BOSAN pula rasanya bila terperap di rumah lalu dia
menerima pelawaan Halisa untuk menonton dengan hati separuh terbuka. Separuhnya
lagi sudah dibawa terbang oleh Dewi Karmila pulang ke kampungnya. Ikutkan hati
mahu saja dia mengikut Dewi Karmila pulang ke kampung halamannya tapi gadis itu
tetap tidak mengizinkannya. Siapalah dia yang hendak memaksa, lainlah jika hati
si gadis sudah berjaya ditawan sepenuhnya. Hah... berangan saja lah jawabnya...
entah-entah tidak sedikit pun ruang yang disediakan untuknya di hati Dewi
Karmila. Gadis itu tampak manja dan mesra tapi cukup sukar didekati. Jinaknya
jinak merpati... dari jauh Dewi Karmila tersenyum seolah-olah rela menyerahkan
diri, tapi bila didekati... Dewi Karmila terus lari, terbang membawa diri.
“Betul ke ni... aku risau nak lepaskan kau
balik seorang.” Rizuan merenung wajah Dewi Karmila. Rindulah dia pada gadis
pujaan hatinya itu.
“Kenapa pula tak percayakan aku. Selama ni
aku balik dengan kereta aku saja tau. Selamat pergi dan selamat aku balik,”
balas Dewi karmila.
“Itu dulu... tapi hari ni aku rasa tak
sedap hati.” Rizuan meletakkan telapak tangan di dada, seolah-olah cuba
menggambarkan apa yang dirasakan di hatinya ketika itu.
“Kenapa ? Sebab aku bawa kereta kawan kau
ni.” Giliran Dewi Karmila pula merenung wajah Rizuan. Segera dilarikan
pandangan matanya apabila Rizuan masih terus memandang ke arahnya.
“Bukan macam tu...”
“Tak apalah, ambil balik kereta ni. Aku
bawa kereta aku saja.” Dewi berpura-pura merajuk.
“Dewi! Kau ni teruk betul... kuat merajuk,
cakap macam tu pun dah merajuk. Buruk tau... orang tua merajuk,” ujar Rizuan
kemudian dia tertawa kecil.
Dewi Karmila mencebek.
“Hah... buat macam tu pula, lagi buruk.”
Dewi Karmila masih memasamkan muka.
“Okey... okey... kau bawa kereta tu,
hati-hati. Kau tak pernah bawa kereta besar macam ni, itu yang buat aku risau,”
luah Rizuan. Bimbang pula dia hendak membenarkan Dewi Karmila memandu
sendirian, apa lagi itulah kali pertama Dewi Karmila memandu kereta bersaiz
besar.
“Ialah... ialah... masuk kali ni dah dekat
sepuluh kali kau pesan dengan aku.. takkan kau tak percaya dengan aku. Tadi pun
kau dah tengok aku drive kan... tak
percaya lagi,” rungut Dewi Karmila.
“Bukan tak percaya... tapi aku risau.”
Rizuan bersuara perlahan. Hakikatnya dia keberatan untuk melepaskan Dewi
Karmila pergi, walaupun tempohnya cuma beberapa hari sahaja. Dia pasti akan
merindui Dewi Karmila. Setiap hari dia akan meluangkan masanya untuk berbual
dengan Dewi Karmila.
“Jangan fikirkan yang bukan-bukan Juan.
Kalau kau tak yakin dengan aku... aku pun rasa tak sedap hati,” luah Dewi
Karmila. Ada kebimbangan bertandang di hatinya selepas mendengar kata-kata
Rizuan.
“Hmm... sebab tulah aku kata, benarkan aku
ikut.”
“Patutlah... beria-ria buka cerita,
rupanya ada udang sebalik batu,” balas Dewi Karmila.
Rizuan tersengih.
“Dahlah... aku nak jalan ni.”
“Dewi ! Betul kau boleh drive ni ?” Rizuan bertanya lagi.
Dewi Karmila menjegilkan matanya.
“Betul... aku confident. Dah, jangan buat hati aku jadi tak betul. Sebabkan kau
aku pula yang rasa tak tentu arah,” marah Dewi Karmila.
Rizuan tersenyum. Rindulah dia pada Dewi
Karmila nanti.
“Dewi! Kirim salam dengan family kau,” pesan Rizuan.
“Insya-ALLAH... sorry ya, kau kena drive
kereta aku yang comel tu hari ni. Jaga elok-elok tau, nyawa aku tu... hilang
kereta tu, patah kaki aku.” Itu pesanan yang Dewi Karmila untuk Rizuan.
