Home Novel Cinta Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Rozita Abd. Wahab
16/1/2015 14:05:22
23,642
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

   HUJAN turun semakin lebat. Guruh berdetum, kilat sabung-menyabung. Beberapa kali dia terkejut dek kerana bunyi guruh yang kuat. Dewi Karmila mengundur ke belakang, tubuhnya terasa sejuk dek kerana tempias hujan. Dia berdiri di tepi tangga. Ikutkan hati mahu saja dia berlari balik ke asrama. Basah pun basahlah, takut pula berdiri sendirian di situ. Sesekali dia menoleh ke arah tangga, mengharapkan ada seseorang yang menuruni anak tangga. Adalah juga teman hendak diajak berbual.

Telinganya mendengar suara orang bersiul, suara orang lelaki. Ada kelegaan menapak di hatinya, ada juga yang akan menjadi penunggu di tingkat bawah itu bersamanya. Langkah orang menuruni anak tangga jelas kedengaran. Entah kenapa ada debar yang menerpa di dada. Hidungnya menghidu bau minyak wangi, bau yang biasa dihidunya sebelum ini. Lelaki itu bersiul mengikut irama lagu yang pernah didengarnya. Dewi Karmila menelan liur. Apakah benar dia orangnya?

Dewi Karmila segera mengundur ke belakang apabila langkah itu semakin mendekat. Lelaki itu tidak akan menyedari kewujudannya kerana dia sudah berada di bawah tangga. Gerak jantungnya sudah tidak seirama, laju degupannya. Tepat sekali tekaannya, pelajar lelaki yang ketika itu berdiri di hadapannya adalah dia.

“Alamak, lebat pula hujan ni,” gumam si anak muda.

Dewi Karmila bekukan dirinya di tempat yang sama. Si anak muda tidak menyedari akan kewujudannya. Tidak keruan dia dibuatnya. Hanya mereka berdua yang berada di ruang itu. Bagaimana jika anak muda itu menoleh ke belakang dan melihat dia berada di situ. Degupan jantungnya semakin laju, dia mula membayangkan sebarang kemungkinan.

Tiba-tiba guruh berdetum kuat, diekori kilat yang membelah bumi. Gelap... bekalan eletrik terputus. Dewi Karmila menjerit sekuat hati, terkejut dan takut kerana keadaan yang gelap. Terus sahaja dia meluru ke arah lelaki yang ketika itu berada di hadapannya, lelaki yang menoleh sebaik mendengar suara orang menjerit. Tubuh itu terus dipeluknya erat, mengigigil tubuh badannya. Dia ketakutan.

Untuk seketika kedua-duanya kaku dalam keadaan begitu, tubuh si lelaki erat dalam pelukan Dewi Karmila. Guruh dan kilat silih berganti. Kedua-duanya bertatapan untuk seketika, sempat si anak muda menatap sepasang mata yang terlindung di balik cermin mata besar ketika cahaya kilat menyuluh ke arah mereka.

“Hoi! Buat apa tu,” sergah satu suara di hadapan mereka. Lampu di kaki lima bangunan sudah menyala. Matanya menangkap susuk tubuh pengawal sekolah tidak jauh dari mereka.

Pantas Dewi Karmila melepaskan tubuh si lelaki dari pelukannya. Tanpa berlengah Dewi Karmila terus mengatur langkah seribu. Arah tujunya ke asrama perempuan. Apa yang dia tahu, dia harus menyelamatkan dirinya. Tidak mungkin dia akan terus menanti di situ. Dia tidak tahu apakah pelajar lelaki itu sempat menyelamatkan dirinya. Buruk padahnya jika lelaki itu tertangkap. Mereka berdua-duaan di dalam gelap dalam keadaan berpelukan.

Next: Bab : 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.