Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 17

17

 

MAAFLAH beb, kali ni aku memang tak dapat nak tolong kau.

Abang kau dah warning aku! Dia tak nak aku masuk campur hal kau dengan Syam lagi. Aku betul-betul tak boleh nak tolong kau kali ni.

Jangan call aku lagi. Apa-apa hal, kau jangan SMS atau call aku lagi malam ni! Aku betul-betul tak boleh nak tolong kau. Sorry.

Turun naik nafas Sally saat matanya berulang kali membaca apa yang tertera di skrin handphonenya. Rasa marahnya terhadap kakak iparnya itu kian membuak-buak. Sedari petang tadi sehinggalah ke malam hari, satu pun panggilan daripadanya tidak dijawab oleh kakak iparnya itu. Hanya tiga SMS yang masih ditelitinya itu yang menjadi ‘balasan’ terhadap puluhan panggilan dan SMS daripadanya.

“Tak guna punya perempuan!!!” Akhirnya jeritan yang sedari tadi membungkamkan ‘dirinya’ di dada terletus jua.

‘Kalau tak disebabkan aku, kau takkan dapat miliki apa yang sedang kau kuasai kini!!!’ Kali ini hati Sally pula menggegarkan daerah hatinya dengan jeritan yang semakin menggila.

“Ah! Pergi jahanamlah kau! Kau ingat, kalau kau tak nak tolong aku… aku tak boleh nak settlekan mamat tu! Aku akan buktikan yang aku mampu tundukkan mamat tu tanpa bantuan kau!” Bagikan orang gila Sally menghamburkan sumpah seranahnya.

Settlekan siapa?” soal Maznah yang muncul entah dari mana.

Terkejut Sally dengan sapaan itu, “Mama ni teruklah! Lain kali bagilah salam dulu! Ni tak, main redah je!”

Si ibu langsung tidak terkesan di hatinya dengan sikap kurang ajar anaknya itu. Sudah acap kali, nada meninggi diterima daripada anak bongsunya itu.

“Sejak bila pulak anak mama ni pandai bagi salam?” perli Maznah.

“Kalau mama datang sini nak perli-perli Sally, baik tak payahlah.”

Kedatangan si ibu sedikitpun tidak diingini oleh Sally. Bagi Sally kedatangan mamanya itu hanya akan menambahkan beban masalah yang benar-benar menghimpit dirinya tika ini.

“Kenapa ni sayang? Anak mama ni ada masalah dengan Syam lagi ya?” Sudah hilang nada perlian. Yang menjamah telinga Sally hanyalah pujukan.

“Mana ada,” jawab Sally.

“Habis tu yang Sally terjerit-jerit macam orang gila tu, kenapa? Mama dengar Sally sebut ‘perempuan tak guna’, siapa tu? Takkan… Syam menduakan Sally?” telahan cuba Maznah umpankan.

“Apa yang mama merepek ni? Bila masa pulak Syam tu curang dengan Sally? Beranilah dia nak curang dengan Sally!”

“Habis tu, kalau bukan kekasih gelap Syam… siapa pulak perempuan tak guna tu?” Maznah kian runsing memikirkan perihal anak bongsunya itu.

Terpekik, terlolong macam orang gila sebentar tadi. Ada apa sebenarnya yang telah berlaku di antara anak bongsunya itu dengan bakal menantunya? Siapakah sebenarnya ‘perempuan tak guna’ yang dimaksudkan oleh anaknya itu sebentar tadi?

“Mama tanya ni… siapa ‘perempuan tak guna’ tu?” Soalan diulangi dengan nada yang kian melembut. Maznah tahu, hanya nada itu sahajalah yang mampu meredakan sedikit amarah yang masih menguasai anaknya itu.

“Menantu mama!” jawab Sally kasar.

“Menantu mama?... maksud Sally, Azura?” Sudah berkerut dahi Maznah memikirkan kaitan yang mungkin bersangkut di antara menantunya itu, anaknya ini dan Syam.