Rizuan tersenyum. “Yalah sayang.”
Bulat mata Dewi Karmila merenung wajah
Rizuan. Lelaki itu masih dengan sengihannya. Tak habis-habis dengan sifat
miangnya.
“Tak habis-habis nak main-mainkan aku.
Okey... aku jalan dulu, Assalamualaikum.” Dewi Karmila memberi salam. Ada
baiknya dia segera beredar sebelum Rizuan terus-terusan menyekat langkahnya.
“Waalaikumussalam.”
Matanya dipejamkan, andai Dewi Karmila
menukar fikirannya dan membenarkan dia mengikut gadis itu pulang ke kampungnya,
dialah manusia yang paling gembira.
“Juan! You ni tengok wayang ke, berangan.”
Lengannya dicuit si gadis di sisi, pantas
dia menoleh. Ah... dia bersama Halisa dan bukannya Dewi Karmila. Sejak masuk ke
dalam panggung itu tadi, ingatannya hanya pada si gadis yang berada jauh dari
mata. Alangkah indahnya andai gadis yang berada di sisinya ketika itu adalah
Dewi Karmila.
Filem yang ditayangkan sudah berakhir...
namun Rizuan masih tersandar pada kerusi yang sama. Entah cerita apa yang
dihidangkan di hadapannya. Langsung tidak difahami jalan ceritanya, fikirannya
tertumpu pada Dewi Karmila yang entah di mana-mana.
“Hey! Tak nak keluar ke ?” Halisa menyiku
lengan Rizuan.
“Dah habis?” tanya Rizuan, terpinga-pinga.
Halisa merengus geram.
“Tak habis-habis berangan.”
Rizuan tersengih, diekori langkah si gadis
yang sudah mendahuluinya untuk keluar dari panggung tersebut.
“Hey! Juan !”
Pantas Rizuan menoleh apabila namanya
dipanggil seseorang.
“Rina! Hey Pian... kau pun ada.”
Rizuan dan Sofian berjabat tangan. Ada
kelegaan yang menyelinap ke ruang hatinya apabila melihat pasangan itu. Amrina
dan Sofian. Jadi benarlah Sofian itu cuma sahabat Dewi Karmila kerana saat ini
Sofian bersama Amrina.
“Girl
friend ?” Amrina meneka, gadis di sisi Rizuan kelihatan cantik dan menarik,
seksi. Cita rasa Rizuan bukan sembarangan, sesuai dengan dirinya juga.
“Halisa!”
Rizuan perkenalkan Halisa pada Amrina dan
Sofian yang hanya tersenyum sejak tadi. Entah apa yang sedang difikirkan oleh
mereka bila melihatkan cara pemakaian Halisa.
“Hmm... you all berdua menonton juga,” Rizuan sekadar meneka. Kebetulan mereka
terserempak di luar panggung tersebut.
“Sesekali... si Pian ni, Dewi tak ada. Dia
pun jadi tak tentu hala. Aku pun bosan duduk kat rumah... dah orang ajak, orang
nak belanja, ikut sajalah.” Amrina tertawa kecil. Itu cerita benar, Sofian yang
mengajak dia keluar untuk menonton.
Sofian tersengih. Tentunya Rizuan juga
sedia maklum tentang kepulangan Dewi Karmila ke kampung halamannya.
“Okey... kami gerak dulu.” Sofian yang
hanya mendiamkan diri sejak tadi membuka mulut. Lemas jadinya bila berhadapan
dengan Rizuan yang menjadi saingannya untuk mendapatkan Dewi Karmila. Ada
waktunya dia merasakan Rizuan yang menjadi penghalang tapi saat ini, tatkala
bertemu Rizuan bersama seorang gadis bernama Halisa itu, hati sedikit berbunga.
Masakan Dewi Karmila terpikat pada si lelaki mata keranjang itu. Lelaki yang
tentunya lebih tertarik pada gadis-gadis seksi dan menggoda tapi apa pula
alasannya hingga Dewi Karmila menolak cintanya. Bukan sehari dua dia mengenali
Dewi Karmila... sudah bertahun namun si gadis tetap enggan menerima cintanya.
“Okey... Pian, jumpa lagi nanti.”
Kedua tangan bertaut sekali lagi. Halisa
dan Amrina juga berjabat tangan.
