SEPI... Panggilan telefonnya masih tidak dijawab. Ke
mana perginya kak long? Abang long tentunya di tempat kerja. Di mana pula emak
berada? Sihatkah emak ? Namun yang paling penting padanya...Zulastri. Hati
mendesak untuk bercakap dengan lelaki itu, pastinya Zulastri sedang merajuk
atau berkecil hati...tapi di manakah dia.Hampir saja dia berputus asa. Kali kedua
dia mendail nombor telefon rumahnya tapi masih tidak berjawab juga. Mujur juga
panggilan untuk kali yang ketiga, gagang di sebelah sana sudah diangkat.
“Assalamulaikum.”
Wajahnya Dewi Karmila berubah ceria. Suara
itu yang diharapkannya.
“Waalaikumussalam. Zul ! Kau sihat ?”
“Aku alhamdulillah, masih sihat walafiat.”
“Zul... minta maaf ya. Aku terlupa...
mungkin bukan aku orang pertama yang mengucapkannya seperti selalu. Happy birthday Zul.”
Sepi... lelaki itu menyepikan diri.
“Zul! Kau marah aku.”
“Aku tahu kau sibuk... banyak kerja tapi
takkan kau lupakan aku.” Zulastri sudah merajuk.
“Aku sendiri tak teringat pasal hari ni,
kalau kawan-kawan aku tak buat kejutan, sampai ke malam aku tak sedar.”
“Kau sambut birthday kau.” Ceria nasa suara Zulastri.
“Dia orang yang buat, aku tak tahu
apa-apa.”
“Seronokkan jadi kau... semua orang ingat birthday kau tapi aku ni.” Zulastri
masih berkecil hati.
“Aku balik hujung minggu, kita celebrate sama-sama. Kau nak ke mana,
nanti boleh aku bawa kau jalan-jalan.”
“Tempat aku di sini Dewi, bukan di luar
sana.”
Ada keluhan yang dilepaskan. Lelaki itu
tetap sama, seperti selalu, suka mengasingkan diri.
“Sekali-sekali kau kena keluar... cubalah
ajak abang long dan emak.”
“Dunia aku cuma di rumah ni.”
“ Aku balik hujung minggu ni... jangan nak
kunci diri dalam bilik. Hmm... Kau nak apa-apa, nanti aku belikan.”
“Tak payahlah... kau balik pun dah cukup.
Dah dua tiga hari aku asyik mimpikan kau.”
“Aku pun, pagi tadi kau sakit perut ya.”
Tawa Zulastri menampar telinganya.
“Apasal, kau pun berlari ke bilik air ke
?”
“Ha ah, penat aku menunggu, apa pun tarak.”
Kedua-duanya ketawa serentak, hilang rasa
rindunya pada Zulastri. Ikutkan hati mahu saja dia terbang ke daerah kelahiran
saat itu juga.
“Zul! Aku tanya betul-betul ni, kau nak
apa-apa tak?”
“Tak payah... aku cuma nak kau balik.
Dengan mak dan abang long, aku mati kutu, tak tau nak cakap apa, tapi dengan
kau, macam-macam idea yang datang.”
Dewi Karmila tersenyum.
“Okey... kau tunggu aku balik ke sana.”
“Dewi! belikan aku tablet boleh..”
“Itu permintaan?”
“Kalau tak keberatan... bosan aku,
komputer kat luar tu asyik kak long saja yang guna. Aku tak ada peluang,” adu
Zulastri.
“Okey... aku belikan nanti.”
“Kau nak brand apa ?” tanya Dewi Karmila, mungkin Zulastri sudah membuat survey, tablet apa yang diinginkannya.
“Ikut suka kau... duit kau, bukan duit
aku,” jawab Zulastri.
“Ada apa-apa lagi yang kau nak?”
“Kalau dah beli tablet tu, pastikan ada line
internet ya,” pesan Zulastri disambung dengan tawanya.
Dewi Karmila tertawa kecil.
“Okey... nanti aku beli.”
“Dewi! Aku menyusahkan kau,” suara
Zulastri berubah nada.
“Siapa kata ?”
“Aku bertanya .”
“Tidak... sama sekali tidak. Kau adalah
aku... dalam diri kau ada aku dan dalam diri aku ada kau. Kita sama aja cuma
bezanya kau lelaki aku perempuan.” Dewi karmila ketawa lagi... tawa yang
disambut oleh suara Zulastri di seberang sana, terhibur hatinya. Tawa Zulastri
menghilangkan rasa rindu yang bertapa di dalam hati.
