9
BERLARI kanak-kanak itu
mendapatkan papanya di meja makan. Senyuman sudah terukir lebar di bibirnya.
“Morning papa,”
ucap Dani.
Terhenti suapan bihun ke
mulut Ruysdi dan cepat sahaja dia membalas senyuman anaknya itu.
“Morning, my love.
Awalnya anak papa ni bangun.” Penuh kasih Rusydi mengucup pipi anak
kesayangannya itu.
“Dani lapar… tu yang
Dani terbangun tu. Wah! Sedapnya. Papa masak bihun goreng!” terjerit kecil
kanak-kanak lelaki itu. Selamba pula dijamahi bihun goreng yang masih memenuhi
pinggan papanya.
“Pelan-pelan makan tu
Dani. Jangan gelojoh sangat. Duduk makan tu.” Lengkap tiga arahan diberikan
sekali gus oleh Rusydi kepada anak lelakinya yang sedang memenuhi arahan
ketiganya.
“Kan bagus duduk sopan
macam tu. Ni, bismillah dah baca ke belum ni?”
“Dah. Dani baca dalam
hati. Papa tak makan ke?” soal Dani kemudiannya.
Tersenyum Rusydi
mendengarkan soalan spontan anaknya itu, “Danikan dah makan bihun papa. Macam
mana papa nak makan?”
“Alah papa ni… nahlah
ambiklah balik.” Sudah monyok muka Dani saat dia menghulurkan pinggan yang
hanya terluak sedikit sahaja isinya.
“Aloh… papa main-main
jelah. Tak apa, Dani makan je bihun papa ni,” pujuk Rusydi.
“Betul ni?” Dani mahukan
kepastian.
“Betul sayang. Papa dah
kenyang.” Lembut benar suara Rusydi tika ini.
“Ya ke papa dah kenyang?
Bukan tadi masa Dani datang, papa baru nak makan ke bihun ni?” ragu-ragu Dani
dengan kenyataan papanya sebentar tadi.
“Itu tadi. Tapi sekarang
bila papa tengok anak kesayangan papa ni bersemangat kunyah makanan, terus
hilang rasa lapar papa tu.” Rusydi mengelus-ngelus lembut pipi anak
kesayangannya itu. Terlihat limpahan kasih sayang seorang ayah buat anaknya
tika ini.
“Okey. Tapi kalau papa
nak makan nanti papa bagitahu ya. Boleh Dani sendukkan bihun tu untuk papa.”
Mulut yang sedang dipenuhi bihun goreng dimuncungkan ke arah mangkuk kaca
bersaiz sederhana di hadapannya.
Kian melebar senyuman
Rusydi melihatkan telatah anaknya. Hanya anggukan diberikan dengan harapan anak
kesayangannya itu menghentikan bicaranya. Namun usahanya itu tidak sedikitpun
membuahkan hasil saat persoalan meluncur laju dari bibir anaknya itu.
“Papa. Malam tadi papa
pergi mana? Kenapa papa balik lambat? Sampai tertidur Dani tunggu papa tau.”
Manja benar suara kanak-kanak itu meluahkan isi hatinya.
“Maafkan papa ya sayang.
Malam tadi papa ada buat kelas ganti untuk student-student papa.
Tu yang papa balik lambat sikit tu. Kenapa Dani tunggu papa? Kan papa dah pesan
kalau papa lambat balik, Dani masuk je tidur dulu. Lain kali jangan tunggu papa
ya sayang.”
“Dani lapar. Tu yang
Dani tunggu papa balik tu. Dani nak suruh papa masak nasi.” Selamba sahaja Dani
mengadu kepada papanya yang sudah berubah riak wajahnya.
Terlihat garis
ketidaksenangan terlakar di atas figura Rusydi, “Mama tak masak ke?”
“Mama masak Maggi je.
Mana kenyang. Hari-hari mama masak Maggi sampai pedih dah perut Dani ni. Tapi
kalau papa ada dekat rumah barulah best… dapat makan nasilah,
bihunlah, macam-macam lagilah,” kegembiraan yang dipamerkan oleh Dani saat
tuturan akhirnya sedikitpun tidak dapat mengusir amarah yang sudah mula
memacakkan dirinya di hati papanya itu.
“Papa… kenapa papa
pandang Dani macam tu? Dani takutlah tengok muka papa.”
Bagaikan baru tersedar,
cepat sahaja Rusydi mengubah riak wajahnya. Senyuman yang camping terlakar.
“Dani… kalau papa pergi
kerja, tengah hari Dani makan apa?” soal Rusydi lembut.
Pengakuan yang jelas
perlu diperolehinya sebelum ‘serangan’ dilakukan pada seseorang. Seseorang yang
masih membuta!
“Selalunya makan
Maggilah. Kalau mama rajin baru mama orderpizza. Hari-hari makan
benda yang sama… bosan tau papa. Papa… hari ni papa janganlah balik lambat
boleh tak?” rayu Dani.
Kemarahan yang kian
memuncak menyebabkan Rusydi bagaikan tidak mengendahkan kata-kata terakhir anak
kesayangannya itu.
“Papa… papa dengar tak
Dani cakap apa ni?” soal Dani buat kali keduanya.
“Ya sayang, papa dengar.
Hari ni papa balik awal ya.”
“Yahooo!!! Papa balik
awal. Papa malam ni papa masakkan Dani lauk ketam boleh tak? Dani teringinlah
nak makan ketam,” kegembiraan disulamkan dengan permintaan oleh Dani.
