4
SEJAK memulakan pemanduan mulut Aliif tidak
habis-habis meluahkan ketidaksenangannya, “Kenapa pulak kita yang kena beli
barang? Suruhlah abah yang pergi. Bukan ke adik abah yang nak datang malam ni,
ni kita pulak yang nak kena susah-susah pergi sana sini.”
“Abahkan dah tua. Cepat penat. Takkan nak
susahkan abah pulak.” Lembut tuturan Suhailah.
Aliif terus membisukan mulutnya. Pandangan masih
dihalakan ke hadapan dan stering kereta masih dipegang kuat, petanda amarah
masih membuku di hatinya.
“Akak tak suruh adik ikut. Kan, akak suruh adik
temankan ibu je dekat rumah. Akak boleh memandu sendiri,” tutur Suhailah lagi.
Diam. Masih tiada kata-kata balasan daripada Aliif.
Figuranya juga masih mencuka.
“Adik… akak tahu adik masih marahkan abah sebab
benarkan Pak Alang tu tidur di rumah kita. Tapi nak buat macam mana, abah tukan
ketua keluarga. Kita kenalah hormat dia,” Suhailah cuba mereasionalkan adiknya
itu.
“Tapi rumah tu rumah akak. Bukannya rumah abah!”
Tanpa disangka-sangka, Aliif membentak.
“Tak baik adik cakap macam tu. Dengar abah,
kecil hati dia.” Suhailah mengalihkan pandangannya ke arah insan di sisinya.
“Tak adanya abah dengar. Dah tentulah abah dekat
rumah. Lagipun betul apa adik cakap… abah tak boleh sesuka hati nak benarkan
Pak Alang tu datang rumah, dia kena tanya akak dulu.” Aliif mempertahankan
kata-katanya.
“Tak payah tanya. Sebab akak tak pernah larang
sesiapa pun untuk datang ke rumah tu.” Segera Suhailah menjawab.
“Adik tak fahamlah akak ni! Orang tua tu dah
cakap macam-macam dekat akak pun, akak masih boleh bersabar lagi!” Intonasi Aliif
kian meninggi. Suhailah tahu untuk situasi seperti ini dia harus terus
berlembut dengan adiknya itu.
“Adik… akak tak pernah simpan dalam hati apa
yang Pak Alang pernah katakan pada akak. Akak dah lupakan semuanya,” ujar
Suhailah.
“Tipu! Mungkin akak boleh tipu orang lain. Tapi
bukan adik. Adik kenal akak. Kenal sangat!” Laju Aliif mematahkan penipuan
kakaknya itu.
Suhailah terdiam. Tergamam. Tidak tahu untuk
melahirkan kata apa lagi. Sia-sia baginya untuk melahirkan kata-kata saat mulut
adiknya itu dikuasai dengan amukan jiwanya. Hampir sepuluh minit suasana beku
di antara dirinya dan adiknya itu sebelum pacuan empat rodanya diparkirkan elok
di tempat letak kereta IOI Mall.
“Turunlah.” Ghaib sudah nada amarah Aliif.
“Adik tak nak ikut?” ajak Suhailah.
“Malaslah.” Aliif
menolak.
“Kalau macam tu, adik tunggu akak dekat sini ya.
Adik nak kirim apa-apa tak?” soal Suhailah di penghujung kata-katanya.
“Adik nak kirim sekilo kesabaran boleh?” Selamba
Aliif menuturkan permintaan itu.
Suhailah sudah tersenyum. Tahulah dia, kemarahan
sudah mulai meninggalkan hati adiknya itu sedikit demi sedikit.
“Ada jual tak?” Sekali lagi soalan, Aliif
tujukan kepada kakaknya itu. Tetapi kali ini senyuman sudah mulai merekah di
bibirnya.
“Tak ada. Tapi kalau adik nak akak belikan buku
panduan untuk menjadi insan penyabar, akak boleh carikan. Nak?” sakat Suhailah
pula.
“Tak payahlah. Buat habis duit akak je. Nanti
adik nampak muka pak cik tua tu, hilang semua panduan-panduan yang adik baca.
Dahlah, akak pergilah cepat. Kang membebel pulak abah dekat rumah tu. Yalah,
kan ke adik kesayangannya tu nak ‘bertandang’ ke rumah kita. Tetamu
terhormatlah katakan,” sinis Aliif.
Suhailah hanya
menggelengkan kepala. Adiknya yang seorang ini kalau sudah membebel,
mengalahkan perempuan.
“Yalah. Akak pergi dulu.” Segera Suhailah
membuka pintu kereta sebelum mengatur langkah.
Suhailah mengeluarkan senarai barang yang hendak
dibeli setelah mendapatkan troli. Dia memacu trolinya ke bahagian barangan
basah. Satu persatu barangan yang tercatit di dalam senarai dicarinya.
