Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 23

23

 

FIGURA itu terus menjelma sambil mengukirkan senyumannya. Senyuman kecil bersama pandangan redup itulah yang telah mencuri hati Suhailah suatu tika dahulu. Pandangan itu sentiasa mendamaikan hatinya. Namun… segala-galanya berkecai! Entah di mana silapnya, dia sendiri tidak tahu. Mahligai yang diimpi bagaikan roboh sekelip mata!

“Kenapa? Kenapa kau sanggup buat aku macam ni? Kenapa?” Berjuraian air mata Suhailah saat tuturan persoalan bertalu-talu meniti di bibirnya.

Semenjak pulang dari rumah Pak Alangnya, mudah benar air matanya berjejeran sehingga menghanyutkan dirinya kepada kenangan silam. Kenangan silam yang telah menenggelamkan dirinya ke dalam ‘lumpur’ kesedihan.

Gambar di tangan ditatap penuh kesayuan. Air matanya pula kian merembes saat memori diputar semula oleh ruang ingatan.

Lepas habis ijazah ni, saya nak terus kerja.’

‘Tapi kenapa?’ Terkejut Suhailah mendengar kata-kata yang lahir dari bibir teman lelakinya.

‘Sebab… saya nak kumpul duit.’ Tenang lelaki itu menjawab persoalan Suhailah.

‘Kumpul duit? Maksud awak?’ Persoalan diutarakan lagi saat Suhailah masih belum mengerti.

‘Saya nak kumpul duit untuk masuk meminang awak. Saya nak cepat-cepat ‘ikat’ awak. Saya takut kehilangan awak.’ Lembut benar bicara itu berserta pandangan menggoda dihalakan kepada wanita kesayangannya.

Suhailah tersipu dan tertunduk akhirnya.

Imbauan itu serta-merta hilang saat tangisan Suhailah kian menggila. Bergetar bahunya menahan kesedihan yang menggores-gores hatinya.

“Kenapa kau sanggup hancurkan segala-galanya… kenapa?” Persoalan yang ditujukan kepada lelaki di dalam potret itu benar-benar ‘membunuh’ rasa cintanya.

Rasa cinta di hati Suhailah bagaikan ‘lenyap’ sekelip mata ketika dia mengetahui sebuah kebenaran. Kebenaran mengenai ketulusan lelaki itu. Ternyata semaian cintanya buat lelaki itu tidak memberikan apa-apa makna setelah dirinya ditinggalkan. Ditinggalkan saat lelaki itu sudah mendapat penggantinya.

Disebabkan kecurangan itulah dirinya tidak lagi pernah mengimpikan apa-apa. Baginya impian untuk membina sebuah mahligai cinta tidak mungkin akan menjadi nyata. Sementelah hati dan perasaannya telah dipisahkan daripada lima perkataan… C.I.N.T.A!

‘Andartu!’ bisikan persis suara Pak Alangnya itu menyentak dirinya.

Tercampak gambar di tangan. Bantal di sisi diambil dan dipeluknya erat. Kelopak mata dirapatkan, agar bayangan lelaki tua bergelar bapa saudaranya itu menjauh dari dirinya.

‘Anak saudara aku ni andartu!’ Sekali lagi bisikan daripada insan yang sama bergema.

“Ya ALLAH… hinakah aku, andai diriku tidak dimiliki dan dinikahi sesiapa? Hinakah aku, ya ALLAH?” Gugur lagi air mata Suhailah dan seperti biasa hanya kesedihan serta kekecewaan yang menguasai ruang jiwanya.

 

ENTAH untuk keberapa kali Rusydi mengeluh. Berserabut otaknya memikirkan perangai isterinya itu. Sikap malas isterinya itu kian melampau-lampau. Satu kerja rumah pun tidak mahu dilakukannya. Membasuh, mengemas sehinggalah memasak terpaksa dilakukannya sendiri.

Dipejamkan matanya untuk ‘mencuri’ sedikit ketenangan melalui hembusan angin malam yang ‘menyentuh’ lembut tubuhnya. Namun saat pandangannya gelap, pertelingkahan petang tadi berputar semula. Semuanya berpunca akibat sikap malas isterinya itu.

Sewaktu Rusydi pulang dari tempat kerja, dilihatnya rumahnya itu bagaikan tongkang pecah. Baju kotor di dalam mesin basuh masih bertimbun. Pinggan mangkuk di dalam singki masih tidak terusik dan yang paling mendidihkan hatinya saat melihat anak kesayangannya, Dani merintih kelaparan.

“Apa aku nak buat lagi ni?” Matanya sudah terbuka, namun keluhan masih belum reda.

Rusydi menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal. Dari berdiri, Rusydi melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi yang berada di balkoninya itu. Pandangannya terus terhala ke dada langit. Bertaburan bintang menghiasi kegelapan malam.

“Bintang…” Mulut melahirkan sepatah kata dan mata ralit memandang ke atas ‘sana’.

‘Awak tahu kenapa saya suka bintang?’ Manja suara itu menyapa pendengaran Rusydi.

‘Kenapa?’ soal Rusydi sambil merenung penuh kasih wanita berambut pendek di hadapannya itu.

‘Sebab bintang bersinar dan sinarnya itu mampu memberikan ketenangan kepada pemerhatinya,’ senyuman manis masih menghiasi wajah kuning langsat itu. Rusydi pula langsung tidak berkata apa. Matanya ralit benar memandang seraut wajah bersih itu.

