Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 2

2

 

TERGESA-GESA Nurul melarang seorang wanita seksi dari menghampiri bilik pejabat orang atasannya.

“Cik Sally tak boleh masuk,” larang Nurul.

“Kau jangan nak halang aku!” bentak Sally.

“Cik Sally. Saya tak boleh benarkan Cik Sally masuk ke dalam. En. Syam tengah ada perbincangan dengan...”

“Kau diam. Jangan nak memekak!” Belum sempat Nurul meneruskan kata-katanya, wanita yang sedang menolak tubuhnya itu terlebih dahulu mengherdiknya.

Langkah Sally kian panjang sehingga diriannya betul-betul di hadapan sebuah bilik yang terpampang di dadanya, Chief Executive Officer. Pantas sahaja jari jemarinya memulas tombol pintu bilik itu.

“Kenapa you tak jawab call I?!” tengkingan Sally memeranjatkan kedua-dua insan yang sedang bermesyuarat itu. Perbincangan antara kedua mereka terhenti.

“Maaf En. Syam, Dato Haji Malik. Saya dah cuba halang Cik Sally. Tapi dia masih berkeras hendak bertemu dengan En. Syam.” Setiausaha muda yang berada di belakang Sally itu melontarkan kenyataan untuk membela nasibnya.

“Tak apa. Saya faham.” Lembut tuturan Syam. Cuba meredakan ketegangan yang sudah menampakkan bayangnya. Kehadiran Sally telah menambahkan bara di atas kemarahan papanya yang tidak berpuas hati dengan kegagalan syarikatnya dalam mendapatkan sebuah projek mega di KLIA.

Syam pantas bangkit dan mengarahkan Nurul beredar sebelum mendapatkan wanita yang sudah kehilangan ‘taringnya’.

“I tak tahu yang you tengah meeting dengan papa you,” tuturan Sally lebih kepada berbisik. Gentar! Andai butir bicaranya didengari oleh lelaki tua yang sedang memandang tajam ke arahnya.

“Kan I dah bagitahu yang I busy,” tutur Syam.

“Bila masa you bagitahu I? I call, you tak angkat. I mesej, you tak balas!” Sempat lagi Sally meluahkan bebanan hatinya.

Syam mengeluh. Sakit hatinya akibat dimarahi oleh papanya sebentar tadi masih belum menghilang, kini ditambahi pula dengan bebelan teman wanitanya itu.

“Okey. I tak nak gaduh dengan you. I ada perbincangan dengan papa I. So, I harap you tolong keluar sekarang. You sendiri tahukan papa I macam mana!” Sedikit tegas nada suara Syam.

“Baiklah. I akan keluar. Tapi, I takkan balik selagi you tak jelaskan ke mana you menghilang malam semalam.” Seraya menuturkan kata-kata itu, Sally pantas mengatur langkah.

Jelingan si tua diabaikan biarpun kegerunan menyelubungi jiwanya. Dia sedar betapa kebencian itulah yang menyelubungi hati Dato Haji Malik saat mendapat tahu anak sulungnya itu menjalinkan hubungan cinta dengan dirinya. Tetapi kebencian itu sedikitpun tidak memudarkan cinta Sally terhadap Syam. Kian kuat pula tekadnya untuk ‘menguasai’ lelaki itu!

“Maaf, papa.” Perlahan Syam menuturkan kemaafan.

“Maaf untuk apa? Untuk kegagalan kamu mendapatkan projek mega tu atau gagal membentuk perempuan hina tu?!” Tinggi nada suara Dato Haji Malik.

“Papa… tolonglah. Jangan bangkitkan lagi isu tu,” pinta Syam.

“Jangan bangkitkan kamu kata?! Kamu sedar tak siapa Sally tu? Kamu pernah tak buka mata untuk menilai jenis perempuan apa yang sedang kamu dampingi?!” amarah masih menguasai intonasi Dato Haji Malik.

“Papa… Sally tu taklah seteruk yang macam papa sangkakan. Syam yakin, Syam masih boleh bentuk dia.” Sedaya upaya Syam mempertahankan kekasih hatinya.

“Dari dulu lagi kamu cakap macam tu. Tapi sampai sekarang papa tak nampak apa-apa perubahan pun. Makin teruk lagi adalah papa tengok si Sally tu!” bentak Dato Haji Malik pula.

Syam terdiam. Tidak tahu hendak membela bagaimana lagi.

