Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 20

20

 

TERSARUNG sepasang kurung merah jambu yang begitu cantik di susuk tubuh wanita tinggi lampai itu. Langkahnya juga penuh longlai sehingga menarik beberapa pasang mata nakal. Lelaki-lelaki berhidung belang itu tersenyum dan berbisik sesama sendiri. Ada yang cuba bersiul untuk menarik perhatian wanita itu. Namun wanita itu meneruskan langkahnya, sedikitpun tidak ditoleh ke arah lelaki-lelaki yang menjelikkan hatinya.

Butang lif terus ditekan. Sekejap sahaja pintu lif terbuka dan butang angka tiga ditekan. Seketika kemudian, pintu lif terbuka semula. Wanita itu melangkah, kian sopan aturannya. Sekali lagi kehadiran wanita berkurung itu menarik perhatian staf di aras tiga itu.

“En. Syam ada?” Lembut wanita itu bertanya.

“Ada… tapi… En. Syam tengah meeting. Cik Sally ada buat appointment ke dengan En. Syam?” Sedikit gagap Nurul menjawab. Matanya pula masih memandang tepat ke arah wanita yang sedang mengukirkan senyuman manis tika ini.

Sepanjang dia mengenali teman wanita orang atasannya itu, tidak pernah sekalipun dia melihat wanita itu menyarungkan sepasang kurungan mahupun melemparkan senyuman manis seperti saat ini. Tetapi kenapa? Kenapa hari ini penampilan serta perwatakan wanita yang masih merenung lembut ke arahnya ini berbeda sama sekali?

“Emm… tak apalah. Kalau macam tu, saya tunggu di sini dulu.” Habis menuturkan kata-kata, Sally melangkah ke arah sofa di ruangan menunggu itu.

Biarpun hatinya membentak kerana perancangannya sedikit ‘tercalar’ gara-gara teman lelakinya itu sedang bermesyuarat. Namun ditahankan hatinya itu dari memaki hamun wanita yang menyandang jawatan setiausaha kepada insan yang amat dicintainya itu.

Nurul pula masih memandang ke arah Sally. Bagai tidak berkelip matanya. Mungkin masih tidak mempercayai wanita cengil itu sudah ‘bertukar wajah’.

‘Apa pandang-pandang? Aku korek biji mata kau tu, baru kau tahu!’ tengkingan itu hanya bergema di daerah hati Sally yang kian membengkak. Tidak mahu dihamburkannya di dalam bentuk lisan. Takut rancangannya hari ini gagal.

Setelah hampir setengah jam menunggu, barulah pintu bilik mesyuarat terbuka. Masih terdengar perbualan di antara Dato Haji Malik, Syam, Rouf dan Faizul biarpun mesyuarat sudah tamat.

Nurul menghampiri orang-orang atasannya. Senyuman dilemparkan.

“Dato nak saya uruskan untuk makan tengah hari ke?” Lembut Nurul bertanya.

“Tak, tak perlu sebab I dah buat tempahan untuk lunch ni.” Laju Dato Haji Malik menjawab.

Nurul mengangguk tanda faham. Namun langkahnya tetap jua tidak diatur pergi. Syam yang sudah lama mengenali setiausahanya itu, bagaikan dapat ‘menangkap’ sesuatu. Apatah lagi, sepasang mata Nurul sedari tadi asyik mengerling ke arahnya.

“Selepas ni I ada appointment dengan sesiapa ke?” Agak ‘berlapik’ pertanyaan Syam.

“Tak ada. Tapi… ada orang yang ingin bertemu dengan En. Syam.” Perlahan Nurul menjawab.

“Siapa?” Laju soalan itu dituturkan. Namun bukan Syam yang bertanyakan soalan itu.

“Siapa yang ingin bertemu dengan En. Syam, pada waktu-waktu busy macam ni?” Sekali lagi Dato Haji Malik bertanya. Namun kali ini pertanyaannya diselitkan dengan ‘perlian’.

Hati tuanya bagaikan dapat menangkap gerangan siapakah yang sedang ‘menyebukkan’ dirinya untuk bertemu dengan anak sulungnya itu.

“Sally, Dato,” jawapan daripada Nurul itu sememangnya sudah dijangkakan. Biarpun Dato Haji Malik cuba menenangkan dirinya. Namun perubahan di wajah tua itu, sudah dapat menggambarkan betapa dirinya tidak menyenangi wanita cengil itu.

Rouf berpandangan sesama Faizul. Kedua mereka mengerti apa yang sedang bergolak di jiwa insan tua di hadapan mereka dan serentak pula mereka menoleh ke arah Syam. Lahir rasa simpati mereka pada lelaki itu. Sayu benar wajah Syam tika ini.

“Papa… papa kata, nak lunch tadi. Jomlah kita gerak sekarang. Nanti lambat pulak.” Rouf cuba mengendurkan suasana.

Diam. Dato Haji Malik masih membisukan mulutnya.

“Papa… jom kita gerak sekarang.” Kali ini Syam pula cuba memujuk hati tua papanya itu.

