“KENAPA
kau tolak lamaran Pian ?” tanya Amrina.
Soalan itu kembali padanya sekali lagi.
Diajukan oleh seorang sahabat yang amat memahami perasaannya, namun persoalan
itu juga yang menjadi tajuk perbualan. Amrina sentiasa cuba untuk memahami tapi
hakikatnya Amrina tidak mungkin memahami apa yang dirasakannya.
“Aku belum bersedia .” Lagi-lagi jawapan
itu yang diberikan pada Amrina. Apa lagi yang mampu diperkatakannya. Dia
benar-benar tidak bersedia untuk menerima Sofian sebagai kekasih hatinya. Apa
lagi untuk menjadi suaminya. Sudah berkali-kali dia berusaha untuk melupakan
wajah si lelaki yang satu itu. Mahu digantikan dengan wajah seorang lelaki bernama
Sofian tapi dia tidak berdaya. Wajah yang sudah bertahun-tahun terpahat di
hatinya itu enggan beredar. Enggan berganjak walaupun seinci, lalu bagaimana
dia hendak menerima kehadiran Sofian dalam hidupnya lebih dari seorang sahabat.
Tergeleng-geleng kepala Amrina sambil
merenung wajahnya. Dia hanya mampu tersenyum... persoalan hati dan perasaan
bukan boleh dipaksa. Andai ada yang berkata... cinta zaman persekolahan,
hanyalah cinta monyet. Cinta yang tidak harus dilayan, namun perasaan yang
hadir dalam dirinya untuk lelaki itu terlalu sukar untuk dikikis. Dia sedar,
teramat-amat sedar, dia hanya bertepuk sebelah tangan. Lelaki itu bukan
miliknya, masih ramai gadis-gadis di luar sana yang sepadan dengan si lelaki.
Mungkin sebelah mata pun lelaki itu tidak akan memandang ke arahnya.
“Dewi! Kau dengar tak ?” Agak keras nada
suara Amrina. Dia bercakap sendiri-sendiri rupanya. Dewi Karmila sedang enak
melayan angan.
Wajah Amrina dikerling sekilas, walaupun
terleka dengan igauan semalam, pertanyaan Amrina masih singgah di telinganya.
Dia mendengar apa yang ditanyakan oleh Amrina cuma dia malas hendak
memikirkannya. Tidak akan ada kesudahannya kerana Amrina akan terus mendesak
agar dia menerima Sofian walaupun sudah berkali-kali ditekankan tidak mungkin
dia dapat menerima lelaki itu sebagai pasangan hidupnya.
“Kesian aku tengok Pian. Bukan sehari dua
dia menanti, mengharapkan kau tapi kau tak pernah nak layan dia,” luah Amrina.
Dia sendiri sudah kebosanan. Bosan cuba menasihatkan Dewi Karmila agar membuka
pintu hatinya untuk Sofian kerana Dewi Karmila tidak pernah peduli. Ada
ketikanya dia merasakan Dewi Karmila terlalu mementingkan diri sendiri, hati
sendiri hingga membiarkan Sofian terus menanti.
Dewi Karmila tersenyum cuma, itu bukanlah
kali pertama kata-kata itu ditujukan padanya. Sudah acap kali dia mendengarnya,
menadah telinga dan kemudian dia akan tersenyum.
“Pian cuma kawan aku Rina,” jawab Dewi Karmila
perlahan. Jawapannya juga masih sama. Sofian hanya sahabat dan akan terus
menjadi sahabat.
Jejarinya disentuh lembut... itulah
Amrina, seorang sahabat yang setia. Sesetia Sofian yang masih mengharapkannya
tapi sampai bila hendak dibiarkan lelaki itu terus mengharap. Sedangkan di
hatinya hanya ada sebuah nama... sebuah wajah. Lelaki yang tidak pernah mempedulikan
kehadirannya suatu ketika dulu, namun lelaki itu juga yang diperhatikannya
saban waktu, dekat di hati, dekat di mata tapi sukar untuk dimiliki.
Jangan diharap padi di seberang, entah
masak entahkan tidak. Jangan diharap kasihnya orang, entahkan dapat entahkan
tidak. Kata-kata itu sudah sebati dengan dirinya, cukup sebati... namun terlalu
sukar untuk dibuang nama lelaki itu dari ruang hatinya. Andai dia berjaya
menyingkirkan lelaki itu, tentunya Sofian yang menjadi pengganti... tapi
usahanya tidak pernah berhasil. Lelaki itu juga yang terpahat kukuh di hatinya.
“Sampai bila kau nak mengharapkan dia ?”
Bening mata Amrina membuatkan dia terharu.
Soalan itu juga tidak ada jawapannya. Entah sampai bila dia akan terus menanti,
harapannya tidak ada sama sekali. Ada kalanya dia membenci diri sendiri...
kenapa begitu sukar untuk mengikis lelaki itu dari hatinya, membuang wajah itu
dari fikirannya.
“Rina! Aku tahu aku ini umpama melukut di
tepi gantang, kalau dia sendirian sekali pun, dia tak akan pandang ke arah
aku,” luah Dewi Karmila.
“Kau sendiri sedar tapi kenapa masih
mengharapkan dia?” soal Amrina.
