HUJAN turun semakin
lebat. Guruh berdetum, kilat sabung-menyabung. Beberapa kali dia terkejut dek
kerana bunyi guruh yang kuat. Dewi Karmila mengundur ke belakang, tubuhnya
terasa sejuk dek kerana tempias hujan. Dia berdiri di tepi tangga. Ikutkan hati
mahu saja dia berlari balik ke asrama. Basah pun basahlah, takut pula berdiri
sendirian di situ. Sesekali dia menoleh ke arah tangga, mengharapkan ada
seseorang yang menuruni anak tangga. Adalah juga teman hendak diajak berbual.
Telinganya mendengar suara orang bersiul,
suara orang lelaki. Ada kelegaan menapak di hatinya, ada juga yang akan menjadi
penunggu di tingkat bawah itu bersamanya. Langkah orang menuruni anak tangga
jelas kedengaran. Entah kenapa ada debar yang menerpa di dada. Hidungnya
menghidu bau minyak wangi, bau yang biasa dihidunya sebelum ini. Lelaki itu
bersiul mengikut irama lagu yang pernah didengarnya. Dewi Karmila menelan liur.
Apakah benar dia orangnya?
Dewi Karmila segera mengundur ke belakang
apabila langkah itu semakin mendekat. Lelaki itu tidak akan menyedari
kewujudannya kerana dia sudah berada di bawah tangga. Gerak jantungnya sudah
tidak seirama, laju degupannya. Tepat sekali tekaannya, pelajar lelaki yang
ketika itu berdiri di hadapannya adalah dia.
“Alamak, lebat pula hujan ni,” gumam si
anak muda.
Dewi Karmila bekukan dirinya di tempat
yang sama. Si anak muda tidak menyedari akan kewujudannya. Tidak keruan dia
dibuatnya. Hanya mereka berdua yang berada di ruang itu. Bagaimana jika anak
muda itu menoleh ke belakang dan melihat dia berada di situ. Degupan jantungnya
semakin laju, dia mula membayangkan sebarang kemungkinan.
Tiba-tiba guruh berdetum kuat, diekori
kilat yang membelah bumi. Gelap... bekalan eletrik terputus. Dewi Karmila
menjerit sekuat hati, terkejut dan takut kerana keadaan yang gelap. Terus
sahaja dia meluru ke arah lelaki yang ketika itu berada di hadapannya, lelaki
yang menoleh sebaik mendengar suara orang menjerit. Tubuh itu terus dipeluknya
erat, mengigigil tubuh badannya. Dia ketakutan.
Untuk seketika kedua-duanya kaku dalam
keadaan begitu, tubuh si lelaki erat dalam pelukan Dewi Karmila. Guruh dan
kilat silih berganti. Kedua-duanya bertatapan untuk seketika, sempat si anak
muda menatap sepasang mata yang terlindung di balik cermin mata besar ketika
cahaya kilat menyuluh ke arah mereka.
“Hoi! Buat apa tu,” sergah satu suara di
hadapan mereka. Lampu di kaki lima bangunan sudah menyala. Matanya menangkap
susuk tubuh pengawal sekolah tidak jauh dari mereka.
Pantas Dewi Karmila melepaskan tubuh si
lelaki dari pelukannya. Tanpa berlengah Dewi Karmila terus mengatur langkah
seribu. Arah tujunya ke asrama perempuan. Apa yang dia tahu, dia harus
menyelamatkan dirinya. Tidak mungkin dia akan terus menanti di situ. Dia tidak
tahu apakah pelajar lelaki itu sempat menyelamatkan dirinya. Buruk padahnya
jika lelaki itu tertangkap. Mereka berdua-duaan di dalam gelap dalam keadaan
berpelukan.