“Azuralah siapa lagi! Perempuan bodoh! Tak guna!” Masih belum puas Sally melempiaskan kemarahannya.

“Tak baik Sally cakap macam tu pasal kakak ipar Sally.” Maznah memegang lembut bahu Sally, namun cepat sahaja ditepis. Ternyata anaknya itu masih belum boleh ‘dijinakkan’.

“Kakak ipar?... kalau tak disebabkan Sally, Azura tu takkan dapat pun berkahwin dengan abang. Perempuan tak sedar diri!”

Maznah sudah sedia maklum bahawa Sallylah yang telah menyatukan Azura dengan anak sulungnya itu. Bagi Maznah tiada apa yang hendak dihairankan sementelah Sally dan Azura memang sudah bersahabat sedari mereka sama-sama menuntut di kolej lagi.

“Cukuplah tu Sally. Mama tak nak Sally maki hamun kakak ipar Sally tu lagi. Walau apa pun, dia tetap isteri abang kamu. Cubalah kamu tunjukkan sikit rasa hormat kamu tu,” nasihat Maznah.

Sally terdiam biarpun hatinya sedang membentak mendengarkan ‘ceramah percuma’ mamanya itu.

“Sekarang ni mama nak tanya last dengan Sally… apa kaitan Azura dengan masalah Sally? Lepas tu, tadi Sally cakap yang Sally nak settlekan sesuatu… Sally nak settlekan apa?” Kali ini Maznah nekad untuk mengetahui perihal sebenarnya.

“Tak ada apa-apalah mama,” jawab Sally kurang senang dengan sikap menyebuk mamanya itu.

“Tak apa. Kalau Sally tak nak beritahu, mama takkan paksa. Tapi… mama akan beritahu papa, apa yang mama dengar tadi,” ugutan terpaksa Maznah sulamkan dalam bicaranya yang masih melembut.

“Apa ni mama! Mama nak paksa Sally ya?!”

Sudah Maznah jangkakan akan reaksi anaknya itu. Membentak dan memaki hamun sudah teramat sebati dengan diri anak bongsunya itu.

“Mana ada mama ugut? Mama cuma bagi Sally dua pilihan sahaja… sama ada nak ceritakan pada mama atau, biarkan papa yang menyoal anak kesayangan mama ni.” Bersama bicara, Maznah menyentuh lembut pipi gebu anaknya itu.

Sempat lagi Maznah meneliti kecantikan Sally yang persis figuranya sewaktu dirinya muda dulu.

“Baiklah. Sally akan beritahu…” Berserta keluhan yang begitu berat, Sally meluahkan segala apa yang terpendam di hatinya.

Permulaan cerita berkisarkan pergaduhannya dengan Syam yang berlaku sewaktu makan tengah hari tadi. Di pertengahan cerita pula, muncul watak Azura. Kakak iparnya itu sekali lagi menerima maki hamunnya akibat keengganan wanita itu menuruti telunjuknya dan di akhiran cerita sudah pastilah mengenai kekusutan mindanya yang masih bersimpul untuk ‘mengikat’ semula Syam agar kembali menyintainya seperti dulu.

“Maksud Sally… Syam dah putuskan hubungan dengan Sally, macam tu?” Belum sempat anak bongsunya itu mengakhiri ceritanya, Maznah sudah mencelah.

“Bila masa pulak Sally kata Syam dah tinggalkan Sally! Mama ni teruklah… orang belum habis cerita lagi, dah mencelah. Tadi, mama jugak yang beria-ia nak Sally jelaskan semua.” Sally kembali berang dengan fiil mamanya itu.

“Okey. Teruskan.” Malas hendak berbahas dengan Sally, Maznah menadah semula telinganya.

