15
ABANG!!!” jerit
Rouf.
Tertoleh insan yang sedang dipaut
manja lengannya oleh seseorang.
“Abang nak keluar ke?” soal Rouf
saat menghampiri abangnya. Terlihat wanita seksi di sisi abangnya itu tidak
menyenangi persoalan itu.
“Abang nak keluar lunch kejap. Kenapa?”
“Emm…” Bagaikan tersekat bicara Rouf
saat teman si abang menarik mukanya.
“Ada apa sebenarnya?” Masih tenang
Syam menuturkan pertanyaan buat kali keduanya.
“Tadi papa call. Papa cakap petang nanti Tan Sri Chang nak visit syarikat kita. So, papa nak kita standby dekat ofis,” maklum Rouf.
“Pukul berapa Tan Sri Chang datang?”
Laju Syam menyoal.
“Mungkin dalam pukul tiga petang
macam tu.”
Segera Syam melirik jam di
pergelangan tangannya. Raut wajahnya yang gusar sebentar tadi lenyap seketika.
“Alah, baru pukul 12. Apa nak
kecoh,” sinis Sally.
Tersentak Rouf mendengar bicara
kasar daripada wanita yang sedang mengerling ke arahnya. Andai tidak diingatkan
bahawa wanita itu adalah insan yang teramat dicintai abangnya, mahu sahaja
ditampar pipi wanita itu.
Rasa malu menyusup laju ke dalam
diri Syam dengan tingkah kekasihnya itu. Sudah acap kali Syam mengingatkan
wanita yang sedang menarik-narik lengannya itu agar menjaga tingkah laku dan
bicara sewaktu bersama dengan ahli keluarganya. Namun segala teguran dan peringatannya
langsung tidak terkesan di hati batu teman wanitanya itu.
“Tak apalah abang. Abang keluarlah lunch dulu. Tapi jangan lambat pulak
masuk ofis. Takut papa cari nanti lain pulak jadinya.”
‘Macamlah kau tu big boss. Menyebuk aje! Suka hati pakwe akulah
nak masuk pukul berapa!’ Namun kata-kata tengkingan itu hanya mampu bergema di
hati Sally sahaja.
Masih
terselit sedikit ketakutan untuknya memuntahkan maki hamun kepada bakal adik
iparnya itu. Sally takut andai dirinya terlebih menunjukkan sikap sebenarnya,
mungkin peluangnya untuk menjadi isteri Syam kian menipis.
“Dah habis bincang ke? I laparlah,”
rengek Sally.
Mahu sahaja Rouf memuntahkan isi
perutnya di situ saat mendengar suara lembut yang sengaja dibuat-buat oleh
wanita yang sudah pun tergedik-gedik di sisi abangnya itu.
“Okeylah abang. Adik masuk ofis dululah.”
“Yalah. Tapi… nanti kalau papa cari
abang, adik tolong cover ya,” pinta
Syam.
Rouf mengerti akan maksud abangnya.
Andailah papanya mendapat tahu yang abangnya ini hendak menikmati makan tengah
hari bersama Sally pada saat syarikat memerlukannya, pasti sahaja amukan
papanya itu mampu menggegarkan bangunan tiga tingkat ini.
Anggukan
diberikan sebelum Rouf berpaling dan mengatur langkah. Masih banyak urusan yang
harus disegerakan sebelum Tan Sri Chang menghadirkan dirinya ke Megah
Engineering & Construction Sdn. Bhd.
“KENAPA you ni?” soal Sally.
Syam masih mendiamkan dirinya.
“You ni macam tak suka keluar lunch dengan I je.” Sengaja Sally mensayukan suaranya untuk meraih
simpati.
“Bukan tak suka,” balas Syam.
“Habis tu apa?” soal Sally masih
tidak berpuas hati dengan jawapan pendek kekasih hatinya itu.
Syam sudah mengeluh. Tidak terdaya
rasanya untuk menjawab persoalan daripada teman wanitanya itu. Kadangkala
hatinya menjadi bosan dengan persoalan yang entah apa-apa.
“You dah habis makan dah?” Sengaja
Syam melencongkan topik perbualan.
“You tak nampak ke banyak lagi
makanan dalam pinggan I ni?”
“I nampak dan I pun nampak yang you
langsung tak jamah makanan tu. You just
kuis-kuis je nasi tu. Look Sally! I’m so
busy today.”
“So
what?!”Sally sudah mulai membentak.
Syam
pantas memalingkan wajahnya ke arah lain. Malas rasanya dia hendak melihat
wajah cengil di hadapannya. Apatah lagi fikirannya sudah ‘terbang’ ke pejabat.
“You memang langsung tak ada hati
nak memulihkan hubungan kita, kan?”
Diam. Syam masih membisukan
mulutnya, namun hatinya sudah meluahkan rasa bosannya, ‘Dah start membebellah tu.’
“You dengar tak apa yang I cakapkan
ni?!”
Sunyi. Syam masih mematungkan
dirinya.
“Syam! You jangan nak cabar I!!!”
Suara Sally kian meninggi.
