Sebaik kaki melangkah keluar dari
bilik mesyuarat, mata segera menangkap sesusuk tubuh seorang lelaki yang
memandang ke arahnya. Apa lagi yang dimahukan oleh lelaki itu? Tidak adakah
rasa segan di hatinya, saban waktu bertandang ke jabatan itu sedangkan pejabat
sendiri terletak di tingkat lapan.“Hai !” Rizuan menyapa sambil
tersengih-sengih.
“Nak apa ?” sergah Dewi.
“Saja... nak jumpa kau.”
Diekori langkah Dewi Karmila hingga ke
dalam bilik pejabatnya, daun pintu ditutup rapat. Dewi Karmila menjeling...
kurang senang dengan cara yang begitu. Apa kata rakan-rakan sekerjanya apabila
melihat Rizuan masuk ke bilik itu dan merapatkan daun pintu.
“Kenapa tenung aku macam tu. Ada hutang.”
Dewi Karmila menjegilkan matanya.
Besar tawa Rizuan sambil meletakkan kedua
belah lengan di atas meja, sarat dengan perasaan aneh yang sukar di
mengertikan. Apakah dia sudah jatuh cinta pada Dewi Karmila? Sememangnya dia
sengaja menjauhkan dirinya dari Dewi Karmila selepas pertemuan malam itu. Dia
sedar siapa dirinya di mata Dewi Karmila. Playboy
kl, itulah gelaran yang diberi oleh Dewi Karmila padanya. Dia tahu dia
sudah terlewat. Ada orang lain yang sedang berusaha memikat Dewi Karmila atau
mungkin juga sudah berjaya memikat Dewi Karmila.
Sehari dia menjauhkan diri dari Dewi
Karmila... dia masih mampu bertahan. Masuk hari kedua... langkah Dewi Karmila
hanya dipandang dari jauh tapi hari ini, sudah hari ketiga... masakan dia
hendak terus mendera perasaan sendiri, sedangkan Dewi Karmila tidak tahu
apa-apa. Wajah Dewi Karmila ada di mana-mana, tersenyum dan ketawa padanya.
Memang dia sedang parah, dia jatuh hati pada Dewi Karmila. Biarlah dilayan
perasaan sendiri, asalkan Dewi Karmila tidak menjauhkan diri darinya. Dia
bahagia melihat gadis itu ketawa dan tersenyum padanya.
“Seronoknya ketawa... kerjanya siap tak?”
Dewi Karmila bercakap dengan dialek
Indonesia. Kata Dewi Karmila, ayahnya berasal dari Sumatera, merantau ke tanah
semenanjung untuk mencari rezeki. Bukan sekadar rezeki yang ditemuinya di sini
tapi juga calon isteri... yang akhirnya menjadi suri hati. Pasangan yang
dikurniakan sepasang cahaya mata. Itu kata Dewi Karmila... namun jauh di dalam
hati dia tetap memasang rasa curiga, ada sesuatu yang dirahsiakan dari dirinya.
Bukan hanya pada dia tapi pada semua orang yang dikenalinya. Dewi Karmila
perahsia orangnya... apa lagi cerita peribadi, cerita keluarga... bagaikan ada
sesuatu yang tidak ingin diluahkan pada sesiapa.
“Kita lunch
hari ni.”
“Enggak mau... aku banyak kerja.”
Dewi Karmila masih dengan dialek
Indonesianya. Apa mimpi Dewi Karmila hari ini? Suka benar menggunakan dialek
bahasa ayahandanya.
“Apa hal ni... suka sangat cakap macam
tu.”
Dewi Karmila tersengih. “Saja
suka-suka...”
“Atau kau sedang berusaha memikat orang
Indonesia.” Rizuan mengusik.
Dewi Karmila tersenyum. “Agaknya kalau aku
jumpa artis Indonesia... terpikat tak dia dengan aku.”
Berkerut dahi Rizuan. “Artis yang mana?”
“Tak kiralah siapa pun.”
“Handsome sangat ke artis Indonesia. Aku
tengok semuanya biasa saja. Handsomelagi
aku.”
“Weh perasan... memang dasar playboy kl, berapa ramai yang dah kau
pancing bulan ni,” balas Dewi Karmila.
Tergeleng-geleng kepala Rizuan, lagi-lagi
panggilan itu yang digunakan.
“Jahat sangat ke aku ni ?”
