Home Novel Cinta Kasihku Sesuci Embun, Seteguh Gladioli
Bab 9 Datuk Shah

Peluang yang ditunggu Anisah tiba semasa Maya sedang memperelokkan mekap di bilik persalinan.

"Maya, aku ada benda nak bincangkan dengan kau." Kata Anisah.

Setelah melihat Anisah, Maya meneruskan apa yang sedang dibuat. "Apa dia?"

"Kenapa kau tergila-gilakan sangat dengan Datuk Hazman?" Soal Anisah telus.

"Aku rasa kau sendiri dah tahu jawapannya. Dia lelaki yang kacak, tampan, berharta, ada pangkat, ada darjat." Jawab Maya penuh perasaan.

"Tapi dia playboy. Semua perempuan dia nak kenal dan dekati. Kau rasa kau akan bahagia dengan lelaki macam tu?" Cabar Anisah.

"Bagi aku itu bukan penghalang. Aku akan pastikan dia pilih aku, bukan perempuan lain." Jawab Maya.

"Tapi kau dah melampau Maya. Kerana impian, kau sanggup lihat orang lain susah. Sedangkan masalah sebenarnya adalah Datuk Hazman, bukan perempuan yang kau jadikan mangsa." Anisah cuba mengubah pendirian Maya.

"So, apa yang sebenarnya kau nak aku buat?"

"Aku rasa Datuk Hazman tak sesuai dijadikan pilihan hidup kau. Lelaki macam tu hanya menyusahkan kau sebab dia tak akan pernah puas dengan seorang wanita."

Maya ketawa kecil dengan kata-kata Anisah.

"Tak sangka ada orang yang ambil berat pasal aku di sini. Mungkin tanggapan aku pada kau salah selama ini. Untuk pengetahuan kau, tak ada orang yang berani tegur aku macam ni. Terima kasih." Kata-kata Maya.

Anisah baru hendak membuka pintu untuk meninggalkan Maya apabila perempuan itu bersuara sambil tersenyum, "Mulai malam ini kau boleh join group aku bersama Anne dan Zetty. Kita jumpa di VIP lounge."

***

"Betul ke dia beritahu kau macam tu?" Tanya Sofea. Anisah hanya mengangguk.

"Aku tak percaya dengan perempuan bermuka-muka tu. Tentu ada muslihat dia." Kata Rachel.

"Aku nasihatkan kau berhati-hati. Aku takut kau akan jadi mangsa macam yang lain." Tambah Cynthia.

Anisah serba salah. Adakah kerana mereka semua cemburu dia diterima menjadi ahli kumpulan Maya, atau sememangnya Maya ada agenda yang tersembunyi.

Sejurus itu Maya muncul. "Anise, Jom..." Katanya sebelum beredar.

"Be careful," bisik Sofea.

***

Malam itu Anisah menjadi tumpuan kumpulan lelaki yang ada bersama Datuk Hazman. Teman menari Anisah silih berganti di lantai dansa. Hanya Datuk Shah yang menghabiskan masa duduk berseorangan sambil memerhatikan para pengunjung yang ada di situ.

Tumpuan yang diberikan kepada Anisah langsung tidak menggugat Maya dan rakan-rakannya. Ada ketika mereka berempat duduk berbual bersama jauh dari klien-klien mereka.

"Apa cerita Datuk Shah tu?" Tanya Anisah.

"Dia memang macam tu. Dah ramai cuba nak tackle dia, tapi dia buat tak layan." Jawab Zetty.

"Kenapa macam tu?" Tanya Anisah lagi.

"Aku pernah tanya Hazman. Dia kata lelaki tu baru lepas bercerai dengan isteri dia. Masa dia tengah mabuk dia terlepas lafaz talak. Sampai talak tiga terus. Sekarang dia terkulat-kulat. Nak rujuk semula dah tak boleh. Bini dia pun dah tawar hati dengan dia, nak jumpa anak-anak pun susah." Jawab Maya.

"Dia ke kelab sebab nak lupakan masalah. Tapi tak ada sorang pun yang dapat dekati dia. Dia ni susah sikit." Tambah Anne.

"Kesian dia ya. Kalau aku cuba macam mana?" Tanya Anisah.

"Apa salahnya. Tapi aku tak pasti kau akan berjaya. Kalau kau berjaya memang hebatlah." Jawab Maya.

Anisah menghampiri Datuk Shah dan duduk di sebelahnya. "Malam yang indah kan datuk?" Anisah cuba memulakan perbualan.

"Indah? Apa yang indah sangat dengan malam macam ni?" Kata lelaki itu.

"Yalah, dapat lapangkan masa dengan kawan-kawan. Tenangkan fikiran dengan irama muzik di tempak eksklusif macam ni."

"Kalau diberi pilihan saya lebih suka lapangkan masa dengan keluarga di rumah. Dengan isteri dan anak-anak. Tapi semuanya dah terlambat..." Keluh Datuk Shah.

