Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 15

15

 

ABANG!!!” jerit Rouf.

Tertoleh insan yang sedang dipaut manja lengannya oleh seseorang.

“Abang nak keluar ke?” soal Rouf saat menghampiri abangnya. Terlihat wanita seksi di sisi abangnya itu tidak menyenangi persoalan itu.

“Abang nak keluar lunch kejap. Kenapa?”

“Emm…” Bagaikan tersekat bicara Rouf saat teman si abang menarik mukanya.

“Ada apa sebenarnya?” Masih tenang Syam menuturkan pertanyaan buat kali keduanya.

“Tadi papa call. Papa cakap petang nanti Tan Sri Chang nak visit syarikat kita. So, papa nak kita standby dekat ofis,” maklum Rouf.

“Pukul berapa Tan Sri Chang datang?” Laju Syam menyoal.

“Mungkin dalam pukul tiga petang macam tu.”

Segera Syam melirik jam di pergelangan tangannya. Raut wajahnya yang gusar sebentar tadi lenyap seketika.

“Alah, baru pukul 12. Apa nak kecoh,” sinis Sally.

Tersentak Rouf mendengar bicara kasar daripada wanita yang sedang mengerling ke arahnya. Andai tidak diingatkan bahawa wanita itu adalah insan yang teramat dicintai abangnya, mahu sahaja ditampar pipi wanita itu.

Rasa malu menyusup laju ke dalam diri Syam dengan tingkah kekasihnya itu. Sudah acap kali Syam mengingatkan wanita yang sedang menarik-narik lengannya itu agar menjaga tingkah laku dan bicara sewaktu bersama dengan ahli keluarganya. Namun segala teguran dan peringatannya langsung tidak terkesan di hati batu teman wanitanya itu.

“Tak apalah abang. Abang keluarlah lunch dulu. Tapi jangan lambat pulak masuk ofis. Takut papa cari nanti lain pulak jadinya.”

‘Macamlah kau tu big boss. Menyebuk aje! Suka hati pakwe akulah nak masuk pukul berapa!’ Namun kata-kata tengkingan itu hanya mampu bergema di hati Sally sahaja.

Masih terselit sedikit ketakutan untuknya memuntahkan maki hamun kepada bakal adik iparnya itu. Sally takut andai dirinya terlebih menunjukkan sikap sebenarnya, mungkin peluangnya untuk menjadi isteri Syam kian menipis.

“Dah habis bincang ke? I laparlah,” rengek Sally.

Mahu sahaja Rouf memuntahkan isi perutnya di situ saat mendengar suara lembut yang sengaja dibuat-buat oleh wanita yang sudah pun tergedik-gedik di sisi abangnya itu.

“Okeylah abang. Adik masuk ofis dululah.”

“Yalah. Tapi… nanti kalau papa cari abang, adik tolong cover ya,” pinta Syam.

Rouf mengerti akan maksud abangnya. Andailah papanya mendapat tahu yang abangnya ini hendak menikmati makan tengah hari bersama Sally pada saat syarikat memerlukannya, pasti sahaja amukan papanya itu mampu menggegarkan bangunan tiga tingkat ini.
Anggukan diberikan sebelum Rouf berpaling dan mengatur langkah. Masih banyak urusan yang harus disegerakan sebelum Tan Sri Chang menghadirkan dirinya ke Megah Engineering & Construction Sdn. Bhd.

 

“KENAPA you ni?” soal Sally.

Syam masih mendiamkan dirinya.

“You ni macam tak suka keluar lunch dengan I je.” Sengaja Sally mensayukan suaranya untuk meraih simpati.

“Bukan tak suka,” balas Syam.

“Habis tu apa?” soal Sally masih tidak berpuas hati dengan jawapan pendek kekasih hatinya itu.

Syam sudah mengeluh. Tidak terdaya rasanya untuk menjawab persoalan daripada teman wanitanya itu. Kadangkala hatinya menjadi bosan dengan persoalan yang entah apa-apa.

“You dah habis makan dah?” Sengaja Syam melencongkan topik perbualan.

“You tak nampak ke banyak lagi makanan dalam pinggan I ni?”

“I nampak dan I pun nampak yang you langsung tak jamah makanan tu. You just kuis-kuis je nasi tu. Look Sally! I’m so busy today.”

“So what?!”Sally sudah mulai membentak.

Syam pantas memalingkan wajahnya ke arah lain. Malas rasanya dia hendak melihat wajah cengil di hadapannya. Apatah lagi fikirannya sudah ‘terbang’ ke pejabat.

“You memang langsung tak ada hati nak memulihkan hubungan kita, kan?”

Diam. Syam masih membisukan mulutnya, namun hatinya sudah meluahkan rasa bosannya, ‘Dah start membebellah tu.’

“You dengar tak apa yang I cakapkan ni?!”

Sunyi. Syam masih mematungkan dirinya.

“Syam! You jangan nak cabar I!!!” Suara Sally kian meninggi.