“Siapa tadi tu ?” soal Halisa sebaik saja
Amrina dan Sofian hilang dari pandangan mata.
“Kawan office
mate I,” jawab Rizuan.
“Kawan office
mate you... tapi mesra semacam aja.” Hati Halisa dicuit rasa curiga.
“Salah ke... I pernah keluar dengan mereka
berdua, bila I keluar dengan office mate
I tu,” tekan Rizuan. Ada rasa tidak enak menyerbu hatinya.
“Office
mate! Lelaki or perempuan?” Halisa bertanya lagi.
Rizuan menggeleng perlahan... apa perlunya
Halisa mempersoalkan siapa rakan sekerja yang dimaksudkannya. Tidak ada bezanya
sama ada orang yang dimaksudkan itu lelaki atau perempuan.
“You belum jawab soalan I.”
Rizuan merengus kasar. Apa hak Halisa
hendak mengambil tahu tentang hal-hal peribadinya.
“Perempuan.”
“Hmm... patutlah I tengok muka you dah
lain macam. Takutlah tu... takut pecah tembelang,” tuduh Halisa tanpa
memikirkan perasaan lelaki di hadapannya itu.
“Dah tu... Lisa, kalau you rasa tak senang
dengan I, tak suka cara I, kita tak perlu keluar lagi. You pun cuma kawan I...
cuma kawan. I tak suka you ambil tahu hal-hal peribadi I.”
Rizuan sudah bersedia untuk beredar... apa
gunanya dia menunggu di situ. Gadis di hadapannya itu cuma seorang kawan biasa,
tidak lebih dari itu.
“Juan ! I...” Ada kesal datang bertandang
di hati Halisa. Bukan niatnya hendak menyakiti hati Rizuan.
“Sorry
Lisa. I pergi dulu.”
Rizuan kotakan kata-katanya. Gadis itu
ditinggalkan tanpa menoleh walaupun sekali. Namanya dipanggil tetapi dia tidak
peduli, di hatinya cuma ada satu nama... bukan Halisa... bukan Azmira atau
Noranis tapi Dewi Karmila. Apa agaknya yang sedang dibuat oleh si gadis ketika
itu. Dewi Karmila tidak pernah mempertikaikan siapa kawan-kawannya baik lelaki
atau perempuan.
Diatur langkahnya ke arah tempat yang agak
sunyi, jauh dari kebisingan yang membingitkan telinga. Hati dipaut rasa rindu
pada si gadis yang jauh dari mata.
“Assalamualaikum.” Rizuan memberi salam
sebaik sahaja deringan di hujung talian tidak kedengaran lagi.
“Waalaikumussalam. Hey ! Juan.. apa hal
ni, tiba-tiba call aku, kau risau kan
kereta kawan kau tu ya.”
Ceria suara Dewi Karmila mencuit hatinya.
Ah... Dewi Karmila tidakkah kau tahu, hati lelaki ni diusik kerinduan.
“Juan! Kau dengar tak ?” soal Dewi
Karmila. Sedikit terjerit suaranya.
“Dengar... saja aku nak bagi peluang kau
bercakap,” balas Rizuan. Dia ingin mendengar suara gadis yang dirindunya itu.
Tawa si gadis menerpa gegendang
telinganya, lunak dan menyenangkan.
“Kau kat mana ?” tanya Dewi Karmila.
“KLCC... baru keluar panggung,” jujur
jawapan yang diberikan oleh Rizuan. Untuk apa dia berbohong dengan Dewi
Karmila.
“Hmm... awek mana pula yang kau usung hari
ni. Seronoklah ya... ketam dapat berjalan.”
Dewi Karmila ketawa lagi dan Rizuan hanya
mampu tersenyum. Wajah kelat Halisa terbayang di ruang matanya. Si ketam sudah
tidak ada hati hendak berjalan kerana hatinya cuma untuk Dewi Karmila.
“Kau tahu aku jumpa siapa tadi ?” Rizuan
cuba mengubah topik perbualan. Mahu juga dia mendengar reaksi Dewi Karmila
selepas mendengar apa yang disampaikan nanti.
“Kau tak cakap, mana aku tahu. Tak kuasa
aku nak jadi pak nujum.” Dewi Karmila ketawa lagi.
“Aku jumpa Rina dan Pian, baru keluar
panggung,” ujar Rizuan.
“Ia ke... Alhamdulillah.”
