Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 3

3

 

“HA! Menung apa tu?!” sergah Suhailah kepada adiknya yang sedang duduk di atas kerusi malas di hadapan kolam renang di luar rumah mereka itu.

Sesaat Aliif mengurut dadanya. Ditoleh insan yang baru sahaja melabuhkan punggung di sebelahnya,“Akak ni… buat adik terkejut je.”

“Alah… akak nak gurau sikit pun tak boleh,” rajuk Suhailah.

“Nampak tu. Sepatutnya adik yang merajuk. Ni akak pulak yang muncung mulutnya,” tutur Aliif.

“Dah tu, nak gurau-gurau pun tak boleh. Merajuklah.” Sengaja Suhailah mahu menyakat adik bongsunya itu.

“Bukan tak boleh. Tapi tak kena masanya,” sayu suara Aliif.

Rajukan Suhailah terhenti. Dia meneliti wajah adiknya itu. Cuba mencari garis kegusaran yang mungkin terlakar di atas figura itu.

“Akak ni, janganlah pandang adik macam tu. Takut adik dibuatnya.” Tidak senang Aliif dengan cara pandangan kakaknya itu.

“Dah takut pulak... tadi kata tak kena masa nak bergurau. Adik ni kenapa? Ada masalah ke?” soal Suhailah kemudiannya.

“Bukan adik. Tapi Rouf,” sayu kembali menguasai intonasi suara Aliif.

“Rouf? Kawan adik yang kita jumpa petang tadi tu?” soal Suhailah lagi.

Gerak tubuh Aliif sudah memberikan pengesahan.

“Kenapa dengan dia?” Suhailah berminat untuk mengetahui.

Terpacul keluhan kecil di bibir Aliif. Kesuraman mula mewarnai wajahnya.

“Siap mengeluh lagi. Mesti beratkan masalahnya.” Prihatin Suhailah.

“Entahlah kak… adik bukan apa, kesian tengok dia.” Kian sayu suara Aliif.

“Kesian? Akak tengok dia okey je,” komen Suhailah.

“Mungkin luarannya okey. Tapi adik tahu yang dia masih sengsara akibat kehilangan isterinya tiga tahun yang lalu,” luah Aliif.

“Isteri dia meninggal? Kenapa?” Laju Suhailah bertanya.

“Kemalangan. Itu yang dia beritahu adik siang tadi. Tapi… sekurang-kurangnya isterinya ada meninggalkan ‘harta’ yang sangat-sangat berharga. Double lagi,” tutur Aliif.

“Harta? Double?” Terlihat kerutan di dahi Suhailah. Adiknya pula sudah tersenyum.

“Anak. Isteri dia ada meninggalkan anak kembar. Siti Laila dan Siti Laili.” Lancar Aliif memberikan jawapan di atas tanda tanya yang terukir di wajah kakaknya sebentar tadi.

“Siti Laila, Siti Laili… sedap nama tu. Mesti comelkan budaknya,” teka Suhailah.

“Ha! Yang tu akak akan dapat jawapannya minggu depan,” tersenyum Aliif.

“Minggu depan? Maksud adik?” Suhailah benar-benar tidak dapat menangkap maksud kata-kata adiknya itu.

“Sebenarnya lepas maghrib tadi, Rouf ada telefon. Katanya dia nak daftarkan anak kembarnya itu di tadika kita,” jelas Aliif.

“Nanti dulu. Maksud adik… adik nak akak terima anak kembar dia tu belajar di tadika kita? Macam tu?” soal Suhailah. Mahukan kepastian yang lebih jelas.

“Yalah. Kenapa? Ada masalah ke?” jawab Aliif. Pelik dengan pertanyaan kakaknya sebentar tadi.

“Bergantung,” jawab Suhailah sepatah.

“Bergantung? Apa maksud akak?” soal Aliif pula.

“Sekarang ni, Rouf tu nak daftarkan anak-anak dia di tadika kita di cawangan yang mana? Puchong? Bandar Putera? Shah Alam?” Suhailah memandang tepat ke arah insan di sisinya.

“Puchonglah. Dah tentulah rumah dia dekat Puchong. Apalah akak ni.” Bersahaja Aliif menjawab.

Diam. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulut Suhailah. Begitulah kebiasaannya andai dia merasakan emosinya sedikit terganggu dengan sesuatu.

“Kenapa akak diam ni? Adik ada buat salah ke?” Aliif begitu arif akan fiil kakaknya itu. Andai ada sesuatu perkara yang tidak disenangi oleh kakak kesayangannya itu, pasti kebisuan sebentar menyelubungi perbualan mereka.

“Kenapa adik tak beritahu akak dulu? Kenapa buat keputusan terburu-buru?” Perlahan Suhailah bertanya. Dia sudah mengalihkan pandangannya ke hadapan, menghadap tenang air kolam renang.

“Adik tak nampak pun apa masalahnya kalau kita tambah dua orang lagi pelajar di tadika cawangan Puchong tu.” Berhati-hati Aliif memberikan jawapan.

“Adik… dah tak ada kekosongan lagi di tadika cawangan Puchong tu. Adik nak akak ‘sumbat’ mana budak berdua tu?” Serius wajah Suhailah.

Aliif terdiam. Kealpaan dirinya sudah mengundang permasalahan.

“Tapi… adik dah janji pada Rouf.” Perlahan Aliif memaklumkan.

“Kenapa berjanji sebelum berbincang dengan akak?” sela Suhailah kemudiannya.

Sekali lagi Aliif membisukan mulutnya. Kali ini Suhailah pula yang mengeluh saat otaknya ligat mencari jalan penyelesaian.

“Betul ke adik dah janji dengan Rouf?” Pengesahan yang sebenar-benarnya Suhailah perlukan sebelum kata putus ditamatkan.