“Waktu… Syam nak putuskan hubungan dengan Sally… Sally merayu agar Syam tak tinggalkan Sally dan akhirnya Syam bersetuju untuk memberikan Sally satu lagi peluang.” Sudah merendah nada Sally. Ada kesayuan menyinggah di dalam bicaranya itu.

“Merayu je?” Maznah masih belum puas mendengarkan pengakuan anaknya itu.

Maznah merasakan yang anak bongsunya itu masih menyembunyikan sesuatu daripadanya. Saat mengetahui ‘perang dunia’ yang telah tercetus di antara anaknya itu dan bakal menantunya, mustahil dengan hanya rayuan Syam dapat menerima semula anak bongsunya itu.

“Apa maksud mama?” soal Sally, kurang mengerti.

“Yalah, takkan merayu je? Manalah tahu yang anak mama ni ada menangis di hadapan Syam ke, sampai Syam rasa terpujuk dan akhirnya memberi peluang sekali lagi pada anak mama ni?” senyuman sudah terukir di bibir Maznah saat wanita itu mengakhiri kata-katanya.

“Tolong sikit! Bila masa pulak Sally menangis?! Mama ingat, anak mama ni tak ada maruah ke nak menangis depan lelaki?” Ego yang masih meninggi menafikan kebenaran yang berlaku siang tadi.

Kebenaran yang menyaksikan betapa matanya membengkak setelah tangisan beria dilakonkan untuk mendapatkan kembali kepercayaan lelaki itu terhadap dirinya. Sally yakin hanya dengan tangisanlah, dia dapat menguasai semula lelaki itu!
Maznah terdiam. Tiada sepatah kata pun yang keluar untuk melawan bicara anaknya itu. Apa yang terzahir hanyalah senyuman yang kian melebar, menandakan yang dia sedikitpun tidak mempercayai kata-kata yang terlahir dari bibir ‘si penipu’ di hadapannya itu. Maznah sudah sedia maklum akan sikap putar belit alam anaknya itu. Entah fiil siapa yang diikuti, Maznah sendiri tidak pasti.

“Suka hati mamalah, mama nak percaya ke tak. Dahlah, Sally nak masuk tidur. Nak rehatkan otak.” Selamba Sally membelakangi mamanya sebelum mengatur langkah. Namun baru tiga langkah aturannya…

“Sally, tak nak dengar pendapat mama? Mama rasa, mama ada jalan penyelesaian untuk masalah Sally tu.” Segera kata-kata itu Maznah lahirkan, agar anaknya itu menghentikan langkahnya dan selebihnya dia sendiri sebenarnya tidak mahu lelaki sebaik Syam terlepas dari genggaman anak bongsunya itu.

Langkah Sally sudah termati. Namun otaknya masih berkira-kira hendak mendengar butiran lanjut cadangan mamanya itu atau hanya berlalu pergi sementelah kepalanya sudah berdenyut akibat tekanan yang menghimpitnya sedari siang tadi.

“Mama pasti, cadangan mama ni akan membawa Syam kembali menyayangi Sally macam dulu!” Kali ini lebih yakin Maznah melahirkan kata-kata itu dan ternyata tindakannya itu membuahkan hasil.

Dua pasang mata sudah bertentang pandang. Senyuman kelembutan sudah menggarisi wajah si ibu dan pandangan penuh pengharapan menguasai sepasang mata milik si anak. Perlahan, bibir si ibu terbuka dan telinga si anak sudah tersedia untuk mendengar cadangan si ibu bagi membolehkan dirinya mendapatkan kembali cinta abadi daripada seorang lelaki. Seorang lelaki yang sudah mulai menampakkan bayangan kebosanan terhadap dirinya! Seorang lelaki yang sudah pandai meninggi nada ketika berbicara dengannya! Seorang lelaki yang kian gemar merungut tentang sikap queen controlnya! Dan seorang lelaki yang teramat dicintainya… Syam! Syamsunnahaar! Biar apa pun yang terjadi, Sally akan ‘menundukkan’ semula lelaki itu!

 

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.