Sememangnya dia senang untuk membeli-belah di Pasaraya AEON ini kerana setiap
barangannya tersusun rapi. Barangan basah dan kering turut diasingkan malahan
barangan Non-Halal juga sudah
diletakkan di satu bahagian lainnya.
“Alhamdulillah semua barang dah dapat.” Suhailah
tersenyum sambil matanya mengerling ke arah jam di pergelangan tangannya dan
pada saat itulah…
Bump!!!
“Maaf Encik, saya tak sengaja.” Laju tuturan
maaf meluncur dari bibir Suhailah saat troli yang ditolaknya berlanggar dengan
troli di hadapannya itu. Lelaki bertubuh tinggi itu hanya memandangnya. Tiada
riak marah. Pandangannya bagaikan terpaku.
“Maaf Encik, saya tak sengaja.” Kemaafan,
Suhailah tuturkan sekali lagi.
“Tak… tak… tak apa.” Agak tergagap lelaki itu
menuturkan kata-katanya. Segaris senyuman dilemparkan dan pantas sahaja
Suhailah membalasnya sebelum langkah diteruskannya untuk menghampiri kaunter
pembayaran.
“Pak Long… Pak Long tengok apa tu?” soal si
kecil yang baru sahaja tiba di sisi lelaki itu.
Lelaki itu masih memandang ke arah wanita yang
sedang memunggahkan barang-barang di dalam trolinya ke atas kaunter pembayaran.
Wanita itu entah mengapa mampu mencuri perhatiannya.
“Pak Long kenal ke kakak tu?” Si kecil yang
sama, masih bertanyakan soalan.
“Ha? Apa?” Terpinga-pinga lelaki itu.
“Tak… kakak tanya, Pak Long kenal ke kakak tu?”
Si kecil sudah memandang tepat ke wajah bapa saudaranya.
“Kakak mana?” Masih terpinga-pinga lelaki itu
saat dia melahirkan pertanyaan.
“Kakak yang Pak Long tengok tulah. Pak Long
kenal ke? Ke kawan Pak Long?” Lancar si kecil menuturkan dua pertanyaan
serentak.
Lelaki itu terdiam lagi. Kenalkah dirinya dengan
wanita itu? Seingatnya inilah kali pertama dia bertentang mata dengan wanita
itu. Tetapi entah mengapa terasa bagai ada satu perasaan indah menyelusup ke
dalam jiwanya saat terpandangkan sepasang mata sayu milik wanita itu.
“Kakak! Adik dah jumpa susu coklat Dutch Lady,”
berlari si adik mendapatkan kakaknya.
“Adik jumpa dekat mana?” soal si kakak pada adik
sebayanya.
“Tu dekat sana tu.” Jari telunjuk kecilnya terus
dihalakan ke satu bahagian yang dikhaskan untuk hasil tenusu serta
minuman-minuman botol dan tin lainnya.
“Pak Long. Kakak dengan adik pergi sana kejap
tau,” maklum si kecil yang bertanyakan pelbagai pertanyaan sebentar tadi.
Lelaki itu hanya menganggukkan kepalanya
sedangkan matanya masih memerhatikan wanita yang sedang menolak trolinya keluar
setelah pembayaran selesai dilakukan. Langkah wanita itu kian menjauh.
“Siapa wanita itu?” Tanpa sedar soalan itu
meluncur keluar dari bibir lelaki bertubuh tinggi itu.
BEGITU senang Jaafar melayani adik dan adik
iparnya di meja makan.
“Makan lebih sikit Basri. Bukannya selalu kau
datang rumah abang ni,” ramah Jaafar.
“Tu, isteri kau tu… tambah lagi nasinya,” pelawa
Jaafar lagi.
“Tak apalah Bang Long. Tadi siang, saya dan
isteri saya dah makan dah dekat rumah Azrul,” maklum Basri.
“Rumah Azrul? Dia bukan duduk dengan kamu ke?”
Laju Jaafar bertanya.
“Taklah. Nak dekat sebulan dah dia duduk rumah yang
dia beli dekat Subang tu.” Sedikit riak Basri memaklumkan.
‘Dah mula dah!!!’ jerit hati Aliif. Namun
mulutnya masih mengunyah makanan. Ditoleh kakaknya di sisi. Wajah kakaknya itu
masih beriak tenang. Dikerling pula ibunya di sebelah. Muka ibunya itu sudah
sedikit mencuka, petanda yang dirinya juga tidak menggemari akan topik
perbualan yang sedang dibualkan oleh suami dan adik iparnya itu.
“Besar rumahnya. Mengalahkan rumah aku.
Bertingkat-tingkat lagi. Apa nama rumah anak kita tu Fauziah? Susah berbeno aku
nak menyebutnya.” Basri memandang ke arah isterinya.
“Apartmen… tak silap saya,” jawab Fauziah.