TERHENTI langkah
Rizuan di muka pintu. Daun pintu tidak tertutup rapat, telinganya mendengar
perbualan Dewi Karmila dengan seseorang. Zul... itu nama yang disebut dan Dewi
Karmila ketawa senang hati. Siapakah Zul? Kekasih atau cuma kawan biasa.
Mungkin juga kekasih, lantas luahan hati Sofian ditolak mentah-mentah.
“Hey Juan!”
Rizuan tersentak.
Dewi Karmila memandang tepat ke wajahnya,
tersenyum-senyum dia sendiri, dia mencuri dengar perbualan Dewi Karmila.
“Kau pasang telinga ya,” duga Dewi
Karmila.
Rizuan masih tersenyum, diatur langkahnya
masuk ke dalam bilik pejabat Dewi Karmila. Daun pintu dibiarkan terbuka
sedikit. Hadiah yang dibawa masih di dalam beg kertas di tangannya, akan
diserahkan pada pemiliknya sebentar nanti.
“Berbual dengan siapa ?” tanya Rizuan.
Dewi Karmila hanya tersenyum, dilirik ke
arah Rizuan yang masih merenung wajahnya. Sesiapa sahaja yang mendengar
bicaranya dengan Zulastri sebentar tadi pasti akan tersalah mengerti. Zulastri
bukan kekasih hati... tapi seorang lelaki yang amat bermakna dalam hidupnya.
Sakit Zulastri, sakitlah dia... deman Zulastri, demamlah dia.
“Aku nak balik kampung hujung minggu ni,”
ujar Dewi Karmila.
“Bercuti! Berapa hari ?” Ada resah datang
bertandang, mengusik hatinya. Lamakah Dewi Karmila bercuti? Kerinduanlah dia
nanti. Tidak ada teman yang hendak diajak berbual dan bergurau. Teman bertekak
pun ia juga.
“Hari Jumaat. Aku balik lepas office, sambung sampai Isnin,” jawab
Dewi Karmila.
“Naik apa?”
“Itu yang aku tengah fikir ni. Aku tak nak
balik dengan Viva aku tu.”
“Naik flight
sajalah,” cadang Rizuan.
Dewi Karmila menggeleng.
“Aku nak bawa barang.”
“Banyak?” tanya Rizuan. Hairan pula dia
barang apa yang hendak dibawa oleh Dewi Karmila pulang ke kampungnya.
“Dari sini tak banyak... tapi bila di sana
nanti, aku perlukan kereta yang lebih besar.” Dewi Karmila mengangkat kedua
belah tangannya seolah-olah menunjukkan saiz kereta yang diperlukannya.
Tiba-tiba Rizuan ketawa, ada perkara yang
lucu menerjah mindanya. Dewi Karmila pasti akan memarahinya sebaik sahaja
mendengar apa yang ada di fikirannya ketika itu.
“Kenapa ketawa?”
“Kau nak pergi meminang ke ?” Rizuan masih
ketawa.
Bulat mata Dewi Karmila menjilat
keseluruhan wajah Rizuan. Ada ke aku dikata hendak meminang... siapa yang hendak
dipinang. Masakan untuk Zulastri yang saban hari terperap di dalam biliknya...
membaca, tidur, melukis... itu saja kerjanya.
“Boleh tolong tak ? Aku nak sewa kereta
tapi tak tau di mana.” Agak keras nada suara Dewi Karmila. Geram pula rasanya
apabila Rizuan mentertawakannya. Rizuan sengaja mempermainkannya.
Terangguk-angguk lelaki itu sambil menahan
senyum. Suara Dewi Karmila sudah berubah nada, tentunya terasa hati dengan apa
yang dikatakannya.
“Bila kau nak?” tanya Rizuan.
“Hari Jumaat.”
“Okey... aku usahakan.”
“Aku nak sewa tau, bukan nak pinjam. Kau
nak duit sekarang ? Sure kena bayar
dulu kan, deposit.” Dewi Karmila sudah memegang beg tangannya.
Rizuan menggeleng. Dia sudah tahu di mana
hendak dicari kereta besar seperti yang dimaksudkan oleh Dewi Karmila. Kereta
besar yang tidak perlu disewa.
“Satu lagi... nak minta tolong.” Dewi
Karmila merenung wajah Rizuan. Begitu berharap Rizuan akan memenuhi
permintaannya.