“Papa tak pernah kisah tentang darjat keluarga dia. Papa tak minta kamu cari pasangan yang kaya raya. Yang berstatus keluarganya. Yang terkenal namanya. Papa cuma mahu kamu cari pasangan yang beragama, sebab agama itulah nanti yang mampu membahagiakan kamu. Ini tak, perempuan yang tak cukup kain tu yang kamu tergila-gilakan. Yang malas nak kerja tu yang kamu kejarkan. Tak ada perempuan lain ke yang kamu boleh kenankan di hati kamu tu?” Kali ini intonasi Dato Haji Malik sudah melembut saat melihat kebisuan dipamerkan anak sulungnya itu.

“Dengar sini Syam. Kamu anak sulung papa. Anak yang sepatutnya menyenangkan hati papa. Tapi… entahlah. Mungkin dah nasib papa diduga macam ni. Cuma apa yang papa harapkan kamu dapat buka mata kamu tu. Nilailah sebelum terlambat,” kata-kata Dato Haji Malik itu mendalam maknanya.

Syam tahu apa mahunya papanya itu. Tetapi mampukah dirinya? Mampukah dirinya meninggalkan insan yang sudah memacakkan namanya di hatinya itu?

“MALAM tadi you pergi mana?!” Kasar Sally bertanya sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi yang baru diduduki oleh Dato Haji Malik. Saat ini hanya dirinya dan Syam sahaja yang berada di dalam bilik pejabat itu.

“I ada dekat rumah.” Lemah sahaja nada suara Syam.

“Jangan nak tipu! Kalau you ada dekat rumah, kenapa you tak nak angkat call I? Kenapa you matikan handphone?!” Sally sudah membentak.

“Sebab I dah penat. Penat dengar bebelan you! Penat nak kena laporkan pada you apa yang I tengah buat. I bukannya budak kecil yang you boleh kawal 24 jam!” Tanpa sedar Syam sudah meninggikan suaranya. Kesabaran yang cuba ditebalkan oleh Syam di hatinya kian menipis.

“Ooo! Sekarang you dah pandai penat. Dulu masa you nak dapatkan I bukan main lagi you call I, mesej I. Tapi sekarang, dah pandai penat! Entah-entah you dah ada permpuan lain. Siapa perempuan tak guna tu! Cakap! Siapa?!” Sally kian menggila.

Stop!!! Dengar sini! I tak ada perempuan lain. I tak pernah curang pada you dan jangan paksa I buat benda yang I tak pernah buat dan satu lagi… mungkin you dah lupa! Bukan I yang terhegeh-hegeh nakkan you. Tapi you yang beria-ia nak mendapatkan I!” Syam mengingatkan.

Kata-kata akhir lelaki di hadapannya itu menyedarkan Sally akan hakikat yang sebenar. Ya! Memang dia yang tergila-gilakan Syam sehingga sanggup meminta bantuan seseorang untuk mendapatkan lelaki yang sudah menjadi miliknya saat ini. Tetapi ikatan yang tidak tersimpul mati antara dirinya dan Syam menyebabkan rasa cemburu cepat sahaja menjelma saat terlihatkan teman lelakinya itu berbual mesra dengan mana-mana wanita. Rasa curiga pula mudah benar hadir ketika Syam tidak mengendahkan dirinya.

“Jadi… betullah you dah ada perempuan lain?” Bergetar suara Sally.

“Apa yang you merepek ni? Kan I dah cakap yang I tak ada perempuan lain selain you. Tolonglah percaya.” Syam sudah merendahkan intonasinya tika terlihat bayangan permata di tubir mata wanita yang masih dicintainya itu.

“Kalau you masih cintakan I, you takkan ungkit tentang siapa yang tergila-gilakan siapa,” tutur Sally.

“Bukan ke you yang ungkit dulu?” Syam cuba membela dirinya.

“You memang dah tak sayangkan I.” Bersama tangisan, Sally menuturkan kata-kata itu. Sally yakin hanya dengan cara ini sahajalah, dia boleh menundukkan lelaki yang kian menghampiri dirinya saat ini.

“I minta maaf okey. I minta maaf sebab buat you kecewa. Tapi I nak you tahu satu perkara... I tak pernah curang dan hanya you sahaja yang berada di hati I. Hanya you! Dan bukannya perempuan lain.” Akhirnya Syam mengalah untuk menghapuskan linangan air mata di wajah kekasih hatinya itu. Sejujurnya Syam lemah melihatkan tangisan itu.

Pantas sahaja Sally memeluk tubuh Syam saat lelaki itu mengucup jari jemarinya dan semerta senyuman devil terukir.

‘Kau takkan boleh lepas dari aku!’ Kian erat pelukan Sally saat nekad jahat terpatri di hatinya.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.