1
SESEKALI lelaki itu mengerling jam di
pergelangan tangannya. Raut wajahnya menggambarkan sedikit kegelisahan. Sesaat
kemudian diseluk kocek seluarnya. Sebuah handphone
sudah dipegang kemas sebelum butang di atas gajet itu ditekan-tekan.
Sekejap sahaja terpampang sepuluh digit nombor di atas skrin. Pasti bahawa
nombor-nombor itulah yang hendak dihubungi cepat sahaja butang hijau ditekan.
Tut… tut… tut…
“Kenapa pulak busy
line ni? Adui… risaunya
aku,” keluhan berserta rasa di hati diluahkan serentak.
“Assalamualaikum.”
Terasa bahunya disentuh perlahan saat huluran
salam itu didengarinya. Tertoleh kepalanya untuk melihat siapakah gerangan yang
masih meletakkan tangan di atas bahunya. Saat menatapi wajah insan di
hadapannya, pantas sahaja tubuhnya berdiri.
“Aliif?” soal lelaki misteri itu.
“Ya saya. Encik ni siapa?” soal Aliif masih
tidak dapat mengecam siapakah lelaki di hadapannya itu.
“Takkan kau tak kenal aku. Cepat betul kau
lupakan kawan lama,” tersenyum lelaki misteri itu.
“Kawan lama?” berkerut dahi Aliif saat otaknya
ligat menyelongkar memori untuk mengenal pasti figura di hadapannya itu.
“Kawan satu universiti. Senior kau.” Lelaki yang mempunyai ketinggian yang hampir sama
dengan Aliif
memberikan hint.
Kian berkerut wajah Aliif.
“Okey… kau ingat tak masa sesi orientasi ada
seorang senior yang suruh kau cium
perut dia? Kau ingat tak?” hint
terus-terusan diberikan.
“Cium perut?” membulat mata Aliif saat persoalan
itu meluncur keluar dan cepat pula aturan ayat lain menitir di bibirnya, “Ya
Allah… kau… Rouf, kan?”
Laju lelaki yang masih mengukirkan senyuman itu
menganggukkan kepala.
“Astaghfirullahal azhim… dah lama aku tak jumpa
kau. Mana kau menghilang?” Pelukan pantas sahaja menyatukan dua sahabat yang
sudah lama terpisah.
“Masih di bumi Malaysia,” seloroh Rouf setelah
dia melabuhkan punggungnya.
Aliif mengikut rentak sahabatnya itu. Duduk
bersebelahan menyebabkan Aliif dapat melihat perubahan yang jelas pada diri
Rouf setelah hampir lima tahun mereka terpisah.
“Aku ingat kau dah lupakan aku.” Mendatar suara
Rouf.
“Mana boleh aku lupakan orang yang suruh aku
cium perut dia. Nasib baik berlapik. Kalau tak mahu muntah darah, aku
dibuatnya,” senyuman membarisi kata-kata Aliif.
Semerta memori lama terimbau. Bermula dengan
sesi orientasi itulah Aliif mengenali Rouf. Perkenalan yang bermula dengan
peristiwa dibuli, telah mengakrabkan kedua mereka.
Biarpun Rouf merupakan senior kepada Aliif, namun lelaki itu tetap sahaja mahu bergaul
malahan bersahabat dengan dirinya. Rouf yang dikenalinya merupakan seorang
sahabat dan suami yang baik. Seingat Aliif sewaktu Rouf berada di tahun
akhirnya di universiti, isteri sahabatnya itu sedang sarat berbadan dua.
Teringatkan itu, pantas sahaja Aliif menuturkan
persoalan, “Isteri kau macam mana? Sihat? Dah berapa dah anak kau sekarang?”
Senyuman yang masih terukir di bibir Rouf
termati. Aliif bagai dapat mengesan kepincangan di wajah sahabatnya itu.
“Rouf... kenapa ni? Aku ada salah tanya ke?”
Berhati-hati Aliif menyoal.
“Tak… cuma… soalan kau tu mengingatkan aku balik
pada dia,” sayu nada Rouf kali ini.
