anisah meninggalkan kedai.
‘Padanlah oragn kat kedai ni pandang macam aku ni hina
sangat! Rupa-rupanya dah ada yang jaja cerita pasal aku.’ Bisik hati Anisah
sambil dia cuba
menguatkan semangat yang sudah mula pudar setelah pelbagai peristiwa yang
terjadi.
Rasa serba-salah mula menguasai diri. ‘Kalau jual nasi lemak
dah tak laku, apa lagi ikhtiar aku lepas ni?’
“Kenapa kak?” Tanya Rokiah yang sedang menunggu di luar
kedai dengan skuternya.
“Tak apalah. Nanti kat rumah akak ceritakan.” Suara Anisah cuba
menyembunyikan rasa sedih dan hampa yang ada.
***
Anisah masih tegar duduk di khemah di depan rumahnya. Biar
apapun kata-kata yang dilempar terhadapnya, dia masih berharap masih ada yang
sudi membeli nasi lemak ikan bilis atau kerang yang sudah tersedia di situ.
Kesusahan yang dialami kini membuka matanya kepada pelbagai
ragam manusia. Ada yang hanya
bermanis muka ketika dia sedang senang dan mewah. Apabila dia berhadapan dengan
kesukaran, orang seperti ini akan berpaling. Ada
juga yang setia hinggalah ketika dia menghadapi kesukaran. Yang paling teruk
adalah mereka yang sanggup melihat dia bertambah susah dalam keadaan yang telah
pun menghimpit dengan menabur fitnah yang tidak berasas sama sekali.
‘Hanya kerana aku menumpang motor Si Karim, macam-macam
cerita dah keluar pasal aku!’ Bentak Anisah dalam diam.
Ketika Anisah tenggelam dalam lamunannya, kelihatan
seseorang sedang melangkah pantas menuju ke arah khemahnya. Insan itu memang
pernah dia lihat, cuma kali ini dia berseorangan. Wanita bertubuh kecil molek
dan hitam manis itu menghampiri Anisah dengan tergesa-gesa. Dia melihat
sekeliling seperti seseorang yang baru lepas melakukan kesalahan.
“Kak, saya ada perkara nak beritahu ni.” Suaranya cemas
dengan nafas tercungap-cungap selepas menghayun langkah dengan patas tadi.
“Ada apa Som?
Kenapa kau ni resah semacam aje?” Anisah cuba
mendapatkan penjelasan.
“Kak... Satu kampung dah heboh pasal Kak Anisah. Si Normah
yang buat mulut... Dia kata akak letak ubat pelaris dengan ubat pengasih dalam
nasi lemak akak. Sebab tu laris walaupun mahal. Ini semua kerja Kak Leha sebab
akak tumpang motor laki dia hari tu. Dia siap warning orang kampung jangan bagi orang lelaki makan nasi tu.” Si
Kalsom memecahkan rahsia. Nafas yang tercungap-cungap masih bersisa.
‘Aku dah dapat agak dah ni kerja dia orang berdua. Betul
macam apa yang jiran-jiran aku beritahu.’ Anisah membuat deduksi dalam diam.
“Tapi yang kau beritahu aku ni kenapa? Bukan ke kau baik
dengan minah berdua tu?” Anisah keliru.
Kalsom segera mencebikkan muka.
“Heh! Saya sebenarnya bukan berkenan sangat dengan dia orang
tu kak. Tapi disebabkan saya tumpang glamor
kalau join dia orang, itu yang saya
tahan aje. Saya ni pemalu sikit orangnya, sebab tu asyik kena buli dengan budak
kampung ni. Bila ada Kak Leha dengan Normah, baru tak kena usik.”
Jawapan Kalsom sedikit sebanyak menjawab apa yang bersarang
di hati Anisah.
“Sampai bila kau nak berpura-pura baik dengan minah berdua
tu Som?” Tanya Anisah.
“Entahlah kak. Kadang-kadang saya teringin juga berdikari
sendiri. Kalau ada kerja yang elok-elok barulah orang tak pandang lekeh dengan
saya ni. Tapi tak tahulah, bila agaknya baru tercapai hajat tu.” Keluh Kalsom.
“Eh kak, Som pergi dulu ya. Nanti kantoi
dengan Kak Leha dengan Normah, teruk saya nanti. Saya mintak diri kak.”
Anisah hanya melihat Kalsom berlalu dengan langkah yang
pantas.
‘Bagus juga ada orang macam ni bersama-sama dengan Si Leha
dengan Normah tu. Sekurang-kurangnya aku tahu apa rancangan dia orang berdua
tu.’ Fikir Anisah.
Dia hanya menggeleng memikirkan telatah Kalsom yang
memainkan peranan seperti perisik.
Sedang Anisah asyik melayan apa yang singgah di fikiran,
sebuah kereta Proton Saga berhenti berhampiran dengan khemah tempat dia duduk
berteduh.
