RIFHAN dan Hafsyam melangkah masuk ke
dalam rumah sebaik salam mereka dijawab Haji Ahmad. Hanya orang tua itu yang
berada di ruang tamu.
“Ayah
sihat?” Rifhan segera bersalaman dengan ayahnya, diikuti suaminya.
“Alhamdulillah
sihat...”
“Sunyi
saja, tak ada orang ke?” tanya Rifhan sambil melabuhkan punggungnya di atas
sofa.
“Ibu
kamu ke rumah kenduri kahwin anak kawannya. Nita biasalah... hujung minggu
macam ni mana tau lekat di rumah. Ila pun keluar. Zira baru naik ke atas,”
jawab Haji Ahmad. Sebentar tadi Azira duduk di ruang tamu, menemaninya menonton
televisyen tetapi anak gadisnya itu bergegas naik ke atas sebaik sahaja
mendengar suara Rifhan memberi salam.
“Hmm...
dah lama jugak Zira tak datang ke rumah.” Rifhan sudah berdiri, berura-ura mahu
menemui adiknya. Sudah berkali-kali juga dia menghubungi telefon bimbit Azira
tetapi tidak dijawab.
Rifhan
menoleh ke arah Hafsyam yang duduk di sisi ayahnya.
“Syam
nak minum?” tanya Rifhan. Ibu tidak ada di rumah, bolehlah dia masuk ke dapur
dan menyediakan minuman untuk Hafsyam dan ayahnya.
“Nantilah,”
jawab Hafsyam. Tidak selesa pula dia berada di rumah itu. Sememangnya dia agak
keberatan hendak bertandang ke rumah mertuanya itu. Berkali-kali Rifhan
mengajak barulah dia memberi persetujuan. Mendengar ayahnya menyebut nama Azira
sebentar tadi hatinya mula terasa tidak enak.
“Han
nak tengok Zira dululah.” Rifhan meneruskan langkahnya, mendaki anak tangga
untuk ke tingkat atas.
Hafsyam
menelan liur. Pahit dan payau rasanya, ada debar yang semakin terasa.
Jantungnya mula berdegup kencang.
“Syam!”
Pantas
Hafsyam menoleh ke arah ayah mertuanya.
“Syam
tak sihat ke?” tanya Haji Ahmad. Wajah Hafsyam kelihatan pucat. Sejak melangkah
masuk ke dalam rumah tadi lagi, menantunya kelihatan tidak selesa. Mungkin juga
Hafsyam bimbang hendak berhadapan dengan ibu mertuanya. Haji Ahmad tertawa
kecil. Simpati pada Hafsyam dan Rifhan. Kehadiran mereka ke rumah itu seperti
tidak dialu-alukan oleh isterinya. Ada saja yang tidak kena apabila anak dan
menantunya berkunjung ke rumah itu.
“Tak
ada apa, ayah. Penat sikit saja,” jawab Hafsyam tanpa memandang ke arah ayah
mertuanya. Bimbang andai lelaki separuh abad itu dapat menebak apa yang ada di
hatinya ketika itu.
Rifhan mengetuk pintu bilik, kemudian
menolaknya perlahan. Tentunya Azira berada di dalam bilik itu kerana dia
mendengar suara radio dimainkan. Terukir senyuman di bibir Rifhan sebaik sahaja
melihat Azira sedang tidur di atas katil. Mungkin adiknya itu kepenatan kerana
setiap hari menghadiri kuliah dan hujung minggu digunakan untuk merehatkan
dirinya. Dia duduk di birai katil.
“Betul
ke Zira tidur ni? Tadi ayah kata Zira kat bawah,” duga Rifhan. Sengaja hendak
melihat reaksi si adik.
Azira
masih tidak bereaksi, seolah-olah dia benar-benar sudah terlena. Rifhan masih
menanti, mengharapkan Azira menoleh ke arahnya. Sudah agak lama dia tidak
bertemu dengan Azira, adiknya juga tidak menghubungi telefon bimbitnya. Setiap
kali dia cuba menghubungi Azira, telefon Azira pula tidak dapat dihubungi.
Terselit juga tanda tanya di hati, sama ada dia telah melukakan hati Azira atau
tidak.
“Akak
ada sakitkan hati Zira ke?” tanya Rifhan. Tubuh Azira diperhatikan dari
belakang namun Azira masih juga tidak bereaksi. “Zira tak sihat?” Bimbang pula
dia dengan keadaan Azira, diam membisu sedangkan Azira bukanlah orang yang
pendiam. Ada saja cerita yang hendak dikongsi bersama setiap kali mereka
bertemu.
