Home Novel Cinta Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Dia Cinta Hati Ku (Dewi Karmila)
Rozita Abd. Wahab
16/1/2015 14:05:22
23,638
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab : 2


“YOU aktif waktu di sekolah dulu ?” tanya Halisa sambil menyelak helaian album gambar yang baru saja dicapai dari atas rak. Gambar-gambar yang masih cerah warnanya biarpun sudah bertahun usianya. Tidak pula dia tahu, ada lelaki yang suka menyimpan gambar-gambar waktu persekolahannya. Tersusun kemas di dalam album gambar tersebut.

“Hmm... I main bola sepak dan ragbi.”

“Wakil sekolah ?”

Rizuan mengangguk. Wajah Halisa yang manis dikerlingnya sekilas.

“Hmm... sure ramai girl friend.”

Besar tawa Rizuan sambil mendongak ke siling, memang ramai pelajar perempuan yang ingin mendampinginya. Dari teman sekelas hingga ke pelajar di tingkatan satu... yang sebaya mahu dijadikan kawan, yang masih muda mahu dijadikan abang angkat dan dia sendiri tidak pernah menolak. Biar ramai kawan... luas dunianya namun dalam yang ramai-ramai hanya satu yang tidak pernah dilupakan. Biarpun bertahun, kenangan itu tetap mengekori langkahnya. Hanya satu kenangan yang menyakitkan, namun kenangan itu juga tidak pernah luput dari ingatannya. Dalam kelam malam, hanya sepasang mata jernih itu yang sempat dirakamnya, tatkala lampu yang terpadam menyala semula. Dan tidurnya sering didatangi seseorang yang tidak dikenali. Wajah yang tidak jelas tapi dia yakin wajah itu wajah yang sama.

“Hey ! Jauh melamun... ingatkan girl friend masa sekolah dulu ?” Halisa meneka bersama secalit rasa cemburu untuk lelaki yang sudah bertapak di hatinya.

Kali pertama bertemu dengan Rizuan, hati sudah terpikat. Rizuan, lelaki kacak yang tegap tubuh badannya. Saban minggu menghabiskan masanya di gimnasium. Pernah sekali dia terserempak dengan lelaki itu ketika hendak keluar dari keretanya. Hanya berseluar separas lutut dengan baju ketat tidak berlengan, otot-ototnya membuatkan mata enggan beredar dari terus merenung susuk tubuh lelaki itu. Termalu dia sendiri sebaik saja Rizuan menegurnya.

“Girl friend memang ramai tapi yang melekat di hati... satu pun tak ada.” Rizuan ketawa lagi, suka benar lelaki itu ketawa.

“Sekarang dah ada ?” Halisa bertanya. Tidak sabar pula dia hendak tahu siapa yang telah berjaya memiliki hati lelaki itu.

Mekar senyuman di bibirnya, begitu mengharapkan lelaki itu akan menjadi miliknya. Sebaik saja ditawarkan untuk singgah di apartmen milik Rizuan, dia hanya mengangguk. Masakan hendak menolak jika jejaka pujaan yang menawarkan diri.

Rizuan hanya tersenyum, sudah mengerti ke mana hala tuju soalan yang diajukan padanya.

“Masih mencari.” Jawapan yang ringkas diberikan pada Halisa.

Hati Halisa sedikit terusik. Habis... siapa dirinya di mata Rizuan. Diajak keluar, dia keluar... diajak menonton atau ke mana saja, dia tidak pernah menolak dan hari ini dipelawa singgah di apartmen itu. Apakah maksud Rizuan ? Apakah lelaki itu mahu menduganya?

“Dah petang ni, I hantar you balik.”

Rizuan letakkan gelas minuman yang sudah kering isinya di atas meja. Minuman ringkas yang disediakan untuk Halisa masih berbaki.

“Boleh I tumpang bilik air.”

Rizuan tersenyum kemudian mengangguk.

“Silakan...”

Halisa bangkit dari sofa. Album di tangan diletakkan di atas meja. Ditinggalkan ruang tamu yang kemas susunannya. Kata Rizuan, setiap hari Isnin dan Khamis, pembantu rumah ibunya akan datang ke situ, mengemas apa yang perlu. Baju-bajunya sudah dihantar ke kedai dobi, tugas pembantu cuma mengemaskan dan memastikan rumah itu tidak berhabuk dan sentiasa kemas. Dia suka keadaan yang kemas dan teratur.

