2
TERGESA-GESA Nurul melarang seorang wanita seksi
dari menghampiri bilik pejabat orang atasannya.
“Cik Sally tak boleh masuk,” larang Nurul.
“Kau jangan nak halang aku!” bentak Sally.
“Cik Sally. Saya tak boleh benarkan Cik Sally
masuk ke dalam. En. Syam tengah ada perbincangan dengan...”
“Kau diam. Jangan nak memekak!” Belum sempat
Nurul meneruskan kata-katanya, wanita yang sedang menolak tubuhnya itu terlebih
dahulu mengherdiknya.
Langkah Sally kian panjang sehingga diriannya
betul-betul di hadapan sebuah bilik yang terpampang di dadanya, Chief
Executive Officer. Pantas
sahaja jari jemarinya memulas tombol pintu bilik itu.
“Kenapa you tak jawab call I?!” tengkingan Sally
memeranjatkan kedua-dua insan yang sedang bermesyuarat itu. Perbincangan antara
kedua mereka terhenti.
“Maaf En. Syam, Dato Haji Malik. Saya dah cuba
halang Cik Sally. Tapi dia masih berkeras hendak bertemu dengan En. Syam.”
Setiausaha muda yang berada di belakang Sally itu melontarkan kenyataan untuk
membela nasibnya.
“Tak apa. Saya faham.” Lembut tuturan Syam. Cuba
meredakan ketegangan yang sudah menampakkan bayangnya. Kehadiran Sally telah
menambahkan bara di atas kemarahan papanya yang tidak berpuas hati dengan
kegagalan syarikatnya dalam mendapatkan sebuah projek mega di KLIA.
Syam pantas bangkit dan mengarahkan Nurul
beredar sebelum mendapatkan wanita yang sudah kehilangan ‘taringnya’.
“I tak tahu yang you tengah meeting dengan papa you,” tuturan Sally lebih
kepada berbisik. Gentar! Andai butir bicaranya didengari oleh lelaki tua yang
sedang memandang tajam ke arahnya.
“Kan I dah bagitahu yang I busy,” tutur Syam.
“Bila masa you bagitahu I? I call, you tak angkat. I
mesej, you tak balas!” Sempat lagi Sally meluahkan bebanan hatinya.
Syam mengeluh. Sakit hatinya akibat dimarahi
oleh papanya sebentar tadi masih belum menghilang, kini ditambahi pula dengan
bebelan teman wanitanya itu.
“Okey. I tak nak gaduh dengan you. I ada
perbincangan dengan papa I. So, I harap you tolong keluar sekarang.
You sendiri tahukan papa I macam mana!” Sedikit tegas nada suara Syam.
“Baiklah. I akan keluar. Tapi, I takkan balik
selagi you tak jelaskan ke mana you menghilang malam semalam.” Seraya
menuturkan kata-kata itu, Sally pantas mengatur langkah.
Jelingan si tua diabaikan biarpun kegerunan
menyelubungi jiwanya. Dia sedar betapa kebencian itulah yang menyelubungi hati
Dato Haji Malik saat mendapat tahu anak sulungnya itu menjalinkan hubungan
cinta dengan dirinya. Tetapi kebencian itu sedikitpun tidak memudarkan cinta
Sally terhadap Syam. Kian kuat pula tekadnya untuk ‘menguasai’ lelaki itu!
“Maaf, papa.” Perlahan Syam menuturkan kemaafan.
“Maaf untuk apa? Untuk kegagalan kamu mendapatkan
projek mega tu atau gagal membentuk perempuan hina tu?!” Tinggi nada suara Dato
Haji Malik.
“Papa… tolonglah. Jangan bangkitkan lagi isu
tu,” pinta Syam.
“Jangan bangkitkan kamu kata?! Kamu sedar tak
siapa Sally tu? Kamu pernah tak buka mata untuk menilai jenis perempuan apa
yang sedang kamu dampingi?!” amarah masih menguasai intonasi Dato Haji Malik.
“Papa… Sally tu taklah seteruk yang macam papa
sangkakan. Syam yakin, Syam masih boleh bentuk dia.” Sedaya upaya Syam
mempertahankan kekasih hatinya.
“Dari dulu lagi kamu cakap macam tu. Tapi sampai
sekarang papa tak nampak apa-apa perubahan pun. Makin teruk lagi adalah papa
tengok si Sally tu!” bentak Dato Haji Malik pula.
Syam terdiam. Tidak tahu hendak membela
bagaimana lagi.