‘Kenapa awak pandang saya macam tu?’ soal wanita itu, segan dirinya diperhatikan sedemikian.

‘Saya terpegun.’

‘Terpegun? Terpegun apa?’ Sikap polos wanita itu menjelma jua.

‘Terpegun melihat bintang di hadapan saya.’ Habis menuturkan kata-kata itu, Rusydi mencuit manja hidung insan kesayangannya itu.

Insan yang sudah ditanamkan azam di dalam dirinya untuk ‘diikat’ secepat mungkin sehingga memutuskannya untuk tidak lagi menyambung pembelajarannya selepas segulung ijazah digenggaman. Rusydi mahu segera mencari pekerjaan. Dia mahu menjadikan wanita itu milik mutlaknya. Namun… segala-galanya musnah sekelip mata selepas pertemuannya dengan Azura!

Bergenang air mata Rusydi menahan sebak di dada. Sebak yang hadir saat penyesalan bertubi-tubi menghentam dirinya. Andailah dia tidak bermain mata dengan Azura! Andailah dia tidak melayan sikap menggedik Azura! Andailah dia tidak bermain cinta dengan Azura sehingga memungkiri janjinya dengan ‘wanita itu’!... dan andailah dia tidak hadir ke rumah Azura pada ‘malam itu’… pasti dia tidak akan kehilangan insan yang teramat dicintainya. Malahan cintanya terhadap ‘wanita itu’ masih memekar sehingga ke saat ini.

“Maafkan aku! Maafkan aku…” Bergetar bibir Rusydi saat tuturan maaf dilahirkan. Namun tiada gunanya keampunan dipinta tika ini kerana Rusydi yakin wanita kesayangannya itu tidak mungkin akan memaafi dirinya.

Tertunduk Rusydi saat merasakan kesedihan kian membeliti perasaannya.

“Papa! Papa okey ke?” risau Dani melihat tingkah papanya.

Tersentak Rusydi dengan kehadiran anak kesayangan di sisi. Dia mengangkat wajahnya dan cuba mengukirkan senyuman buat anak tunggalnya.

“Papa… papa okey ke? Kenapa papa menangis ni?” Sudah pucat wajah Dani akibat kerisauan yang kian memuncak di dalam dirinya. Dani tidak pernah melihat papanya itu mengalirkan air mata. Sekalipun tidak pernah.

“Papa okey. Jangan risau ya sayang.”

“Kalau papa okey, kenapa papa menangis? Papa sedih dengan perangai mama ya?” Dani mengesat air mata di pipi papanya.

Tersentuh hati Rusydi. Lantas tubuh si kecil didakapnya erat.

“Papa… papa janganlah sedih…” pujuk Dani.

Rusydi masih membisukan dirinya. Cuba membuang jauh figura ‘wanita itu’. Wanita yang pernah dicintai dan diremukkan hatinya.

“Kenapa papa diam ni?” Dani melepaskan pelukannya.

Rusydi menggelengkan kepala sebelum melahirkan kata-kata, “Tak ada apa-apa… kenapa Dani tak tidur lagi ni?” Rusydi cuba mengalihkan perhatian anaknya itu.

“Dani tak boleh tidur.” Polos jawapan si kecil.

“Kenapa Dani tak boleh tidur?” Rusydi mengelus lembut rambut anaknya itu.

“Dani takut.”

“Dani takut apa sayang?” Rusydi memandang penuh kasih anak kesayangannya itu. Ada sesuatu yang menyentuh hati kebapaannya…

“Kenapa Dani menangis? Apa yang Dani takutkan sebenarnya ni?” Bersama persoalan itu, Rusydi menghapuskan genangan air mata di kelopak mata anaknya itu.

“Dani takut papa dan mama akan… berpisah. Dani takut kalau Dani terpaksa tinggal dengan atuk dan nenek. Dani takut…” Berjuraian air mata Dani tanpa mampu ditahannya. Sekali lagi kedua beranak itu berpelukan. Hati Rusydi benar-benar tersentuh.

“Papa… mungkin ke papa akan tinggalkan Dani?” sayu benar suara si kecil menyapa pendengaran Rusydi.

“Tak sayang, papa takkan sesekali meninggalkan Dani. Percayalah!”

“Mama? Papa akan tinggalkan mama?”

Rusydi terentak. Entah mengapa persoalan daripada anaknya itu terasa sukar untuk dijawabnya kali ini.

“Papa… jawablah. Dani nak tahu, papa akan tinggalkan mama tak?” Kali ini Dani sudah memboloskan dirinya dari pelukan papanya. Dia memandang tepat ke sepasang mata milik papanya itu.

Dapat Rusydi lihat kesedihan dan ketakutan menguasai sepasang mata kecil di hadapannya. Dia tahu anaknya itu pasti berasa sedih dan takut andai perpisahan benar-benar terjadi di antara dirinya dan isterinya itu.

“Tak. Papa takkan tinggalkan mama.” Lemah Rusydi berbicara. Dani berasa kurang yakin dengan intonasi suara papanya itu. Lantas…

“Betul?” Kepastian sekali lagi diperlukan.

Perlahan… Rusydi menganggukkan kepalanya dan mengukirkan senyuman kecil. Biarlah dia beralah dengan anak kesayangannya. Andai kesengsaran yang diperolehinya sepanjang bergelar suami kepada Azura, dia sanggup! Kerana sememangnya itulah yang layak buat seorang insan yang pernah mencurangi insan lainnya!

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.