‘Wah! Lawa kereta Proton hitam ni, berkilat lagi. Tentu
tuannya ada kerjaya. Paling kurang pun eksekutif syarikat.’ Telahan hati
Anisah.
Tidak lama kemudian muncul seorang gadis berambut panjang
berkaca mata hitam. Umurnya dalam lingkungan awal dua puluhan. Penampilannya
agak berani dengan skirt dan baju yang mendedahkan bahagian tubuh walaupun
tidak terlalu menjolok mata. Anisah hairan kerana selama dia berpindah ke
kampung ini, dia belum pernah melihat seseorang dengan penampilan yang berani
seperti itu.
“Assalamualaikum.” Suara gadis itu.
“Waalaikumsalam. Nak beli nasik
lemak?” Tegur Anisah.
“Ha’ah. Biasa kawan saya tolong belikan di warung Wak Leman.
Tapi hari ni tak ada jual pulak. Kawan saya tanya kat mana nak beli nasi lemak
yang biasa ada kat warung tu. Taukeh warung beritahu tempat ni, tapi kawan saya
malas nak ke sini. Jadi terpaksalah saya datang sendiri. Dah macam ketagih
pulak dengan nasi lemak akak.” Terang gadis itu. Orangnya ramping dengan
perwatakan yang menarik. Solekannya juga persis seorang model.
“Akak tak jual kat warung hari ni.” Anisah sengaja membuat
alasan. Dia malas bercerita tentang sebab yang sebenar.
“Nak nasi lemak bilis atau kerang?” Tanya Anisah.
“Tolong bungkuskan kerang lima.Saya suka sambal kerang yang
akak buat. Sedap betul!” Puji gadis itu.
Anisah ketawa kecil mendengar. “Anak-anak akak pun suka
sambal kerang. Dia orang yag beria-ia suruh akak jual nasi lemak sambal kerang
ni.”
“Baguslah kak. Menyambil jual nasi lemak. Boleh juga tampung
perbelanjaan keluarga. Taklah membebankan suami sangat kan?”
Kata gadis itu.
Anisah terkedu sebentar mendengar.
“Sebenarnya akak sorang yang menyara keluarga sebab suami
akak dah meninggal. Ini sajalah cara yang akak tahu.”
“Eh, akak tak cuba cari kerja di bandar? Macam-macam kerja
ada kalau akak tak memilih.”
“Akak dah lama tinggalkan bidang pekerjaan ni. Selama ni pun
suami akak yang uruskan semuanya. Nak mula kerja dak rasa kekok. Lagipun siang
anak-anak sekolah. Kalau akak kerja siang, siapa yang nak ambil tahu makan
minum dia orang.” Jawab Anisah.
Gadis itu terdiam sebentar setelah mendengar penerangan
Anisah. Kemudian dia mengeluarkan pen dan menulis sesuatu pada secebis kertas.
“Kalau akak berminat cari kerja, akak telefon saya. Tempat
saya pun memang tengah cari orang yang ada rupa macam akak. Kerja memang shif
malam, jadi tak ada masalah kalau akak nak uruskan anak-anak. Gaji pun boleh
tahan lumayan. Kalau nak banding kerja pejabat memang bertahun nak dapat gaji
macam ni. Nah, ini nombor telefon saya.”
Anisah mengamati nama tulisan di cebisan kertas itu.
Tertulis nama Eja bersama nombor telefon.
“Terima kasih Eja.”
“Sama-sama Kak...” Gadis itu seperti menunggu jawapan.
“Anisah.”
“Okeylah Kak Anisah. Eja balik dulu. Jangan lupa telefon ya
kalau berminat.”
Anisah hanya memerhatikan gadis bernama Eja itu berlalu
dengan Proton Saga hitam berkilat itu.
‘Eh, terlupa aku nak tanya apa kerjanya?’ Hati Anisah
berbicara setelah Eja telah hilang dari pandangan.
***
Malam itu Anisah sukar melelapkan matanya. Pelbagai perkara
bersarang di fikiran menyebabkan kantuknya hilang.
Dia asyik memikirkan peluang yang datang bergolek di depan
mata ketika dia dilanda fitnah dan tohmahan di kampung ini. Tambahan pula dia
berpeluang kerja shif malam dan boleh menguruskan anak-anaknya di siang hari.
‘Tapi kenapa dia kata syarikat tu cari orang dengan rupa
macam aku? Takkanlah kerja kilang pun pandang rupa juga? Agaknya gaji lumayan
sebab kena berjaga malam. Tapi kerja apa?’ Pelbagai soalan menujah benak
Anisah.
Anisah masih berkira-kira sama ada ingin mencuba atau tidak.
Akhirnya dia membuat keputusan.
“Helo Eja.” Suara Anisah bersama
telefon di tangan dalam kegelapan malam.