12
FAIZUL
menghampiri Nurul sebelum persoalan diutarakan kepada setiausaha itu, “Bos
ada?”
“Ada.” Lembut Nurul menjawab.
“Mood
bos baik ke hari ni?”
Untuk pertanyaan kedua itu Nurul
tidak membuka mulutnya untuk melahirkan kata. Hanya bahunya sahaja yang
dijungkitkan, tanda tidak tahu. Namun jawapan itu bukanlah kenyataan yang
sebenarnya. Apa yang sebetulnya Nurul mengetahui mood bosnya itu agak terganggu sepulangnya dia dari lunch tadi. Kesuraman yang menguasai
figura bosnya itulah buktinya.
“Takkan mood bos kau sendiri pun kau tak tahu,” perli Faizul.
“Bos aku, bos kau jugak. Dah aku tak
tahu. Aku cakaplah aku tak tahu.” Selamba Nurul membalas.
Faizul pantas menggaru-garukan
kepalanya yang tidak gatal.
“Kau ni kenapa? Lain macam je aku
tengok,” musykil Nurul dengan tingkah rakan sekerjanya itu.
“Tak ada apa-apalah.” Garuan
dihentikan. Kini kakinya pula yang mengorak langkah.
“Kau nak pergi mana tu?!” Sedikit
terjerit Nurul.
“Nak jumpa boslah.” Bersahaja Faizul
memaklumkan.
“Suka-suka hati kau je nak rempuh
bilik bos macam tu. Tunggulah aku interkom dulu.” Bengang Nurul dengan sikap
lelaki yang kian panjang langkahnya itu.
“Lambat.” Bersama sepatah kata itu
jari jemari Faizul laju mengetuk dada kayu di hadapannya.
Bertambah bengkak hati Nurul
dibuatnya, ‘Mentang-mentanglah kau tu kawan bos!’
Tuk… tuk… tuk…
“Masuk!” laung Syam. Sesaat terpacul
wajah Faizul di muka pintu bilik pejabatnya.
“Kau Faizul. Duduklah.”
Arahan daripada Chief Executive
Officer syarikat itu dituruti, “Sorrylah, kalau I ganggu En. Syam. En. Syam
busy ke?”
Hampir
sahaja senyuman merekah di bibir Syam saat mendengarkan ayat skema lelaki di
hadapannya itu. Lelaki yang dikenalinya sedari sekolah rendah itu sudah begitu
akrab dengannya dan kerana keakraban itulah terjalinnya persahabatan antara
mereka. Persahabatan yang dilanda dengan pelbagai ombak dan duri itu tetap jua
utuh sehingga ke hari ini. Namun bukan kerana talian persahabatan, Syam mengambil
Faizul bekerja. Tetapi kerana kelulusan dan kelayakannya.
“Tak
payahlah kau nak skema sangat. Bukannya ada sesiapa pun dekat bilik ni. Ada apa
kau datang jumpa aku ni?” soal Syam sambil memandang tepat ke arah Faizul.
Faizul
sudah tersenyum lebar mendengarkan kata-kata sahabatnya itu.
“Aku
bukan apa. Seriau tengok muka monyok kau tadi. Tu yang aku terus jadi skema
tu.”
Mendengarkan
itu, terus sahaja keluhan terpacul di bibir Syam.
“Ha!
Nampak tu… tu mengeluh-mengeluh tu adalah tu. Kau apa hal? Gaduh dengan Sally
lagi ke?” teka Faizul.
“Macam
mana kau tahu yang aku bergaduh dengan Sally?” Laju Syam bertanya.
“Come
on bro… Aku kawan dah lama kot dengan kau. Setakat muka monyok macam ni, siapa
lagi yang punya angkara. Sudah pastilah buah hati kau tu. Apa pulak cerita kali
ni?”
Seketika
Syam terdiam. Dibetulkan duduknya, “Tengah hari tadi… Aku dah janji dengan
anak-anak buah aku nak lunch dengan dia orang dekat luar. Jadi aku suruhlah Wak
Mukmin hantar dia orang dekat restoran tu dan aku pulak bertolak dari ofis. Kau
tahu tak aku jumpa siapa dekat sana?”
