Home Novel Cinta Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Rozita Abd. Wahab
16/1/2015 14:05:22
23,635
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 3
DEWI KARMILA matikan suiz mesin jahit. Baju yang hampir selesai jahitannya dilipat kemas. Malas hendak diteruskan.

“Kau nak keluar ?” tanya Hamidah. Dia mendengar Dewi Karmila berbual di telefon sebentar tadi.

Yup

“Dengan siapa ?”

Soalan itu dibiarkan sepi.

“Pian or Juan.” Hamidah cuba meneka.

“Juan,” hanya nama itu yang disebut. Panggilan ringkas untuk Rizuan.

Hamidah menegakkan tubuhnya sambil merenung wajah Dewi Karmila teman serumahnya. Tidak serik Dewi Karmila dengan peristiwa beberapa bulan yang lalu? Seorang gadis menerpa dan memarahinya sebaik saja terpandang Dewi Karmila bergandingan dengan si Playboy KL bernama Rizuan itu.

“Tak serik-serik,” omel Hamidah

Dewi Karmila tersengih. Pastinya kerana peristiwa itu, Hamidah tidak pernah bersetuju jika dia ke mana-mana dengan Rizuan. Bimbang benar Hamidah andai dia menjadi mangsa gadis-gadis yang pernah diusung oleh Rizuan itu.

“Dia kawan sepejabat, bukan boy friend. Sesekali keluar makan berdua apa salahnya.” Dewi Karmila tidak mahu mengalah.

“Kalau kena serang ?” duga Hamidah.

“Juan ada, takkan dia nak tengok saja.” Dewi Karmila tersenyum.

“Masa Juan ada, kalau Juan tak ada.”

“Aku cabut lari.”

Besar tawa Hamidah sebaik Dewi Karmila menghabiskan ayat ringkasnya.

“Kau ni...”

“Duduk kat rumah, berdua saja dengan kau pun bosan juga. Kau tengok muka aku. Aku tengok muka kau... nak tengok muka si Alya, jangan harap la jawabnya, berkepit dua puluh empat jam.”

Hamidah hanya tersenyum. “Kirim boleh.”

Dewi Karmila sudah bercekak pinggang. “Tadi tak bagi aku keluar, sekarang nak kirim pula. Kata tadi nak masak.”

“Dah kau nak keluar... kirim ajalah, nak masak alang- kepalang, aku sorang saja nak makan.”

“Tapi kalau aku balik lambat, kau jangan marah... kebulur kau nanti.”

“Janganlah nak dera aku.”

Dewi Karmila tersengih. “Tengoklah... ada juga alasan aku nak ajak Juan balik awal. Tahu sajalah kalau keluar dengan Playboy KL tu, lagi tak cecah jam satu dua pagi, jangan harap reti nak balik.”

Hamidah tertawa kecil. “Dah tahu macam tu pun, kau nak keluar dengan dia juga.”

“Banyak songeh pula.. aku tak beli apa yang kau pesan baru tahu.”

Hamidah tersengih. “Okey... okey... jangan lupa nasi lemak aku.”

“Nak lauk apa ?”

“Bedal sajalah.”

“Okey... aku nak mandi.”

Dewi Karmila berlalu masuk ke biliknya. Hamidah hanya memandang sambil tersenyum. Siapa sebenarnya di hati Dewi Karmila... Sofian atau Rizuan ?

HON kereta berbunyi sekali lagi. Terganggu tumpuannya pada majalah di tangan. Dikerling jam di dinding, masih ada sepuluh minit dari masa yang dijanjikan. Masakan Rizuan. Lelaki yang tidak pernah menepati masanya setiap kali berjanji. Mungkin orang lain... jiran tetangga yang menanti kedatangan seseorang atau ada kereta yang menyekat laluan. Masyarakat kota besar itu bermacam ragamnya, bermacam gayanya. Pentingkan diri sendiri, salah satu dari corak hidup mereka.

“Dewi! Kau tak dengar ke bunyi hon tu.”

Terjengul Hamidah di muka pintu, berkerut seperti termakan asam boi yang masam dan masin rasanya.

“Orang lain kot.”

“Kau main teka aja... bingit telinga aku tau tak... kereta Juan kat luar tu.”

Sekali lagi jam di dinding menjadi sasaran mata. Biar betul, lelaki itu sampai sebelum waktunya. Bergegas dia bangkit dan menjenguk melalui tingkap. Benar kata Hamidah, kereta si playboy kl tersadai di luar pagar. Lelaki itu berdiri di sisi keretanya sambil berpeluk tubuh.

