Home Novel Cinta Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Rozita Abd. Wahab
16/1/2015 14:05:22
23,639
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 8
“PERUT dah kenyang. Aku rasa macam nak balik tidur,” ujar Rizuan sambil mengusap perutnya yang kekenyangan. Dia sudah bersandar di kerusi yang didudukinya.

“Hah... jangan nak mengada, hantar aku ke office dulu, aku nak ambil kereta,” marah Dewi Karmila.

“Laaa... dah lewat macam ni masih ada hati nak balik office.” Rizuan merenung wajah Dewi Karmila.

“Aku nak ambil kereta, bukan nak buat kerja.” Dewi mencebik, wajah Rizuan dikerling sekilas.

“Tak payahlah. Aku hantar kau balik terus sampai depan rumah. Pagi esok aku jemput kau depan rumah dan bawa kau ke office,” usul Rizuan. Belum puas rasanya menghabiskan waktunya bersama Dewi Karmila.

“Kereta aku macam mana.” Ada kebimbangan dalam nada suara Dewi Karmila. Bimbang juga dia hendak meninggalkan keretanya di bangunan pejabat itu.

“Tak hilangnya... Kau parkingkat building tu, bukannya kat luar,” ujar Rizuan.

“Kalau hilang macam mana.” Berkerut dahi Dewi Karmila, bimbang memikirkan kereta kesayangannya.

Rizuan tersengih. “Aku jemput dan hantar kau hari-hari.”

“Orang cakap betul-betul, dia main-main pula.” Dewi Karmila mencebik.

“Yalah... aku pun cakap yang betul. Aku pernah tinggal kereta kat tempat parking masa outstation ke Sabah hari tu. Tak hilang pun.” Rizuan cuba meyakinkan Dewi Karmila.

“Kalau hilang.”

“Aku belikan kereta baru untuk kau... cash.” Rizuan sudah tertawa kecil.

“Banyak duit bapak kau.” Dewi Karmila menjegilkan matanya.

Rizuan ketawa lepas. “Tak payah duit bapak... duit aku pun ada. Setakat Viva tu.. tak hairanlah beb.”

Bengkak hati Dewi Karmila mendengar kata-kata Rizuan, sombongnya dia.

“Jangan marah cik adik... aku gurau aja.” Rizuan cuma bergurau tapi melihatkan perubahan di wajah Dewi Karmila hatinya pula yang diusik bimbang. Bimbang Dewi Karmila berkecil hati dengan gurauannya. Hakikatnya dia berkemampuan untuk membeli sebuah kereta untuk Dewi Karmila.

“Okey... aku hantar kau balik rumah. Dah lewat ni, kalau ke office dulu... jam berapa kau nak sampai ke rumah.” Rizuan kerling jam di tangan. Tidak wajar untuk dia menghantar Dewi Karmila ke pejabat dan membiarkan gadis itu memandu pulang ke rumahnya pada waktu-waktu begitu.

Dewi Karmila masih mendiamkan diri, tidak berminat hendak berbicara dengan Rizuan. Masih terasa hati dengan gurauan Rizuan sebentar tadi.

“Kau merajuk ya,” giat Rizuan. Wajah Dewi Karmila terus direnungnya tapi gadis itu memandang ke arah lain.

Dewi Karmila masih mendiamkan diri.

“Kau tahu tak orang kata... orang yang sedang bercinta saja yang suka merajuk... kau cintakan aku ya,” usik Rizuan.

Bulat mata Dewi Karmila merenung wajah Rizuan.

“Juan !” Dewi Karmila menjeritkan nama Rizuan.

“Tengok... muka kau dah merah.” Rizuan masih enggan mengalah, terus mengusik Dewi Karmila.

Memang dia malu. Malu dituduh begitu oleh seorang lelaki yang selama ini dianggap sebagai sahabat. Sekali pun dia agak rapat dengan Rizuan, hatinya tetap tersentuh dengan kata-kata yang sebegitu.

“Okey... okey... aku bergurau saja.” Rizuan ketawa kesukaan. Seronok dapat mengenakan Dewi Karmila yang merona merah wajahnya. Wajah Dewi Karmila bertukar masam kemudiannya.

