Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 27

27

SUHAILAH masih mendongakkan kepalanya. Cuba mencari permata di dada langit, namun tidak ditemui.

‘Kelamnya malam ini, sekelam hatiku,’ sayu kata-kata itu berbisik di hati Suhailah dan semerta kelopak matanya terasa hangat. Berlinangan lagi air matanya.

Kesedihan semakin menguasai emosi Suhailah. Terseksa jiwanya saat bayangan lelaki itu menjelma semula. Lelaki yang bertahun lamanya mencurangi diri akhirnya hadir semula petang tadi. Hadirnya bersama seorang wanita bergelar isteri dan seorang kanak-kanak lelaki bergelar anak.

“Azura…” tanpa sedar Suhailah menyebut nama wanita yang telah merampas kekasih hatinya.

Wanita bertubuh tinggi serta berkulit putih itu memang jauh lebih moden penampilannya berbanding dirinya. Rambut ikal milik wanita itu juga amat sesuai dengan wajah bujur miliknya sehingga menyerlahkan lagi kecantikannya. Mungkin itulah antara faktor kenapa Rusydi sanggup memungkiri janji dan memusnahkan cinta mereka.

Mata Suhailah terpejam. Teresak-esak dirinya menahan kesedihan. Mujur juga dia berdiri jauh dari kumpulan orang ramai yang turut berada di jambatan Putrajaya itu.

“Assalamualaikum.” Lembut suara itu menyapa Suhailah.

Suhailah tersentak. Lantas matanya terbuka dan dirinya amat terkejut melihat insan di sisinya.

“Waalaikumussalam…” Perlahan salam dijawab sambil tangannya laju menghapuskan linangan air matanya.

“Suhailah, kan?” Lelaki itu meneka.

Suhailah menganggukan kepalanya dan mindanya cepat dikerahkan untuk mengingati seraut wajah di sebelahnya itu.

“Saya Syam. Abang kepada Rouf. Pak cik saudara Laila dan Laili.” Syam mengerti apa yang sedang berlegar-legar di minda insan di sisinya. Lantas diri diperkenalkan.

“Ooo… Syam,” tutur Suhailah lemah dan pandangan matanya dihalakan semula ke hadapan.

Sunyi seketika suasana. Syam tahu Suhailah ingin bersendirian. Sewaktu dia tiba di jambatan Putrajaya itu, kereta VIOS putih milik Suhailah sudah menarik perhatiannya. Lantas tuan empunya kereta dicari. Sewaktu ditemui kelibat Suhailah, dilihatnya wanita itu berdiri berjauhan daripada orang ramai. Dia cuba menghampiri. Namun saat terlihatkan tangisan sedang menguasai wanita itu, dia menghentikan niatnya. Agak lama dia cuba menahan dirinya. Tetapi saat hatinya sudah memberontak untuk melihat seraut wajah ‘sejuk’ itu, dia memberanikan jua dirinya.

“Suhailah suka datang sini?” Berhati-hati Syam bertanya.

“Suka,” jawab Suhailah sepatah.

“Saya pun suka jugak.” Lembut Syam berkata-kata.

Suasana kembali sunyi. Otak Syam ligat memikirkan cara untuk memanjangkan perbualan. Dia harus melakukan sesuatu!

“Awak ingat tak tentang ‘kemalangan’ tu?” Sengaja Syam ingin ‘memancing’ reaksi Suhailah.

Suhailah mengerutkan dahinya. Cuba memikirkan maksud yang tersirat di sebalik pertanyaan lelaki di sisinya itu.

“Awak tak ingat?” soal Syam kemudiannya.

“Kemalangan apa?” soal Suhailah agak lambat.

“Awak ingat tak, masa tu awak ada beli barang dekat AEON, IOI Mall. Saya nampak masa tu awak kelam kabut dan tiba-tiba awak terlanggar troli saya. Banyak kali awak minta maaf. Ingat tak?” Bersungguh-sungguh Syam cuba mengingatkan wanita di sisinya.

Seketika Suhailah berfikir dan saat memorinya mengingati tentang ‘kemalangan’ itu, senyuman kecil terukir di bibirnya.

