8
LANGKAHNYA kian longlai. Terasa kepenatan mulai
memijat-mijat dirinya. Dakian tangganya juga benar-benar perlahan.
“Baru balik?” sergah satu suara.
Degupan jantungnya benar-benar laju saat dirinya
disergah oleh insan yang sedang bersandar di balkoni. Lelaki itu tersenyum
padanya bersama lambaian. Mahu tidak mahu lencongan dilakukan jua.
“Letih nampak,” tutur Rouf.
“Mahunya tak letih,” keluhan kian menekan makna
kata-kata Syam.
“Siap mengeluh lagi… ni mengeluh sebab kerja ke?
Atau buah hati ni?” Rouf sudah mula mengusik abangnya.
“Entahlah… susah abang nak cakap.” Perlahan Syam
bersuara.
Rouf mengerti mengapa raut wajah abangnya kian
sugul.
“Tulah sebabnya dari dulu lagi adik suruh abang
fikir masak-masak sebelum bercinta dengan buah hati abang tu. Bukan niat adik
untuk merendah-rendahkan sesiapa. Tapi… kalau kita sebagai lelaki sudah
mengambil keputusan untuk berkasih-kasih dengan wanita yang jauh lebih muda
dari kita, jadi… kesabaran itu perlu, kerana kesabaran itulah yang akan
sentiasa menyelamatkan hubungan yang selalu goyah,” nasihat Rouf.
Setiap kali adiknya itu membicarakan soal hati
dan perasaan pasti dirinya termangu seketika. Bukan tidak memahami tetapi
hendak menyelami setiap patah perkataan yang boleh diambil kira sebagai
nasihat.
“Sabar… kalau nak diperdebatkan soal sabar,
rasanya abanglah juaranya.” Sengaja Syam mengukirkan senyuman untuk melumpuhkan
bebanan perasaannya tika ini.
“Baguslah abang ni. Tengah ada masalah pun boleh
senyum lagi,” usik Rouf lagi.
“Habis tu adik nak abang buat apa? Menangis?
Macam tu?”
“Adik tak kisah kalau abang nak menangis. Kalau
abang nak ‘pinjam’ bahu adik pun adik sudi.” Rouf sedar, corak perbualan
berbentuk jenaka perlu dicetuskannya saat ini agar tekanan yang dirasai oleh
abangnya itu mampu rebah.
“Adik dah banyak kali dah ‘pinjamkan’ bahu adik.
Sampai kadang-kadang abang berasa malu dengan diri abang sendiri. Malu bila
papa banding-bandingkan abang dengan adik. Malu bila abang sendiri mengakui
yang pilihan adik selalunya lebih sempurna daripada abang,” sayu nada suara
Syam.
Rouf memandang lembut wajah abangnya. Ternyata
figura itu berubah selaras dengan kesayuan bicaranya sebentar tadi.
“Abang… abang terasa dengan papa ya?” Rouf cuba
mengesahkan tekaannya.
“Abang tak berhak untuk terasa hati dengan papa.
Memang abang ni bukan anak yang baik. Bukan anak yang menyenangkan hati dia.
Abang tak macam adik… setiap pilihan adik pastinya sempurna di mata papa.”
“Siapa kata abang ni bukannya anak yang baik?
Kalau abang bukannya anak yang baik, abang takkan turuti kehendak papa sewaktu papa
mahukan abang menjadi C.E.O syarikat. Adik tahu bidang perniagaan bukanlah
pilihan dan cita-cita abang yang sebenarnya, tapi demi papa abang sanggup
kuburkan kehendak abang dalam mengejar cita-cita. Adik yakin papa perasan akan
pengorbanan abang dan disebabkan kepercayaan yang begitu tinggi pada abang
jugalah jawatan C.E.O syarikat diserahkan pada abang. Papa terlalu sayangkan
abang sebab tulah…” kata-kata Rouf terhenti di situ. Dia takut andai bicara
seterusnya akan mencalarkan perasaan abangnya itu.
“Sebab tulah papa kecewa bila abang bercinta
dengan kekasih abang tukan?” telah Syam.
