BAB
6
KAMELIA
sudah hilang di dalam perut bangunan ketika Amir bangkit. Dia berjalan dari
dalam kegelapan menuju ke arah cahaya unggun api yang jingga kekuningan. Tiada
rasa takut atau gentar berada di situ dalam kawasan yang lengang dan sunyi.
Hanya bangunan-bangunan terbiar yang tinggal bersama pokok-pokok liar yang mula
membelit dan mendominasi kawasan itu. Persis pemandangan di sebuah set studio
Hollywood untuk filem pasca-apokalips. Cuma semuanya ini bukan rekaan manusia,
sebaliknya hasil kejadian alam secara semulajadi.
Sehinggalah
Amir ternampak wajah Zombion dalam percikan cahaya unggun api. Rasa ngeri seperti
sedang melihat mayat yang hidup semula. Dengan kulit pucat tiada berdarah yang
mengalir. Dengan mata yang tidak terpengaruh dengan simbahan cahaya. Retinanya
tidak lagi bertindakbalas dengan cahaya secara membesar atau mengecil. Mata
putih mendominasi dengan retina yang begitu kecil.
Amir
memalingkan pandangan dengan rasa kecut perut. Tangan diselukkan ke dalam kocek
jaket hitam yang dipakai. Langkah diperderaskan agar segera masuk ke dalam
bangunan yang menjadi tempat mereka berlindung.
“Amir,”
tegur Zombion.
Langkah
Amir terhenti dengan rasa malas. Dia tidak selesa melayan Zombion ketika itu.
Kalau boleh biarlah ketika mentari sudah menggalah dan wajah lelaki itu tidak
seseram sekarang.
Dengan
terpaksa Amir berpaling melihat Zombion. Namun hanya sekejap dan pandangan
dialihkan dengan rasa seram yang merayap seperti ratusan lipas yang menjalar
dari kaki hingga ke segenap inci tubuhnya.
Kalau
diikutkan hati, dia akan terus masuk tanpa mengendahkan Zombion. Namun naluri
prihatinnya mengalah. Dia mengambil tempat duduk di sebuah bonggol batu
bertentangan dengan Zombion. Unggun api menari berliang liuk di antara mereka.
Ami
menjeling melihat wajah Zombion. Entah mengapa dia dapat rasakan yang Zombion
perasan apa yang sedang dia rasa sekarang. Timbul pula rasa bersalah, walaupun
Amir tahu itu bukan salahnya semata-mata.
“Kau…
tak tidur?” Amir terasa kekok memulakan perbualan.
Zombion
tidak memberi sebarang riak muka. Hanya merenung unggun api dengan pandangan
yang dingin. Tanpa perasaan.
“Dulu
aku dapat rasa nikmat tidur. Melelapkan mata dengan rasa mengantuk secara
automatik. Setelah tubuh dapat rehat yang cukup, mata terbuka dan aku tersedar.
Tapi mekanisma itu dah tak ada lagi dalam tubuh aku.” Jawab Zombion sambil
terus merenung unggun api dengan mata yang aneh.
“Kenapa?”
tanya Amir, naif.
“Tubuh aku memang tubuh manusia, tapi fungsi
yang ada dulu semua dah hilang. Semenjak jantung aku berhenti berdenyut.”
“Maksud
kau… kau dah… mati?” tanya Amir dengan berhati-hati.
Zombion
ketawa kecil. “Dulu aku takut mendengar perkataan tu. Atau yang sama erti
dengannya. Maut, ajal… tapi sekarang aku rasa maksudnya macam tidur. Cuma apa
yang aku alami selepas terjaga berlainan sekali. Tubuh ini, sistem hayat aku,
cara aku melihat kehidupan.”
Perlahan-lahan
rasa seram Amir melihat Zombion mula hilang. Sebaliknya timbul rasa takjub dan
simpati kepada Zombion, silih berganti.
“Siapa
kau sebelum kau… err… mati?” Amir terasa pelik menggunakan perkataan itu.
“Aku
tak tahu.”
“Tak
tahu? Tapi kau tahu perasaan kau bila teringat pasal maut.” Amir rasa hairan.
Zombion
menarik nafas. Mungkin tindakan spontan seperti masa dia masih hidup dahulu.
“Ada
yang masih aku ingat. Tapi tentang hidup aku, kosong. Lompang. Semuanya
hilang.”
Amir
tidak bersuara. Dia hanya memikirkan kejadian pelik yang menimpa Zombion.
“Sejauh
mana kau kenal Byron?” tanya Zombion.
“Byron?
Aku?” Amir menggelabah hendah menjawab. “Err… aku tak kenal dia. Aku cuma
dengar nama dia masa dalam tandas. Masa aku dapat tahu kod masuk makmal sulit
tu.”
Zombion
terdiam.
“Kau
kenal dia?” tanya Amir.
“Aku
belum pernah berdepan dengan dia. Cuma aku pernah dengar suara dia masa tubuh
aku jadi bahan eksperimen. Cahaya silau sampai aku tak nampak muka dia.”
