Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 1

1

 

SESEKALI lelaki itu mengerling jam di pergelangan tangannya. Raut wajahnya menggambarkan sedikit kegelisahan. Sesaat kemudian diseluk kocek seluarnya. Sebuah handphone sudah dipegang kemas sebelum butang di atas gajet itu ditekan-tekan. Sekejap sahaja terpampang sepuluh digit nombor di atas skrin. Pasti bahawa nombor-nombor itulah yang hendak dihubungi cepat sahaja butang hijau ditekan.

Tut… tut… tut…

“Kenapa pulak busy line ni? Adui… risaunya aku,” keluhan berserta rasa di hati diluahkan serentak.

“Assalamualaikum.”

Terasa bahunya disentuh perlahan saat huluran salam itu didengarinya. Tertoleh kepalanya untuk melihat siapakah gerangan yang masih meletakkan tangan di atas bahunya. Saat menatapi wajah insan di hadapannya, pantas sahaja tubuhnya berdiri.

“Aliif?” soal lelaki misteri itu.

“Ya saya. Encik ni siapa?” soal Aliif masih tidak dapat mengecam siapakah lelaki di hadapannya itu.

“Takkan kau tak kenal aku. Cepat betul kau lupakan kawan lama,” tersenyum lelaki misteri itu.

“Kawan lama?” berkerut dahi Aliif saat otaknya ligat menyelongkar memori untuk mengenal pasti figura di hadapannya itu.

“Kawan satu universiti. Senior kau.” Lelaki yang mempunyai ketinggian yang hampir sama dengan Aliif

memberikan hint.

Kian berkerut wajah Aliif.

“Okey… kau ingat tak masa sesi orientasi ada seorang senior yang suruh kau cium perut dia? Kau ingat tak?” hint terus-terusan diberikan.

“Cium perut?” membulat mata Aliif saat persoalan itu meluncur keluar dan cepat pula aturan ayat lain menitir di bibirnya, “Ya Allah… kau… Rouf, kan?”

Laju lelaki yang masih mengukirkan senyuman itu menganggukkan kepala.

“Astaghfirullahal azhim… dah lama aku tak jumpa kau. Mana kau menghilang?” Pelukan pantas sahaja menyatukan dua sahabat yang sudah lama terpisah.

“Masih di bumi Malaysia,” seloroh Rouf setelah dia melabuhkan punggungnya.

Aliif mengikut rentak sahabatnya itu. Duduk bersebelahan menyebabkan Aliif dapat melihat perubahan yang jelas pada diri Rouf setelah hampir lima tahun mereka terpisah.

“Aku ingat kau dah lupakan aku.” Mendatar suara Rouf.

“Mana boleh aku lupakan orang yang suruh aku cium perut dia. Nasib baik berlapik. Kalau tak mahu muntah darah, aku dibuatnya,” senyuman membarisi kata-kata Aliif.

Semerta memori lama terimbau. Bermula dengan sesi orientasi itulah Aliif mengenali Rouf. Perkenalan yang bermula dengan peristiwa dibuli, telah mengakrabkan kedua mereka.

Biarpun Rouf merupakan senior kepada Aliif, namun lelaki itu tetap sahaja mahu bergaul malahan bersahabat dengan dirinya. Rouf yang dikenalinya merupakan seorang sahabat dan suami yang baik. Seingat Aliif sewaktu Rouf berada di tahun akhirnya di universiti, isteri sahabatnya itu sedang sarat berbadan dua.

Teringatkan itu, pantas sahaja Aliif menuturkan persoalan, “Isteri kau macam mana? Sihat? Dah berapa dah anak kau sekarang?”

Senyuman yang masih terukir di bibir Rouf termati. Aliif bagai dapat mengesan kepincangan di wajah sahabatnya itu.

“Rouf... kenapa ni? Aku ada salah tanya ke?” Berhati-hati Aliif menyoal.

“Tak… cuma… soalan kau tu mengingatkan aku balik pada dia,” sayu nada Rouf kali ini.