“Sally?”
Sekali lagi Faizul meneka.
“Belum
lagi. Maksud aku orang pertama yang aku jumpa Dani, anak Azura.”
“Azura?
Adik sepupu kau tu?”
Syam
menganggukkan kepalanya sebelum menyambung semula bicara, “Orang kedua yang aku
jumpa, Azura. Bila dah ada Azura… aku yakin mesti ada…”
“Mesti
ada Sally dan ternyata tekaan kau tu tepat. Betul tak?” Faizul memotong
percakapan sahabat di hadapannya itu.
Syam
sekali lagi menggerak-gerakkan kepalanya ke bawah. Kesuraman sekali lagi
menguasai figuranya.
“Syam…
ini bukan kali pertama aku dengar cerita macam ni. Aku rasa masuk ni dah lima
kali makwe kau tu spy kau. Kau tak rasa ke yang ini bukannya perkara yang
normal? Kau lelaki! Dia perempuan. Mana boleh dia sesuka hati nak kawal kau
macam ni. Kau kena sedar Syam yang Sally tu dah melampau!” tekan Faizul di
akhir kata-katanya.
“Aku
sedar. Saat aku tengok muka anak-anak buah aku yang takutkan Sally tu, aku tahu
yang dia takkan mungkin dapat menjadi ibu yang baik suatu hari nanti dan saat
aku terpandangkan wajah Wak Mukmin yang terasa dengan jelingan Sally… aku sedar
dia tak mungkin dapat menjadi menantu yang baik. Tapi masalahnya…” kata-kata
Syam terhenti.
“Masalahnya
kau cintakan dia. Macam tu?” Pantas Faizul menyoal.
“Bukan
setakat cinta. Tapi aku teramat cintakan Sally! Walaupun aku berasa rimas
dengan kongkongan Sally tu, tapi tak pernah sedikitpun perasaan cinta aku pada
Sally berkurangan. Aku sendiri kadang-kadang bingung dengan keadaan aku,” keluh
Syam.
“Kau
bukan bingung. Tapi kau kurang mengerti. Aku tahu, ini pengalaman pertama kau
dalam menjalinkan hubungan cinta. Kau sendiri pernah bagitahu aku yang kau
ingin mengahwini insan pertama yang kau cintai. Tapi persoalannya, adakah Sally
tu adalah wanita terbaik yang kau boleh jadikan sebagai seorang isteri dan ibu
kepada anak-anak kau nanti?”
Berfikir!
Berfikirlah! Itulah sebenarnya yang ingin diselitkan oleh Faizul dalam
persoalannya sebentar tadi. Faizul mahu sahabatnya itu berfikir
sedalam-dalamnya tentang hubungan cintanya dengan wanita muda itu. Wanita itu
tidak dapat dinafikan oleh Faizul akan
kejelitaan rupa paras dan keseksian tubuhnya. Namun Faizul yakin. Syam bukanlah
lelaki bermata keranjang. Sehingga ke saat ini Faizul sendiri tidak mengerti
kenapa mesti Sally yang menjadi pilihan hati sahabatnya itu? Mengapa harus dia?
“BABAI
Mak Usu. Babai…”
Terdengar
riang suara kanak-kanak lelaki itu. Keriangannya ternyata telah menarik perhatian
seseorang. Seseorang yang sedang mematungkan dirinya di dalam kegelapan.
Sesaat
terdengar bunyi kunci dimasukkan ke dalam ‘rumahnya’.
Krekkk…
Bunyi
itu sedikitpun tidak menganjakkan dudukan lelaki itu. Kian dipatungkan tubuhnya
dan kian ditajamkan sepasang matanya ke arah kedua insan yang sedang memasuki
ruang yang gelap.
“Mama…
papa tak balik lagi ke?” soal Dani.
“Tak
tahulah mama. Tapi kereta papa dah ada dekat luar.”
“Alah…
janganlah papa tak balik lagi. Papa dah janji nak masak ketam untuk Dani hari
ni,” rajuk Dani.
Mendengarkan
itu, lelaki itu pantas bangkit dan bergerak menghampiri suis lampu. Namun tiada
sesiapa pun yang menyedari akan pergerakannya.
