“PERUT dah kenyang. Aku rasa macam nak balik tidur,”
ujar Rizuan sambil mengusap perutnya yang kekenyangan. Dia sudah bersandar di kerusi
yang didudukinya.“Hah... jangan nak mengada, hantar aku ke office dulu, aku nak ambil kereta,”
marah Dewi Karmila.
“Laaa... dah lewat macam ni masih ada hati
nak balik office.” Rizuan merenung
wajah Dewi Karmila.
“Aku nak ambil kereta, bukan nak buat
kerja.” Dewi mencebik, wajah Rizuan dikerling sekilas.
“Tak payahlah. Aku hantar kau balik terus
sampai depan rumah. Pagi esok aku jemput kau depan rumah dan bawa kau ke office,” usul Rizuan. Belum puas rasanya
menghabiskan waktunya bersama Dewi Karmila.
“Kereta aku macam mana.” Ada kebimbangan
dalam nada suara Dewi Karmila. Bimbang juga dia hendak meninggalkan keretanya
di bangunan pejabat itu.
“Tak hilangnya... Kau parkingkat building tu,
bukannya kat luar,” ujar Rizuan.
“Kalau hilang macam mana.” Berkerut dahi
Dewi Karmila, bimbang memikirkan kereta kesayangannya.
Rizuan tersengih. “Aku jemput dan hantar
kau hari-hari.”
“Orang cakap betul-betul, dia main-main
pula.” Dewi Karmila mencebik.
“Yalah... aku pun cakap yang betul. Aku
pernah tinggal kereta kat tempat parking
masa outstation ke Sabah hari tu. Tak
hilang pun.” Rizuan cuba meyakinkan Dewi Karmila.
“Kalau hilang.”
“Aku belikan kereta baru untuk kau... cash.” Rizuan sudah tertawa kecil.
“Banyak duit bapak kau.” Dewi Karmila
menjegilkan matanya.
Rizuan ketawa lepas. “Tak payah duit
bapak... duit aku pun ada. Setakat Viva tu.. tak hairanlah beb.”
Bengkak hati Dewi Karmila mendengar
kata-kata Rizuan, sombongnya dia.
“Jangan marah cik adik... aku gurau aja.”
Rizuan cuma bergurau tapi melihatkan perubahan di wajah Dewi Karmila hatinya
pula yang diusik bimbang. Bimbang Dewi Karmila berkecil hati dengan gurauannya.
Hakikatnya dia berkemampuan untuk membeli sebuah kereta untuk Dewi Karmila.
“Okey... aku hantar kau balik rumah. Dah
lewat ni, kalau ke office dulu... jam
berapa kau nak sampai ke rumah.” Rizuan kerling jam di tangan. Tidak wajar
untuk dia menghantar Dewi Karmila ke pejabat dan membiarkan gadis itu memandu
pulang ke rumahnya pada waktu-waktu begitu.
Dewi Karmila masih mendiamkan diri, tidak
berminat hendak berbicara dengan Rizuan. Masih terasa hati dengan gurauan
Rizuan sebentar tadi.
“Kau merajuk ya,” giat Rizuan. Wajah Dewi
Karmila terus direnungnya tapi gadis itu memandang ke arah lain.
Dewi Karmila masih mendiamkan diri.
“Kau tahu tak orang kata... orang yang
sedang bercinta saja yang suka merajuk... kau cintakan aku ya,” usik Rizuan.
Bulat mata Dewi Karmila merenung wajah
Rizuan.
“Juan !” Dewi Karmila menjeritkan nama
Rizuan.
“Tengok... muka kau dah merah.” Rizuan
masih enggan mengalah, terus mengusik Dewi Karmila.
Memang dia malu. Malu dituduh begitu oleh
seorang lelaki yang selama ini dianggap sebagai sahabat. Sekali pun dia agak
rapat dengan Rizuan, hatinya tetap tersentuh dengan kata-kata yang sebegitu.
“Okey... okey... aku bergurau saja.”
Rizuan ketawa kesukaan. Seronok dapat mengenakan Dewi Karmila yang merona merah
wajahnya. Wajah Dewi Karmila bertukar masam kemudiannya.