Saat ini pandangan kedua beradik itu saling
bertautan. Rouf mengukirkan senyuman sebelum mengalihkan pandangannya ke dada
langit. Dibiarkan sahaja persoalan abangnya itu tergantung. Otaknya pula digesa
untuk mencari topik perbualan yang berbeda agar dapat dikalih perhatian
abangnya itu dari terus-terusan memikirkan ‘wanita’ yang telah menggoyahkan
perhubungan abangnya ini dengan papanya.
“Abang…” Lembut Rouf memanggil abangnya dan
cepat pula insan di sisinya itu memandang ke arahnya.
“Boleh adik tanya abang satu soalan.”
“Apa dia?” Laju Syam bertanya.
“Kenapa dari kecil lagi abang sukakan bintang?
Maksud adik kenapa bintang dan bukannya bulan?”
“Kenapa tiba-tiba tanya pasal bintang ni?” soal
Syam, hairan.
“Saja.” Melebar senyuman Rouf saat figura
seseorang bagaikan menari-nari di tabir matanya.
“Sebab… bintang tampak lebih sempurna di mata
abang berbanding bulan. Kerdipan bintang yang bercahaya mampu menenangkan hati
yang sedang kegelisahan dan bintang juga mampu mengundang kerinduan pada insan
tersayang.”
Rouf segera mencerna bait-bait bicara abangnya.
Rekahan di bibirnya kian melebar sehingga mengundang tanda tanya di hati insan
di sisinya.
“Lain macam je cara adik senyum ni. Macam orang
tengah mabuk cinta je abang tengok.” Kini giliran Syam pula menyakat adiknya.
Usikan itu bagaikan angin lalu yang menyapa diri
Rouf, sedikitpun tidak terkesan di hatinya.
Namun saat bicara insan yang ditemuinya siang
tadi bergema semula di telinganya, pantas sahaja persoalan diutarakan kepada
abangnya, “Abang tahu tak dalam Bahasa Arab ada satu bintang yang dinamakan
Suhailah.”
“Suhailah? Macam nama orang je. Tapi… kalau
betullah manusia yang bernama Suhailah tu wujud sudah pastilah abang pasangannya
sebab nama abang Syamsunnahaar yang bermaksud Matahari Siang. Memang sesuaikan.
Terangnya siang kerana mentari dan indahnya malam kerana cahaya bintang. Cinta
abang akan menerangi kebahagiaan kami di waktu siang dan cinta Suhailah pulak
akan menerangi mahligai cinta kami di waktu malam. Ah… indahnya. Tapi… ada ke
wanita yang bernama Suhailah ni di luar sana?” tawa kecil tercetus di bibir
Syam saat memikirkan angan-angan itu. Angan-angan yang menjelma saat nama
Suhailah terpacul dari bibir adiknya.
‘Kenapa
Cahaya Suhailah? Sebab nama penuh saya Nur Suhailah. Nur yang membawa makna
cahaya dan Suhailah sebenarnya nama sebutir bintang di langit. Jadi bila diterjemahkan
sebenarnya nama tadika ini membawa erti cahaya sebutir bintang dan sebagaimana
namanya, saya berharap setiap pelajar yang menuntut di sini mampu bersinar
seperti bintang suatu hari nanti dalam menggapai cita-cita mereka.’
‘Suhailah?
Macam nama orang je. Tapi… kalau betullah manusia yang bernama Suhailah tu
wujud sudah pastilah abang pasangannya sebab nama abang Syamsunnahaar yang
bermaksud Matahari Siang. Memang sesuaikan. Terangnya siang kerana mentari dan
indahnya malam kerana cahaya bintang. Cinta abang akan menerangi kebahagiaan
kami di waktu siang dan cinta Suhailah pulak akan menerangi mahligai cinta kami
di waktu malam. Ah… indahnya. Tapi… ada ke wanita yang bernama Suhailah ni di
luar sana?’
Kata-kata Suhailah dan abangnya yang masih
terngiang-ngiang di telinganya itu bagaikan menusuk-nusuk dadanya. Entah
mengapa senyuman yang dilemparkan oleh Suhailah sewaktu bicaranya siang tadi
dan tawa yang masih meriangkan hati abangnya saat ini telah melahirkan satu
perasaan di hatinya. Perasaan yang amat menyakitkan dan perasaan itu sedikit
demi sedikit menguasai dirinya tika ini.