SOFIAN mengepal tangannya, ikutkan hati mahu saja dia
menerpa ke arah pasangan itu. Alang-alang sudah berhadapan, akan dihadiahkan
penumbuk sulungnya ke wajah lelaki itu. Patutlah Dewi Karmila asyik mengelak
bila diajak keluar, rupa-rupanya lelaki itu yang punya angkara. Apakah Dewi
Karmila sudah terpikat pada si lelaki playboy?
Buaya tembaga yang tidak pernah mengenal mangsa.Kemesraan mereka memang menyakitkan
matanya. Dewi Karmila kelihatan bahagia, tersenyum dan ketawa. Telefon bimbit
dikeluarkan dari saku seluarnya, nama Dewi Karmila menjadi sasaran.
“Assalamualaikum.”
Masih terkawal kemarahan yang membusung di
dada. Sakitnya hati hanya ALLAH yang tahu.
“Waalaikumussalam. Hai Pian.”
Terbang sedikit rasa sakit dan marah di
hati. Lembut suara Dewi Karmila menyejukkan hatinya.
“Hai... kau di mana ?” tanya Sofian.
“Beli barang.”
“Sorang ?” Sofian cuba menduga. Apakah
Dewi Karmila akan berlaku jujur padanya? Itulah kali kedua dia bertembung
dengan Dewi Karmila dan Rizuan.
“Dengan Juan,” jawab Dewi Karmila.
Ah Dewi... kau begitu tulus, tiada niat
hendak menipu tapi jawapan itu menyakitkan hati ku. Menambahkan kemarahan yang
sedia ada.
“Beli apa ?” Sofian berusaha mengawal
suaranya.
“Nak beli barang sikit, aku balik kampung
minggu ni.”
“Dengan Juan.”
Itu satu tuduhan yang melulu. Dek rasa
sakit hati yang mencengkam di dada dia terus berkata begitu. Tidak sempat
difikirkan baik atau buruk akibatnya.
Sepi... di mana suara mu wahai Dewi
Karmila.
“Aku balik sorang... buat apa nak bawa playboy ni. Buak semak mata.” Dewi
Karmila ketawa. Suara Rizuan turut singgah di telinga. Butir bicaranya tidak
begitu jelas. Entah apa yang dibebelkan, mungkin tidak setuju dengan panggilan playboy itu.
“Dewi ! Happy birthday,” ucap Sofian. Dari pagi dia menahan hatinya. Enggan
mengucapkan selamat hari lahir pada Dewi Karmila kerana gadis itu terus-terusan
menolak ajakannya untuk bertemu lalu dia berpura-pura tidak mengingati akan
hari istimewa itu.
“Thanks
Pian,” balas Dewi Karmila.
“Esok aku hantar hadiah untuk kau. Ingat
nak ajak keluar... rupanya dah ada orang yang mendahului aku.” Ada kehampaan
yang menguasai hatinya, bercampur dengan rasa sakit hati melihat kemesraan Dewi
Karmila dan Rizuan.
“Terima kasih Pian. Okey... aku tengah discuss fasal harga ni.”
“Okey... Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Talian diputuskan. Hati masih ditusuk
sembilu. Perlukah dia berada di situ lebih lama lagi? Menyaksikan kemesraan si
gadis pujaan dengan lelaki lain. Kemesraan yang membuatkan hatinya terasa
seperti disiat-siat.
Tidak tahu hendak ke mana, nama Amrina
dicari dalam memori telefon bimbitnya. Mungkin gadis itu sudi melapangkan masa
untuknya. Mendengar luahan dan kesakitan hatinya.
“APA
hal ni ? Tiba-tiba saja ajak aku keluar ?” Soalan pertama yang didengarnya dari
Amrina sebaik sahaja gadis itu masuk ke dalam keretanya. Daun pintu ditutup
rapat... berdentum juga bunyinya.
“Sorry.”
Amrina tersengih.
Sofian tersenyum. “Kau buat apa tadi ?”
“Tak ada apa... cuma tengok tv.”
“Sorry.
Aku mengganggu.”
“Apa yang nak kau cakapkan dengan aku. Tergesa-gesa
gayanya, cakap di telefon pun tak hendak. Penting sangat ke?” tanya Amrina.
Sofian masih dengan senyumannya. “Kau dah
makan?”
“Sudah,” ringkas jawapan dari Amrina. Dia
tiba awal di rumah, sampai sahaja di muka pintu disambut dengan bau masakan
yang begitu menyelerakan. Rajin pula teman serumahnya memasak.
“Kau ingat tak hari ni hari apa ?” Sofian
bertanya lagi. Apakah Amrina sudah terlupa akan tarikh tersebut?
Sepi seketika, otaknya ligat memikirkan
jawapan untuk soalan yang diberikan.
“15 April. Kenapa ?” Amrina menoleh ke
arah Sofian. Lelaki itu masih dengan senyumannya.
“Kau tahu birthday siapa?”
Terlopong mulutnya seketika. Alamak...
bagaimana dia boleh terlupa sedangkan sudah diingatkan diri sendiri beberapa
kali. Hari lahir Dewi Karmila jangan sekali-kali dilupa.. panjang rajuk sahabat
yang seorang itu nanti.
“Macam mana aku boleh lupa ni... aduh.”
Amrina menggigit bibir. Dia benar-benar terlupa sedangkan dia sudah menandakan
tarikh hari ini pada kalendar di atas mejanya.
“Bukau kau sorang, aku pun hampir terlupa.
Aku ingat nak ajak kau orang berdua keluar malam ni, celebrate birthday Dewi.”
“Hah.. kau dah call dia, sebelum jemput aku.”