“Minta tolong... kena bagi upah tau.”
Rizuan merenung wajah Dewi Karmila sambil tersenyum-senyum. Inilah peluangnya,
bila lagi hendak mengambil peluang. Alang-alang Dewi Karmila sudah meminta
pertolongannya.
Dewi Karmila tersenyum. “Okey, aku belanja
kau dinner malam ni.”
Rizuan tergelak kecil. “Aku tak nak dinner... aku nak kau cium aku.” Rizuan
mengenyit matanya.
Bulat mata Dewi Karmila merenung wajah
Rizuan yang ketawa kesukaan.
“Tak nak tolong sudah,” marah Dewi Karmila
sambil berpeluk tubuh. Bersandar pada kerusi yang didudukinya.
“Okey... okey... aku bergurau saja,
janganlah marah.” Masih bersisa tawanya, wajah Dewi karmila masam mencuka.
“Nak tolong apa ?” tanya Rizuan. Sampai
bila-bila pun dia tidak akan berjaya mendapatkan ciuman dari Dewi Karmila
melainkan gadis itu menjadi miliknya yang sah. Hah... berangan sajalah Rizuan,
masakan gadis sebaik Dewi Karmila akan memilih lelaki sepertinya sebagai
pasangan hidup.
“Teman aku beli barang,” jawab Dewi
Karmila.
“Hmm... ini sudah bagus, bukan senang nak
dapat peluang keluar dengan kau. Lepas tu kita tengok wayang nak.” Rizuan masih
menduga.
“Hah... jangan nak mengada. Aku ajak teman
aku beli barang, bukan ajak tengok wayang.” Sedikit meninggi nada suara Dewi
Karmila.
Rizuan masih ketawa... seronok dapat
mengenakan Dewi Karmila. Gadis itu memang cepat melenting apabila diusik
begitu.
“Nak beli apa ?” tanya Rizuan.
“Tablet.”
“Hmm... bukan hari tu kau dah beli ?”
Dewi Karmila menggeleng. “Cadang nak beli
tapi belum beli.”
“Okey... ingatkan dah beli. So nak beli untuk diri sendiri atau
untuk orang lain?” tanya Rizuan. Dia teringatkan perbualan Dewi Karmila dengan
seseorang sebentar tadi.
“Banyak pula soalnya.”
“Yalah... mana aku tahu, penat aku
temankan kau, alih-alih nak hadiahkan pada lelaki lain. Frust menonggeng aku nanti,” balas Rizuan. Itu yang dirasakannya.
Dewi Karmila mencebek.
“Kenapa ajak aku... kenapa tak ajak
Sofian. Atau kau nak beli tablet tu untuk Sofian.” Rizuan masih tidak mahu
mengalah.
Dewi Karmila berwajah cemberut. “Nak
tolong cakap ya, tak nak cakap tidak.”
Rizuan masih tersenyum. Dewi Karmila...
Kau buatkan hidup aku bahagia. Senyuman Dewi Karmila terbawa-bawa ke dalam
mimpi, masam kelat wajah Dewi Karmila membuatkan dia ketawa kesukaan, seronok
bila dapat mengenakan Dewi Karmila yang tampak ayu walaupun dalam keadaan marah
begitu. Hakikatnya dia tetap akan bersetuju untuk menemani Dewi Karmila sekali
pun apa yang hendak dibelikan oleh Dewi Karmila itu untuk seorang lelaki lain.
“Okey... jangan risau, aku teman kau.”
Rizuan memberi kata putus. Bersetuju untuk menemani gadis pujaannya.
Dewi Karmila merenung wajah Rizuan tapi
cuma seketika. Mana mungkin dia dapat terus merenung wajah lelaki itu. Terukir
senyuman di bibir Dewi Karmila.
“Dewi! Aku ada hadiah untuk kau,” ujar
Rizuan.
“Apa lagi ni... jangan buat kejutan lagi.
Sakit jantung aku nanti.”
Tawa Dewi Karmila enak didengar.
Senyumannya cukup menggoyahkan. Diunjukkan beg kertas yang dipegang sejak tadi.
“Untuk aku ?”
“Dah hulur kat kau... untuk siapa lagi.”
Dewi Karmila tersengih, malu pula rasanya
. Majlis yang dirancang oleh Rizuan sebentar tadi satu kejutan yang membahagiakan,
terasa diri dihargai oleh lelaki itu.
