Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 14

14

 

PINTU bilik kelas dibuka dan cepat sahaja seorang wanita melangkah masuk bersama senyuman ditebarkan kepada insan-insan ‘kerdil’ di hadapannya.

“Assalamualaikum semua.” Salam, Suhailah berikan sementelah kesemua penghuni bilik 5 Amanah itu beragama Islam.

“Waalaikumussalam cikgu.” Serentak seramai 20 orang pelajar berusia lima tahun itu menjawab salamnya.

“Pandai adik-adik cikgu semua. Baiklah siapa kenal nama cikgu?” Lembut Suhailah bertanya.

Beberapa orang pelajar mengangkat tangannya.

“Yang tengah-tengah tu, mari ke depan.” Akhirnya Suhailah mengarahkan seorang pelajar perempuan berkedudukan di tengah-tengah para pelajar yang lainnya datang ke depan saat si kecil itu mengangkat tangan.

Tanpa Suhailah sedari ada insan lain membuntuti pelajar perempuan itu.

Kedua-dua pelajar seusia itu berdiri di sisi kiri Suhailah. Melihatkan kedua mereka, cepat sahaja dia menelah apakah nama yang mewakili diri kedua-dua pelajar itu.

“Baiklah siapa yang saya arahkan untuk ke hadapan tadi?” soal Suhailah lagi.

“Saya cikgu.” Insan yang betul-betul kedudukannya di sisi Suhailah menjawab.

“Habis tu kenapa pulak adik comel di sebelah awak tu ikut awak ke depan?” Masih belum puas Suhailah menyakat kedua pelajar itu.

Tertunduk insan yang dimaksudkan. Ketakutan mulai mewarnai wajah kecil itu.

“Janganlah takut. Cikgu main-main je,” senyuman, Suhailah lemparkan dan saat mata jernih itu melihatkan senyuman itu pantas sahaja riak ketakutan terusir.

“Baiklah. Siapa nama cikgu?”

“Nur Suhailah, cikgu.” Serentak kedua-dua pelajar perempuan bertudung di sisinya menjawab. Kesungguhan terpamer di wajah mereka.

“Macam mana adik berdua boleh tahu nama cikgu, Nur Suhailah?” Sengaja Suhailah mahu menyakat.

“Tu. Dekat atas tudung cikgu tu ada papan tanda nama Nur Suhailah.” Insan di sisi Suhailah segera menjawab.

Semerta tawa kecil terhambur. Masakan tidak, pin tanda nama dikatakannya ‘papan tanda’ nama. Bukan setakat Suhailah tetapi seluruh penghuni kelas itu turut memberikan reaksi yang sama, malahan tawa mereka menandingi nada tawanya.

“Betullah nama cikgu, Nur Suhailah, kan?” soal insan di sisi Suhailah, bersungguh-sungguh.

“Betul sayang. Tapi… ini bukannya papan tanda nama, tapi pin tanda nama.” Lembut Suhailah menerangkan.

“Ooo… kita ingatkan papan tanda nama tadi.” Kali ini bukan insan di sebelah Suhailah yang bersuara.

Memang Suhailah tidak nafikan, budak perempuan itu perwatakannya lebih manja berbanding budak perempuan di sisinya.

“Walau macam manapun, cikgu nak ucapkan tahniah sebab adik berdua dapat menjawab soalan. Oleh itu berikan tepukan untuk si cerdik berdua ni ya,” arah Suhailah.

Segala arahannya dituruti dan sekejap sahaja bilik bersaiz sederhana itu bergema dengan tepukan. Setelah senyap menghalau hingar bingar sebentar tadi, Suhailah mulai menumpukan semula perhatiannya kepada kedua-dua insan di sisinya.

“Baiklah. Oleh kerana kamu berdua dapat menjawab dengan betul, cikgu akan melantik kamu berdua untuk menjadi ketua dan penolong kelas. Setuju semua?” Pandangannya dihalakan ke depan dan terdengar teriakan.

“Setuju cikgu!!!” Bersemangat benar kanak-kanak itu pada hari pertama persekolahan mereka.

“Cikgu lantik kamu menjadi ketua kerana kamu merupakan orang pertama yang mengangkat tangan sewaktu cikgu bertanyakan soalan tadi.” Suhailah halakan pandangannya tepat ke arah insan di sisinya.

“Dan cikgu lantik kamu pula untuk menjadi penolong kerana keberanian kamu mengikuti rakan kamu ke hadapan.” Suhailah halakan pula pandangannya ke arah insan yang sedang membuka mulutnya untuk memulakan percakapan.

“Cikgu ini bukan kawan saya. Tapi ini kakak saya,” tutur si kecil itu.

Sudah diagak itulah yang hendak diperkatakan oleh si comel itu.

“Kakak? Ooo… nampaknya kita ada pasangan adik beradik di sini. Baiklah. Sekarang cikgu nak kamu berdua memperkenalkan diri masing-masing.”

Insan di sisi Suhailah menoleh pada pasangan kembar di sebelahnya sebelum kedua mereka menghalakan semula pandangan ke arah teman-teman di hadapan.

“Nama saya Siti Laila Binti Mohd. Rouf.” Si kakak bersuara kuat.

“Nama kita Siti Laili Binti Mohd. Rouf.” Si adik pula bersuara nyaring dan semerta tepukan bergemuruh.

Senyuman Suhailah pula kian memekar saat mengetahui tekaannya sebentar tadi tepat sama sekali.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.