Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 13

13

 

SYAM menghampiri mamanya yang sedang bersendirian, “Mama tak tidur lagi?” tegurnya.

“Astaghfirullahal azhim… kamu ni Syam, cuba-cubalah bagi salam dulu.” Datin Hajah Zain mengurut-ngurut dadanya. Masih laju degupan jantungnya tika ini.

“Maaf ma,” tersengih Syam sambil mencium lembut pipi mamanya itu. Lebih kepada memujuk sebenarnya.

“Papa mana ma?” Syam lantas bertanya saat kelibat papanya tidak kelihatan di ruangan tamu banglo mewah itu.

“Ada dekat bilik bacaan dia tu. Tadi papa pesan dekat mama, kalau kamu balik dia suruh kamu terus jumpa dia. Ada hal penting nak dibincangkan katanya,” maklum Datin Hajah Zain.

“Hal apa ma?” Laju Syam menyoal.

“Manalah mama tahu. Kamu dah makan dah?” Prihatin Datin Hajah Zain.

“Belum ma.” Perlahan Syam menjawab.

“Nak makan dulu ke? Kalau nak makan mama boleh suruh Mak Nia sediakan untuk kamu.”

“Tak apalah ma. Syam jumpa papa dululah,” tolak Syam.

“Ikut kamulah. Nanti kalau kamu lapar, kamu suruh Mak Nia hidangkan untuk kamu ya.”

Anggukan diberikan sebelum Syam segera melangkah. Entah mengapa dadanya berdebar perlahan.

‘Pasal Sally ke?’ Kegusaran terluah jua di hatinya.

Tuk… tuk… tuk…

“Masuk!” laung Dato Haji Malik dari dalam bilik bacaannya.

Arahan sudah diterima. Lantas tombol pintu dipulas sebelum Syam memboloskan tubuhnya ke dalam ruangan yang kemas tersusun dengan sebuah rak buku gergasi disantakkan ke dinding dan sebuah meja bacaan di tengah-tengah ruangnya. Bilik bacaan ini tiada sesiapa yang dibenarkan masuk kecuali dengan keizinan papanya.

“Duduk,” arah Dato Haji Malik lagi.

Syam mengambil tempat di hadapan papanya.

“Lambat balik hari ni.” Mendatar nada suara Dato Haji Malik.
“Ada kerja sikitlah papa.”

“Penat?” soal Dato Haji Malik kemudiannya.
Jarang benar lelaki di hadapannya itu mengambil berat akan perihalnya dan entah mengapa tersentuh hati lelaki Syam saat telinganya menjamah pertanyaan itu.

“Biasalah pa. Dah nama pun kerja.”

“Kerja-kerja jugak. Tapi kesihatan tu kena jaga. Dah makan?”

Pelik! Kebisaannya papanya itu tidak akan bertanyakan perihal-perihal seperti itu. Ada apa sebenarnya?

“Belum pa. Kejap lagilah,” jujur Syam.

Dato Haji Malik mengangguk perlahan sebelum matanya ditentangkan dengan anak teruna di hadapannya.

“Faizul dah serahkan laporan kewangan pada kamu siang tadi?”

“Dah papa.” Segera Syam menjawab pertanyaan papanya itu.

“So? Macam mana?” Laporan ringkas diperlukan daripada anak sulungnya itu.

“Setakat ni laporan kewangan tu menunjukkan syarikat kita masih kukuh dan bebanan hutang pun semakin berkurangan.”

“Bagus,” tersenyum Dato Haji Malik mendengarkan kata-kata Syam itu.

Sunyi seketika menguasai suasana.

“Minggu lepas Tan Sri Chang ada menghubungi papa.” Sekali lagi Dato Haji Malik memulakan perbualan. Syam begitu tajam tumpuannya. Tidak mahu sepatah kata pun yang dituturkan papanya itu tercicir dari pemahamannya.

“Tan Sri beritahu papa yang dia akan membuka tender untuk sebuah projek perumahan di Serdang. Projek tu taklah sebesar projek mega di KLIA yang kita terlepas hari tu. Tapi kalau syarikat kita berjaya mendapatkan tender tu secara tidak langsung akan menaikkan nama syarikat kita di kalangan syarikat-syarikat gergasi di luar sana. Kamu fahamkan maksud papa?” Sedikit tegas nada suara Dato Haji Malik.

“Faham pa.”

“Bagus. Jadi mulai esok papa nak kamu mula kaji tentang projek tu. Sediakan kertas kerja secepat yang mungkin. Papa tak nak kita gagal lagi kali ni. Semua maklumat yang kamu perlukan ada dalam fail ni.”

Sebuah fail berwarna hitam diletakkan di muka meja. Cepat sahaja Syam mengambilnya sebelum menyelak seketika helaian di dalamnya. Agak lama Dato Haji Malik memandang tingkah anaknya itu. Dia tahu betapa selama ini dia terlalu berkeras dengan anak sulungnya itu. Baginya anak yang seorang ini memang baik budi pekertinya dan tidak pula keras kepalanya. Namun… untuk hal yang satu itu sahaja, hatinya sering membengkak. Hal yang berkaitan dengan maruah keluarga! Dan saat mindanya teringatkan kata-kata cucu kembarnya itu. Lantas…

“Laila dengan Laili kata kamu ajak Sally sekali waktu makan tengah hari tadi. Betul ke?”

Hampir sahaja tercampak fail yang sedang dipegang oleh Syam dan semerta debaran di dada muncul semula.

‘Apakah jawapan terbaik yang harus aku berikan? Haruskah aku memberitahu perihal sebenarnya? Ataupun mengiakan sahaja kata-kata papaku?’ Berpusu-pusu persoalan menerjah daerah hati Syam.

Dato Haji Malik masih memandang tepat ke arah anak terunanya itu. Tiada riak amarah mahupun riak senang di wajahnya. Melihatkan riak wajah papanya yang tidaklah secengil kebiasaannya saat perihal Sally dibangkitkan, lantas Syam mengambil keputusan untuk mengiakan sahaja kata-kata papanya itu dengan gerak tubuh anggukan pengganti lisan.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.