Album gambar di atas meja segera dicapai. Ada kenangan yang ingin dicari. Siapakah sebenarnya gadis itu? Gadis yang saban hari mengganggu lenanya. Hanya sepasang mata milik si gadis yang masih terpahat di minda.

Setiap helaian diselak... senyuman dan gelak tawa teman-teman terasa menghiburkan. Saat piala kejuaraan menjadi milik mereka, dialah yang paling gembira, dipeluk dan dilambung kerana kegembiraan.

“Okey.. I dah siap.”

Halisa muncul di ruang tamu, tampak anggun dengan gayanya. Haruman yang dikenakan menusuk ke hidung... menggetarkan dadanya. Apa lagi saat mata terpandang dada si gadis yang seolah-olah sengaja dibiarkan sedikit terbuka. Menampakkan bahagian lurah yang mampu merobohkan benteng keimanannya yang semakin menipis.

“Okey... I hantar you balik.”

Dia sudah bersedia untuk bangun tapi Halisa pula sengaja melengahkan. Halisa duduk semula di sisinya sambil menarik tangannya. Apa yang dimahukan oleh Halisa ? Ah... bodohnya aku... tentu gadis ini mahu menggoda .

“I nak habiskan minuman.”

Rizuan tersenyum kemudian mengangguk. Akur saja pada kehendak Halisa. Segera dilarikan pandangan matanya dari terus merenung tempat yang tidak sepatutnya. Salah siapa... dia atau Halisa? Sememangnya dia sengaja mengajak Halisa bertandang ke apartmen itu. Kononnya hendak menduga. Apakah Halisa yang bakal menjadi pilihan hatinya? Tapi nampak gayanya dia pula yang hampir-hampir tergoda. Rizuan alihkan pandangan matanya. Sebelum si syaitan terus bermaharajalela, ada baiknya dia menghindarkan diri.

“Jom...”

Segera dia bangun sebelum dihanyutkan dek hangatnya tubuh si gadis yang sengaja melentok di bahunya. Ah... jangan dibiarkan makhluk yang satu itu terus menggoda.

Kedua-duanya sudah melangkah masuk ke dalam lif. Halisa merenung wajah lelaki di sisinya. Apakah Rizuan tidak berminat dengan tubuhnya? Masakan tubuh secantik dan seharum itu tidak mampu menggugat hati Rizuan. Lelaki yang nampak liar dan betah bertepuk dan berpimpin tangan ini masih menjaga pergerakannya.

“Juan ! I rasa macam nak ke rumah kawan.”

Rizuan menoleh.

“Rumah kawan?”

“Hmm...”

“Nak I hantarkan.”

Halisa menggeleng.

“I naik teksi.”

“Okey...”

Ada kesal bertandang di hati Halisa. Dia cuma menduga... sudahnya dia sendiri yang terkena, masakan hendak mengundur diri. Apakah lelaki ini tidak punya perasaan? Tidak teringin menyentuh tubuhnya.

“I teman you ke depan sana. Jarang teksi masuk ke dalam ni,” ujar Rizuan.

Halisa hanya mengangguk.

Kedua-duanya berjalan beriringan. Belum sempat sampai ke perhentian teksi, mata menangkap sebuah teksi yang merayap keluar dari perkarangan apartmen, mungkin baru sahaja menurunkan penumpang di ruang lobi.

“Okey. Thanks Juan.”

“Okey... jumpa lagi nanti.” Rizuan mengangkat tangan, membalas lambaian Halisa yang baru saja menutup daun pintu teksi berwarna merah putih itu. Fuh... lega, terlepas dari godaan, hebat juga penangan Halisa.

