Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 29

29

MEJA makan itu didatangi oleh tetamu yang sudah hampir dua minggu tidak menempatkan dirinya di situ. Selepas majlis perkahwinan anak buahnya, tidak pernah sekalipun Jaafar menjamu selera dengan anak bininya. Semuanya angkara rasa sakit hatinya terhadap anak perempuan tunggalnya itu. Tetapi, akhirnya dia terpaksa ‘mengalah’ akibat keterlanjurannya menuturkan sebuah janji pada malam tadi.

“Ehem…” Jaafar berdehem.

Hanya Suhailah yang memandang abahnya itu sedangkan adik di sisi serta ibu yang duduk berhadapan dengannya itu enggan mempedulikan abahnya itu.

“Abah nak cakap sikit ni.” Jaafar memulakan bicara saat dilihatnya mee goreng di dalam pinggan Suhailah tinggal sedikit. Dia takut andai dia terlewat menyampaikan hajat di hatinya, anaknya itu akan mengangkat punggung untuk pergi ke tempat kerja.

“Abah nak cakap apa?” Selamba Aliif menjawab. Suhailah memandang ke arah adiknya itu. Terasa kurang senang dengan nada bicara adiknya itu.

“Semalam Pak Alang kau telefon.” Lembut benar suara Jaafar dan matanya terarah ke wajah Suhailah. Tiada riak bengis.

‘Hipokrit!’ bentak hati Asiah. Dia menjadi begitu benci dengan kepura-puraan suaminya dalam melayani anak perempuannya itu.

“Pak Alang nak apa?” Kian kasar tuturan Aliif. Suhailah sudah menjeling adiknya itu. Namun adiknya itu berpura-pura tidak mengerti akan makna jelingannya itu.

“Mastura. Dah nak dekat tiga bulan menganggur.” Jaafar masih menggunakan intonasi lembut.

“Jadi, apa kena mengena dengan kita orang?” Aliif masih menguasai pertanyaan. Tidak memberi peluang langsung kepada kakaknya itu untuk bersoal jawab dengan abahnya. Dia tahu yang kakaknya itu begitu lembut hatinya.

Berdesing telinga Jaafar dengan bicara kasar dan sinis anak bongsunya itu. Namun hatinya tetap juga disabarkan. Setidak-tidaknya dia harus mendapat persetujuan daripada Suhailah bagi membolehkannya menunaikan janjinya kepada adiknya itu.

“Abah berterus-teranglah.” Akhirnya Suhailah bersuara. Jaafar tersenyum. Asiah kian mencuka wajahnya dan Aliif sudah memandang tepat ke arah abahnya itu.

“Semalam Pak Alang kau telefon. Sepupu kau si Mastura tu dah dekat tiga bulan tak bekerja. Kilang lama yang dia bekerja dulu tu katanya dah tutup… kesian budak tu.” Jaafar cuba meraih simpati Suhailah. Suhailah masih mendiamkan diri, cuba ‘mencerna’ bicara abahnya itu.

“Apa nak dikesiankan? Kan, ke budak tu tak cacat.” Kali ini Asiah pula meluahkan rasa tidak senangnya terhadap ‘bunga-bunga’ kemahuan suaminya itu. Dia tahu apa yang tersirat di sebalik bicara suaminya sebentar tadi.

Jaafar menjeling tajam isteri di sisi sebelum dia menyambung bicaranya, “Abah bukan apa. Tak nak Pak Alang kau tu terbeban dengan sepupu kau tu. Duduk je dekat rumah. Bukannya buat apa pun.” Perhatian dialihkan kepada anak perempuannya semula.

“Itukan ke tugas seorang ayah. Selagi anak perempuannya tak berkahwin, memang dah tugas seorang ayah untuk memberikan perlindungan serta makan pakai pada si anak,” bersyarah pula si Aliif.

Kian terbakar hati Jaafar. Dari sisi dan hadapan dia ‘diserang’. Tetapi semangatnya masih belum luntur untuk ‘memancing’ anak perempuannya itu.

“Suhailah. Kalau boleh kamu ambillah Mastura tu bekerja di tadika kamu. Jadi pembantu pun tak apalah.” Akhirnya Jaafar melancarkan niat sebenarnya.

‘Aku dah agak dah! Geramnya aku!!!’ jerit hati Asiah dan cepat sahaja mulutnya terbuka untuk melahirkan kata-kata. Namun tidak sempat patah pertama terlahir, anak bongsunya itu sudah meluahkan rasa hatinya.

“Tak ada! Tak ada. Tadika kita orang tak ada nak pakai orang lagi. Dah penuh.” Lancar Aliif menolak kehendak abahnya itu.

“Yang kau sibuk ni kenapa?! Abah tanya kakak kau. Tadika tu, tadika dia! Bukannya tadika kau,” kemarahan yang tersimpan sedari tadi meletus jua.

“Abah dengan Pak Alang memang tak tahu malu, kan. Dulu Pak Alang dengan abah sibuk kutuk akak. Kata akak ni anak dara tualah. Tak lakulah. Tak ada orang naklah. Sekarang apa? Kenapa pulak sekarang ni tak tahu malu nak suruh si Mastura tu bekerja dengan ‘anak dara tua’ ni?” Aliif mendepani abahnya. Bukan niatnya untuk bersikap kurang ajar. Sekadar mengingatkan kezaliman abah serta Pak Alangnya terhadap insan di sisinya.

Berombak dada Jaafar. Asiah tersenyum mengejek. Suhailah mendiamkan diri seketika sebelum keputusan dibuat.

“Cukup adik. Dah habis makan? Cepat habiskan makanan. Kita dah lambat nak pergi kerja ni.” Suhailah menyudahkan makanannya. Aliif terbantut terus seleranya. Hanya kopi dihirup.

Melihatkan reaksi negatif anak perempuan tunggalnya itu. Jaafar cepat bersuara, “Macam mana Suhailah? Boleh ke kamu ambil Mastura tu kerja dengan kamu?” Jaafar tetap jua menebalkan mukanya.

“Nantilah Suhailah fikirkan.” Hanya itu keputusan yang dapat Suhailah ambil buat masa ini.

Jaafar yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu, lantas angkat punggung dan berlalu dari meja makan dengan bahang di dadanya. Asiah tersenyum, begitu juga dengan anak bongsunya. Hanya Suhailah sahaja yang masih serius wajahnya. Mungkin masih memikirkan kewajarannya untuk mengambil sepupunya itu bekerja di tadikanya.

Previous: BAB 28
Next: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.