Sekadar makluman: Watak-watak yang dipaparkan adalah rekaan semata-mata dan tidak ada kaitan dengan yang hidup atau yang telah meninggal dunia.
Irama rancak muzik dance
bergema dengan lagu "Suavemente" oleh Nayer dan Pitbull. Suasana suram hanya disinari oleh pancaran lampu pancarona menyilau dan berkemilau dari
bebola disko di tengah-tengah ruang yang lapang. Ruang itu kini dipenuhi
manusia yang beraksi ligat dengan tubuh yang meliuk lintuk mengikut rentak lagu
yang berkumandang.
Anisah masih lagi kekok untuk melayan para pengunjung.
Rakan-rakan yang lain kelihatan begitu mesra melayan pengunjung setia di tempat
itu. Sesekali mereka berkumpul semula untuk berbual.
"Tempat macam ni tak kena serbu?" Tanya Anisah
naif.
"Kenapa pula nak kena serbu?" Tanya Sofea.
"Yalah, manalah tahu kalau ada yang tak kena."
Jawab Anisah.
"Yang kena serbu tu biasanya kalau tak ikut peraturan
yang ditetapkan. Contohnya kalau ada pendatang tanpa izin. Atau tawarkan servis
extra." Terang Rachel.
"Macam kedai CD," celah Cynthia.
"Kedai CD?" Anisah hairan dengan tamsilan wanita
cina itu.
"Ya, macam kedai CD. Kalau jual CD atau DVD cetak
rompak memang salah, tapi kalau jual yang original, tak ada siapa nak halang.
Kecuali kalau kandungannya bahan yang diharamkan." Tambah Cynthia.
"Oh, macam tu." jawapan Anisah sambil tersenyum
dengan perbandingan pelik Cynthia.
Anisah terasa janggal memakai pakaian sebegitu di
tengah-tengah manusia yang mencari hiburan di tempat seperti itu. Dia memilih
untuk berada jauh dari tumpuan orang ramai. Dia mahu menyesuaikan diri pada
hari pertama bertugas.
Harapan Anisah hancur apabila Madam Vie datang mencarinya.
"Anise, come come.
Mami nak perkenalkan you dengan klien
penting kita. Mereka semua golongan datuk-datuk. Jaga dia orang baik-baik, and you're in good hands." Suara Madam
Vie sambil memimpin tangan Anisah di celah-celah khalayak.
Anisah dibawa masuk menerusi pintu bertulis "VIP
Only". Ada beberapa ruang berasingan di situ, dan Anisah dibawa berjumpa
sekumpulan lelaki bersama teman masing-masing. Kelihatan Maya, Zetty dan Anne
juga ada di situ.
"Gentlemen,
mami nak introduce the latest blossom
dalam taman nirwana mami. You all can
call her Anise. Be nice to her, okay?"
Kelihatan wajah-wajah lelaki yang ada di situ berseri-seri
apabila melihat Anisah. Hanya riak wajah Maya dan rakan-rakannya yang
menunjukkan reaksi meluat dan cemburu.
Tumpuan kini sudah beralih pada Anisah. Masing-masing
berebut untuk berkenalan dengan pelayan terbaru di Kelab Nirvana Night Life.
"Shh... Biar aku yang perkenalkan." Suara lelaki
yang paling tampan di antara mereka semua. "Saya Hazman. Nak panggil Datuk
Hazman boleh, Hazman pun boleh."
"Poyolah kau Man," sindir seorang rakannya.
"Yang ini namanya Khai. Kat rumah isteri dia yang
berkuasa, jadi dia ke sini supaya dia dapat jadi raja." Dia memperkenalkan
lelaki yang duduk di sebelahnya.
"Ewah ewah, sedapnya mulut kau. Memang tak ada
insuran." Respons rakan yang diperkenalkan. Anne nampaknya begitu intim
dengan lelaki itu.
"Yang ini Mat Dan. Bini dia sibuk dengan persatuan
datin-datin di luar, sebab tu selalu 'tak dan' nak jumpa dia." Gurauan
Hazman agak kasar tetapi boleh diterima oleh rakan-rakan yang lain.
"Yang ini Roy. Nasib dia dapat bini kaki bebel di
rumah. Sebab tak tahan dia selalu lepak kelab dengan kami." Lelaki yang
dimaksudkan oleh Hazman hanya menggeleng dengan ketawa kecil mendengar gurauan
Hazman.