“Okey... aku keluar dulu.”

Dewi Karmila segera mencapai beg tangannya. Setelah memastikan daun pintu dikunci dia segera melangkah ke arah Rizuan yang masih bersandar di keretanya.

“Kenapa cepat sangat sampai ?” tanya Dewi Karmila. Rizuan bukan orangnya yang selalu menepati masa.

Rizuan tertawa kecil. “Cepat salah, lambat salah... bila aku lambat, kau kata aku tak reti tengok jam. Sekarang kau nak kata apa pula kat aku.”

“Hmm... nanti aku fikirkan apa yang sesuai.”

Daun pintu dibuka, seperti biasa Rizuan tetap dengan sifat gentlemannya. Bukakan pintu kereta dan menutupnya semula setelah pasti akan keselesaan si gadis. Hmm... patutlah ramai gadis yang tersangkut dengan lelaki ini. Apakah dia juga sudah tersangkut dengan lelaki Playboy itu ?

“Kita nak ke mana ?” tanya Rizuan.

“Weh... tadi dia yang beria-ria nak makan nasi lemak, ini dah tanya kita pula.”

“Manalah tahu kot-kot kau tukar fikiran, nak tengok wayang dengan aku.” Rizuan mengenyit matanya.

Dewi Karmila mencebek. “Jangan harap, aku tak tengok wayang dengan lelaki.”

“Ini lagi pembohong besar... yang aku nampak kau dengan Sofian di Mid Valley tu apa. Tengok wayang ke, wayang tengok kau.” Terjongket kening Rizuan.

“Yalah... tapi bukan berdua dengan Sofian. Rina pun ada kan. Maksud aku... tengok wayang berdua-duaan dengan lelaki. Faham...” tekan Dewi Karmila. Rizuan sengaja mencari peluang.

Rizuan tersengih. “Kau tak sebut pun tadi.”

Dewi Karmila mencemikkan hidungnya.

“Yalah tu.”

“Aku tengok Sofian tu caring gila... takkan tak ada apa-apa kot,” duga Rizuan.

Dewi Karmila goyangkan tangannya. “Tak ada... kalau ada, jangan harap aku nak keluar dengan kau.”

“Kiranya kau ni jenis setia pada yang satu la.”

“Insya-ALLAH.”

“Kalau macam tu, kau saja jadi girl friend aku,” duga Rizuan.

“Weh... jangan nak perasan, dari aku pilih kau lebih baik aku pilih Sofian. Playboy kl...”

Besar tawa Rizuan sambil menepuk stereng keretanya, berbunyi hon kereta tersebut dek kerana ketukan yang agak kuat.

“Hey ! Janganlah buang tabiat.”

“Tak ada... lawaklah kau ni. Ada ke kau gelar aku playboy kl.”

Masih bersisa tawa Rizuan. Lucu dengan gelaran yang baru didengarnya malam ini. Setakat playboy itu biasalah tapi penambahan KL di belakang gelaran itu membuatkan dia terasa geli hati. Macamlah dia seorang sahaja playboy di kota Kuala Lumpur.

“Okey... perut aku dah lapar, banyak sangat ketawa, dah masuk angin.”

“Siapa suruh kau ketawa.”

“Dah kau jadi tukang karutnya.”

“Ha ah, aku jadi si tukang karut, dan kau pengikutnya.” Dewi Karmila bercakap dengan sedikit pelat Indonesia.

Kereta diberhentikan tidak jauh dari deretan gerai makanan. Dewi Karmila tanggalkan tali pinggang, begitu juga dengan Rizuan. Kedua-duanya mengatur langkah ke arah tempat yang dituju.

“Kau order minuman untuk aku. Aku ambil nasi untuk kau.”

“Okey... nak minum apa ?”

“Macam tak biasa.”

Rizuan ketawa. Ditinggalkan Dewi Karmila setelah menarik kerusi untuk gadis itu. Tidak ramai pengunjung yang beratur untuk menunggu giliran.

“Hai !”

Dewi Karmila menoleh, masakan dia tidak mengenali suara lelaki itu tapi apa pula yang dibuatnya di sini.

“Pian !”

Kerusi yang berada di sisi Dewi Karmila ditarik cermat.

“Kau pun ada kat sini ?”

“Hmm... aku pun nak makan kat sini juga.”

“Sorang ?”

“Tu...” panjang muncungnya ke arah rakan-rakan yang duduk semeja dengannya. Masing-masing mengangkat tangan, tentunya mereka juga mengenali Dewi Karmila.

“Aku beramai-ramai tapi kau berdua saja.”