“Juan, kau ni teruk tau,” marah Dewi Karmila.
“Aku gurau aje Dewi. Jangan ambil hati...
aku sedar siapa aku ni. Orang macam aku ni tak layak untuk kau. Playboy KL kan.” Rizuan bersuara
perlahan. Berpura-pura merajuk, yalah siapalah dia jika hendak digandingkan
dengan Dewi Karmila. Sekali pun dia tergolong di kalangan lelaki yang kacak,
mana mungkin Dewi Karmila akan terpikat padanya. Lelaki mata keranjang, kata
Dewi Karmila.
Dewi Karmila merenung wajah Rizuan. Lelaki
itu sedang memandang ke sisi. Merajuk pula anak muda yang seorang ini. Dewi
Karmila tersenyum, hilang rasa marahnya pada Rizuan yang tadinya berbungkal di
dada. Wajah jejaka di hadapan terus menjadi sasaran matanya. Apakah wujud rasa
kesal di hati Rizuan kerana berkata begitu padanya?
“Kalau dah sedar diri tu playboy... cubalah ubah sikap tu,
barulah kau boleh dapat perempuan yang terbaik untuk kau,” luah Dewi Karmila.
Rizuan masih memasamkan wajahnya. Jahat
sangatkah dia hingga Dewi Karmila berkata begitu padanya. Rizuan menoleh ke
arah Dewi Karmila. Giliran dia pula yang merenung wajah Dewi Karmila tapi gadis
itu terlebih dahulu melarikan pandangan matanya.
“Kalau aku berubah, kau nakkan aku ?”
tanya Rizuan sambil merenung wajah gadis di hadapannya. Wajah yang sudah
berubah merah dek kerana soalannya.
Dewi Karmila menghela nafas perlahan. Dia
pula yang terkena... teruk betul lelaki yang seorang ini.
“Dahlah... malas aku nak cakap apa-apa,
kau belitkan aku,” rungut Dewi Karmila.
Terkekeh-kekeh Rizuan ketawa. Seronok
dapat mengenakan Dewi Karmila. Wajah Dewi Karmila yang bercahaya sebentar tadi
kembali cemberut dan dia terus ketawa. Ah... kalaulah Dewi Karmila sudi
menerima dirinya, pasti dia akan meninggalkan tabiat lamanya, meninggalkan apa
saja sifat yang tidak disukai oleh gadis pujaannya itu. Hanya gadis yang satu
itulah yang akan dikelek ke sana ke mari.
“Jomlah.. perut dah kenyang. Aku nak
balik.” Dewi Karmila sudah bersedia untuk bangun. Ada baiknya mereka segera
beredar sebelum Rizuan melalut jauh.
“Belum bayar dah nak balik,” bebel Rizuan
sambil melambai ke arah seorang anak muda yang berdiri di hadapan kaunter.
“Aku bayar.” Dewi Karmila keluarkan duit
dari beg dompetnya.
“Aku yang bayar.” Rizuan juga segera
berbuat demikian.
“Kan aku janji nak belanja kau malam ni.”
Dewi Karmila menjegilkan matanya.
“Kan aku kata tak nak belanja... kalau kau
cium, aku nak.” Rizuan tersengih.
Dewi Karmila mendengus. Tak habis-habis
dengan kenakalannya. Tidak sempat diletakkan wang kertas di dalam dulang yang
dihulurkan, Rizuan yang mendahuluinya. Lelaki itu tersengih kemudiannya.
Sesekali Rizuan harus membenarkan dia yang membuat bayaran, dia tidak mahu dikata
mengambil kesempatan pula.
“Hantar aku ke office,” tegas Dewi Karmila sebaik saja masuk ke dalam kereta.
“Dah sebelas setengah cik adik oi. Dari
sini ke office, setengah jam. Balik
ke rumah kau setengah jam. Lewat sangat sampai rumah, pukul berapa kau nak
tidur,” bebel Rizuan sambil mengenakan tali pinggang keledar.
“Aku dah biasa tidur lewat,” balas Dewi
Karmila.
“Kau buat apa tidur lewat ?” tanya Rizuan.