Hah... tidak menjadi idea yang datang
secara spontan itu, bukannya reaksi cemburu yang diterima dari Dewi Karmila
tapi sebaliknya pula.
“Aku memang suka kalau Rina pilih Pian,
dia orang tu memang sepadan.”
Ah... Dewi Karmila! Hati kau pada siapa
sebenarnya ? Lelaki mana lagi yang memaut hati mu hingga kau menolak lelaki
sekacak dan sebaik Sofian.
“Siapa tu?”
Dia mendengar suara seorang lelaki di
hujung talian.
“Juan!”
“Sampaikan salam aku kat dia.”
“Dewi!” Hati dijentik rasa cemburu..
siapakah lelaki itu?
“Sorry
Juan..” Gadis itu masih ketawa. “Ada
orang kirim salam pada kau.”
“Siapa ?” Debar di dadanya terasa semakin
menyakitkan.
“Nama dia Zulastri... satu-satunya lelaki
dalam hidup aku.” Tawa si gadis terasa menyakitkan. Duummmm.... bagaikan
detuman mercun yang meletupkan hatinya. Dewi Karmila sudah punya pilihan
hati... lelaki yang sebentar tadi didengar suaranya. Zulastri itu namanya.
“Juan! Kau dengar tak... kalau nak
berangan jangan call aku.”
“Aku dengar ...” Rizuan gugup.
“Hmm... apa hal sebenarnya ni ?” tanya
Dewi Karmila. Ada perubahan pada nada suara Rizuan.
Mahu saja dia menjerit... aku rindu kan
kau Dewi Karmila tapi kau lukakan hati aku. Di sana, kau bersuka ria dengan lelaki
lain, di sini aku keresahan merindui mu.
“Aku... aku...” Rizuan tidak mampu
meneruskan ayatnya. Mahu saja diluahkan rasa rindunya agar Dewi Karmila tahu
apa yang ada di hatinya saat itu. Sarat dek rasa rindu pada Dewi Karmila.
“Apa ni... cakap ajalah.”
“Kau di mana ni ?”
“Berkelah dengan family aku. Kau dengar tak bunyi tu.”
Dia memasang telinga. Ombak... apakah Dewi
Karmila berada di tepi pantai bersama keluarganya.
“Kau di tepi pantai.”
“Hmm... thanks Juan. Kalau kau tak pinjamkan kereta tu, tak dapatlah aku
keluar dengan keluarga aku macam ni. Zul tu payah sikit.... kalau dengan Viva
aku, tak boleh bawa dia. Kalau bawa dia... alamat orang lain tak boleh ikut
sama la.”
Siapakah Zulastri sebenarnya? Kenapa pula
Dewi Karmila memerlukan kereta yang besar untuk Zulastri. Apakah yang
diinginkan oleh lelaki itu dari Dewi Karmila? Kemewahan... Kesenangan?
“Juan! Kau ni tak ada kerja lain, asyik
berangan.”
“Aku ada kat sini. Bila kau balik ?”
“Baru satu hari aku kat sini.. kau dah
tanya bila nak balik. Apa punya kawan... bagilah masa aku enjoydengan familyaku.
Zul ni... bila aku balik, baru dia nampak dunia luar.”
Siapakah Zulastri dalam hidup Dewi Karmila
? Soalan itu juga yang mengganggu benaknya. Kenapa Dewi Karmila begitu
mengambil berat tentang Zulastri? Tawa si gadis kembali bergema... tawa dek
kerana kata-kata si lelaki di seberang sana tapi telinganya gagal menangkap
apakah yang disebut oleh lelaki itu.
“Okey Juan. Zul ni pantang tengok aku
bergayut kat phone... kalau tak kacau
tak sah. Kau jangan risau, kereta kawan kau tu sihat walafiat... dua hari lagi
aku balik. Viva aku tu jaga elok-elok tau. Juan! Kau dengar tak ?”
“Dengar.”
“Apasal kau ni macam tak ada mood aja.”
Benar Dewi Karmila. Kegembiraan aku sudah
dibawa terbang oleh suara si lelaki yang bersama dengan mu ketika itu.
“Okey... Juan. Assalamulaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Dia kehampaan. Benar-benar hampa...
rindunya melaut untuk Dewi Karmila di seberang di sana , jauh di di utara tanah
air. Dewi Karmila sedang bergembira bersama keluarganya dan lelaki bernama Zul,
Siapa Zulastri ? Lagi-lagi persoalan itu juga yang mengganggu fikirannya.