“Dia? Siapa?” Segera Aliif bertanya, tanda tidak
mengerti siapakah yang dimaksudkan oleh sahabat lamanya itu.
Terdengar helaan nafas berat keluar dari bibir
Rouf sebelum mulutnya menuturkan kata-kata, “Isteri aku. Dia… dah meninggal.”
“Inna Lillahi Wa inna ilaihi raji’un… bila
isteri kau meninggal?” Perlahan Aliif bertanya.
“Tiga tahun lepas. Dia kemalangan… waktu tu aku
berada di China, ada urusan syarikat yang perlu aku selesaikan. Kalaulah aku
tak pergi ke sana… mungkin semua ni takkan terjadi,” kesayuan terus-terusan
menguasai emosi Rouf saat dia terkenang kembali peristiwa yang meninggalkan
kesedihan dan kekecewaan yang amat mendalam terhadap dirinya dan insan-insan di
sekelilingnya.
“Tak baik kau cakap macam tu. Ajal, maut ni semuanya
urusan ALLAH. Bila tiba masa dan ketikanya kita akan menemui PENCIPTA kita. Aku
tahu kau sedih. Tapi… keredhaan itu perlu agar kita yang masih hidup ini
mendapat rahmatNYA dan semoga isteri kau di sana juga akan mendapat bahagia.” Segera
Aliif memujuk hati sahabat yang berduka.
“Betul… dan aku perlu hidup agar kedua anak aku
tidak merasai kehilangan tempat bergantung,” kesayuan masih bersisa di dalam
ucapan Rouf tika ini.
“Dua orang? Wah! Hebat kau.” Aliif cuba
berseloroh bagi mengusir mendung di wajah Rouf.
“Alhamdulillah. Aku dapat kembar. Siti Laila dan
Siti Laili, itulah pusaka yang telah ditinggalkan oleh arwah Fatin untuk aku,”
senyuman sudah menutupi kesayuan yang bertempek di wajah Rouf sebentar tadi.
“Berapa umur dia orang?” soal Aliif penuh minat.
“Nak dekat 5 tahun. Kau pulak berapa orang anak
sekarang?” Kelihatan sedikit bersemangat saat Rouf bertanyakan soalan itu.
“Satu je,” jawab Aliif bersahaja. Tiada riak apa
pun terukir di wajahnya.
“Alhamdulillah. Siapa namanya?”
“Namanya tekak,” senyuman penuh makna sudah
terukir di bibir Aliif.
“Ha? Tekak?” soal Rouf masih tidak mengerti yang
dirinya sedang dipermainkan.
“Ha’ah. Tekak. Anak tekak,” berderai tawa Aliif.
Senang hatinya dapat mempermainkan sahabat lamanya itu.
“Kurang asam betullah kau ni. Tak habis-habis
mengenakan aku,” geram Rouf dengan insan yang masih bersisa tawanya itu.
Suasana kembali tenang sebelum Rouf menuturkan
semula persoalan, “Isteri kau orang mana?”
“Aku manalah ada isteri.” Selamba Aliif
menjawab.
“Tulah kau, jual mahal sangat. Kan dah tak
laku,” sinis Rouf.
“Minta maaf En. Rouf, bukan aku yang jual mahal
tapi perempuan-perempuan tu yang jual murah sangat. Tu yang aku tak lalu tu.
Asal aku kenyit mata sikit, dah mengendeng. Asal aku siut sikit, dah meleret
senyumannya. Tu yang aku tak yakin nak buat calon isteri. Cubalah kalau aku nak
menggatal, dia orang herdik aku sikit. Barulah aku berkeyakinan nak jadikan
perempuan tu sebagai permaisuri hidup aku.” Aliif membuat pembelaan ke atas
dirinya.
Rouf hanya tersenyum. Namun di dalam hati, dia
mengakui kebenaran itu, “Kiranya kau masih sololah ni. Habis tu dari tadi lagi
aku tengok kau gelabah semacam je. Kejap-kejap tengok jam. Kejap-kejap buat call. Kau tunggu siapa
sebenarnya?”
“Ya Allah… macam mana aku boleh lupa ni,”
gelabah Aliif.