Kerlingan insan di sekeliling
akhirnya melumpuhkan kebisuan Syam, “I tak pernah cabar you! Tapi you sedar tak
yang you ni sentiasa mencabar diri I. Sally… I malas nak bergaduh dengan you.
Dah tak larat dah rasanya untuk I bertekak dengan you setiap hari! I rasakan… memang
betullah kata papa. Mungkin I patut nilai semula diri you. Patut mencari
kelebihan apa sebenarnya yang ada pada you sampai I boleh jatuh hati pada you!
I tak rasa yang hubungan kita ni akan berjaya. Setiap hari bergaduh! I dah tak
sanggup lagi. Dah lelah!”
Sally tergamam. Matanya tepat
memandang ke arah insan di hadapannya. Patah sudah ‘taringnya’. Hilang sudah
wajah cengelnya. Dadanya berdebar laju dan ketakutan cepat sahaja memanjat
dirinya. Takut andai dirinya benar-benar kehilangan lelaki yang amat
dicintainya itu!
“Apa maksud you? You… nak putuskan
hubungan dengan I ke?” Bergetar suara Sally.
Tiada jawapan diberikan. Syam
menarik nafasnya dalam. Cuba menstabilkan emosinya yang benar-benar terganggu
tika ini, namun denyutan di kepala kian memberikan tekanan kepadanya.
Sejujurnya, Syam sendiri tidak menyangka yang dia akan melahirkan kata-kata
seperti itu. Tidak pernah terlintas pun di hatinya untuk memutuskan perhubungan
yang sudah lama terjalin di antara dirinya dengan insan yang telah pun
mengalirkan air mata.
“Betul ke… betul ke yang you nak
putuskan hubungan dengan I? Betul ke yang you dah tak cintakan I? Betul ke
Syam?” tangisan Sally semakin deras.
Melihatkan tangisan Sally yang kian
beria cepat sahaja rasa bersalah yang beralaskan rasa cinta hadir menyusup ke
dalam jiwa lelaki milik Syam.
“I betul-betul cintakan you. I… I
tak pernah curang dengan you.” Sally mengelus jari jemari Syam yang berada di
atas meja.
Syam
pula hanya membiarkan sahaja jari jemarinya digauli oleh insan yang masih
dicintainya itu. Namun kerana amarah yang tidak mampu ditahan-tahan sebentar
tadi, maka terlahirlah segala apa yang sedang terbuku di hatinya selama ini.
“I terlalu menyintai you Syam.
Jangan… jangan buat I macam ni,” rayu Sally tanpa henti.
Rayuan demi rayuan akhirnya
mencairkan hati Syam dan memadamkan bara yang masih menyala di hatinya sebentar
tadi.
“I tahu yang you terlalu menyintai
I. Tapi… I perlukan seorang wanita yang memahami I. Seorang wanita yang dapat
diterima oleh ahli keluarga I dan yang boleh bergaul mesra dengan mereka. Apa
yang paling penting… I tak boleh terima bila seseorang sentiasa mengawal
pergerakan I! Control I!”
Hati yang sedang memberontak akibat
kata-kata yang dijamahi telinganya diabaikan. Hati yang sedang dikuasai iblis
langsung tidak diendahkan. Apa yang penting tumpuannya kini hanyalah pada insan
yang masih enggan menatapi wajahnya. Perkara pertama yang harus dilakukan tika
ini adalah memesongkan sepasang mata milik Syam ke arahnya, kerana Sally yakin
setelah insan yang dicintainya itu melihatkan figuranya yang sedang dilimpahi
air mata pasti lelaki itu tidak sanggup untuk kehilangannya.
“Syam… pandang I Syam. Katakan yang
you masih menyintai I.” Kian sayu suara Sally.
Pasangan-pasangan di sekeliling
sudah berbisik sesama sendiri. Mahu tidak mahu terpaksa jua Syam mengalihkan
tumpuannya ke arah wanita yang sedang berjuraian air matanya.
‘Ya
ALLAH…’ Saat melihatkan figura di hadapannya, hanya kalimah itu terungkap di
hati Syam.
Tidak pernah sepanjang tempoh percintaan
mereka Sally begitu beria-ia tangisannya sehingga menghadirkan bengkak di
matanya.
“I… I betul-betul cintakan you.
Maafkan I, Syam. I janji I takkan control
you lagi. I janji yang I akan cuba perbaiki hubungan I dengan famili you.
Berikan I peluang sekali sahaja lagi. Tolonglah.” Seraya permintaan dipohon,
Sally mengucup lama jari jemari Syam yang sudah pun digenggamnya. Agak lama dibiarkan
bibir lembutnya ‘menggoda’ jari jemari insan yang amat dicintainya itu.
Melihatkan keadaan Sally yang masih
enggan mengangkat wajahnya itu, Syam pantas…
“Baiklah. I berikan you satu lagi
peluang.”
Mendengarkan itu, pantas sahaja
Sally mengangkat wajahnya dan saat melihatkan anggukan lelaki di hadapannya itu
segera hatinya menjerit! ‘Aku akan buat kau tunduk pada aku selepas ni!’
Senyuman
manis dan esakan Sally sekali lagi memerangkap diri Syam!