Syam tahu kenapa papanya itu bersikap begitu. Semuanya gara-gara kelewatannya tempoh hari untuk menyambut kedatangan Tan Sri Chang yang mengadakan lawatan ke syarikatnya. Dia tahu kemarahan papanya itu masih belum padam sepenuhnya dan kini… saat ini, kemarahan itu menyalakan apinya semula. Bagi papanya, Sallylah, punca kelewatannya tempoh hari dan sememangnya itulah kenyataannya. Andailah dia mendengar nasihat adiknya, Rouf agar tidak menikmati makan tengah hari bersama Sally, pasti keadaan tidak menjadi seteruk ini.

“Mana Sally?” ajakan anak-anaknya tidak diendahkan. Persoalan pula dituturkan oleh Dato Haji Malik.

“Ada di ruangan menunggu Dato.” Lancar Nurul menjawab.

“Syam.” Ada ketegasan dalam panggilan itu.

“Ya. Papa.” Berdebar-debar dada Syam saat menjawab panggilan papanya itu.

“Papa nak kamu bawa Sally menikmati makan tengah hari bersama kita.” Habis menuturkan kata-kata itu, Dato Haji Malik mengatur langkah. Rouf sempat mengerling sekilas ke wajah abangnya sebelum menuruti langkah insan di hadapannya. Hanya Faizul yang masih utuh di sisi sahabatnya.

“Saya minta diri dulu, En. Syam,” ujar Nurul.

Anggukan lemah pengganti bicara, Syam berikan.

“Kau okey ke?” Berhati-hati Faizul bertanya.

“Kau rasa?”

Well… emm… macam nilah bro, kali ni nak tak nak kau mesti bawa Sally bertemu dengan papa kau tu. Kau pun tahukan mood papa kau masih belum okey sepenuhnya pasal kes Tan Sri Chang tu. Jadi, aku rasa… ALLAH telah memberikan peluang kepada kau dan Sally untuk memulihkan semula keadaan.” Masih berhati-hati Faizul memberikan pendapat.

“Maksud kau?” Laju Syam menyoal.

“Apa kata, kau pujuk buah hati kau tu untuk minta maaf dengan papa kau. Hati orang tua… taklah sekejam mana.”

“Kau ingat Sally tu nak tunduk pada papa aku?” soal Syam lagi.

“Aku tak suruh kau buat dia tunduk pada papa kau. Aku kata, pujuk! Maknanya aku nak kau pujuk Sally untuk meminta maaf pada papa kau. Tu je.”

“Macam mana kalau aku tak berjaya pujuk dia?” Syam kian bingung.

“Kalau macam tu. Satu je caranya.” Saat ini sepasang mata milik Faizul menikam pandangan sayu milik Syam.

“Macam mana?”

“Paksa. Kau kena paksa dia!” Bahu Syam ditepuk perlahan sebelum langkah diatur pergi.

“Paksa…” Perlahan Syam mengulangi perkataan itu dan entah mengapa dadanya berdebar perlahan.

 

RESTORAN THAI SAPURA menjadi pilihan Dato Haji Malik untuk menikmati makan tengah hari.

Rouf mengambil tempat di sebelah papanya. Manakala Syam dan Sally pula melabuhkan punggung berhadapan dengan mereka. Mata tua milik Dato Haji Malik masih meneliti wanita muda di hadapannya. Ada sesuatu yang sangat-sangat menarik perhatiannya.

Dari segi pemakaian ternyata wanita itu lebih tertib berbanding kebiasaannya. Tiada lagi skirt pendek dan baju ketat membaluti tubuh tinggi lampai itu. Tiada lagi solekan tebal menutupi cela di wajahnya dan tiada lagi tuturan cegil yang sentiasa mendidihkan hati tua milik Dato Haji Malik. Semunya nampak sempurna… namun saat terpandangkan kuku wanita itu yang ‘dicatkan’ dengan warna merah, hatinya sebal semula. Ternyata wanita itu tidak berjaya ‘membunuh’ kejahatan yang ada di dalam dirinya dengan sempurna. Masih ada ‘sisa’ yang tertinggal.

“Cantik you hari ni.” Rouf sekadar memuji untuk meredakan ketegangan yang sudah mulai menampilkan ‘dirinya’.

Syam hanya tersenyum. Tidak dapat menangkap akan maksud yang cuba disampaikan oleh adiknya itu. Selebihnya, hatinya sangat riang melihatkan perubahan si buah hati. Saat terpandangkan wajah insan di sebelahnya sewaktu di pejabat tadi, hatinya bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Wanita berbaju kurung itu sememangnya Sally!

“Terima kasih.” Kepura-puraan terus melatari bicara lembut Sally.

“Faizul mana?” Ternyata Dato Haji Malik tidak mengendahkan pujian Rouf kepada ‘bakal menantunya’.

Syam tersinggung dengan tingkah papanya dan Sally pula sudah membara hatinya. Namun lakonan terus dilayarkan. Senyuman masih dikekalkan.

“Faizul call tadi. Dia kata tak dapat nak lunch sama-sama. Ada urusan katanya,” ujar Rouf.

“Ya ke? Ke, dia tak senang ada ‘orang luar’ dekat sini,” sinis bicara Dato Haji Malik.