"Ini Yus, yang paling muda antara kami semua. Baru
lepas berpisah dengan bini dia sebab kantoi clubbing.
Sekarang dia dah tak payah berselindung atau buat alasan kalau nak join kami semua." Lelaki yang
dimaksudkan oleh Hazman begitu mesra dengan Zetty yang memaut lengan lelaki itu
dengan manja.
"Yang hujung tu nama dia Shah," Hazman
memperkenalkan seorang lelaki yang kelihatan sudah agak berumur dengan kulit
sawa matang dan bermisai. Lelaki itu tidak ceria seperti yang lain dan tidak
mengendahkan rakan-rakan yang lain. "Dia moody sikit, sebab tu nampak macam buat hal sendiri saja."
Bisik Hazman.
"Anise nak minum apa. Koktail? Jus?" Tanya Hazman.
"Tak apa." Anisah serba salah.
"Jangan macam tu. Kecil hati saya nanti. Saya
belanja." Desak Hazman.
"Jus oren pun boleh." Jawab Anisah.
"Maya, tolong ambilkan jus oren untuk Anise." Arah
Hazman.
Maya bangun dengan muka masam mencuka.
Apabila Maya sudah beredar, Hazman mengambil peluang
memerhatikan kecantikan Anisah dengan mata yang rakus.
"I rasa beruntung dapat jumpa wanita secantik
you," bisik Hazman di telinga Anisah. Anisah hanya tersenyum sambil Anne
dan Zetty memerhatikan gelagat mereka berdua.
Setelah Maya kembali bersama jus oren untuk Anisah, Hazman
kembali memberikan perhatian kepada perempuan berbaju merah itu.
***
Pengalaman pertama di Nirvana Night Life benar-benar membuka
mata Anisah tentang satu sisi kehidupan yang belum pernah dia alami. Kehidupan
itu begitu lompang dan sunyi di sebalik gema muzik yang menghentak gegendang
telinga bersama riuh tawa manusia yang mencari kedamaian dalam kegilaan itu.
Namun apa yang dicari terus hilang di dalam hiruk-pikuk yang tidak keruan.
Hanya menambahkan lagi kekeliruan dan keresahan yang tidak kunjung padam.
Menjelang penghujung dinihari, ruang yang sesak di Nirvana
Night Life sudah semakin susut. Para pengunjung telah ramai pulang untuk
menganyam mimpi dari jaluran pelangi idaman masing-masing. Namun hakikatnya
jaluran itu hanyalah mimpi ngeri dalam kabus hitam penuh duri dan toksik
beracun.
Madam Vie memanggil Anisah untuk berjumpa di ruang
eksklusifnya.
"Ada apa mami?" Tanya Anisah.
Tanpa membuang masa, wanita dengan penampilan ala Elizabeth
Taylor itu menyerahkan sekeping sampul tebal berisi wang kertas.
"Apa ni mami?" Anisah keliru.
"Ganjaran kerana tugas yang bagus. Mami suka Anise ada
di sini. Klien mami nampaknya happy
dengan kehadiran Anise. Keep up the good
work. Nanti lebih banyak yang mami boleh beri." Jawab Madam Vie.
Anisah rasa amat terharu. "Terima kasih mami."
***
Anisah berseorangan di bilik persalinan untuk menyalin
pakaian.
Dengan tidak semena-mena pintu dibuka dan Maya masuk.
"So, apa pendapat kau tentang Datuk Hazman?" Suara
Maya sambil berpeluk tubuh di hadapan Anisah.
"Kenapa kau tanya pendapat aku? Kau tentu lebih tahu
pasal dia." Jawab Anisah.
"Kau jangan nak mengelak Anisah. Aku tahu kau pun ada
hati dengan dia kan? Yalah, lelaki segak dan tampan macam dia. Anak Tan Sri
pulak tu."
Anisah sudah mula nampak kebenaran kata-kata rakan yang lain
tentang Maya.
"Kau jangan risaulah Maya. Aku layan dia sebagai klien
Madam Vie saja. Tak lebih dari itu. Aku kerja di sini semata-mata untuk cari
rezeki. Untuk anak-anak aku. Aku tak ada masa nak kejar benda-benda lain."