Sebuah kotak kecil berbalut kemas
dikeluarkan dari beg kertas. Dikerling ke arah Rizuan yang tersenyum-senyum
sambil memandang ke arahnya. Hati dicuit rasa curiga. Hadiah apakah untuknya?
Bimbang juga dia jika Rizuan berniat hendak mengenakannya.
“Apa ni?” tanya Dewi Karmila. Masih
ragu-ragu hendak menerima pemberian Rizuan. Bimbang jika ada sesuatu yang tidak
ingin dilihatnya di dalam kotak tersebut.
“Belum dibuka mana kau tahu isinya,” jawab
Rizuan.
“Jangan kenakan aku.” Suara Dewi Karmila
bernada curiga. Tentunya Dewi Karmila bimbang, takut terkena pula kali ini.
Rizuan tersenyum... jangan terlalu
menyimpan rasa curiga wahai Dewi Karmila. Masakan aku hendak mengenakan diri mu
selalu.
“Bukalah.”
“Betul kau tak kenakan aku.” Dewi Karmila
merenung kotak di tangan kemudian beralih ke wajah Rizuan.
Tergeleng-geleng kepala Rizuan mendengar
kata-kata Dewi Karmila.
“Jahat aku ada masanya, nakal aku ada
tempatnya. Dengan kau aku tak jahat, tak nakal.” Rizuan mengenyit matanya.
Dewi Karmila masih diulit rasa curiga.
“Boleh percaya ke ni. Kau buat aku takut...” Kotak yang berbalut kemas itu masih di
tangannya.
“Buka ajelah, sesekali kena letakkan
kepercayaan pada aku.”
Tersungging senyuman di bibir Dewi
Karmila, bukannya tidak percaya tapi masih terselit sedikit rasa curiga. Lelaki
di hadapannya itu bukan boleh diambil kira... datang angin gila-gilanya ada
saja yang dirancangnya.
“Percaya atau tidak... kau kena buka
hadiah tu dulu.” Rizuan masih dengan senyumannya.
Dewi Karmila masih tersenyum, wajah Rizuan
di hadapannya dikerling sekilas. Tenang dan bersahaja. Dibuka kertas pembalut
berwarna merah berbunga kecil yang tertulis perkataan ‘Happy Birthday’ itu dengan cermat. Dadanya terasa berdebar, hadiah
apa agaknya yang diberikan oleh Rizuan padanya.
Terdiam Dewi Karmila melihat hadiah yang
sudah berada di hadapannya. Satu set keronsang. Indah hiasan seninya.
“CANTIK.”
Dewi Karmila masih memusatkan pandangannya pada deretan kerongsang yang
dipamerkan.
“Yang mana ?” tanya Rizuan. Pandangannya
juga tertumpu pada kerongsang yang ada di hadapannya.
“Yang batu warna ungu tu. Cantik design tu. Seratus lebih, mahalnya,”
gumam Dewi Karmila.
Rizuan tergelak kecil.
“Jangan kedekut cik adik... gaji awak tu
bukannya sikit, setakat kerongsang harga macam tu, takkan tak mampu beli.”
Dewi Karmila hanya tersenyum.
“Ikut kemampuan memang mampu... ikut
kehendak semua benda aku nak beli tapi tanggungjawab terpikul di bahu lebih
besar nilainya jika hendak dibandingkan dengan sepasang kerongsang,” balas Dewi
Karmila
“Seratus lebih aja... bukannya mahal.”
“Itu bukan barang keperluan. Aku ada
banyak lagi kerongsang, yang belum guna pun ada.” Dewi Karmila tertawa kecil.
Tidak pernah dia membeli kerongsang semahal itu. Sekali pun hati tertarik
dengan kerongsang tersebut tapi dia masih mampu berfikir dengan waras. Tidak
sewajarnya dia membeli sesuatu yang kurang diperlukan dengan harga yang
sebegitu.
Tergeleng-geleng kepala Rizuan, tidak
mengerti akan maksud Dewi Karmila. Tanggungjawab yang sebagaimana yang
dimaksudkan. Sering kali dia bertanya tapi jawapan yang diterima tetap serupa.
Dewi Karmuila hanya tersenyum dan kata-kata yang sama yang diterimanya... ‘satu
hari nanti kau akan tahu juga.’ Entah apa yang disembunyikan oleh Dewi Karmila.