Aliif menganggukkan kepalanya laju.

“Baiklah. Nanti akak uruskan. Suruh Rouf buat pendaftaran awal sikit,” arah Suhailah.

“Terima kasih kak,” senyuman melebar mengusir kegusaran di wajah Aliif.

“Tapi dua orang jekan? Manalah tahu lepas ni ada pulak kawan adik akak ni yang ada kembar tiga anaknya, tak ke haru tadika tu nanti,” seloroh Suhailah untuk menghalau sisa ketegangan yang masih menyelubungi.

“Akak nikan… ada je tau modalnya nak kenakan adik.” Akhirnya tercetus tawa kecil kedua mereka.

“Ya Allah… tak tidur lagi ke anak ibu berdua ni? Dah pukul 11 malam dah ni.”

Serentak mereka memusingkan kepala, namun sisa tawa masih kedengaran.

“Belum ngantuk lagilah ibu. Yang ibu ni tak tidur lagi kenapa?” soal Suhailah setelah ibunya mengambil tempat di sisinya.

“Tak lalulah ibu nak tidur dengan abah kamu tu malam ni.” Sedikit kasar Asiah berbicara.

Semerta pandangan Suhailah dan adiknya bertembung. Dua pasang mata berbicara seketika sebelum mulut Suhailah lancar menuturkan persoalan, “Ibu bergaduh dengan abah lagi ke?”

“Abah kamu tu! Ada ke patut dia ajak Pak Alang kamu bermalam di rumah ni esok.” Masih kasar tuturan Asiah.

“Pak Alang nak datang?!” Sedikit tinggi intonasi Aliif bagi menggambarkan ketidaksenangannya.

“Tu yang ibu tengah pening ni. Ibu bukan apa… ibu tak kisah adik ipar ibu tu nak datang. Tapi, mulutnya tu yang ibu tak tahan. Sakit telinga ibu ni mendengarnya,” bebel Asiah lagi.

“Menyampahlah! Menyemak je nak tidur-tidur sini.” Aliif sudah mulai memberontak.

“Adik… tak baik cakap macam tu. Kan ke dia tu pak cik kita,” pujuk Suhailah.

“Pak cik apa… mulutnya tu macam burit ayam. Sakit hati adik ni bila dia asyik nak bangga-banggakan anak dia tu. Macamlah bagus sangat!” sinis Aliif.

“Biarlah... dah fiilnya macam tu. Nak buat macam mana.” Masih lembut Suhailah memujuk.

“Ah! Malaslah adik nak fikir pasal pak cik tua tu. Baik adik masuk tidur dulu. Night.” Suhailah dan Asiah hanya mampu melihat langkah Aliif yang kian menghilang.

“Ibu tak salahkan adik kamu kalau dia benci sangat dekat Pak Alang kamu tu. Kamu sendiri pulak macam mana… Kamu tak kisah ke Pak Alang kamu tu datang ke rumah ni?” soal Asiah di hujung bicaranya.

“Tak. Suhailah tak kisah.” Segera senyuman, Suhailah ukirkan.

‘Ya ALLAH, ikhlaskah aku menuturkan itu sedangkan hati ini sering sahaja terobek saat pak cikku itu melahirkan kata-kata… ikhlaskah aku Ya ALLAH?’ Lemah hati Suhailah bersuara.

Tersentuh Asiah mendengarkan itu. Asiah yakin senyuman yang diukirkan oleh anaknya itu hanyalah tabir bagi melindungi calar-balar hatinya akibat tusukan kata-kata daripada insan yang langsung tidak menimbang baik-buruk saat bicara hendak dimulakan. Ah! Adik iparnya itu sering sahaja menyakiti hati anaknya ini. Andailah dia mempunyai hak sepenuhnya ke atas rumah ini mahu sahaja dia melarang suami isteri itu dari menjejakkan kaki ke rumah ini. Tetapi apakan daya saat empunya rumah ini sudah merelakan, hanya keikhlasan sahaja harus dipaksakan. Ya! Asiah terpaksa merelakan hatinya untuk menerima kehadiran adik iparnya itu.

“Yalah. Kalau tuan rumah ni dah tak kisah, ibu nak cakap apa lagi. Ibu masuk tidur dulu ya. Kamu tu jangan berembun pulak dekat sini. Dah malam sangat dah ni,” pesan Asiah.

Suhailah sekadar menganggukkan kepalanya sambil senyuman dikembangkan. Lenyap sudah bayangan Asiah dan kini kesunyian mulai terasa saat seluruh isi rumah sudah merebahkan tubuh mereka. Hanya Suhailah sahaja yang masih membuang pandangannya ke arah tenang air kolam renang di hadapannya. Ketenangan yang dikecapi sepasang matanya tidak mampu disalurkan ke jiwa saat satu persatu kata-kata Pak Alangnya menggigit memorinya. Kata-kata itu kian jelas sehingga menghadirkan sebak di dada.

‘Kalau dah namanya andartu, manalah nak laku.’

‘Payah-payah sangat Abang Long carikan je pak sanggup untuk bernikah dengan anak abang ni. Bukan apa, saya tak naklah orang kata abang ni memilih sangat dalam memilih menantu. Banyak je duda yang sanggup terima anak abang tu.’

Pak sanggup? Kenapa sebegitu terdesak sekali cadangan Pak Alangnya itu? Kenapa? Adakah kerana gelaran andartu itu penyebabnya? Salahkah dirinya andai tidak dinikahi sesiapa sehingga ke saat ini? Diakah pesalahnya? Diakah?

‘Ya ALLAH…’ seruan di hati Suhailah harapkan mampu untuk melenyapkan permata yang sudah menampakkan bayangnya. Permata yang akan hadir saat luka di hatinya rabak kembali!

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.