“Dia? Siapa?” Segera Aliif bertanya, tanda tidak mengerti siapakah yang dimaksudkan oleh sahabat lamanya itu.

Terdengar helaan nafas berat keluar dari bibir Rouf sebelum mulutnya menuturkan kata-kata, “Isteri aku. Dia… dah meninggal.”

“Inna Lillahi Wa inna ilaihi raji’un… bila isteri kau meninggal?” Perlahan Aliif bertanya.

“Tiga tahun lepas. Dia kemalangan… waktu tu aku berada di China, ada urusan syarikat yang perlu aku selesaikan. Kalaulah aku tak pergi ke sana… mungkin semua ni takkan terjadi,” kesayuan terus-terusan menguasai emosi Rouf saat dia terkenang kembali peristiwa yang meninggalkan kesedihan dan kekecewaan yang amat mendalam terhadap dirinya dan insan-insan di sekelilingnya.

“Tak baik kau cakap macam tu. Ajal, maut ni semuanya urusan ALLAH. Bila tiba masa dan ketikanya kita akan menemui PENCIPTA kita. Aku tahu kau sedih. Tapi… keredhaan itu perlu agar kita yang masih hidup ini mendapat rahmatNYA dan semoga isteri kau di sana juga akan mendapat bahagia.” Segera Aliif memujuk hati sahabat yang berduka.

“Betul… dan aku perlu hidup agar kedua anak aku tidak merasai kehilangan tempat bergantung,” kesayuan masih bersisa di dalam ucapan Rouf tika ini.

“Dua orang? Wah! Hebat kau.” Aliif cuba berseloroh bagi mengusir mendung di wajah Rouf.

“Alhamdulillah. Aku dapat kembar. Siti Laila dan Siti Laili, itulah pusaka yang telah ditinggalkan oleh arwah Fatin untuk aku,” senyuman sudah menutupi kesayuan yang bertempek di wajah Rouf sebentar tadi.

“Berapa umur dia orang?” soal Aliif penuh minat.

“Nak dekat 5 tahun. Kau pulak berapa orang anak sekarang?” Kelihatan sedikit bersemangat saat Rouf bertanyakan soalan itu.

“Satu je,” jawab Aliif bersahaja. Tiada riak apa pun terukir di wajahnya.

“Alhamdulillah. Siapa namanya?”

“Namanya tekak,” senyuman penuh makna sudah terukir di bibir Aliif.

“Ha? Tekak?” soal Rouf masih tidak mengerti yang dirinya sedang dipermainkan.

“Ha’ah. Tekak. Anak tekak,” berderai tawa Aliif. Senang hatinya dapat mempermainkan sahabat lamanya itu.

“Kurang asam betullah kau ni. Tak habis-habis mengenakan aku,” geram Rouf dengan insan yang masih bersisa tawanya itu.

Suasana kembali tenang sebelum Rouf menuturkan semula persoalan, “Isteri kau orang mana?”

“Aku manalah ada isteri.” Selamba Aliif menjawab.

“Tulah kau, jual mahal sangat. Kan dah tak laku,” sinis Rouf.

“Minta maaf En. Rouf, bukan aku yang jual mahal tapi perempuan-perempuan tu yang jual murah sangat. Tu yang aku tak lalu tu. Asal aku kenyit mata sikit, dah mengendeng. Asal aku siut sikit, dah meleret senyumannya. Tu yang aku tak yakin nak buat calon isteri. Cubalah kalau aku nak menggatal, dia orang herdik aku sikit. Barulah aku berkeyakinan nak jadikan perempuan tu sebagai permaisuri hidup aku.” Aliif membuat pembelaan ke atas dirinya.

Rouf hanya tersenyum. Namun di dalam hati, dia mengakui kebenaran itu, “Kiranya kau masih sololah ni. Habis tu dari tadi lagi aku tengok kau gelabah semacam je. Kejap-kejap tengok jam. Kejap-kejap buat call. Kau tunggu siapa sebenarnya?”

“Ya Allah… macam mana aku boleh lupa ni,” gelabah Aliif.