"Terlambat?" Tanya Anisah.

"Saya dah buat kesilapan besar. Kesilapan yang akan saya kesali seumur hidup."

"Setiap orang buat kesilapan datuk. Tapi kita yang buat pilihan sama ada untuk terus meratapi kesilapan itu atau memperbaiki kehidupan menjadi lebih baik." Jawab Anisah.

"Saya rasa awak ni terlalu cantik dan bijak untuk jadi perempuan pelayan di kelab ni." Puji Datuk Shah.

"Saya mangsa keadaan datuk. Kerja di sini batu loncatan saya untuk ubah kehidupan saya dan anak-anak. Tak mungkin saya akan kekal bekerja di sini dalam jangkamasa yang lama." Jawab Anisah.

"Saya ada satu permintaan." Kata Datuk Shah.

"Apa dia datuk?"

"Anak perempuan saya akan sambut hari jadi dalam masa beberapa hari lagi. Saya nak minta awak temankan saya carikan hadiah yang sesuai untuk dia."

"Berapa umur dia datuk?"

"Tiga belas tahun. Dia dalam tingkatan satu sekarang."

"Oh, samalah dengan anak sulung saya. Boleh, nanti datuk telefon saya esok."

"Datuk tak nak menari?" Tanya Anisah.

"Boleh juga." Jawab lelaki itu sebelum mereka menuju ke lantai dansa sambil diperhatikan oleh Maya dan rakan-rakannya yang lain.

***

Menjelang pagi, Anisah melapangkan masa bersama Sofea dan rakan-rakan yang lain di bar.

"Sampai bila agaknya kita akan kerja di tempat macam ni?" Tanya Anisah.

"Apa salahnya dengan tempat macam ni?" Tanya Rachel.

"Kita semua tahu apa tanggapan orang pada perempuan yang kerja di tempat macam ni." Jawab Anisah beralas.

"Nak ikut cakap orang memang susah. Masa kita merempat pun bukan ada yang nak ambil tahu. Tapi bila kita buat kerja macam ni, macam-macam pula yang dikutuk dan keji." Kata Sofea.

"Tapi kita semua tentu ada impian masing-masing, di samping mencari rezeki di tempat macam ni."

"Apa maksud kau Anise?" Tanya Rachel.

"Maksud aku, mungkin dengan duit yang kita kumpul ni kita akan buka bisnes. Mungkin butik? Spa? Kedai makan?" Kata Anisah.

"Oh, macam tu. Aku... Aku nak kumpul duit untuk biaya pengajian David di universiti. Itu yang paling penting bagi aku." Jawab Rachel.

"Kau Cynthia?" Tanya Anisah.

"Aku nak suami yang gentle dan caring, yang akan ubah hidup aku. Kalau dapat yang kaya lagi bagus. Boleh bercuti di Greece, Rome, mungkin juga di Hawaii." Jawab Cynthia dengan gaya mengelamun membayangkan apa yang dia katakan.

"Amboi, jauhnya angan-angan kau. Kalau aku, aku nak buka bisnes. Tak kiralah bisnes apa pun. Rupa kita bukan sampai bila-bila macam ni. Sampai masa kita terpaksa terima hakikat dan mengundur diri. Masa tengah ada rupa nilah kita kena gunakan untuk majukan perniagaan." Celah Sofea.

"Bagus idea tu kan? Kalaulah kita boleh jadi rakan kongsi buat bisnes bersama." Tambah Anisah.

"Tapi niaga ni bukan mudah. Nak dapat klien. Nak kumpul modal. Lainlah kalau ada datuk yang nak sponsor." Jawab Sofea.

Anisah hanya mengangguk.

***

Setelah Anisah dan Eja beredar awal pagi itu, Maya dan rakan-rakannya berbual di bilik persalinan.

"Aku macam tak percaya rancangan kita berjalan lancar semudah ini," Zetty memulakan perbualan mereka.

"Aku pun tak sangka perempuan tu boleh tanya pasal Datuk Shah sebelum sempat kita mulakan apa-apa." Tambah Anne.

"Dia tu nak jadi kaunselor yang menyelamatkan hidup orang lain. Tapi dia tak tahu, sikap yang suka buat baik tu akan memakan diri dia sendiri tak lama lagi. Anise, Anise, bersimpati aku bila memikirkan nasib kau." Sindir Maya.

"Konon-konon nak ceriakan hidup Datuk Shah yang tengah sugul. Kau belum kenal siapa lelaki tu yang sebenarnya." Tambah Zetty.

"Tak lama lagi nasib kau sama seperti mangsa-mangsa aku sebelum ni. Kau tunggu sajalah Anise..." Kata Maya dengan senyuman yang menjengkelkan.

Previous: Bab 8 VIP

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.