Dia
menyentuh bahu Azira tetapi Azira masih begitu juga lalu Rifhan lekapkan
telapak tangan di dahi Rifhan. Biasa sahaja, tidak panas. Itu bermakna Azira
sihat. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu Azira hingga adiknya itu enggan
berbicara dengannya tapi apa pula kesalahannya. Tidak pula dia tahu jika dia
telah menyakiti hati Azira.
Lambat-lambat
Rifhan bangun dari birai katil. Biarlah... mungkin Azira ingin bersendirian dan
tidak mahu diganggu. Mungkin juga Azira kepenatan dan ingin berehat sahaja. Dia
melangkah ke arah pintu yang sedia terbuka, ditoleh sekali ke arah Azira yang
masih terbaring di atas katil. Masih mengharapkan Azira menoleh ke arahnya
tetapi ternyata penantian dan harapan itu sia-sia sahaja, Azira masih tidak
bergerak.
Dia
melangkah keluar dari bilik tersebut. Daun pintu dirapatkan. Terusik juga
hatinya dengan perlakuan Azira. Hati tertanya-tanya juga apa yang terlah
berlaku. Rifhan mengatur langkah, menuruni anak tangga ke tingkat bawah.
“Zirabuat apa?” tanya Haji Ahmad sebaik
sahaja melihat Rifhan melangkah ke ruang tamu.
Rifhan
hanya menjongketkan bahu. “Tidur,” jawabnya, pendek.
“Eh...
baru tadi Zira sembang dengan ayah kat sini. Baru saja dia naik atas. Takkan
dah tidur?”
Rifhan
menghela nafas. Wajah ayah direnung seketika. Kata-kata ayah mengundang
persoalan di fikirannya. Benarkah Azira tidur atau ada perkara lain yang
membuatkan Azira enggan berbual dengannya.
“Entah...
panggil banyak kali pun dia tak gerak. Agaknya Zira penat sangat,” ujarnya
sekadar hendak menyejukkan hati sendiri.
Rifhan
menoleh ke arah Hafsyam. Wajah suaminya direnung seketika, bagaikan ada yang
tidak kena dengan suaminya. Duduknya kelihatan tidak selesa.
“Syam
okey ke?” tanya Rifhan sambil merenung wajah suaminya namun Hafsyam tidak
bereaksi. Hanya matanya terpaku ke arah kaca televisyen yang terpasang. “Syam!”
Dia memanggil. Suaminya masih begitu juga lalu Rifhan melangkah ke arah
Hafsyam. “Syam!”
Kali
ini Hafsyam menoleh ke arah Rifhan. Merenung wajah isterinya dengan penuh tanda
tanya.
“Kenapa
pandang Syam macam tu?”
Rifhan
tertawa kecil. Sah, Hafsyam tidak mendengar apa yang dikatakannya tadi.
“Syam
ni berangankan apa? Han panggil pun tak dengar.”
Hafsyam
tersengih. Sememangnya dia tidak mendengar Rifhan memanggilnya. Dia asyik
merenung skrin televisyen tetapi sebenarnya fikirannya tidak tertumpu pada apa
yang sedang ditayangkan.
“Syam
nak minum?” tanya Rifhan.
“Boleh
juga.”
Rifhan
mengatur langkah ke dapur untuk menyediakan minuman untuk Hafsyam dan ayahnya.
Rumah itu rumahnya juga tapi kehadirannya tidak dialu-alukan oleh ibu. Hari ini
dia bebas untuk bergerak di dalam rumah itu kerana ibu tidak ada di rumah.
AZIRA seka air mata di pipi. Hatinya
cukup tersentuh dengan kesungguhan Rifhan yang cuba untuk berbicara dengannya
sebentar tadi tapi dia pula terus membekukan diri. Tidak sanggup rasanya hendak
berhadapan dengn Rifhan, apatah lagi hendak berbicara dengan Rifhan. Kakak
kesayangannya itu yang menjadi tempat dia mencurah rasa dan berkongsi masalah
tapi apa yang telah berlaku membuatkan dia dihambat rasa bersalah. Mana mungkin
dia dapat berbicara dengan Rifhan dan memandang wajah Rifhan.
Entah
sampai bila dia hendak mengelakkan diri dari Rifhan. Suatu hari nanti dia
terpaksa juga berhadapan dengan Rifhan dan abang iparnya. Dia perlu berhadapan
dengan kenyataan yang amat menyakitkan itu.
Dia
bangun dan duduk bersandar pada dinding. Kedua-dua belah kaki ditarik rapat ke
dada. Masih berbaki air mata yang mengalir di pipi. Hidup harus diteruskan
biarpun apa yang telah berlaku amat menyakitkan hati dan fikirannya.