“Papa tak pernah kisah tentang darjat keluarga
dia. Papa tak minta kamu cari pasangan yang kaya raya. Yang berstatus
keluarganya. Yang terkenal namanya. Papa cuma mahu kamu cari pasangan yang
beragama, sebab agama itulah nanti yang mampu membahagiakan kamu. Ini tak,
perempuan yang tak cukup kain tu yang kamu tergila-gilakan. Yang malas nak
kerja tu yang kamu kejarkan. Tak ada perempuan lain ke yang kamu boleh kenankan
di hati kamu tu?” Kali ini intonasi Dato Haji Malik sudah melembut saat melihat
kebisuan dipamerkan anak sulungnya itu.
“Dengar sini Syam. Kamu anak sulung papa. Anak
yang sepatutnya menyenangkan hati papa. Tapi… entahlah. Mungkin dah nasib papa
diduga macam ni. Cuma apa yang papa harapkan kamu dapat buka mata kamu tu.
Nilailah sebelum terlambat,” kata-kata Dato Haji Malik itu mendalam maknanya.
Syam tahu apa mahunya papanya itu. Tetapi
mampukah dirinya? Mampukah dirinya meninggalkan insan yang sudah memacakkan
namanya di hatinya itu?
“MALAM tadi you pergi mana?!” Kasar Sally bertanya
sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang baru diduduki oleh Dato Haji
Malik. Saat ini hanya dirinya dan Syam sahaja yang berada di dalam bilik
pejabat itu.
“I ada dekat rumah.” Lemah sahaja nada suara
Syam.
“Jangan nak tipu! Kalau you ada dekat rumah,
kenapa you tak nak angkat call I?
Kenapa you matikan handphone?!”
Sally sudah membentak.
“Sebab I dah penat. Penat dengar bebelan you!
Penat nak kena laporkan pada you apa yang I tengah buat. I bukannya budak kecil
yang you boleh kawal 24 jam!” Tanpa sedar Syam sudah meninggikan suaranya.
Kesabaran yang cuba ditebalkan oleh Syam di hatinya kian menipis.
“Ooo! Sekarang you dah pandai penat. Dulu masa
you nak dapatkan I bukan main lagi you call
I, mesej I. Tapi sekarang, dah pandai penat! Entah-entah you dah ada permpuan lain.
Siapa perempuan tak guna tu! Cakap! Siapa?!” Sally kian menggila.
“Stop!!! Dengar sini! I tak ada perempuan lain.
I tak pernah curang pada you dan jangan paksa I buat benda yang I tak pernah
buat dan satu lagi… mungkin you dah lupa! Bukan I yang terhegeh-hegeh nakkan
you. Tapi you yang beria-ia nak mendapatkan I!” Syam mengingatkan.
Kata-kata akhir lelaki di hadapannya itu
menyedarkan Sally akan hakikat yang sebenar. Ya! Memang dia yang
tergila-gilakan Syam sehingga sanggup meminta bantuan seseorang untuk mendapatkan
lelaki yang sudah menjadi miliknya saat ini. Tetapi ikatan yang tidak tersimpul
mati antara dirinya dan Syam menyebabkan rasa cemburu cepat sahaja menjelma
saat terlihatkan teman lelakinya itu berbual mesra dengan mana-mana wanita.
Rasa curiga pula mudah benar hadir ketika Syam tidak mengendahkan dirinya.
“Jadi… betullah you dah ada perempuan lain?” Bergetar
suara Sally.
“Apa yang you merepek ni? Kan I dah cakap yang I
tak ada perempuan lain selain you. Tolonglah percaya.” Syam sudah merendahkan
intonasinya tika terlihat bayangan permata di tubir mata wanita yang masih
dicintainya itu.
“Kalau you masih cintakan I, you takkan ungkit
tentang siapa yang tergila-gilakan siapa,” tutur Sally.
“Bukan ke you yang ungkit dulu?” Syam cuba
membela dirinya.
“You memang dah tak sayangkan I.” Bersama
tangisan, Sally menuturkan kata-kata itu. Sally yakin hanya dengan cara ini
sahajalah, dia boleh menundukkan lelaki yang kian menghampiri dirinya saat ini.
“I minta maaf okey. I minta maaf sebab buat you
kecewa. Tapi I nak you tahu satu perkara... I tak pernah curang dan hanya you
sahaja yang berada di hati I. Hanya you! Dan bukannya perempuan lain.” Akhirnya
Syam mengalah untuk menghapuskan linangan air mata di wajah kekasih hatinya
itu. Sejujurnya Syam lemah melihatkan tangisan itu.
Pantas sahaja Sally memeluk tubuh Syam saat
lelaki itu mengucup jari jemarinya dan semerta senyuman devil terukir.
‘Kau takkan boleh lepas dari aku!’ Kian erat
pelukan Sally saat nekad jahat terpatri di hatinya.