Aliif pantas mencapai semula handphonenya. Namun saat
matanya terlihatkan seorang wanita yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam
restoran itu, tarian jari jemari di atas butang gajetnya itu terhenti. Matanya
terus terpaku kepada wanita yang sedang melilaukan pandangannya itu.
“Wah. Pandai kau buat pilihan,” jujur Rouf yang
turut memakukan sepasang matanya ke arah wanita itu.
Aliif mengerutkan dahinya tanda tidak mengerti.
“Dari cara kau pandang perempuan tu pun aku
tahu.” Yakin benar Rouf dengan tekaannya.
“Kau tahu apa?” Laju Aliif bertanya. Dia sudah
tersenyum. Mahu sahaja dia memuntahkan tawanya saat mindanya dapat menangkap
akan maksud kata-kata sahabatnya sebentar tadi.
“Muka kau tu. Ceria semacam je lepas nampak
perempuan tu. Jangan-jangan kau ada hati dengan perempuan tu tak?” serkap Rouf.
Senyuman Aliif kian melebar, tawa juga hampir
terburai.
“Kita main teka-teki nak?” ajak Aliif.
Kali ini giliran Rouf pula berkerut dahinya
mendengar kata-kata Aliif itu.
“Kalau kau jawab dengan betul, aku akan bagitahu
apa hubungan aku dengan perempuan tu. Agak-agak kaulah… berapa umur perempuan
tu?” Permainan bermula.
“Umur? Emm… mungkin sebaya aku,” teka Rouf.
“28 tahun? Salah,” ujar Aliif.
“Kalau macam tu… mungkin sebaya kau?” Rouf masih
mahu meneka.
“26 tahun? Lagilah bukan.” Segera Aliif
menafikan tekaan Rouf.
“Habis tu? Takkanlah lebih 30 tahun kot?” Was-was
Rouf dengan tekaannya itu.
Perlahan, Aliif menganggukkan kepalanya.
Membulat mata Rouf, bagaikan tidak percaya. Pantas sahaja sepasang mata
miliknya difokuskan tepat ke arah wanita yang masih melilau-lilaukan
pandangannya. Wanita itu, sederhana tingginya. Sempurna pemakaiannya. Dari
hujung rambut sehingga ke hujung kaki ditutupi auratnya kecuali muka dan tapak
tangannya. Kulit kuning langsat menyempurnai wajah ketimurannya. Ya! Wanita itu
cukup sempurna. Apatah lagi saat bibirnya mengukirkan senyuman. Senyuman?
‘Ya Allah. Dia senyuman pada aku ke?’ Semerta
persoalan itu terlahir di hati Rouf.
“Kau perasan tak perempuan tu senyuman pada
aku?” soal Rouf perlahan kepada insan di hadapannya.
“Pada kau? Bukan pada kaulah. Pada aku,” nafi Aliif.
Rouf pantas memandang sahabatnya yang sedang
membalas senyuman wanita yang kian menghampiri meja mereka.
“Kau kenal ke perempuan tu?” soal Rouf, inginkan
kepastian.
“Kenal.” Sepatah Aliif menjawab.
“Dia makwe kau ke?” Kian giat Rouf bertanya.
“Kau gila! Bukanlah. Sebenarnya…” kata-kata
Aliif terhenti.
“Adik. Maaf, akak lambat. Ada hal sikit dekat
tadika tadi. Tu yang akak lambat tu. Adik dah lama tunggu ke?” Belum sempat Aliif
menuturkan kebenarannya, wanita yang sudah berdiri tepat di hadapan mereka itu
telah merungkaikan segala-galanya.
‘Kakak? Aliif ada kakak ke?’ Soalan bergema di
hati Rouf sedangkan matanya masih utuh meneliti insan di hadapannya.
Figura yang masih tidak diketahui siapakah
namanya itu benar-benar memukau hatinya. Wajah wanita itu cukup lembut,
selembut suaranya. Kelembutan yang dikombinasikan dengan kejelitaan wanita itu
melahirkan kemusykilan di hati Rouf, ‘30 tahun lebih? Benarkah itu usianya?’