Wajahnya berubah serius... bukannya marah.
Sengaja hendak menduga Dewi Karmila tapi jauh di sudut hati dia terasa juga.
Dia bukannya lelaki yang terlalu jahat. Dia cuma suka berkawan dengan ramai
perempuan tapi tidak ada yang bertahan di sisinya selepas beberapa bulan. Dia
cepat merasa bosan dengan kerenah mereka. Apa lagi kalau perempuan yang suka
meminta dan suka menggoda.
“Aku rasa... kau sendiri tahu, jahat atau
tidak diri kau tu.” Dewi Karmila bersuara perlahan. Bukan niatnya hendak
menyakitkan hati Rizuan tapi dia mahu Rizuan sedar tentang perkara itu. Rizuan
seharusnya setia pada seorang gadis sahaja. Gadis yang akan menjadi pasangan
hidupnya.
“Aku tak pernah merosakkan anak gadis
orang,” luah Rizuan.
Dewi tersenyum. “Betul,” duga Dewi
Karmila.
“Yalah..” akui Rizuan.
“Macam tak percaya.” Dewi Karmila mengulum
senyum.
Rizuan terdiam. Kali ini dia benar-benar
terasa. Jauh benar anggapan Dewi Karmila terhadap dirinya. Kata-kata itu datang
dari bibir gadis yang dipujanya, gadis yang telah mencuri hatinya.
“Kalau tak rosakkan... sikit-sikit tu ada
kan,” Dewi Karmila masih mahu menduga.
Dewi Karmila diam seketika. Rizuan tidak
membalas kata-katanya. Serba salah pula dia dibuatnya apabila melihat kekeruhan
yang bertandang di wajah lelaki itu. Bolehkah dia mempercayai kata-kata lelaki
seperti Rizuan. Ke hulu ke hilir dengan perempuan... seksinya tak payah di
cerita, masakan Rizuan tidak tergoda. Kata rakan-rakannya, jarang sekali mereka
bertembung dengan Rizuan di surau yang terletak di tingkat lima. Dia hanya memasang
telinga, tidak mahu memberi sebarang ulasan.
“Kau nak lunch dengan aku ?” tanya Dewi Karmila. Apa salahnya kalau dia
mengalah, mungkin kata-katanya sebentar tadi sudah mengusik hati seorang
sahabat.
Ada senyuman yang terukir, hilang keruh
yang bertapa sebentar tadi.
“Betul ke ni.” Rizuan inginkan kepastian.
Dewi Karmila tersenyum, dikerling jam di
tangan, perutnya sudah menjerit minta diisi.
“Jom... aku belanja.”
Rizuan tertawa kecil.
“Mimpikah aku... tiba-tiba saja kau nak
belanja.”
“Orang kata, rezeki jangan ditolak, padah
jangan dicari. Kalau nak makan jom... kalau tak hendak, duduk diam-diam kat
sini.”
Rizuan ketawa lagi.
“Masakan aku nak menolak... tuan puteri
nak belanja. Setahun sekali pun payah nak merasa.”
Dewi mencebek. Diatur langkahnya ke pintu,
Rizuan mengekor dari belakang.
Sepi... ruang pejabat kosong tidak
berpenghuni. Bukan sahaja kosong tapi gelap tanpa cahaya lampu.
“Apa hal ni ?” Dewi Karmila mengomel sendiri sambil mengatur
langkah mencari suis lampu. Belum sempat suis ditekan, mata menangkap cahaya
yang datang dari arah bilik mesyuarat. Cahaya lilin.
Tergamam dia di situ.
“Happy
birthday to you. Happy birthday to you. Happy birthday to Dewi. Happy birthday
to you.”
Riuh suara teman-teman menyanyikan lagu
itu, terselit wajah si lelaki yang tadinya mengekori langkahnya dari belakang.
“Cepatlah, tiup lilin tu.”
Jerit satu suara.. siapa? Dia tidak pasti.
“Tiuplah Cik Dewi.”
Rita tercegat di sisinya.
Hanya senyuman yang terukir di bibirnya,
ada sedih ada gembira. Dia sendiri terlupa tentang tarikh tersebut, tarikh hari
lahir sendiri. Lambat-lambat ditiup juga lilin yang masih menyala. Tepukan
bergema... ruang pejabat terang benderang, lampu yang tadinya sengaja
dipadamkan sudah terpasang semula.