“Apa-apa saja yang berfaedah.. membaca
misalnya. Bukan macam kau berkepit dengan perempuan masuk keluar disko.” Dewi
Karmila menyindir.
Rizuan tersengih, dia pula yang terkena
kali ini.
“Sekarang aku ni nakal... jahat, tapi
kalau kau jadi girl friend aku...
semua tu aku tinggalkan. Pakai serban, pakai jubah semua aku sanggup.” Rizuan
juga tidak mahu mengalah.
Dewi Karmila mengetap bibirnya. Lagi-lagi
perkara itu yang dijadikan bahan gurauan. Dia tahulah dia tidak sepadan dengan
Rizuan tapi itu tidak bermakna lelaki itu boleh mempermainkan perasaannya.
“Juan, kau dah biasa hidup macam ni kan...
bukan senang nak berubah. Belum tentu kerana seorang perempuan kuno macam aku
ni kau akan berubah,” ujar Dewi Karmila.
Meletus tawa Rizuan sambil mengetuk
stereng keretanya, lucu benar rasanya bila mendengar Dewi Karmila menyebut ayat
perempuan kuno. Siapa kata Dewi Karmila kuno. Dewi Karmila seorang gadis yang
terpelajar. Punya kedudukan yang boleh dibanggakan dalam syarikat. Cara
pemakaiannya tidaklah terlalu kekampungan. Perkataan kuno itu tidak sesuai
untuk gadis seperti Dewi Karmila.
“Kau tau tak... kalau kau kata kau
perempuan kuno. Kau tak pakai macam ni, tapi kau pakai baju macam orang
dulu-dulu, berkemban dengan kain batik separas dada, lepas tu sangkut selendang
kat bahu... lagi seksi ooo..” Rizuan terus-terusan ketawa.
Dewi karmila sudah hilang kesabaran...
pantas jejarinya singgah di pinggang Rizuan dek kerana rasa geram dan marah
yang teramat. Dicubitnya dengan sekuat hati... geramnya. Sejak tadi lelaki itu
asyik mengenakannya.
Bertambah besar tawa Rizuan sambil
mengusap pinggangnya yang sedikit perit. Biar pun sakit, hati terasa bahagia...
kali pertama Dewi Karmila mencubitnya.
“Kau ni teruk betul,” marah Dewi sambil
berpeluk tubuh. Malas hendak melayan Rizuan yang masih ketawa-ketawa. Pantang
ada peluang lelaki itu pasti akan mengenakannya.
“Sedap...” Rizuan menoleh ke arah Dewi
Karmila.
Dewi Karmila masih cemberut wajahnya.
“Sedapnya..” ulang Rizuan. Sengaja hendak
meraih perhatian gadis itu.
Berkerut wajah si gadis, dikerling ke arah
Rizuan, hati tertanya-tanya, apa yang sedap.
“Apa yang sedap ?”
“Sedap... kena cubit.”
“Juan!” Dewi Karmila sudah menjeritkan
nama Rizuan.
Kali ini telapak tangannya singgah di bahu
lelaki itu, bukan sekali tapi berkali-kali. Geramnya. Dia menampar bahu Rizuan
dengan sekuat hatinya, melepas segala rasa geram dan sakit hatinya.
“Okey... okey... sudah... Aku tengah drive ni. Tak pasal-pasal dua-dua masuk
hospital nanti. Kecoh satu office,
Kau dan aku accident dalam satu
kereta, malam-malam buta pula tu.” Masih bersisa tawa si lelaki. Disentuh
bahunya yang terasa sakit, boleh tahan juga penangan Dewi Karmila. Gadis itu
menampar bahunya dengan sekuat hati.
“Kau yang cari fasal,” marah Dewi Karmila.
Dia sudah bersandar sambil berpeluk tubuh. Dadanya berombak, cuba dikawal rasa
marahnya.
“Aku bergurau... tapi kau tak boleh terima
gurauan aku,” balas Rizuan.
“Bergurau tak bertempat.”