“Juan, kau ni teruk tau,” marah Dewi Karmila.

“Aku gurau aje Dewi. Jangan ambil hati... aku sedar siapa aku ni. Orang macam aku ni tak layak untuk kau. Playboy KL kan.” Rizuan bersuara perlahan. Berpura-pura merajuk, yalah siapalah dia jika hendak digandingkan dengan Dewi Karmila. Sekali pun dia tergolong di kalangan lelaki yang kacak, mana mungkin Dewi Karmila akan terpikat padanya. Lelaki mata keranjang, kata Dewi Karmila.

Dewi Karmila merenung wajah Rizuan. Lelaki itu sedang memandang ke sisi. Merajuk pula anak muda yang seorang ini. Dewi Karmila tersenyum, hilang rasa marahnya pada Rizuan yang tadinya berbungkal di dada. Wajah jejaka di hadapan terus menjadi sasaran matanya. Apakah wujud rasa kesal di hati Rizuan kerana berkata begitu padanya?

“Kalau dah sedar diri tu playboy... cubalah ubah sikap tu, barulah kau boleh dapat perempuan yang terbaik untuk kau,” luah Dewi Karmila.

Rizuan masih memasamkan wajahnya. Jahat sangatkah dia hingga Dewi Karmila berkata begitu padanya. Rizuan menoleh ke arah Dewi Karmila. Giliran dia pula yang merenung wajah Dewi Karmila tapi gadis itu terlebih dahulu melarikan pandangan matanya.

“Kalau aku berubah, kau nakkan aku ?” tanya Rizuan sambil merenung wajah gadis di hadapannya. Wajah yang sudah berubah merah dek kerana soalannya.

Dewi Karmila menghela nafas perlahan. Dia pula yang terkena... teruk betul lelaki yang seorang ini.

“Dahlah... malas aku nak cakap apa-apa, kau belitkan aku,” rungut Dewi Karmila.

Terkekeh-kekeh Rizuan ketawa. Seronok dapat mengenakan Dewi Karmila. Wajah Dewi Karmila yang bercahaya sebentar tadi kembali cemberut dan dia terus ketawa. Ah... kalaulah Dewi Karmila sudi menerima dirinya, pasti dia akan meninggalkan tabiat lamanya, meninggalkan apa saja sifat yang tidak disukai oleh gadis pujaannya itu. Hanya gadis yang satu itulah yang akan dikelek ke sana ke mari.

“Jomlah.. perut dah kenyang. Aku nak balik.” Dewi Karmila sudah bersedia untuk bangun. Ada baiknya mereka segera beredar sebelum Rizuan melalut jauh.

“Belum bayar dah nak balik,” bebel Rizuan sambil melambai ke arah seorang anak muda yang berdiri di hadapan kaunter.

“Aku bayar.” Dewi Karmila keluarkan duit dari beg dompetnya.

“Aku yang bayar.” Rizuan juga segera berbuat demikian.

“Kan aku janji nak belanja kau malam ni.” Dewi Karmila menjegilkan matanya.

“Kan aku kata tak nak belanja... kalau kau cium, aku nak.” Rizuan tersengih.

Dewi Karmila mendengus. Tak habis-habis dengan kenakalannya. Tidak sempat diletakkan wang kertas di dalam dulang yang dihulurkan, Rizuan yang mendahuluinya. Lelaki itu tersengih kemudiannya. Sesekali Rizuan harus membenarkan dia yang membuat bayaran, dia tidak mahu dikata mengambil kesempatan pula.

“Hantar aku ke office,” tegas Dewi Karmila sebaik saja masuk ke dalam kereta.

“Dah sebelas setengah cik adik oi. Dari sini ke office, setengah jam. Balik ke rumah kau setengah jam. Lewat sangat sampai rumah, pukul berapa kau nak tidur,” bebel Rizuan sambil mengenakan tali pinggang keledar.

“Aku dah biasa tidur lewat,” balas Dewi Karmila.

“Kau buat apa tidur lewat ?” tanya Rizuan.

“Apa-apa saja yang berfaedah.. membaca misalnya. Bukan macam kau berkepit dengan perempuan masuk keluar disko.” Dewi Karmila menyindir.