“Sayang
jangan risau ya, papa dah masakkan dah ketam masak kuah lemak untuk anak
kesayangan papa ni.” Seraya menuturkan kata-kata itu serakan cahaya terus
menerangi ruang tamu rumah dua tingkat itu.
“Papa!
Dani ingat papa keluar lagi malam ni. Nasib baik papa ada dekat rumah.” Dani
berlari mendapatkan papanya. Cepat pula tubuh kecil miliknya didakap penuh
kasih.
“Papa
balik awal hari ni. Tapi bila papa balik tak ada sesiapa pun dekat rumah. Dani
pergi mana ni?” Kelembutan nada Rusydi ternyata mampu menyamankan hati si
kecil, namun jelingan mautnya ternyata meresahkan hati si isteri.
‘Mampus
aku kena bebel malam ni!’ Kerisauan mulai mencengkam kegusaran di hati Azura.
“Dani
pergi jalan-jalan hari ni papa. Best sangat! Papa… Papa tahu tak hari ni Dani
jumpa siapa?” Manja Dani menyoal.
‘Alamak!
Matilah aku!’ Kian gusar hati Azura.
Bertingkat-tingkatnya
kegusaran akhirnya menghadirkan ketakutan di jiwa Azura. Azura yakin seandainya
suaminya itu mengetahui agendanya pada hari ini, maka akan bernanahlah
telinganya mendengar bebelan percuma daripada insan yang sudah mengalihkan
perhatiannya kepada anak tunggal mereka. Cara suaminya itu memandang si kecil
di hadapannya kian meresahkan hati Azura. Azura yakin pandangan lembut yang
disisipkan ‘bodek’ itu pasti akan mencairkan hati Dani untuk menceritakan ke
manakah mereka menghilang siang tadi!
“Cerianya
anak papa malam ni, mesti siang tadi Dani jumpa…” Sengaja Rusydi membiarkan ayat
itu tergantung.
Wajahnya
pula dikerut-kerutkan bagaikan sedang memerah-merah otaknya. Sudah banyak kali
taktik sebegitu dipraktikkan kepada anak kesayangannya itu dan ternyata hasil
yang diperolehi tidak pernah menghampakannya.
“Alah…
Papa janganlah kerut-kerutkan muka. Cian Dani tengok. Susah sangat eh papa nak
teka Dani jumpa siapa siang tadi?”
Rusydi
mengangguk-anggukkan kepalanya dan semerta kesayuan ‘ditampalkan’ ke wajahnya.
‘Habislah!
Masuk perangkap lagi anak aku ni!’ Hati Azura kian tidak keruan. Ketakutan pula
semakin menguasai dirinya sehingga menghadirkan sejuk keseluruh tubuhnya.
“Dani
jumpa Laila dengan Laili papa! Seronok sangat Dani dapat makan sama-sama dengan
dia orang. Uncle Syam pun ada sekali papa. Best. Rugi papa tak ikut tadi.” Beria-ia
benar Dani bercerita.
“Ooo…
anak papa ni jumpa si kembar tu ya. Macam mana Dani boleh jumpa dia orang
pulak?” Pancingan Rusydi sudah mengena. Hanya menunggu mulut anaknya itu
menuturkan kebenaran agar ‘hasil tangkapan’ diperolehi. Rusydi mengerling ke
sisi dan dilihat wajah isterinya itu sudah memucat.
‘Sah!
Mesti dia buat hal lagi ni.’ Yakin benar hati Rusydi dan keyakinan itu kian
memuncak saat Dani gembira menyambung ceritanya.
“Mula-mula
Mak Usu datang rumah. Mak Usu baik papa,” puji Dani kepada Mak Usunya.
“Kenapa
Dani kata Mak Usu baik? Mak Usu yang bawak Dani pergi jumpa Laila dengan Laili
ke?”
Laju
Dani menganggukkan kepalanya sebelum bibirnya bergerak semula, “Mula-mula Dani
pun tak tahu yang Mak Usu nak bawak Dani dengan mama pergi jumpa Laila dan
Laili sebab Mak Usu tak terus bawak Dani pergi restoran besar tu.”