“Siapa
yang kenal dia?” Amir jadi teruja dengan tiba-tiba.
“Kamelia.
Dan Halim. Mereka pernah berdepan dengan dia sebelum jadi bahan eksperimen
Gen-X. Yang lain aku tak pasti.”
Zombion
termenung seketika seperti sedang mengimbau memori silam dalam kotak mindanya.
“Misi Byron bermula dengan niat yang luhur. Konon-kononnya untuk membantu
mangsa selepas perang nuklear dulu. Termasuk beberapa tawanan askar Filipina,
seperti Aquilar dan adik dia. Tapi matlamat itu berubah bila dia nampak potensi
kajian Gen-X. Dia rasa seperti tuhan dengan keistimewaan ini. Dengan mencampur
adukkan DNA, dia mampu mencipta makhluk baru. Dia hilang pertimbangan tentang
norma kemanusiaan. Batas antara manusia, haiwan dan elemen habis semuanya dia
langgar.”
“Tapi…
takkan pihak berkuasa tak tahu tentang hal ni?” Amir cuak.
“Byron
licik. Dia pandai tutup segala rahsia dengan muslihat dia. Orang berkenaan
semua dia dah beli. Mulut mereka dah dia tutup rapat.”
“Kau
dan yang lain kan dah terlepas. Kenapa kau tak beritahu dunia apa yang
berlaku?” Amir dapat idea spontan.
Zombion
gelak sinis. “Dan cetuskan kacau bila manusia tahu kewujudan makhluk seperti
kami? Berita itu lebih mengejutkan daripada kajian di Gen-X. Masalah lebih
banyak kalau dunia tahu.”
“Tapi
kau dan yang lain kena buat sesuatu. Bukan bersembunyi saja. Sampai bila?” Amir
cuba membakar.
“Bukan
mudah manusia nak terima kejadian makhluk seperti kami. Sedangkan binatang aneh
pun mereka puja dengan bermacam kemuliaan. Seperti benda keramat. Atau mungkin
dianggap akan mendatangkan untung. Lebih teruk kalau kami dirasakan seperti
ancaman. Dan disenyapkan buat selama-lamanya.”
Amir
terdiam. Kata-kata Zombion ada kebenarannya.
Rasa
seram bersama Zombion sudah hilang. Sebaliknya dia sudah dapat merasakan
keperitan yang dialami oleh Zombion dan yang lain. Manusia yang tidak lagi
dapat menjalani kehidupan normal kerana perbezaan mereka.
Amir
hanya mampu mengeluh kesal.
“Kau
tak mahu berehat? Makin lama siang semakin hampir. Ada perkara penting kita
akan rancang esok.” Zombion seperti memberi kebenaran untuk Amir pergi
beristirehat.
“Aku…
belum mengantuk.” Amir berdalih. Hakikatnya masalah geng mutan di situ
dirasakan seperti masalahnya sendiri.
“Pergi
tidur. Kau bukan macam aku. Aku hanya boleh berangan tidur macam dulu. Tapi tak boleh rasa nikmat tu lagi.” Pujuk Zombion.
“Tidur
pun ada kelemahannya. Waktu tidur seseorang boleh jadi lemah. Musuh boleh buat
apa saja pada dia.” Amir berseloroh.
“Kau
fikir aku tak ada kelemahan. Aku pun ada suis yang boleh memadamkan fungsi
hayat aku.” Zombion ketawa.
“Kenapa
kau beritahu aku? Kalau aku gunakan maklumat tu untuk menyebabkan kau susah,
macam mana?”
“Kau
berani? Mungkin lepas tu kau takkan dapat tinggal di sini dengan kami semua
lagi. Aku yang akan pastikan.”
Mereka
tertawa. Suasana yang menyeramkan bagi Amir tadi kini sudah berubah sepenuhnya.
Mereka bergelak ketawa seperti sedang berkhemah di depan unggun api semasa trip
santai.
Hinggalah
Aquilar dan Seri Dewi muncul. Gaya mereka seperti sedang berhadapan dengan
ancaman.
“Kenapa?”
tanya Zombion.
Amir
turut terkena tempias dengan ketegangan mereka. Dia terasa cemas.
“Ada
pengintip di kawasan kita. Aku syak mungkin orang Byron.” Kata Seri Dewi.
Aquilar
yang muncul dari udara tadi kini telah menguncupkan kepaknya hingga tidak
berapa kelihatan dalam gelap malam.
“Aku
ternampak mereka di Kawah Maut. Aku rasa ada ramai lagi yang akan ke sini.”
Kata Aquilar.
“Tapi
macam mana mereka tahu?” Zombion belum pasti.
“Mungkin
lepas aku dan Amir balik dari makmal tadi. Tapi macam mana mereka boleh nampak
dalam gelap? Lagipun aku terbang laju tadi.” Jawab Aquilar.