Rizuan tersengih, dia pula yang terkena kali ini.

“Sekarang aku ni nakal... jahat, tapi kalau kau jadi girl friend aku... semua tu aku tinggalkan. Pakai serban, pakai jubah semua aku sanggup.” Rizuan juga tidak mahu mengalah.

Dewi Karmila mengetap bibirnya. Lagi-lagi perkara itu yang dijadikan bahan gurauan. Dia tahulah dia tidak sepadan dengan Rizuan tapi itu tidak bermakna lelaki itu boleh mempermainkan perasaannya.

“Juan, kau dah biasa hidup macam ni kan... bukan senang nak berubah. Belum tentu kerana seorang perempuan kuno macam aku ni kau akan berubah,” ujar Dewi Karmila.

Meletus tawa Rizuan sambil mengetuk stereng keretanya, lucu benar rasanya bila mendengar Dewi Karmila menyebut ayat perempuan kuno. Siapa kata Dewi Karmila kuno. Dewi Karmila seorang gadis yang terpelajar. Punya kedudukan yang boleh dibanggakan dalam syarikat. Cara pemakaiannya tidaklah terlalu kekampungan. Perkataan kuno itu tidak sesuai untuk gadis seperti Dewi Karmila.

“Kau tau tak... kalau kau kata kau perempuan kuno. Kau tak pakai macam ni, tapi kau pakai baju macam orang dulu-dulu, berkemban dengan kain batik separas dada, lepas tu sangkut selendang kat bahu... lagi seksi ooo..” Rizuan terus-terusan ketawa.

Dewi karmila sudah hilang kesabaran... pantas jejarinya singgah di pinggang Rizuan dek kerana rasa geram dan marah yang teramat. Dicubitnya dengan sekuat hati... geramnya. Sejak tadi lelaki itu asyik mengenakannya.

Bertambah besar tawa Rizuan sambil mengusap pinggangnya yang sedikit perit. Biar pun sakit, hati terasa bahagia... kali pertama Dewi Karmila mencubitnya.

“Kau ni teruk betul,” marah Dewi sambil berpeluk tubuh. Malas hendak melayan Rizuan yang masih ketawa-ketawa. Pantang ada peluang lelaki itu pasti akan mengenakannya.

“Sedap...” Rizuan menoleh ke arah Dewi Karmila.

Dewi Karmila masih cemberut wajahnya.

“Sedapnya..” ulang Rizuan. Sengaja hendak meraih perhatian gadis itu.

Berkerut wajah si gadis, dikerling ke arah Rizuan, hati tertanya-tanya, apa yang sedap.

“Apa yang sedap ?”

“Sedap... kena cubit.”

“Juan!” Dewi Karmila sudah menjeritkan nama Rizuan.

Kali ini telapak tangannya singgah di bahu lelaki itu, bukan sekali tapi berkali-kali. Geramnya. Dia menampar bahu Rizuan dengan sekuat hatinya, melepas segala rasa geram dan sakit hatinya.

“Okey... okey... sudah... Aku tengah drive ni. Tak pasal-pasal dua-dua masuk hospital nanti. Kecoh satu office, Kau dan aku accident dalam satu kereta, malam-malam buta pula tu.” Masih bersisa tawa si lelaki. Disentuh bahunya yang terasa sakit, boleh tahan juga penangan Dewi Karmila. Gadis itu menampar bahunya dengan sekuat hati.

“Kau yang cari fasal,” marah Dewi Karmila. Dia sudah bersandar sambil berpeluk tubuh. Dadanya berombak, cuba dikawal rasa marahnya.

“Aku bergurau... tapi kau tak boleh terima gurauan aku,” balas Rizuan.

“Bergurau tak bertempat.”

Rizuan mengulum senyum, terlebih ketawa nanti, dimarahi Dewi Karmila pula. Wajah si gadis masam mencuka namun hatinya rasa terhibur. Bila bersama Dewi Karmila dia bebas mengusik... rajuk Dewi Karmila mudah dipujuk, marah Dewi Karmila hanya seketika. Esok-esok eloklah dia... kalau tak esok, sebentar saja lagi hati Dewi Karmila pasti dilembutkan.

“Aku hantar kau balik ke rumah ya.”