Dewi Karmila menggeleng perlahan. “Aku tak
pernah mengharapkan dia .”
“Okey, so
kenapa tak nak terima Pian? Apa masalahnya? Jangan biarkan Pian terus menanti. Jangan
sampai dia berputus asa, aku takut dia akan cari yang lain.” Kata-kata Amrina
seperti mengugut pula.
Dewi Karmila masih tersenyum.
“Biarlah... dia berhak untuk memilih. Dia
bukan milik aku... bukan kekasih aku,” balas Dewi Karmila. Dia pasti bahagia
andai Sofian bertemu dan berkasih dengan gadis lain. Tidaklah lelaki itu terus
mengejarnya.
“Dewi ! Kadang-kadang aku tak faham dengan
diri kau. Terlalu menghambakan diri untuk lelaki tu.”
Amrina merenung wajah sahabatnya. Sukar
untuk dia mengerti apa yang menyebabkan Dewi Karmila begitu setia pada seorang
lelaki yang dia sendiri tidak pasti siapa gerangannya.
“Jangan salah sangka Rina... aku tak
pernah menghambakan diri untuk sesiapa. Aku cuma ada diri aku, walau apa pun
anggapan orang lain pada aku, aku tetap macam ni.” Dewi Karmila cuba
mempertahankan dirinya.
“Suka hati kau lah, dah penat aku
bercakap, dah penat aku berleter, hasilnya tak ada juga...” keluh Amrina. Letih
rasanya menasihati sahabatnya itu.
Jejarinya dilepaskan dari pegangan seorang
sahabat. Dia masih tersenyum.. biarlah. Amrina berhak membuat andaian sendiri.
Tidak ada sesiapa yang tahu tentang malam itu, tentang malam ketika hujan lebat
turun mencurah-curah ke bumi.
“Aku nak balik.” Amrina sudah bersedia
untuk bangun. “Apa aku nak cakap pada Sofian ?” Wajah Dewi Karmila direnung
seketika. Ada keluhan yang dilepaskan.
“Maafkan aku Rina... kerana aku, kau yang
susah.”
Renungan seorang sahabat membuatkan diri
terasa bersalah tapi apa dayanya. Belum pernah dia terfikir untuk menerima
Sofian sebagai kekasih hati walaupun lelaki itu sentiasa mengharapkannya.
“Rina !”
Langkah Amrina terhenti di situ, segera
dia berpaling. Menghadap seorang sahabat yang dikenalinya ketika sama-sama
menuntut di pusat pengajian itu. Kerana keakraban mereka, dia mengenali seorang
lelaki tanpa nama... yang dipuja oleh sahabatnya. Tidak pernah dia bertemu
dengan si lelaki, tidak juga ada sebarang gambar yang pernah dilihatnya. Apakah
lelaki pujaan sahabatnya sememangnya ujud atau cerita itu cuma dongengan untuk
Dewi Karmila melepaskan diri daripada buruan lelaki-lelaki yang ingin
mendekatinya?
“Kau suka Pian ?” tanya Dewi Karmila.
Wajah Amrina direnungnya.
“Apa maksud kau ?” Soalan dibalas dengan
soalan. Kenapa harus Dewi Karmila bertanya begitu padanya.
“Pian lelaki yang baik, kenapa tidak kau
saja yang terima dia,” usul Dewi Karmila.
Amrina mendengus, jauh perginya menungan
Amrina walaupun cuma seketika.
“Kalau dia pilih aku, sudah tentu aku
terima. Aku kenal dia... belum pernah aku temui lelaki sebaik itu, sanggup menanti
seorang gadis yang tidak pernah ada perasaan padanya.” Amrina luahkan apa yang
terbuku di hatinya. Sememangnya dia begitu kecewa dengan kedegilan Dewi
Karmila. Entah siapa lelaki yang diharapkan oleh Dewi Karmila itu hingga Dewi
Karmila terus menolak hasrat hati Sofian begitu sahaja.
Wajah Amrina keruh tidak bercahaya namun
Dewi Karmila masih mampu mengukir senyuman. Sinis tutur seorang sahabat namun
masih mampu diterima akal dan fikiran. Itulah dia... gadis yang dimaksudkan
olah Amrina, dia tak punya perasaan pada sesiapa tapi hatinya cuma untuk si
lelaki, dia sendiri tak mengerti. Bukannya tidak pernah dicuba melupakan lelaki
itu. Usahanya tidak pernah berhasil... solat hajat, solat istikharah, semuanya
sudah dibuat. Lagi-lagi wajah itu juga yang ditemuinya. Apalah dayanya...
katalah apa saja dia bersedia menerima.
“Aku balik dulu.” Amrina meminta diri.
Dewi Karmila masih dengan senyumannya.
Kepala dianggukkan.
“Sampaikan salam aku pada Pian. Cakap pada
Pian, jangan tunggu aku,” pesan Dewi Karmila.
Tiada senyuman di wajah Amrina, tiada juga
peluk cium dari seorang sahabat. Apakah Amrina terluka? Sebagaimana terlukanya
hati Sofian kerana hajat hatinya ditolak juga akhirnya tapi luka di hatinya
sendiri di mana penawarnya. Siapa yang ambil peduli kerana dia sendiri tidak
tahu di mana hendak dicari penawarnya.