6
LAJU Syam mendapatkan teman wanitanya yang sudah
pun memandang tajam ke arahnya.
“Mana you pergi ni? I tunggu you macam orang
gila you tahu tak?!” Sally terus memuntahkan pelurunya setelah lelaki di
hadapannya itu melabuhkan punggungnya.
“I ada kerja tadi.” Agak malas Syam menjawab
persoalan teman wanitanya itu.
Sudahlah dirinya ditimbuni pelbagai kerja di
pejabat sehingga waktu makan tengah harinya terpaksa dilepaskan. Kini, setelah
bertemu dengan insan yang sepatutnya menyejukkan hatinya serta menenangkan jiwanya,
dirinya pula dihentam dengan pelbagai persoalan yang amat kurang disenanginya.
“You jangan nak tipu Ilah. Sebelum I ke sini, I
dah pergi pejabat you dulu. Setiausaha you beritahu yang you dah lama keluar!
You pergi mana?!” Kian tinggi nada suara Sally.
Syam mendiamkan dirinya. Malas hendak bertegang
urat, lantas tangannya dilambaikan kepada seorang waiter. Cepat sahaja pelayan
itu memahami signal yang
diberikan.
“Encik nak makan apa?” Sopan, pelayan itu
bertanya.
“Bagi saya jus tembikai dan chicken chop,” jawab Syam.
“Puan?” Bersama soalan tunggal itu, pelayan
tersebut menghalakan pandangannya ke arah Sally.
“Siapa Puan? Aku belum kahwinlah!” jerkah Sally
dan Syam sudah menggelengkan kepalanya. Sesal dengan sikap teman wanitanya itu.
“Cik ni dah makan. Bagi dia air kosong je,”
sinis Syam
“Air kosong?! You gila ke?!” Kian berapi amarah
Sally.
Pelayan yang sedang melihat pertelingkahan
pasangan kekasih itu sudah kebingungan. Tidak tahu hendak memesan hidangan apa
untuk wanita seksi di hadapannya itu.
“Hei budak! Bagi aku sama yang macam lelaki ni order tadi. Faham?!”
“Faham Puan. Tak… maksud saya cik,” menggelabah
pelayan itu mencatit ulangan menu yang dipesan oleh lelaki yang lebih bersopan
itu. Setelah waiter itu
berlalu…
“Kenapa you layan waiter tu macam tu? Kalau ya pun you marahkan
I janganlah libatkan orang lain,” tutur Syam.
“Suka hatilah I nak layan orang sekeliling I
macam mana pun! Sekurang-kurangnya I tak menipu!” Masih kasar bahasa yang Sally
gunakan.
Syam sudah kelelahan. Acap kali dirinya dilabelkan
sebagai penipu oleh wanita yang masih menyinga wajahnya itu.
“You pergi mana semalam?” Sally
masih belum berpuas hati.
Syam sudah mengerutkan dahinya. Tidak faham
dengan sikap Sally. Sekejap bertanyakan ke mana dirinya menghilang siang tadi,
sekejap bertanyakan ke mana dia menghilang semalam. Kenapa? Kenapa setiap
pergerakannya harus dipantau?!
“I ada urusan dengan keluarga I.” Lambat Syam
memberikan jawapan.
“Jadi sebab tu you batalkan temu janji kita.
Macam tu?!” Laju Sally membidas.
“I bukan sengaja. I betul-betul kena uruskan hal
keluarga I semalam. Tu yang I tak dapat keluar dengan you tu.”
“Hal apa?” Sally masih memandang curiga lelaki
yang dicintainya itu.
Terdengar keluhan berat terpacul di bibir Syam.
Hatinya sudah sedikit memberang dengan sikap queen
control Sally.
“Kenapa you mengeluh? You nak mengaku sesuatu
pada I ke?” perli Sally.
“Apa maksud you?” Kali ini Syam menentang
pandangan tajam Sally. Pandangan itu amat dibenci Syam. Baginya pandangan
seperti itu tidak seharusnya dilemparkan kepadanya sementelah dirinya adalah
seorang lelaki!
“Yalah… manalah tahu you nak mengaku yang you
dah curang dengan I. You ada simpan perempuan lain di belakang I!”
“Sally stop okey! I dah tak tahan dengan sikap
curiga dan mengongkong you tu! Sampaikan I nak keluar dengan keluarga I pun you
nak control. Apa hak you?! You ingat sikit ya! I
lelaki! Dan you tu perempuan!!!” tengking Syam. Hilang sudah kesabarannya.
Sally terpempan. Tidak disangkanya lelaki di
hadapannya itu akan menengkingnya sebegitu sekali. Terlihat beberapa pasang
mata memandang ke arah mereka. Rasa malu dan sedih bercampur sehingga
menghadirkan rasa sebak di hati wanitanya. Cepat sahaja cecair suam itu
membasahi pipinya.
“You dah tak sayangkan I. You dah buang rasa
cinta you pada I. Sampai hati you tengking I sampai macam tu sekali. I cuma
tanya betul ke you keluar dengan keluarga you semalam. Itu je… kenapa you nak
tengking-tengking I? Kenapa?” Semakin kuat tangisan Sally.
‘Ni yang aku lemah ni,’ desis hati Syam saat
melihatkan linangan air mata Sally kian menderas.
Sudah dijangkanya perkara itu akan terjadi.
Pasti wanita di hadapannya itu akan membuatkan dirinya lemah dengan tangisan
mahupun rengekan dan sesungguhnya itulah kelemahannya!
“You dah tak sayangkan I…”
“Siapa kata I tak sayangkan you? Kalau I tak
sayangkan you, I takkan jumpa you sekarang ni. Sally… I betul-betul tak ada
perempuan lain selain you. Hanya you di hati I dan sememangnya hanya you sahaja
yang I benar-benar cintai. Hanya you dan bukannya perempuan lain. Percayalah.”
Syam cuba meyakinkan teman wanitanya itu.
Sally mengesat-ngesat air mata palsunya itu dan
wajah yang kian sedih sengaja dipamerkan untuk ‘melumpuhkan’ lelaki yang sudah
pun mengelus lembut jari jemarinya.
“Betul semalam you ada hal dengan keluarga you?”
Lembut Sally bertanya.
“Betul sayang. I ada hal dengan keluarga I.
Maafkan I ya sebabcanceltemu janji kitalast-last minute. Maafkan I.”
Perlahan Syam menghapuskan linangan air mata di pipi Sally dan mengucup lembut
jari jemari wanita yang sudah lama menyulam kasih dengannya.
Sally memandang puas lelaki yang sedang mengucup
jari jemarinya itu. Hatinya turut puas dapat ‘menundukkan’ lelaki itu dan
kepuasan di hatinya kian mencanak saat lelaki itu mengungkapkan kalimah
cintanya, “I cintakan you Sally.”