Dewi Karmila hanya mendiamkan diri.

“Dewi Sayang......”

Dewi menekup telinganya, tidak mahu mendengar kata-kata lelaki itu lagi. Mengadanya menjadi-jadi, menggatal... miang, semuanya ada. Panggilan sayang itu terasa menyakitkan telinga. Lelaki itu sengaja hendak memainkan perasaannya.

“Ialah... ialah... hantar aku balik. Boleh jadi gila aku kalau dengan kau ni,” Dewi Karmila sedikit menjerit. Tidak tahan dia diusik begitu.

Rizuan ketawa kesukaan, Dewi Karmila sudah berpaling ke arah luar. Marah benar gadis itu padanya.

“Okey... okey... aku tak kacau kau lagi. Aku hantar kau balik ke rumah.”

Dewi Karmila menyepikan diri.

“Dewi,” Rizuan menyeru nama Dewi Karmila.

Dewi Karmila diam tidak berkutik.

Hanya keluhan yang dilepaskan, rajuk Dewi Karmila masih berpanjangan. Dewi Karmila mengunci mulutnya, enggan berbicara atau membalas kata-katanya. Mulutnya mula bersiul... entah apa-apa lagi yang disiulkan. Bosan bersiul sendiri, dia menghidupkan suis radio... suara Syarifah Aini memecah kesunyian, mulutnya juga turun menyanyi.

“Larilah... oh lari... Dewi ku lari gagah berani. Larilah...”

Tersenyum-senyum Dewi Karmila mendengar suara sumbang si jejaka di sisi. Perkataan kuda yang disebut oleh biduanita Syarifah Aini ditukarkan dengan namanya. Ada-ada saja idea Rizuan, namun hati terasa terhibur... hilang rasa marah dan sakit hati kerana dipermainkan lelaki itu.

“Kau marah aku ?” soalnya sebaik menyedari perubahan pada wajah Dewi Karmila, tenang dan bersahaja, tidak tegang seperti tadi.

“Marah lagi tak ?” Sekali lagi Rizuan bertanya.

“Suara kau macam katak panggil hujan,” komen Dewi Karmila sambil menjeling ke arah Rizuan.

Lelaki itu tersenyum, menjadi juga idea spontannya untuk melembutkan hati Dewi Karmila. Gadis itu sudah mampu mengukir senyuman. Lega hati Rizuan melihat senyuman si gadis. Keretanya diberhentikan di hadapan sebuah rumah teres setingkat, lampu di halaman terang-benderang.

“Nak aku tolong angkatkan barang kau ?” tanya Rizuan. Tujuan asal Dewi Karmila hendak membeli sebuah tablet tapi sudahnya sebuah printer turut diangkut oleh Dewi Karmila. Katanya, alang-alang ada orang yang boleh tolong angkatkan.

Dewi Karmila menolak daun pintu.

“Kalau rasa diri tu lelaki... silakan.”

Rizuan tersenyum. Dewi Karmila mencari peluang untuk mengenakannya.

“Tapi aku tak dibenarkan masuk ke dalam rumah kau.”

Itu yang selalu ditekankan oleh Dewi Karmila, setiap kali dia bertandang ke rumah itu, Dewi Karmila akan mengajak dia keluar ke mana-mana. Tidak sopan seorang lelaki sepertinya masuk ke dalam rumah anak dara, berbual di luar juga tidak diizinkannya, tidak manis dipandang jiran tetangga. Banyak benar pantang-larang Dewi Karmila tapi semua itu untuk kebaikan mereka berdua.

“Siapa suruh kau masuk, letak saja kat depan pintu. Nanti aku angkat.”

Rizuan tersengih. Diekori langkah Dewi Karmila sambil mengangkat plastik berisi barang-barang yang dibeli oleh Dewi Karmila.

“Letak kat situ saja Juan,” ujar Dewi Karmila sebaik sahaja daun pintu dibuka.

Seorang gadis keluar ke ruang tamu.

“Hai Juan!” Hamidah menyapa.

“Hai Midah... lawa kau hari ni,” puji Rizuan.

Hamidah ketawa. “Aku pakai baju tidur pun lawa.”