Sofian menggeleng.
“Nak buat apa, kerja sia-sia.”
Berkerut wajah Amrina... apa kena dengan
mamat sorang ni. Tadi beria-ria sangat, ini dikatakan kerja sia-sia.
“Aku ternampak Dewi dengan orang lain.”
Amrina tersenyum. Patutlah wajah jejaka di
sebelahnya masam mencuka. Hati sudah terluka rupa-rupanya.
“Dewi dengan siapa ?” tanya Amrina sambil
merenung wajah Sofian.
“Juan.”
Bertambah lebar senyuman Amrina. Dengan si
playboy itu pun Sofian hendak
cemburu. Tidak mungkin Dewi Karmila
memilih Rizuan. Jika hendak dibandingkan di antara Rizuan dan Sofian, tentu
sekali Dewi Karmila akan memilih Sofian. Setahunya mereka berdua cuma teman
sekerja. Rizuan memang peramah dan mudah mesra. Sudah beberapa kali dia
terserempak dengan Rizuan yang bergandingan dengan gadis-gadis yang seksi,
bertukar-tukar gadis. Masakan Dewi Karmila yang cantik dan bersopan itu hendak
memilih si lelaki bermata keranjang itu.
“Dengan playboy tu pun kau cemburu.”
“Sebab playboy
la aku cemburu... takut pun ada juga, macam mana kalau dia mainkan perasaan
Dewi. Aku tak mahu Dewi terluka.”
Amrina tersenyum dan menggeleng. “Mereka
tu kan cuma kawan sekerja, lagi pun aku tak rasa Dewi akan memilih Juan. Ramai
lagi lelaki-lelaki baik yang wujud kat KL ni.”
“Itu kata kau.. tapi hati aku rasa tak
sedap. Dah dua kali aku ternampak dia orang berdua.”
Amrina masih dengan senyumnya. Hati Sofian
sarat dek rasa cemburu.
“Takkan nak kaluar berdua pun salah. Lagi
pun, kau dengan Dewi kan masih kawan biasa. Dewi belum bagi lampu hijau...
belum kata yang kau tu kekasih hati dia. Dia ada hak nak keluar dengan sesiapa
pun.” Amrina cuba menenangkan Sofian.
“Itu yang buat aku panas punggung,” balas
Sofian.
Amrina ketawa. Simpati juga dia pada
sahabat yang seorang itu. Sudah berkali-kali Sofian luahkan apa yang terbuku di
hatinya untuk Dewi Karmila tapi Dewi Karmila masih begitu juga. Tidak pernah
membuka pintu hatinya untuk Sofian.
“Kau nampak dia orang di mana?” tanya
Amrina.
“Makan nasi lemak kat Kampung Baru...
malam minggu pula tu,” jawab Sofian
“Oh... kau mengintip ya,” giat Amrina
kemudian tertawa kecil.
“Kebetulan... Razak dan kawan-kawan kita
yang lain ajak aku makan di situ,” ujar Sofian.
“Eh.. lepas pula si lelaki takut bini tu
keluar malam minggu.”
“Bini dia kat kampung.. dah bersalin.”
Amrina tergelak. “Patutlah terlepas.. jadi
orang bujanglah sekarang ni. Habis kau tegur dia orang tak?”
“Tegur... aku duduk juga semeja dengan
Dewi tapi bila Juan datang. Hati aku jadi tak menentu... malas aku nak duduk
lama-lama. Cabutlah.”
Amrina menggelengkan kepala. Masih terukir
senyuman di bibirnya. “Dewi macam mana?”
“Dewi, macam mana lagi, tak ada rasa
bersalah. Dia berbual dengan aku macam biasa.” Berat keluhan yang terlepas dari
bibir Sofian. Wajah ceria Dewi Karmila terbayang di mata.
“Itulah aku cakap, dia orang tu tak ada
apa-apa. Kalau ada, sure Dewi rasa
bersalah dengan kau,” tekan Amrina. Berkali-kali dia cuba meyakinkan Sofian,
Dewi Karmila dan Rizuan cuma kawan sekerja. Tidak ada salahnya jika mereka
keluar berdua.
“Kita nak ke mana ni ?” tanya Amrina sambil
melihat ke arah jalan raya.
“Temankan aku pergi makan.”
“Aku dah makanlah.”
“Temankan aku... bukannya suruh kau
makan.”
“Susah betul dapat kawan angau macam ni...
Kalau kau tahu Dewi tak dapat terima kau, kenapa tak cari saja yang lain. Kat office kau tu tak kan tak ada yang
berkenan.”
“Setakat berkenan macam tu saja buat apa.
Aku nak Dewi... bukan sehari dua aku kenal dia. Hati budi dia semua aku dah
tahu. Hati aku dah tersangkut sejak kat kampus lagi. Bukannya boleh dibuang
macam tu saja,” luah Sofian. Bertahun dia menyimpan perasaannya untuk Dewi
Karmila. Tidak mudah pula untuk dia menyingkirkan perasaan itu begitu sahaja.
Amrina mendengus. “Suka hati kaulah... frust menonggeng nanti, jangan cari
aku.”
“Dahlah... aku nak makan, tak payah cakap
pasal tu lagi,” bebel Sofian. Dia sendiri yang terasa hati dengan apa yang
dikatakan oleh Amrina walaupun hakikatnya dia sendiri yang memulakannya.
Tergeleng-geleng kepala Amrina,
macam-macam hal dengan sahabat yang seorang ini. Kerana Dewi Karmila, kerana si
playboy yang bernama Rizuan itu hati
Sofian jadi tak keruan. Cemburu pada lelaki yang mendampingi si gadis
idamannya.