“Happy
birthday Cik Dewi.”
Satu ciuman di pipi diterima dari Rita,
dituruti oleh Kasinah kemudian Hanisah. Syakila juga tidak mahu ketinggalan.
“Aku nak cium boleh.”
Tercegat Rizuan di sisinya.
“Tak malu...” Rita menjerit, yang
lain-lainnya ketawa kesukaan.
Rizuan hanya tersengih.
“Cik Dewi! Ini hadiah dari kami.”
Satu bungkusan diserahkan ke tangannya.
“Terima kasih semua. Terima kasih kerana
ingat hari lahir saya. Saya sendiri terlupa.” Ada sebak yang datang bertandang.
Terasa dirinya dihargai, disayangi rakan-rakan sekerja.
“Cik Dewi kena berterima kasih dengan En.
Rizuan, Dia yang ingatkan kami. Dia juga yang plan majlis ni, Kami semua cuma ikut arahan.”
Dewi Karmila menoleh ke kanan, Rizuan
masih tercegat di tempat yang sama, masih dengan senyuman menggodanya. Ah
Rizuan, kau buatkan hati aku jadi lintang pukang.
“Thanks
Juan,” ucapnya dengan rasa terharu.
“Terima kasih saja... satu ciuman untuk
satu batang lilin.”
Merah padam wajah Dewi Karmila. Rizuan
memang tidak tahu malu.
“En. Rizuan ni teruk betul... tak malu,”
rungut Rita sambil menarik tangan Dewi Karmila ke arah meja yang diletakkan di
tengah ruang. Hidangan sudah disediakan. KFC,
banyaknya. Apakah semua ini disediakan oleh Rizuan ?
“Okey... jemput makan semua.”
Masing-masing mencapai ketulan ayam
goreng, kentang goreng kemudian beralih ke tempat masing-masing. Rita memotong
kek coklat yang dibeli petang semalam, duitnya Rizuan juga yang hulurkan.
Terdetik juga di hatinya... Rizuan sangat berminat dengan Dewi Karmila. Sanggup
menghabiskan duit untuk majlis itu. Bukannya sedikit...banyak juga belanjanya. Cheese cakedari Secret Recipeitu saja sudah mencecah 80 ringgit, itu belum
termasuk hidangan KFC yang disediakan untuk mereka. Dewi Karmila dan Rizuan
memang sepadan, sama cantik dan menarik... bagai pinang dibelah dua, cuma yang
membezakan mereka, Dewi Karmila masih sendirian tanpa teman lelaki tapi Rizuan
sering saja bertukar-tukar pasangan.
“Thanks
Juan.” Sekali lagi ucapan itu diberikan ketika kedua-duanya duduk bersebelahan,
menikmati kelazatan ayam goreng yang masih panas.
“Siapa yang beli ayam ni, panas lagi.”
“Siapa lagi kalau bukan aku. Dia orang kat
sini semuanya sibuk. Plan sebenar
Syahid yang akan membeli, alih-alih kau adakan mesyuarat tergempar, terpaksa
aku turun padang.”
“Thank
you.. thank you... thank you.” Meleret-leret senyuman di bibir Dewi
Karmila.
“Kan aku cakap terima kasih saja tak
cukup. Aku nakkan ciuman.”
“Weh... jangan nak mengarut, masih ramai
gadis-gadis di luar sana yang sudi memberikan ciuman pada kau. Bukan aku.” Dewi
Karmila tertawa kecil.
“Well...
okey, suatu hari nanti, kau mesti cium aku juga.”
“Jangan perasan.” Dewi Karmila mencebek.
Disuap ayam goreng ke dalam mulut.
“Macam budak-budak, comot,” bebel Rizuan.
Pantas saja lelaki itu mencapai kertas tisu dan mengesat di bahagian tepi
bibirnya. Tidak sempat hendak dielak... malunya, bukan seorang dua yang sedang
memerhatikan mereka.
“Apa kau ni... tak malu.”
“Aku buat apa, cuma kesat pipi kau...
salah?” Rizuan besarkan bukaan matanya.
Bengkak hatinya... bagaimana agaknya
layanan Rizuan dengan gadis-gadis yang didampinginya selama ini. Seromantis itu
kah atau lebih-lebih lagi. Entah-entah sudah berpuluh bibir si gadis yang
diratahnya. Eee... seram pula dia dibuatnya.