“Susah sangat... ambil aku bayarkan,”
cadang Rizuan. Dia sudah mengeluarkan dompetnya.
Dewi Karmila bercekak pinggang di
hadapannya hingga menarik perhatian jurujual yang sedang berdiri di hadapan
mereka.
“Kau fikir kau siapa nak belikan
kerongsang tu pada aku,” marah Dewi Karmila.
Melenggang-lenggok Dewi Karmila
meninggalkan kedai accesories
tersebut dan Rizuan hanya tercegat di situ, terpinga-pinga. Apa yang tidak kena
? Masakan tawaran yang sebaik itu dibalas dengan kata-kata yang sedemikian
rupa.
“DEWI!
Kau tak marah kan?” tanya Rizuan sambil merenung wajah Dewi Karmila. Bimbang
juga dia akan penerimaan Dewi Karmila apabila mengingatkan kejadian ketika
mereka berada di kedai accesories tersebut.
Tiada senyuman di wajah Dewi Karmila. Hati
Rizuan mula diburu bimbang. Apakah reaksi yang sama bakal diterimanya dari Dewi
Karmila?
“Kenapa beli kerongsang ni untuk aku ?”
tanya Dewi Karmila sambil merenung wajah Rizuan.
“Sebab hari ini hari istimewa dan kau juga
istimewa pada aku tapi minta maaflah, kerongsang yang kau suka tu dah tak ada.
Dah dijual, aku tengok yang ini pun cantik, batunya warna purple juga,” jawab
Rizuan. Sememangnya dia tidak tahu hadiah apa yang hendak diberikan pada Dewi
Karmila. Ketika dia melalui kedai aksesori yang sama, dia terus saja membuat
keputusan untuk membelikan kerongsang sebagai hadiah untuk Dewi Karmila.
“Istimewa ! Istimewa yang sebagaimana ?”
duga Dewi Karmila. Jantungnya berdegup kencang. Begitu berani dia mengajukan
soalan yang sebegitu pada Rizuan.
Terasa dirinya seperti orang dungu.
Direnung wajah Dewi Karmila dan otaknya ligat mencari jawapan. Tersalah memberi
jawapan nanti, padah yang diterima... pada siapa hendak diberikan hadiah
tersebut andai Dewi Karmila menolak pemberiannya.
“Sahabat... kau sahabat yang paling aku
sayang,” jawab Rizuan. Cuba dikawal nada suaranya agar Dewi Karmila tidak dapat
menebak apa yang ada di hatinya. Sahabat! Itu satu penipuan... aku cintakan kau
Dewi Karmila. Jeritannya itu hanya didengarnya sendiri. Tapi dia belum bersedia
untuk berterus-terang, apa lagi hendak mengucapkan kata cinta dan sayang pada
gadis itu. Dia cukup bimbang untuk mendengar kata-kata penolakan dari Dewi
Karmila. Hancur lebur hatinya nanti.
Dewi Karmila tersenyum.
Senyuman yang membuatkan Rizuan mampu
menarik nafas kelegaan.
“Cuma sahabat.” Dewi Karmila masih mahu
menduga. Namun di dalam hati getar jantungnya terasa menyakitkan. Begitu berani
dia mengajukan soalan itu. Soalan yang bakal menjerat dirinya sendiri.
Rizuan mengangguk tapi itu satu
pembohongan. Mana mungkin dia dapat menidakkan perasaannya pada Dewi Karmila.
Entah bila masanya ianya bertunas, dia sendiri tidak tahu. Dia cuma tersedar
apabila rasa rindu sudah mula mengejar langkahnya. Sehari wajah itu tidak
direnung hatinya mula jadi tidak keruan. Sehari suara itu tidak didengarnya,
terasa seperti hidupnya jadi tidak sempurna.
“Terima kasih... aku hargai pemberian
kau,” ucap Dewi Karmila. Manis senyuman dihadiahkan pada Rizuan untuk hadiah
yang diterimanya.
Rizuan tersenyum kelegaan. Hadiah yang
diberi sudah diterima oleh Dewi Karmila. Jangan Dewi Karmila bertukar fikiran
sudahlah.
“Okey... baik kau balik ke bilik kau.
Petang nanti jangan lupa janji kau dengan aku,” pesan Dewi Karmila.
Rizuan tertawa kecil.
“Janji dengan kau aku tak pernah lupa.
Kalau terlewat seminit dua, itu kan perkara biasa.”
Dewi Karmila mencebek.
“Okey... see you.”