“Lah… apartmen je. Ingatkan rumah banglo lima
tingkat tadi,” perli Aliif.
Terkejut Suhailah dengan kata-kata perlian yang
meluncur keluar dari bibir adiknya itu. Suhailah mengerling ke arah adiknya.
Namun adiknya itu masih beriak selamba, bagai tiada salah apa yang
dilakukannya. Abahnya pula sudah memerah mukanya menahan amarah. Pak Alang dan
Mak Alangnya terus sahaja mencuka wajah mereka.
“Eloklah si Azrul tu beli rumah. Tak lama lagi
dah nak mendirikan rumah tangga. Senang kalau dah ada rumah sendiri. Tak payah
nak menyewa. Zaman sekarang ni bayaran sewa rumah pun dah macam bayar ansuran
rumah dekat bank. Rugi kalau menyewa ni. Berapa umur si Azrul tu?” Jaafar cuba
menyelamatkan keadaan. Tidak mahu adik dan adik iparnya itu terus-terusan
terasa.
“31 tahun dah umurnya. Tu yang aku membebel
suruh cepat langsungkan pernikahannya tu. Bakal isterinya tu pulak budak lagi,
baru lepas SPM.” Masih riak Basri berbicara.
“Eloklah tu, dapat isteri muda-muda ni untung.
Nanti kalau kita sakit ada jugak yang nak menjaganya.” Sedikit berlainan nada
Jaafar kali ini.
Asiah sudah menjeling tajam ke arah suaminya.
Panas hatinya dengan bicara suaminya itu.
“Yalah. Betullah tu. Lebih baik dapat pucuk muda
daripada yang dah ‘liat’,” sinis Basri.
Terhenti suapan makanan Suhailah ke mulutnya.
Dia tidak menyangka Pak Alangnya itu sanggup melahirkan kata-kata seperti itu.
Dia yakin kata-kata itu memang ditujukan kepadanya apatah lagi saat melihatkan
jelingan Pak Alangnya itu. Jelingan yang lebih kepada mencebik sebenarnya.
‘Ya ALLAH…’ Hanya kalimah suci itu yang Suhailah
harapkan untuk memadamkan rasa sakit di hatinya. Sakit di hati itu hanya ALLAH
sahaja yang tahu bagaimana rasanya.
“Kamu ni pulak bila lagi nak mendirikan rumah
tangga Suhailah?” soal Fauziah.
Suhailah terkaku sekali lagi saat mendengar
pertanyaan Mak Alangnya itu. Apakah jawapan yang terbaik dapat dilahirkan? Dia
tahu jawapan apa pun yang diberikan takkan menghentikan penghinaan dan perlian
pasangan suami isteri di hadapannya itu.
“Tak payahlah nak jual mahal sangat. Awak tu
bukannya muda lagi.” Kian sinis bicara Basri.
Hampir sahaja Suhailah menitiskan air matanya
saat mendengarkan itu.
“Apa yang Pak Alang nak sibuk sangat pasal akak.
Biarlah dia nak kahwin ke tidak. Dia nak jual mahal ke apa, biarlah. Bukannya
ada susahkan sesiapa pun.” Aliif melepaskan rasa tidak puas hati yang berbuku
sedari tadi.
“Aliif!” Terdengar garang suara Jaafar memanggil
nama anaknya itu. Terhenti bicara Aliif, namun dari riak wajahnya, Jaafar tahu
hati anaknya itu masih ‘membengkak’.
“Dekat kampung Pak Alang tu ada Tuan Haji kaya.
Dia tu baru je kematian isteri. Kalau kamu sudi Pak Alang boleh aturkan.” Basri
tidak henti-henti menyakiti hati anak saudaranya yang satu itu.
“Tak payah! Saya tak izinkan anak saya
dijodoh-jodohkan dengan sesiapa yang dia sendiri tak berkenan.” Tegas nada
Asiah sebelum dia bangkit dan berlalu dari meja makan itu.
“Ibu!” Seraya memanggil nama insan yang sudah
mendaki anak tangga, Aliif lantas bangkit untuk mengatur langkah.
Namun baru selangkah aturannya, dipusingkan
tubuhnya menghadap kakaknya. Bergenang air mata Aliif. Rasa bersalah sedang
berbalah di hatinya. Haruskah dikejar ibu yang sudah menjerut rasa atau
kakaknya yang sedang mengulum derita?
Perlahan Suhailah menundukkan sedikit kepalanya
sebagai petanda agar adiknya itu pergi memujuk ibu mereka yang sudah
tersinggung benar hatinya. Aliif pantas meneruskan niat untuk mendapatkan
ibunya yang sudah mengurungkan dirinya di dalam bilik barangkali dan Suhailah…
dia masih berada di meja makan itu bagi menghadapi kekejaman kata-kata yang
pasti sahaja merabakkan hati yang sudah sedia terluka.