Rizuan masuk semula ke dalam apartmen. Pandangan matanya menangkap album gambar di atas meja. Ada kenangan datang menerpa. Ah... kenapa begitu sukar melupakan satu kenangan yang tidak ada sudahnya. Dicapai sebuah album yang agak baru... masih banyak ruang yang kosong. Mata tertancap pada sekeping gambar. Siapa lagi kalau bukan dirinya sendiri di samping seorang gadis yang tampak ayu dan menawan. Manis dengan senyuman, terserlah lekuk di kedua belah pipinya. Alisnya lentik... pernah sekali dia merenung wajah si gadis. Sengaja hendak melihat apakah si gadis mengenakan maskara seperti gadis-gadis yang pernah dikenalinya. Tersenyum dia sendiri alis itu alis yang asli, bukan palsu. Senyuman itu juga asli. Tanpa pemerah pipi, wajah itu tetap kemerahan... bibirnya basah dan merah. Ah, bertuahnya lelaki yang berjaya memikat hati si gadis. Siapakah yang bertuah ? Masakan dia sendiri yang terkenal dengan sikap playboy. seminggu diusungnya gadis yang ini. Seminggu kemudian dia berpasangan dengan gadis yang lain pula. Mana mungkin Dewi Karmila akan menerima dirinya... gadis yang bertudung dan cukup sopan di matanya. Itu semua cuma angan-angan kosong yang tidak mungkin berpenghujung. Dewi Karmila tidak akan memandang ke arahnya, apa lagi untuk membuka pintu hatinya. Dicapai telefon bimbit di atas meja, nama Dewi Karmila yang disimpan dalam memori telefon bimbit itu segera dicari.

“Hello.”

“Dah tak reti nak bagi salam,” sergah suara yang menjawab panggilannya.

Rizuan tertawa kecil. Suara Dewi Karmila lunak di telinganya.

“Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam. Hmm... ingatkan dah tergeliat lidah nak bagi salam.”

Gadis itu masih hendak mengenakannya.

“Yalah... aku silap, jangan marah cik adik.”

“Hmm... ada apa call aku ni.”

“Saja, nak berbual dengan kau.”

“Kalau setakat nak berbual.... kat office boleh berbual. Satu jam, dua jam kau duduk kat bilik aku. Tercongok macam orang tak betul.” Dewi Karmila ketawa sebaik sahaja menghabiskan ayatnya.

“Yalah tu... baru duduk sepuluh minit dah kena halau.”

Tawa Dewi Karmila menerpa telinganya, sejuk hati yang mendengar. Itu belum lagi melihat senyumannya. Dikerling ke arah kepingan gambar yang menjadi hidangan mata sebentar tadi. Senyuman itu tulus biarpun amat payah untuk mengambil gambar dengan si gadis.


“AKU tak nak...”

“Ambil gambar saja, bukannya buat apa.”

“Nak buat apa ambil gambar dengan kau... berdua pula tu, tak naklah.” Dewi Karmila masih menolak.

“Laaa, bukannya aku nak peluk, kau berdiri sebelah aku, tangan aku sorok kat belakang.” Rizuan masih tidak mahu mengalah.

Dewi ketawa kesukaan. Boleh percaya ke kata-kata lelaki playboy itu.

“Boleh percaya ke ?”

“Okey... aku letak kat belakang sekarang.”

Janjinya dikotakan, tangannya bersilang di belakang dan Dewi Karmila berdiri di sisinya sambil tersenyum.

“Hello ! Hello ! Hidup lagi ke ?”

Jeritan Dewi Karmila mengganggu konsentrasinya. Ah, dia hanyut dek kerana gambar tersebut sedangkan Dewi Karmila sedang menanti di hujung talian.

“Hidup lagi kat sini,” balas Rizuan.

“Hah... ingatkan dah diculik bunian.”

Tawa Dewi Karmila kedengaran lagi... bila bergurau, Dewi Karmila jarang berlapik, tapi cuma dengan orang-orang tertentu sahaja, orang yang sudah lama dikenalinya.

“Kau buat apa ?” tanya Rizuan.

“Cuba teka.”

“Membaca lah tu... tak ada kerja lain, pantang jumpa buku.”

Dewi Karmila ketawa lagi.

“Tak boleh jadi tok nujum la... teka pun tak betul.”

“Yalah... aku pun tak nak jadi tok nujum, nanti aku tahu kau pilih siapa untuk jadi bakal suami. Macam aku ni siapalah yang sudi.” Rizuan merendah diri.

“Sedar pun. Siapalah yang malang nanti... dapat suami playboy.” Dewi Karmila melambakkan tawanya.

Rizuan hanya tersenyum. Tergeleng-gelang kepalanya tapi dia tidak berkecil hati dengan apa yang dikatakan oleh Dewi Karmila.

“So... kau buat apa tadi?”

“Menjahit.”

“Betul ke ni... pandai ke tuan puteri menjahit,” duga Rizuan.

“Jangan pandang aku sebelah mata tau...”

“Huh.. dua belah mata pun aku tak pandang.”

Giliran dia pula mengenakan Dewi Karmila yang turut sama ketawa.