"Masa ni bolehlah kau cakap macam tu. Tapi kalau kau
dah terlentuk dalam dakapan dia. Bila dia dah lafazkan madah cinta di telinga
kau, dunia ni nampak penuh dengan flora yang berwarna-warni dan harum."
Sindir Maya.
"Apa yang kau nak sampaikan sebenarnya Maya?"
"Kau tahu dah berapa ramai kerja di sini? Kau tahu
kenapa mereka semua berhenti? Kau tahu apa yang dah jadi pada staf-staf mami
yang lain? Kau tahu apa yang dah jadi pada pekerja mami yang terakhir sebelum
kau?" Tanya Maya dengan raut wajah yang sungguh menjengkelkan.
Anisah tidak menjawab. Dia hanya menunggu kata-kata Maya
yang seterusnya.
"Kau nak tahu tentang hidup aku? Aku dibesarkan dalam
keluarga yang besar. Mak bapak aku lebih mementingkan adik-beradik aku yang
lain. Dalam banyak hal aku terpaksa mengalah." Maya memulakan cerita.
Anisah membersihkan mekap di wajah sambil memasang telinga.
"Kerana itu aku jadi seorang yang mementingkan diri
sendiri. Dan sekarang aku bukan macam dulu lagi. Aku sudah bosan mengalah. Aku
tak akan puas hati selagi apa yang aku hajatkan belum menjadi milik aku. Aku
sanggup lakukan apa saja asalkan aku dapat apa yang aku nak, walaupun terpaksa
melihat mangsa aku sengsara." Kata-kata Maya menyebabkan Anisah
memalingkan wajah untuk melihat Maya.
"Dalam hidup aku sekarang ada satu motto saja.
What Maya wants, Maya gets. Tak
ada sesiapa yang dapat halang aku. Aku harap kau simpan baik-baik apa yang aku
cakap dalam kepala kau. Jangan sampai menyesal." Suara Maya sebelum
meninggalkan Anisah bersama berbagai perkara yang bermain di benaknya.
Sedang Anisah mengelamun mengenangkan apa yang sedang
menimpa dirinya, pintu dibuka.
"Kak Anisah. Dah siap ke belum?"
"Sekejap, sekejap. Dah siap dah pun." Anisah
tergesa-gesa mencapai beg untuk meninggalkan tempat itu.
***
Anisah menghulurkan beberapa keping kertas lima puluh
ringgit kepada Zaiton.
"Eh, apa ni Anisah?" Zaiton memerhatikan wang yang
dihulurkan.
"Ambil lah Kak Eton. Upah tolong jaga anak-anak
saya."
"Apa banyak sangat. Kau tu nak pakai duit untuk
anak-anak. Lagipun Kak Eton ikhlas jaga anak-anak kau."
"Masa ada ni saya berilah. Kalau dah tak ada nanti saya
diam-diam aje." Anisah berkata dengan nada berseloroh.
Zaiton akhirnya menyambut wang yang dihulurkan. "Terima
kasih Anisah. Dalam keadaan macam ni pun kau masih ingat pada orang lain."
Sejurus itu kedengaran bunyi hon di pekarangan rumah Anisah.
"Okeylah Kak Eton. Saya nak ke hospital dengan kawan.
Nak pergi melawat."
"Yalah."
"Mama pergi dulu sayang," suara Anisah sambil
mengucup ubun-ubun Suraya.
***
"Kita nak melawat siapa, Eja?" Tanya Anisah sambil
mereka berdua menapak meninggalkan kawasan parkir di hospital.
"Kak Anisah ikut aje. Nanti semuanya akan
terjawab."
Mereka menuju ke sebuah wad hospital yang dikhususkan untuk
seorang pesakit. Kelihatan seorang wanita tua sedang terlantar bersama alat
pernafasan dan saluran cecair yang disambungkan ke bahagian tubuhnya.
"Inilah mak Eja. Satu-satunya darah daging Eja yang
masih hidup." Kata-kata gadis itu membuatkan Anisah terpaku.
"Macam mana boleh jadi macam ni?" Tanya Anisah.
Eja terdiam seketika sambil menghampiri tubuh ibunya.
"Lepas SPM Eja ke KL untuk sambung belajar. Satu hari
tu keluarga Eja beria-ia nak jumpa Eja di kolej. Tapi hari tu Eja rasa macam
tak sedap hati sambil menunggu dia orang sampai." Eja memulakan cerita
sambil mengusap rambut ibunya yang terlantar.