“Restoran
besar?” Laju Rusydi bertanya.
‘Ya
Allah… Dani janganlah jawab soalan papa tu nak. Janganlah jawab!’ Namun gema
kata-kata itu hanya terdengar di daerah hati Azura sahaja.
“Ha’ah
papa. Restoran tu besar sangat. Makanan dia pun sedap-sedap. Lain kali kita
pergi ya papa,” ajak Dani.
“Boleh
sayang. Tapi Dani belum bagitahu papa lagi, Mak Usu bawak Dani pergi mana dulu
sebelum ke restoran besar tu?”
“Alamak
lupa pulak.” Serentak, Dani menepuk dahinya perlahan dan sengehan menampakkan
gigi putihnya.
“Mula-mula
Mak Usu bawak Dani pergi tempat kerja Uncle Syam dengan Uncle Rouf dulu. Lepas
tu bila Mak Usu nampak Uncle Syam keluar, terus Mak Usu follow kereta Uncle
Syam sampailah di restoran besar tu. Masa dekat restoran tulah Dani jumpa
Laila, Laili dengan Wak Mukmin. Tapi Wak Mukmin tak ikut kita orang makan sebab
Uncle Syam kata Wak Mukmin ada kerja. Papa… Papa kata ada masakkan Dani lauk ketam
berkuah, kan?”
‘Confirm
aku mati malam ni!!!’ jeritan di hati menggerunkan jiwa Azura.
“Ya
sayang, papa dah masakkan dah. Dani lapar lagi ke?”
Dani
menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum mulutnya melahirkan kata-kata, “Tapi
Dani nak ratah je boleh tak papa lauk ketam tu?”
“Mestilah
boleh. Memang papa masakkan lauk tu khas untuk anak kesayangan papa ni.” Rusydi
mencubit lembut pipi anak tunggalnya itu.
Namun itu hanyalah lahiriahnya sahaja
sedangkan hatinya sudah meletuskan lava amarah yang digegarkan oleh kata-kata
Dani sebentar tadi. Kata-kata yang menjelaskan secara terang-terangan betapa
isterinya itu sudah mengingkari arahannya! Sudah berpuluh kali Rusydi melarang
Azura daripada masuk campur akan perihal Sally dan Syam. Tetapi ternyata
larangannya itu langsung tidak diendahkan oleh isterinya yang sudah begitu
pucat wajahnya tika ini. Make up di wajah juga tidak lagi mampu untuk
menyembunyikan kepucatan itu.
“Papa,
jomlah kita pergi makan. Dani dah tak sabar nak ratah lauk ketam ni.” Dani
merengek manja sedangkan Azura sudah kegerunan hatinya. Gerun menantikan
‘amukan’ suaminya yang akan meletup pada bila-bila masa sahaja.
“Dani
pergi dapur dulu boleh? Kalau Dani dah tak sabar sangat, Dani makan je dulu.
Papa ada hal nak bincang dengan mama sekejap, ya sayang.”
‘Jangan
pergi Dani! Tolong jangan pergi!’ jeritan di hati Azura tidak mampu didengari
si kecil. Lantas…
“Okey.”
Sepatah jawapan menggerakkan laju kaki Dani ke arah dapur. Rasa sabar di hati si
kecil itu sudah menipis untuk mendapatkan makanan kegemarannya. Bagi Dani lauk
ketam berkuah lemak itulah masakan terenak yang pernah dirasainya.
Lenyap
sudah bayangan Dani. Kini dua pasang tubuh saling berhadapan. Seorang mencengil
wajahnya dan seorang lagi sudah tertunduk figuranya. Terlihat gigil di batang
tubuh insan yang sedang tertunduk itu. Sedikitpun tiada keberanian di dalam
dirinya untuk bertentang pandang dengan insan yang kian menghampirinya.
“Betul
ke apa yang Dani katakan tu?!” Getaran suara Rusydi menakutkan Azura! Azura
tahu betapa amukan amarah suaminya itu harus didepaninya pada saat dan tika
ini!
‘Ya
ALLAH… bantulah aku,’ tangisan suara hati memohon pada yang ESA.