“Dia puji... ada maksud lain, kau jangan salah sangka.” Dewi Karmila yang bersuara sambil menjeling ke arah Rizuan yang tersengih-sengih.

“Kau ni... tak ada kerja lain, asyik nak pandang serong kat aku,” rungut Rizuan.

“Dah memang fikiran kau ke lain. Macam aku tak tau.” Dewi Karmila tersengih.

“Sampai hati kau... aku dah tolong hantar sampai depan rumah pun kau kutuk aku lagi. Teruk betul kawan kau ni Midah.” Rizuan bercekak pinggang di hadapan Dewi karmila.

Hamidah hanya ketawa kecil sambil tergeleng-geleng kepalanya. Ada-ada saja yang hendak digaduhkan oleh mereka berdua.

“Kau orang tahu tak... orang tua-tua kata, kalau lelaki dan perempuan suka sangat bergaduh... jodoh mereka tu kuat,” ujar Hamidah.

Rizuan ketawa kesukaan mendengar kata-kata Hamidah.

“Betul tu Midah... aku setuju,” sokong Rizuan sambil mengangkat tangannya.

“Mula dah... jangan dilayan playboy ni Midah. Rosak kau nanti. Jom... jom...” Dewi Karmila menarik lengan baju Rizuan dengan dua hujung jarinya. Lelaki itu masih ketawa, diikut juga langkah Dewi Karmila kembali ke keretanya. Suka dia mendengar kata-kata Hamidah itu.

“Tak habis-habis dengan miang dia.” Dewi Karmila membebel. Panjang muncungnya.

“Macam mak nenek la kau ni. Sebiji macam nenek aku... kerjanya membebel dua puluh empat jam,” balas Rizuan.

“Dah tu... pergilah balik. Dah lewat.” Dewi Karmila menjegilkan matanya. Ada baiknya lelaki itu segera beredar dari hadapan rumah sewanya. Tidak manis bila dia dan Rizuan berdua-duaan di situ ketika jam sudah melewati angka 12.

Rizuan tersenyum. “Kalau aku tak nak balik...”

“Tidurlah dalam kereta kau tu,” balas Dewi Karmila.

“Sampai hati kau...”

“Memang sampai. Okey sekarang kau pergi balik, terima kasih sebab tolong aku hari ni. Aku dah letih... aku nak berehat, nak tidur.”

“Aku tidur dengan kau boleh.”

Bulat mata Dewi Karmila menjilat keseluruhan wajah Rizuan yang tersenyum-senyum.

“Gatal...” pantas tangannya mengetip bahu lelaki itu.

Terkekeh-kekeh Rizuan ketawa sambil mengusap bahunya. Perit. Sakit dek kerana tamparan Dewi Karmila di bahunya tadi masih terasa, Dewi Karmila menambahnya lagi dengan satu cubitan.

“Aku ingatkan ketam berjalan dalam panggung saja.. kat sini pun ada ketam juga.”

“Juan !” Sedikit menjerit Dewi Karmila dibuatnya.

Lelaki itu ketawa kesukaan sambil meloloskan diri masuk ke dalam kereta sebelum jejari Dewi Karmila bergerak sekali lagi. Namun hatinya terasa cukup bahagia... biarlah dia dicubit atau ditampar berkali-kali, dia sanggup menerimanya.

“Aku balik dulu.” Rizuan meminta diri.

“Hati-hati.”

“Okey... cium sekali boleh...”

“Hesy... pergilah balik. Menyampah aku tengok muka kau.”

“Okey.. okey...”

Rizuan masih ketawa. “Selamat malam Dewi. Malam nanti mimpikan aku ya.”

“Ah... buang masa aku.” Dewi Karmila menjegilkan matanya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Kereta Honda CR-Z milik Rizuan bergerak perlahan, lelaki itu melambai ke arahnya. Tersenyum-senyum Dewi Karmila bila teringatkan kemesraan yang wujud di antara mereka. Sakit hatinya bila diusik dan dikenakan oleh Rizuan... sakitnya cuma seketika, lelaki itu bijak memujuk. Ada saja idea yang datang di kepalanya untuk membuatkan dia ketawa.

Previous: Bab : 7
Next: Bab : 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.