‘Ya ALLAH… manisnya senyuman dia.’ Bergetar jiwa Syam saat terdengar bisikan itu. Berdiri bersebelahan dengan Suhailah, biarpun agak jauh jaraknya namun kesempurnaan dan kecantikan wanita itu dapat dilihat dengan jelas.

“Ya ALLAH… jadi awaklah lelaki yang saya ‘langgar’ hari tu. Saya betul-betul dah tak ingat. Saya nak minta maaf sekali lagi ya.” Suhailah tersenyum kian ikhlas. Terbang seketika kesedihannya sebentar tadi.

“Tak apa. Itu maknanya kita berjodoh,” tutur Syam bersahaja.

Namun kata-kata itu telah menghadirkan satu rasa yang indah di hati Suhailah. Rasa tenang dan bahagia! Syam turut merasai perkara yang sama.

“Tak sangka ya, Suhailah ni rupa-rupanya cikgu kepada anak-anak buah saya.” Syam terus memanjangkan bicaranya. Tidak mahu kebisuan mencelah di antara mereka.

“Ha’ah. Tapi tak sangka pulak orang yang saya ‘langgar’ tu rupa-rupanya pak cik kepada Laila dan Laili. Nasib baiklah budak comel berdua tu tak tahu tentang hal tu. Kalau tak mesti kena omellah saya.” Suhailah tertawa kecil mengingati telatah si kembar.

“Budak-budak tu ada masa ‘kemalangan’ tu. Cuma mungkin dia orang dah tak berapa ingat dah muka awak. Biasalah budak-budak,” jelas Syam.

Suhailah terdiam. Tidak menyangka yang Laila dan Lalili turut ada pada waktu itu.

“Kan, saya dah kata yang kita ni berjodoh.” Sengaja Syam mengulangi kata-kata itu. Dia suka akan rasa aneh yang hadir di jiwanya. Suhailah tertunduk dan tersenyum.

Alunan muzik dari handphone Suhailah menyentak kedua mereka. Segera Suhailah mencapai gajet itu dan menjawab panggilan itu.

“Waalaikumussalam.” Salam di hujung talian dijawab.

“Kejap lagi akak baliklah.” Suhailah menjawab persoalan si pemanggil.

“Ya… akak balik. Takkanlah tak balik pulak.” Masih lembut Suhailah menenangkan insan di hujung talian.

“Yalah. Akak balik sekarang.” Akhirnya kata putus, Suhailah ambil sebelum menamatkan panggilan.

“Siapa?” Tanpa sedar Syam bertanyakan soalan itu saat Suhailah sudah memasukkan semula handphonenya.

“Aliif. Adik saya. Saya nak kena baliklah,” tutur Suhailah.

Syam tersenyum. Lain benar cara senyumannya.

“Kenapa awak senyum?” tanya Suhailah pelik.

“Adik awak... nampak sangat yang dia sayangkan awak. Habislah pakwe awak. Tak ada can nak bawak awak keluar lama-lama.” Ada makna terselit di sebalik kata-kata Syam itu. Dia sebenarnya ingin mengetahui akan status wanita di sisinya itu. Sudah berpunya atau belum?

“Biasalah. Adik beradik.” Hanya itu sahaja jawapan Suhailah. Entah mengapa hatinya menjadi sayu semula saat perihal ‘pasangannya’ yang tidak wujud ditanyai.

“Saya balik dulu. Assalamualaikum,” tuturan salam seiring langkah sulungnya. Namun…

“Nanti dulu. Ni kad saya.” Syam menahan langkah Suhailah dan sekeping name card dihulurkan.

Lambat. Barulah Suhailah mengambilnya.

“Terima kasih,” ujar Suhailah.

“Awak punya?” soal Syam laju.

“Saya punya apa?” soal Suhailah semula tanda tidak mengerti.

“Awak punya name card.” Syam menebalkan mukanya untuk meminta ‘balasan’ terhadap pemberian kadnya sebentar tadi.

Pelik Suhailah dengan sikap lelaki di hadapannya itu. Mana ada orang meminta-minta name card orang lain sebegini sekali. Namun kerana malas hendak melewatkan kepulangannya ke rumah dan lemah dengan bebelan adiknya itu nanti, Suhailah mengambil jua name cardnya dan disuakan kepada Syam. Syam tersenyum dan Suhailah pula memanjangkan langkahnya untuk pulang.

Previous: BAB 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.