21
MERIAH
menyelubungi suasana. Para tetamu yang hadir hampir kesemuanya tersenyum riang
meraikan raja sehari. Namun di sebalik keriangan itu, terlihat seorang lelaki
yang sudah memuncung bibirnya.
“Adik, janganlah buat perangai.
Senyumlah sikit,” pujuk Suhailah kepada adik bongsunya.
Namun Aliif masih mencuka wajahnya,
menunjukkan protes terhadap apa yang sedang berlaku di persekitarannya. Sedari
pagi mereka menjejakkan kaki ke rumah Pak Alangnya ini, ada sahaja mulut-mulut
jahat yang memperli akan status kakaknya itu. Terasa berdesing telinganya
setiap kali istilah ‘andartu’ dilabelkan kepada kakak tunggalnya itu.
“Adik… tolonglah…”
“Akak ni memang tak ada perasaankan!
Pak Alang dengan geng-geng celupar dia tu hina akak pun, akak boleh diamkan!
Adik tak fahamlah.” Belum sempat Suhailah menghabiskan bicaranya, Aliif
terlebih dahulu mencelah.
“Apa yang adik tak faham?” Seraya
menuturkan persoalan itu, Suhailah menarik lengan Aliif menjauhi ibu, abah dan
adik keduanya.
Haikal yang sedari tadi tahu akan
bahang yang terperangkap di dada adik bongsunya itu akibat kata-kata perlian
Pak Alang dan beberapa rakannya, hanya membiarkan sahaja kakak sulungnya itu
membawa Aliif menjauhi mereka.
“Mana adik dengan kakak kamu?”
Sedikit tegas pertanyaan Jaafar.
“Mungkin adik temankan akak pergi
tandas kot.” Hanya alasan itu sahaja yang terlintas di fikiran Haikal, lantas
diluahkan. Bukan niatnya untuk berdusta, tetapi pada pengiraannya alasan itulah
yang terbaik bagi menyelamatkan suasana.
“Bagus juga budak tak guna tu tak
ada,” sinis benar bicara Jaafar kali ini.
Berdesing telinga Asiah
mendengarnya. Cepat sahaja mulutnya terbuka untuk menuturkan kata-kata.
“Siapa yang tak guna! Awak jangan
sedap-sedap mulut je, nak hina anak saya!” amaran diselitkan di akhir bicara.
“Ibu, abah… dahlah tu. Seganlah
orang tengok.” Segera Haikal menenangkan semula suasana saat dilihat abahnya
itu bagaikan ingin membalas semula tuturan keras ibunya sebentar tadi.
Jaafar mendenguskan nafas berat
sebelum mengatur langkah laju. Amarah yang sedang membuak-buak dikedapkan di
dalam dadanya. Andai tidak diikutkan yang dia sedang berada di rumah adiknya
tika ini, memang habis diganyang-ganyangnya mulut isterinya itu!
Air mata Asiah tumpah lagi. Segera
dikesat agar tidak terkesan oleh orang sekeliling.
“Sabar ibu… sabar,” pujuk Haikal.
“Mana ada ibu yang sanggup mendengar
anak kandungnya sendiri dihina dan dicaci oleh orang yang bergelar bapa… ibu
boleh tahan lagi bila Pak Alang dengan Mak Alang kau tu perli-perli kakak kau
tadi. Tapi… bila abah kau yang hina kakak kau, ibu dah tak boleh tahan.” Air
mata Asiah terus juga mengalir lesu biarpun dihapuskan berkali-kali.
Haikal
mengusap-usap perlahan bahu ibunya, “Sabar ya ibu… jom kita pergi minum. Biar
tenang sikit hati ibu.”
“Ibu tak nak minum! Ibu nak balik.”
Ternyata kali ini, hati Asiah sudah benar-benar terluka.
“Baiklah, kalau ibu nak balik. Kita
minum dulu. Lepas tu kita cari akak dan kita balik ya.” Masih sabar Haikal
memujuk ibunya itu.
Asiah masih mematungkan dirinya.
“Ibu… tak baik kita tidak menjamah
sedikitpun makanan yang disediakan oleh tuan rumah. Islam tidak pernah mengajar
kita untuk bersikap seperti ini.”