"Eja tunggu dia orang tak sampai-sampai. Dah petang
baru mak cik Eja telefon beritahu. Kereta yang ayah pandu terbabas masa
berselisih dengan lori. Hanya mak Eja yang selamat. Itupun dia tak sedar
daripada koma, sampai sekarang." Wajah Eja kelihatan mendung walaupun
tiada air yang ditumpahkan.
"Satu hari pihak hospital buat keputusan untuk hentikan
life support sebab tiada siapa nak
biaya kos rawatan mak. Masa tu Eja terpaksa buat keputusan drastik dalam hidup.
Eja berhenti belajar dan cari kerja untuk tanggung mak di hospital. Tapi walau
macam mana kuat Eja kerja sekalipun, duit sentiasa tak cukup. Kemudian Eja
jumpa seorang pekerja di Nirvana Night Life. Dia bawa Eja jumpa dengan Madam
Vie. Semenjak itu Eja kerja dengan dia, dan wang untuk kos rawatan hospital
sentiasa mencukupi."
"Kenapa Eja tak biarkan pihak hospital hentikan life support? Eja pernah terfikir tak
kalau-kalau mak Eja setuju dengan keputusan pihak hospital."
"Entahlah kak. Saya tak tahu kenapa saya masih mahu mak
ada di samping Eja. Eja rasa sejuk hati Eja bila setiap hari Eja ke sini untuk
menatap wajah mak, walaupun Eja tak dapat bertentang mata dengan dia. Walaupun
Eja tak dapat lihat senyum dia, atau berbual dengan dia. Eja rasa dalam keadaan
ini dia masih ada bersama Eja dan mendoakan Eja, walaupun hakikatnya dia sedang
koma."
Dalam pada itu Anisah sedar pengorbanan yang telah dibuat
oleh Eja untuk seorang yang bergelar ibu.
'Hanya mereka yang tahu nilai kehadiran seorang ibu yang
masih bernyawa sahaja yang dapat menghargai nikmat itu.' Hati Anisah membuat
deduksi selepas apa yang dilihat.
***
Usai menziarahi ibu Eja di hospital, mereka berdua pergi ke
sebuah restoran.
Trut! truuut!
Telefon bimbit Anisah berbunyi ketika mereka menunggu
hidangan tiba. Anisah melihat nombor yang terpampang di skrin tanpa nama
pemanggil.
"Siapa kak?"
"Entah. Tak pernah tengok pun nombor ni."
"Helo."
"Helo Anise. Ini Datuk Hazman. You sibuk ke hari
ni?"
"Ada apa datuk?"
"Tak ada apa. Cuma kalau you free boleh I ajak you
keluar petang ni. Semenjak kita jumpa semalam, I asyik ingat kat you. Rindu I
semakin membara."
"Saya ada benda nak settle sekarang ni datuk. Nanti kalau
dah selesai saya call datuk, okey?"
"Okey, bye Anise." Suara datuk hazman sebelum
perbualan ditamatkan.
"Kenapa kak?" Tanya Eja.
"Bala." Jawab Anisah dengan selamba.
"Bala?"
"Datuk Hazman telefon akak. Macam mana dia dapat nombor
telefon ni?"
"Biasalah tu. Mungkin Madam Vie yang bagi. Klien punya
pasal. Dia nak apa?"
"Dia nak ajak akak keluar."
"Bahaya tu kak. Kalau Si Maya tahu boleh jadi perang
dunia. Datuk Hazman memang macam tu. Playboy." Eja memberikan buah
fikirannya.
"Tapi kenapa Si Maya terhegeh-hegeh dengan lelaki macam
tu?" Tanya Anisah.
"Itulah masalahnya sekarang. Datuk Hazman memang
pantang nampak daging baru di kelab. Maya pulak nak Datuk Hazman jadi milik dia
sorang. Akibatnya orang baru macam kakak yang jadi mangsa. Dan entah berapa
ramai lagi pekerja yang dah tinggalkan kelab. Itulah sebenarnya masalah di
Nirvana Night Life ni kalau akak nak tahu." Terang Eja.
Anisah tenggelam dalam lamunan memikirkan pergolakan yang
sedang dihadapi.
'Orang macam Maya kena diajar.' Minda Anisah cuba
mempengaruhinya secara tiba-tiba.