“Kau jahit apa ?” tanya Rizuan.

“Baju kurung.”

“Hmm raya tahun ni, bolehlah jahitkan baju melayu aku.”

“Bila masa aku kata aku jahit baju melayu.”

“Takkan tak tahu jahit baju melayu...”

“Tak... tapi kalau baju melayu Johor, bolehlah.. sama saja dengan baju kurung orang perempuan.”

“Alhamdulillah... jimat belanja aku raya tahun ni.”

“Kedekut... tak jadilah, cancel. Nama saja anak orang kaya, nak tempah baju melayu pun kedekut.”

Rizuan tertawa kecil, terbayang wajah Dewi Karmila di ruang matanya.

“Yang kaya ayah tiri aku, yang kayap ni anak tiri dia.”

Tawa Dewi Karmila kedengaran lagi.

“Aku nak ajak kau keluar.” Rizuan terus sahaja pada perkara utama yang menyebabkan dia menghubungi Dewi Karmila.

“Keluar, nak ke mana ?” tanya Dewi Karmila.

“Kita tengok wayang,” jawab Rizuan.

“Huh.. sorry, kalau dengan orang lain aku rela tapi kalau dengan kau, minta maaf. Karang ada pula ketam berjalan...”

Besar tawa Rizuan sebaik saja mendengar kata-kata itu. Jauh benar perginya pemikiran Dewi Karmila, masakan dia hendak berbuat begitu dengan Dewi Karmila. Jika dengan orang lain... berjalan juga ketam di dalam gelap. Alang-alang sudah duduk rapat-rapat begitu... si gadis pula memberi laluan, masakan dia hendak menolak. Setakat ini belum pernah dia berpeluang memegang tangan Dewi Karmila. Dewi Karmila, ada kalanya kasar juga. Jika hendak menampar, mesti ada sesuatu di tangan. Perit juga bahunya bila dipukul dengan majalah yang tebal.

Dengan semua orang Dewi Karmila begitu, boleh bergurau... boleh ketawa tapi ada hadnya. Gadis itu tidak cepat melatah, marah sebagaimana sekali pun, Dewi Karmila masih mampu mengawalnya. Itulah Dewi Karmila... gadis yang dipuja dalam diam. Tidak mungkin ada yang menyangka playboy seperti dia yang saban hari berkepit dengan perempuan berpakaian seksi punya perasaan pada Dewi Karmila yang bertudung litup begitu.

“Apa kau ni, kalau nak berangan jangan call aku,” omel Dewi Karmila

Rizuan ketawa senang.

“Kita keluar nak tak ?” Rizuan bertanya lagi.

“Nak ke mana, tengok wayang, sorry... aku tak rela jadi mangsa si ketam.”

Tergeleng-geleng kepalanya. Dewi Karmila masih hendak mengenakan dia.

“Kau dah dinner ?”

“Baru jam 7, takkan dah makan.”

“Okey... kita dinner malam ni, aku jemput kau di rumah.”

“Nak dinner di mana ?”

“Aku rasa macam nak makan nasi lemak. Kita carilah di mana-mana.”

“Malam-malam makan nasi lemak, gemuk nanti.”

“Alah... macam kau takut makan nasi lemak, kering macam lidi, nak peluk pun aku tak rela.”

Dia ketawa lagi... terbayang tubuh kurus Dewi Karmila yang tersorok di sebalik pakaiannya yang sentiasa longgar.

“Yalah... yalah... malas aku nak bertekak dengan kau. Kejap... kau naik motor ke kereta.”

“Kalau naik motor kau nak ?”

“Sorry... ampun... jangan harap. Aku makan kat rumah ni lagi baik.”

“Janganlah merajuk... aku jemput naik kereta. Dalam pukul 9 boleh.”

“Insya-ALLAH, kalau ada adalah, kalau tak ada jangan marah.”

“Dewi !”

“Juan !”

Kedua-duanya ketawa serentak.

“Dah pandai main-mainkan aku sekarang ya.”

“Tengoklah siapa tok gurunya.”

Tergeleng-geleng Rizuan sambil membetulkan sandarannya. Sekali lagi mata dipusatkan pada gambar di album. Dewi Karmila yang manis.

“Okey... aku datang tepat jam sembilan.”

“Okey... Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Talian diputuskan. Lega rasanya, senyuman Dewi Karmila terbayang di mata.

Previous: Bab : 1
Next: Bab : 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.