Ternyata kali ini Sally ‘kalah’ dan riak muka cengilnya muncul semula. Syam terkedu, tidak tahu hendak berbuat apa biarpun hati Sally sudah terluka. Rouf pula hanya menundukkan wajahnya. Ternyata papanya itu benar-benar ingin ‘memuntahkan’ amarahnya terhadap peristiwa tempoh hari. Peristiwa yang melibatkan kelewatan abangnya bertemu dengan rakan baik papanya, Tan Sri Chang.

“Papa… jom kita makan. Takut sejuk pula lauk nanti.” Rouf beralasan.

Dato Haji Malik tidak menjawab apa. Hanya matanya sahaja yang kian menikam pandang tehadap kedua insan di hadapannya. Wajah anak sulungnya serta ‘bakal menantunya’ itu dipandang silih berganti.

“Kamu dah solat Sally?” soal Dato Haji Malik tiba-tiba.

Terkejut Sally mendengar pertanyaan lelaki tua di hadapannya itu.

‘Ya Allah… kenapa papa ni…’ Hati Syam sudah berdenyut risau. Ditoleh teman wanita di sebelahnya. Ternyata wajah putih itu sudah memucat.

“Kenapa diam?” soal Dato Haji Malik lagi. Terselit ‘ujian’ di atas pertanyaan itu.

“Papa…” Lembut panggilan Rouf selembut sentuhan tangannya di bahu papanya itu.

Niatnya, agar papanya rasa terpujuk dan menghentikan segala apa yang sedang dilakukannya. Andai papanya itu hendak merencanakan apa pun, bukanlah di saat ini. Saat mereka semua sedang menghadap rezeki.

“Saya dah solat.” Perlahan suara Sally.

‘Pembohong!!!’ Namun jeritan itu hanya bergema di daerah hati tua milik Dato Haji Malik sahaja. Senyuman mengejek terus diukirkan. ‘Ujian’ yang dilancarkan sebentar tadi ternyata gagal disempurnakan oleh ‘bakal menantunya’ itu.

“Emm… kiranya Sally ni rajinlah orangnya ya. Setiap kali lepas solat, ‘cat’ balik kuku tu. Rajin betul,” senyuman mengejek terus melebar.

Berdesing telinga Sally dan memerah wajahnya kali ini menahan amarah bercampur malu. Sakit hati kian bertimpa mengenangkan sikap Syam yang hanya membisukan mulut saat dirinya ‘dihina’ berkali-kali.

‘Tak guna punya orang tua!!!’ jeritan bergema di hati Sally bersama sesalan kerana mengikuti Syam menikmati makan tengah hari.

“Papa sudahlah tu. Tolonglah jangan macam ni.” Akhirnya Syam bersuara. Cuba untuk menghentikan niat papanya dari terus menerus menyakiti hati Sally.

“Papa tak buat apa-apa pun. Kan… Sally?”

“Memang uncle tak buat apa-apa… cuma… saya je yang selalu sakitkan hati uncle. Saya minta maaf.” Tersekat-sekat Sally menuturkan kata-katanya. Nada kemarahan cuba dikawal.

Ketiga-tiga lelaki itu tersentak mendengar pohonan maaf. Mana mungkin perempuan seego Sally begitu mudah untuk menuturkan ‘kata keramat’ itu. Ada apa sebenarnya?

“Kenapa kamu nak minta maaf? Kamu ada menipu uncle ke?” Dato Haji Malik tidak mempercayai ketulusan pohonan maaf Sally sebentar tadi. Sally begitu licik baginya. Pasti ada sesuatu yang diingini wanita itu!

“Tak… maskud saya… saya nak minta maaf pasal kes Tan Sri Chang tu. Kalau tak disebabkan saya, mungkin Syam takkan terlewat untuk bertemu dengan Tan Sri.” Sally masih menundukkan wajahnya.

Tidak mahu dia mengalihkan pandangannya ke arah lelaki tua yang menjelikkan hatinya itu. Andai tidak disebabkan nasihat yang diterima daripada mamanya, tidak ingin dia merendahkan maruahnya seperti ini!

Syam kian terpaku. Tidak disangkanya, Sally menerima pujukannya sewaktu di dalam perjalanan tadi. Ternyata teman wanitanya itu sudah berubah.

Rouf cuba untuk mencari keikhlasan di wajah Sally. Namun niatnya terhalang akibat tindakan bakal kakak iparnya itu yang masih menundukkan wajahnya.

Dato Haji Malik langsung tidak berkata apa. Perlahan dia mengambil garpu dan sudu sebelum menikmati hidangan di hadapannya. Sesaat Rouf dan Syam mengikuti tingkah papa mereka.

“Makan Sally.” Akhirnya Dato Haji Malik ‘menerima’ Sally di kalangan mereka.

Sally tersenyum. Hatinya bersorak keriangan sedangkan hati tua Dato Haji Malik sudah memacakkan prasangka yang bukan-bukan. Dia yakin wanita muda itu tidak pernah ikhlas dalam mempamerkan kebaikannya sebentar tadi.

Previous: BAB 19
Next: BAB 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.