Dewi Karmila tersenyum kelat. Sofian sudah mula menyindir.

“Orang dah ajak, aku ikut la.”

Ada keluhan yang dilepaskan oleh Sofian.

“Kau dari mana tadi ?” tanya Sofian. Ada rasa cemburu yang menyerbu hatinya. Cemburu melihat Dewi Karmila bersama Rizuan.

“Rumah.”

“Dia jemput.”

“Hmm... malas nak drive ke sini.”

“Yalah tu... dapat naik kereta mewah, atau kau naik motor dengan dia.” Sofian menyindir lagi.

Apa yang tidak kena dengan lelaki yang seorang ini. Cemburukan Rizuan ? Hmm... susahnya. Sudah beberapa kali dia tegaskan pada Sofian mereka berdua cuma bersahabat. Begitu juga dia dan Rizuan. Dia berhak keluar dengan sesiapa sahaja selagi dia tahu menjaga dirinya. Dia tahu menjaga batas pergaulannya. Sofian tidak perlu risaukan dirinya. Dia bukannya anak hingusan yang tidak tahu menjaga diri.

“Hey Pian! Kau pun ada kat sini,” sapa Rizuan sambil meletakkan pinggan berisi nasi lemak di atas meja. Rizuan hulurkan tangan untuk berjabat.

Sofian tersenyum hambar. Panas hatinya melihat senyuman Rizuan. Lelaki playboy itu juga yang dipilih oleh Dewi Karmila. Disambut juga huluran tangan Rizuan tapi hati di dalam semakin membengkak.

Rizuan hanya tersenyum. Tidak pula dia menyangka mereka akan bertemu di situ. Dia dan Dewi Karmila. Sofian datang ke situ bersama siapa pula ?

“Kau dengan siapa?” tanya Rizuan sekadar berbahasa. Dia dapat mengesan perubahan pada wajah Sofian. Tentunya hati Sofian diserbu rasa cemburu melihat dia bersama Dewi Karmila. Rizuan tertawa di dalam hati. Hari ini dia beroleh kemenangan tanpa perlu bertanding.

“Aku dengan kawan-kawan,” jawab Sofian sambil menoleh ke arah rakan-rakannya..

“Hmm... nak join kami ?” Rizuan mempelawa.

Sofian tersenyum. Apakah Rizuan Ikhlas mengajak dia menyertai mereka. Dia dapat merasakan Rizuan juga menyimpan perasaan pada Dewi Karmila tapi kata Dewi Karmila Rizuan itu cuma sahabat, sama seperti dirinya. Mungkin hanya Dewi Karmila yang berfikiran begitu, menganggap mereka berdua sekadar sebagai sahabat.

“Tak apalah... kawan-kawan aku di sana. Enjoy your dinner.”

Sofian bangkit dari kerusi, sekali lagi kedua tangan bertaut.

“Jumpa lagi nanti.”

Dewi Karmila hanya mengangguk. Langkah Sofian dihantar dengan rasa yang kurang enak. Kenapa harus bertemu di tempat itu?

“Hmm... jumpa si buah hati kat sini, hilang selera makan.” Rizuan mengusik.

Biar sepuluh kali pun Dewi Karmila menidakkan perasaannya pada Sofian tapi lelaki itu... besar hajatnya untuk Dewi Karmila. Renungan, jelingan dan nada suara Sofian sebentar tadi sudah cukup sebagai jawapan... tercalit rasa cemburu di hati lelaki itu.

“Jangan nak membebel... aku lapar, nak makan.” Dewi Karmila membesarkan matanya.

Wajah Dewi Karmila menjadi sasaran. Dewi Karmila menyuap nasi ke mulut, matanya merenung pinggan nasi lemak berlaukkan ayam, udang dan sotong di hadapannya.

“Banyaknya lauk.”

Rizuan ketawa. Hah... Dewi Karmila berangan sebentar tadi... saat mulut sudah mengunyah, baru disedari akan rupa nasi lemak yang sarat di dalam pinggannya.

“Mana boleh aku habiskan semua ni,” omel Dewi Karmila.

“Tak boleh habis... aku habiskan.” Rizuan tersengih.

Dewi Karmila mencebek.

“Dah tu, makan.”

Dewi Karmila menyuap lagi.

Rizuan tertawa kecil. Terhibur hatinya melihat gaya si gadis, lembut dan sopan. Itulah Dewi Karmila... gadis cantik jinak-jinak merpati. Mesra tapi sukar didekati. Rizuan menyuap nasi ke mulutnya.

Previous: Bab : 2
Next: Bab : 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.