Kerlingan insan di sekeliling akhirnya melumpuhkan kebisuan Syam, “I tak pernah cabar you! Tapi you sedar tak yang you ni sentiasa mencabar diri I. Sally… I malas nak bergaduh dengan you. Dah tak larat dah rasanya untuk I bertekak dengan you setiap hari! I rasakan… memang betullah kata papa. Mungkin I patut nilai semula diri you. Patut mencari kelebihan apa sebenarnya yang ada pada you sampai I boleh jatuh hati pada you! I tak rasa yang hubungan kita ni akan berjaya. Setiap hari bergaduh! I dah tak sanggup lagi. Dah lelah!”

Sally tergamam. Matanya tepat memandang ke arah insan di hadapannya. Patah sudah ‘taringnya’. Hilang sudah wajah cengelnya. Dadanya berdebar laju dan ketakutan cepat sahaja memanjat dirinya. Takut andai dirinya benar-benar kehilangan lelaki yang amat dicintainya itu!

“Apa maksud you? You… nak putuskan hubungan dengan I ke?” Bergetar suara Sally.

Tiada jawapan diberikan. Syam menarik nafasnya dalam. Cuba menstabilkan emosinya yang benar-benar terganggu tika ini, namun denyutan di kepala kian memberikan tekanan kepadanya. Sejujurnya, Syam sendiri tidak menyangka yang dia akan melahirkan kata-kata seperti itu. Tidak pernah terlintas pun di hatinya untuk memutuskan perhubungan yang sudah lama terjalin di antara dirinya dengan insan yang telah pun mengalirkan air mata.

“Betul ke… betul ke yang you nak putuskan hubungan dengan I? Betul ke yang you dah tak cintakan I? Betul ke Syam?” tangisan Sally semakin deras.

Melihatkan tangisan Sally yang kian beria cepat sahaja rasa bersalah yang beralaskan rasa cinta hadir menyusup ke dalam jiwa lelaki milik Syam.

“I betul-betul cintakan you. I… I tak pernah curang dengan you.” Sally mengelus jari jemari Syam yang berada di atas meja.

Syam pula hanya membiarkan sahaja jari jemarinya digauli oleh insan yang masih dicintainya itu. Namun kerana amarah yang tidak mampu ditahan-tahan sebentar tadi, maka terlahirlah segala apa yang sedang terbuku di hatinya selama ini.

“I terlalu menyintai you Syam. Jangan… jangan buat I macam ni,” rayu Sally tanpa henti.

Rayuan demi rayuan akhirnya mencairkan hati Syam dan memadamkan bara yang masih menyala di hatinya sebentar tadi.

“I tahu yang you terlalu menyintai I. Tapi… I perlukan seorang wanita yang memahami I. Seorang wanita yang dapat diterima oleh ahli keluarga I dan yang boleh bergaul mesra dengan mereka. Apa yang paling penting… I tak boleh terima bila seseorang sentiasa mengawal pergerakan I! Control I!”

Hati yang sedang memberontak akibat kata-kata yang dijamahi telinganya diabaikan. Hati yang sedang dikuasai iblis langsung tidak diendahkan. Apa yang penting tumpuannya kini hanyalah pada insan yang masih enggan menatapi wajahnya. Perkara pertama yang harus dilakukan tika ini adalah memesongkan sepasang mata milik Syam ke arahnya, kerana Sally yakin setelah insan yang dicintainya itu melihatkan figuranya yang sedang dilimpahi air mata pasti lelaki itu tidak sanggup untuk kehilangannya.

“Syam… pandang I Syam. Katakan yang you masih menyintai I.” Kian sayu suara Sally.

Pasangan-pasangan di sekeliling sudah berbisik sesama sendiri. Mahu tidak mahu terpaksa jua Syam mengalihkan tumpuannya ke arah wanita yang sedang berjuraian air matanya.

‘Ya ALLAH…’ Saat melihatkan figura di hadapannya, hanya kalimah itu terungkap di hati Syam.

Tidak pernah sepanjang tempoh percintaan mereka Sally begitu beria-ia tangisannya sehingga menghadirkan bengkak di matanya.

“I… I betul-betul cintakan you. Maafkan I, Syam. I janji I takkan control you lagi. I janji yang I akan cuba perbaiki hubungan I dengan famili you. Berikan I peluang sekali sahaja lagi. Tolonglah.” Seraya permintaan dipohon, Sally mengucup lama jari jemari Syam yang sudah pun digenggamnya. Agak lama dibiarkan bibir lembutnya ‘menggoda’ jari jemari insan yang amat dicintainya itu.

Melihatkan keadaan Sally yang masih enggan mengangkat wajahnya itu, Syam pantas…

“Baiklah. I berikan you satu lagi peluang.”

Mendengarkan itu, pantas sahaja Sally mengangkat wajahnya dan saat melihatkan anggukan lelaki di hadapannya itu segera hatinya menjerit! ‘Aku akan buat kau tunduk pada aku selepas ni!’

Senyuman manis dan esakan Sally sekali lagi memerangkap diri Syam!

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.