Mereka
menghentikan perbualan dan mula mara menuju ke arah Kawah Maut.
“Kau
masuk. Beritahu Halim dan Kamelia supaya berjaga-jaga.” Kata Zombion sebelum
berlalu.
“Aku
nak ikut.” Amir cuba membantah.
“Bahaya!
Kita tak tahu apa yang mereka nak. Mungkin untuk menghapuskan kita semua.”
Zombion bertegas.
Amir
masuk ke dalam. Dalam keadaan gelap dia tidak pasti di mana Kamelia dan Halim.
Ketika dia sedang mengatur langkah, kedengaran derap ranting dan dedaun kering
di luar kawasan bangunan yang gelap.
Amir
jadi cemas. Dia pasti itu bukan Aquilar, Seri Dewi atau Zombion. Mungkin ada
pengintip yang telah berjaya lolos ke kawasan itu.
Amir
tidak jadi mencari Halim dan Kamelia. Sebaliknya dia menyusup keluar bangunan.
Mencari perlindungan di celah-celah batu.
Bunyi
langkah menuju ke arahnya semakin lama semakin hampir. Hingga hanya beberapa
kaki berhampiran. Amir terkaku. Dia tidah tahu ke mana hendak lari lagi.
Tersilap langkah, pasti mereka akan menghidu kehadirannya di situ.
Susuk-susuk
tubuh itu semakin hampir. Kelihatan beberapa orang lelaki dengan pakaian
senyawa hitam bersama kelubung kepala dalam cahaya rembulan. Mereka memakai
gogel untuk melihat di dalam gelap menggunakan pancaran cahaya inframerah.
Adoi…
apa aku nak buat ni? Kalau ada yang perasan aku kat sini, habislah aku. Hati
Amir membebel dengan keresahan yang tidak tergambar.
Salah
seorang daripada mereka sudah begitu hampir dengan Amir. Amir cuba tunduk
supaya tidak kelihatan di celah-celah batu. Amir hanya memasang telinga
mendengar derap kaki manusia itu. Semakin lama semakin jauh. Begitu juga dengan
yang lain.
Amir
menggunakan peluang itu untuk lari. Baru beberapa langkah dia memecut,
kedengaran ada yang mengejarnya dari belakang. Amir berlari menuju ke dalam
bangunan dengan nafas tercungap-cungap. Belum sempat dia masuk, muncul beberapa
manusia berpakaian senyawa hitam.
Amir
terkepung. Dia mengangkat tangan ke kepala sebagai isyarat menyerah diri. Belum
sempat mereka menyentuhnya, muncul sesuatu dari langit menyerang manusia itu.
Dia tercampak beberapa meter dari Amir.
Kedengaran
lolongan beberapa orang dalam kesakitan seperti diserang binatang buas.
Bunyinya amat mengerikan. Kemudian muncul Zombion bertempur tanpa senjata
dengan beberapa orang penyerang hendap. Akhirnya semua tewas di tangan Zombion.
Kemudian
muncul Aquilar dan membawa pergi satu demi satu manusia yang baru mereka
tewaskan pergi dari situ. Amir masih tercungap-cungap dengan debaran yang masih
belum surut. Dia merasakan sudah berada di rahang bahaya dan tidak dapat
diselamatkan lagi tadi.
“S-s-siapa
mereka ni?” Amir memberanikan diri bertanya.
“Aku
pasti orang Byron. Aneh. Macam mana dia tahu kita di sini? Apa yang mereka cari
sebenarnya?” Zombion berceloteh.
“Kita
tak selamat lagi sekarang. Kita kena selamatkan yang lain dulu sebelum
berpindah dari sini.” Aquilar memberi cadangan. Ketika itu Seri Dewi muncul
sambil mengelap tubuhnya yang digenangi cecair likat berwarna gelap. Amir pasti
itu darah.
Zombion
tidak menjawab. Dia seperti sedang memproses maklumat tentang kejadian yang
baru berlaku. Melihat keadaannya, Zombion merengus sebelum terbang pergi.
“Apa
kita nak buat sekarang?” Seri Dewi tidak mendesak. Sebaliknya dia memberi ruang
untuk Zombion membuat keputusan.
Zombion
masih terpinga-pinga. Melihat keadaannya, Amir turut berasa simpati. Lelaki itu
persis seorang komander yang berwibawa dengan rupa parasnya. Namun karisma itu
seolah-olah telah hilang.
Halim
dan Kamelia muncul sejurus kemudian. Seri Dewi bercerita dengan mereka tentang
apa yang baru berlaku. Amir hanya memerhatikan keadaan Zombion.
Tidak
lama kemudian, Zombion bersuara. “Kita kena berjaga-jaga malam ini. Mungkin
mereka akan datang menyerang lagi.”
Amir
menarik nafas lega. Namun Aquilar sudah tidak kelihatan lagi. Yang Amir pasti,
lelaki bersayap itu tentu sedang memantau keadaan sekeliling sebelum sempat
menerima arahan dari Zombion.