Aliif pantas mencapai semula handphonenya. Namun saat matanya terlihatkan seorang wanita yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam restoran itu, tarian jari jemari di atas butang gajetnya itu terhenti. Matanya terus terpaku kepada wanita yang sedang melilaukan pandangannya itu.

“Wah. Pandai kau buat pilihan,” jujur Rouf yang turut memakukan sepasang matanya ke arah wanita itu.

Aliif mengerutkan dahinya tanda tidak mengerti.

“Dari cara kau pandang perempuan tu pun aku tahu.” Yakin benar Rouf dengan tekaannya.

“Kau tahu apa?” Laju Aliif bertanya. Dia sudah tersenyum. Mahu sahaja dia memuntahkan tawanya saat mindanya dapat menangkap akan maksud kata-kata sahabatnya sebentar tadi.

“Muka kau tu. Ceria semacam je lepas nampak perempuan tu. Jangan-jangan kau ada hati dengan perempuan tu tak?” serkap Rouf.

Senyuman Aliif kian melebar, tawa juga hampir terburai.

“Kita main teka-teki nak?” ajak Aliif.

Kali ini giliran Rouf pula berkerut dahinya mendengar kata-kata Aliif itu.

“Kalau kau jawab dengan betul, aku akan bagitahu apa hubungan aku dengan perempuan tu. Agak-agak kaulah… berapa umur perempuan tu?” Permainan bermula.

“Umur? Emm… mungkin sebaya aku,” teka Rouf.

“28 tahun? Salah,” ujar Aliif.

“Kalau macam tu… mungkin sebaya kau?” Rouf masih mahu meneka.

“26 tahun? Lagilah bukan.” Segera Aliif menafikan tekaan Rouf.

“Habis tu? Takkanlah lebih 30 tahun kot?” Was-was Rouf dengan tekaannya itu.

Perlahan, Aliif menganggukkan kepalanya. Membulat mata Rouf, bagaikan tidak percaya. Pantas sahaja sepasang mata miliknya difokuskan tepat ke arah wanita yang masih melilau-lilaukan pandangannya. Wanita itu, sederhana tingginya. Sempurna pemakaiannya. Dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki ditutupi auratnya kecuali muka dan tapak tangannya. Kulit kuning langsat menyempurnai wajah ketimurannya. Ya! Wanita itu cukup sempurna. Apatah lagi saat bibirnya mengukirkan senyuman. Senyuman?

‘Ya Allah. Dia senyuman pada aku ke?’ Semerta persoalan itu terlahir di hati Rouf.

“Kau perasan tak perempuan tu senyuman pada aku?” soal Rouf perlahan kepada insan di hadapannya.

“Pada kau? Bukan pada kaulah. Pada aku,” nafi Aliif.

Rouf pantas memandang sahabatnya yang sedang membalas senyuman wanita yang kian menghampiri meja mereka.

“Kau kenal ke perempuan tu?” soal Rouf, inginkan kepastian.

“Kenal.” Sepatah Aliif menjawab.

“Dia makwe kau ke?” Kian giat Rouf bertanya.

“Kau gila! Bukanlah. Sebenarnya…” kata-kata Aliif terhenti.

“Adik. Maaf, akak lambat. Ada hal sikit dekat tadika tadi. Tu yang akak lambat tu. Adik dah lama tunggu ke?” Belum sempat Aliif menuturkan kebenarannya, wanita yang sudah berdiri tepat di hadapan mereka itu telah merungkaikan segala-galanya.

‘Kakak? Aliif ada kakak ke?’ Soalan bergema di hati Rouf sedangkan matanya masih utuh meneliti insan di hadapannya.

Figura yang masih tidak diketahui siapakah namanya itu benar-benar memukau hatinya. Wajah wanita itu cukup lembut, selembut suaranya. Kelembutan yang dikombinasikan dengan kejelitaan wanita itu melahirkan kemusykilan di hati Rouf, ‘30 tahun lebih? Benarkah itu usianya?’

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.