“Boleh sayang. Nanti
papa masakkan lauk ketam untuk anak kesayangan papa ni ya.” Mendatar sahaja
nada Rusydi.
“Dani nak lauk ketam
yang ada kuah tau papa.”
Anggukan diberikan oleh
Rusydi dan senyuman tetap sahaja dikekalkan biarpun cetusan api kemarahannya sudah
pun memuntahkan laharnya. Seketika, Dani bersemangat menghabiskan makanannya
manakala Rusydi pula sedang berperang dengan kemarahannya sendiri dan akhirnya…
“Papa dah nak pergi kerja
ke?” soal Dani saat dilihatnya papanya itu sudah bangkit untuk berlalu.
“Tak. Papa ada
tertinggal barang dekat atas.” Tanpa menoleh, penjelasan diberikan dan aturan
langkah diteruskan.
Bump!!!
Terpisat-pisat Azura
saat terdengarkan bunyi hentakan pintu. Di dalam keadaan mamai dilihatnya
seseorang sedang menghampirinya.
“Abang… ayang ingatkan
Dani tadi,” tutur Azura sambil menggosok-gosokkan matanya.
Azura masih tidak dapat
melihat dengan jelas emosi apakah yang sedang menguasai figura suaminya itu.
“Saya nak awak bangun
sekarang!” bentak Rusydi.
“Apa abang ni… pagi-pagi
dah memekak,” sela Azura.
“Memekak awak cakap! Apa
nak jadi dengan awak ni ha?! Pemalas!” Kian tinggi nada suara Rusydi memarahi
isterinya yang masih berlingkar di atas katil.
“Suka hati abanglah nak
cakap apa. Saya mengantuk.” Azura langsung tidak mengendahkan kemarahan
suaminya itu.
Lantas bantal yang
sedang mengalas kepalanya ditarik dan ditakupkan di atas kepalanya bagi
menghalang halwa telinganya daripada terus-terusan menjamahi kata-kata amukan
daripada suaminya itu. Namun cepat pula bantal itu ditarik kasar oleh suaminya
yang kian garang raut wajahnya.
“Abang ni kenapa?!
Pagi-pagi lagi nak cari pasal dengan saya!” dicegilkan matanya saat intonasi
meninggi itu dilontarkan bagi menunjukkan ketidaksenangannya dengan tingkah
suaminya itu.
“Kalau nak ikutkan hati
saya ni memang dah tak kuasa saya nak bertekak dengan awak! Tapi makin lama
saya diamkan, makin awak naik kepala!” kemarahan Rusydi makin membara.
“Apa yang abang merepek
ni? Naik kepalalah! Apalah! Sudahlah, nak pergi kerja tu… pergi jelah. Membebel
pulak.”
Diam. Tiada kata balasan
daripada Rusydi. Hanya nafasnya yang mendesah kasar dan pandangannya pula
bagaikan hendak membaham insan di hadapannya itu. Semerta kegerunan menjalar di
dalam diri Azura. Tertunduk dan menikus dirinya.
“Berapa kali saya dah pesan
dengan awak! Saya tak kisah kalau awak tak jaga kebajikan saya! Tapi jangan
sesekali awak abaikan Dani! Mama jenis apa awak ni?! Sampaikan makan pakai anak
sendiripun awak tak pernah nak ambil pedulik! Mama apa awak ni!!!” jeritan
Rusydi benar-benar menggila.
“Papa! Papa… jangan
gaduh dengan mama. Dani tak nak papa gaduh dengan mama… tolong jangan marah
mama lagi papa,” meluru si kecil mendapatkan papanya yang sedang menghamburkan
amukannya pada si ibu yang sudah pucat wajahnya.
Tangisan segera mengalir
bagi meraih simpati papanya itu agar menghentikan tengkingannya. Sudah agak
lama sebenarnya Dani menyembunyikan dirinya di balik pintu bilik yang terbuka.
Tengkingan papanya yang pertama itulah sebenarnya yang telah menggamit dirinya
untuk melihat apakah sebenarnya yang telah terjadi dan di saat dirinya
melihatkan kemarahan papanya yang kian memuncak lantas diberanikan dirinya
untuk berhadapan dengan papa dan mamanya itu. Dia yakin papanya tidak akan naik
‘tangan’ padanya dan keyakinan agar papanya menghentikan perbalahan dengan si
ibu juga kian meningkat saat papanya itu mendukung tubuhnya dan berlalu pergi
dari ‘gelanggang’ pertengkaran itu.
Azura menghembuskan
nafas leganya saat anak tunggalnya itu berjaya menjadi ‘benteng’ buat dirinya.
‘Benteng’ yang akan sentiasa mempertahankan dirinya saat pertengkaran dengan si
suami tercetus. Wanita itu yakin anak tunggal mereka itulah kelemahan nyata
bagi suaminya itu. Hampir lima minit kemudian terdengar deruman enjin kereta
meninggalkan pekarangan rumah mereka.
“Dah pergi kerja pun.” Seraya
menuturkan kata-kata itu, Azura melabuhkan semula kepalanya pada tilam empuk
yang sedang menanggung beban tubuhnya. Sekejap sahaja sepasang mata kuyunya
tertutup dan lena terus sahaja mengunci tidurnya biarpun kepalanya tidak
beralas apa.