“Habis tu Islam ada ke mengajar
‘tuan rumah’ untuk menghina tetamu yang datang? Dahlah orang yang dihina itu
anak buahnya sendiri! Ada ke Islam ajar tu semua? Ada?” Berombak dada Asiah
melempiaskan amarahnya.
‘Astaghfirullahal azhim.’ Bergema
istighfar di hati Haikal.
“Ibu… kita minumlah sikit. Lepas tu
kita balik ya.” Haikal berharap kelembutan di dalam pujukan terakhirnya mampu
mencairkan semula hati ibunya itu.
Diam. Tiada sepatah kata pun
terlahir di bibir tua Asiah. Hanya kelenjar air matanya sahaja yang masih menggugurkan
permata.
“Ibu…” Lembut benar panggilan itu
Haikal tujukan buat ibunya dan bahu tua itu masih diusapnya. Tidak dihiraukan
tetamu yang menjeling sekali-sekala ke arah mereka.
“Lepas minum kita terus balik!”
Habis menuturkan kata-kata itu, Asiah mengatur langkahnya.
Syukur terluah di hati Haikal.
SUHAILAH membawa Aliif ke sebatang
anak sungai yang berada di belakang rumah Pak Alangnya. Suasana di situ begitu
sunyi dan mendamaikan.
Suhailah
mengambil tempat di atas seketul batu hampar. Aliif turut melakukan perkara
yang sama.
“Kenapa
akak bawa adik dekat sini?” soal Aliif mendahului perbualan.
“Adik
tak suka?” Perlahan suara Suhailah.
“Memang!
Memang adik tak suka! Tak suka dengan sikap hipokrit Pak Alang sekeluarga. Adik
benci! Benci setiap kali dia orang panggil akak andartu. Akak tak rasa sakit
hati ke dengan kata-kata Pak Alang tadi?” Turun naik dada Aliif menghamburkan
apa yang terbuku di hatinya.
Suhailah
diam. Matanya masih terarah ke hadapan. Melihat aliran air yang lesu.
‘Mungkinkah
hatiku selesu itu? Lesu untuk mempertahankan diri saat andartu dilabelkan
kepadaku?’ Hati Suhailah sayu membisikkan kata-kata itu.
“Akak…
adik minta maaf kalau kata-kata adik melampau.” Aliif menjadi takut saat
melihatkan kebisuan kakaknya itu. Lantas ucapan maaf diluahkan dan tangannya
cepat sahaja melingkari bahu kakaknya itu.
Dia
terlalu sayangkan kakaknya itu. Sedari kecil dia bersikap melindungi. Andai ada
sesiapa yang memerli atau berkata buruk tentang kakaknya itu, pasti akan
ditentang habis-habisan!
“Adik…
akak, akak dah penat sebenarnya. Penat untuk mempertahankan diri akak. Biarlah…
Kalau Pak Alang rasa dengan cara menghina akak dia akan mendapat kepuasan,
biarkanlah…” gugur jua permata yang cuba ditahan-ditahan.
Aliif
menjadi sebak melihat keadaan kakaknya. Lantas dipeluknya tubuh kakak tunggalnya
itu.
“Tapi
adik takkan penat! Adik takkan pernah penat untuk mempertahankan akak. Kalau
ada sesiapa yang menghina akak, adik tetap akan menentang mereka.” Kian kuat
pelukan Aliif.
Kata-kata
adiknya itu bagaikan aliran air sejuk yang menyamankan hatinya. Tetapi mengapa?
Mengapa pujukan itu tidak mampu untuk menghentikan tangisannya tika ini? Mungkinkah
kerana kata-kata penghinaan Pak Alangnya yang masih terngiang-ngiang di
telinganya itu puncanya?
‘Anak buah aku ni anak
dara tua. Sebab tulah, tak ada orang yang nakkan dia. Kan, Suhailah?’
Kian lebat air mata Suhailah berguguran apatah lagi gelak tawa rakan-rakan Pak
Alangnya bagaikan sedang menghinanya.
“Adik
sayangkan akak.” Biarpun perlahan, namun pujukan itu masih mampu didengari
Suhailah. Sekurang-kurangnya saat ini dia tidak keseorangan!