Rizuan mengulum senyum, terlebih ketawa
nanti, dimarahi Dewi Karmila pula. Wajah si gadis masam mencuka namun hatinya
rasa terhibur. Bila bersama Dewi Karmila dia bebas mengusik... rajuk Dewi
Karmila mudah dipujuk, marah Dewi Karmila hanya seketika. Esok-esok eloklah
dia... kalau tak esok, sebentar saja lagi hati Dewi Karmila pasti dilembutkan.
“Aku hantar kau balik ke rumah ya.”
Dewi Karmila hanya mendiamkan diri.
“Dewi Sayang......”
Dewi menekup telinganya, tidak mahu
mendengar kata-kata lelaki itu lagi. Mengadanya menjadi-jadi, menggatal...
miang, semuanya ada. Panggilan sayang itu terasa menyakitkan telinga. Lelaki
itu sengaja hendak memainkan perasaannya.
“Ialah... ialah... hantar aku balik. Boleh
jadi gila aku kalau dengan kau ni,” Dewi Karmila sedikit menjerit. Tidak tahan
dia diusik begitu.
Rizuan ketawa kesukaan, Dewi Karmila sudah
berpaling ke arah luar. Marah benar gadis itu padanya.
“Okey... okey... aku tak kacau kau lagi.
Aku hantar kau balik ke rumah.”
Dewi Karmila menyepikan diri.
“Dewi,” Rizuan menyeru nama Dewi Karmila.
Dewi Karmila diam tidak berkutik.
Hanya keluhan yang dilepaskan, rajuk Dewi
Karmila masih berpanjangan. Dewi Karmila mengunci mulutnya, enggan berbicara
atau membalas kata-katanya. Mulutnya mula bersiul... entah apa-apa lagi yang
disiulkan. Bosan bersiul sendiri, dia menghidupkan suis radio... suara Syarifah
Aini memecah kesunyian, mulutnya juga turun menyanyi.
“Larilah... oh lari... Dewi ku lari gagah
berani. Larilah...”
Tersenyum-senyum Dewi Karmila mendengar
suara sumbang si jejaka di sisi. Perkataan kuda yang disebut oleh biduanita
Syarifah Aini ditukarkan dengan namanya. Ada-ada saja idea Rizuan, namun hati
terasa terhibur... hilang rasa marah dan sakit hati kerana dipermainkan lelaki
itu.
“Kau marah aku ?” soalnya sebaik menyedari
perubahan pada wajah Dewi Karmila, tenang dan bersahaja, tidak tegang seperti
tadi.
“Marah lagi tak ?” Sekali lagi Rizuan
bertanya.
“Suara kau macam katak panggil hujan,”
komen Dewi Karmila sambil menjeling ke arah Rizuan.
Lelaki itu tersenyum, menjadi juga idea
spontannya untuk melembutkan hati Dewi Karmila. Gadis itu sudah mampu mengukir
senyuman. Lega hati Rizuan melihat senyuman si gadis. Keretanya diberhentikan
di hadapan sebuah rumah teres setingkat, lampu di halaman terang-benderang.
“Nak aku tolong angkatkan barang kau ?”
tanya Rizuan. Tujuan asal Dewi Karmila hendak membeli sebuah tablet tapi sudahnya
sebuah printer turut diangkut oleh
Dewi Karmila. Katanya, alang-alang ada orang yang boleh tolong angkatkan.
Dewi Karmila menolak daun pintu.
“Kalau rasa diri tu lelaki... silakan.”
Rizuan tersenyum. Dewi Karmila mencari
peluang untuk mengenakannya.
“Tapi aku tak dibenarkan masuk ke dalam
rumah kau.”
Itu yang selalu ditekankan oleh Dewi
Karmila, setiap kali dia bertandang ke rumah itu, Dewi Karmila akan mengajak
dia keluar ke mana-mana. Tidak sopan seorang lelaki sepertinya masuk ke dalam
rumah anak dara, berbual di luar juga tidak diizinkannya, tidak manis dipandang
jiran tetangga. Banyak benar pantang-larang Dewi Karmila tapi semua itu untuk
kebaikan mereka berdua.
“Siapa suruh kau masuk, letak saja kat
depan pintu. Nanti aku angkat.”
Rizuan tersengih. Diekori langkah Dewi
Karmila sambil mengangkat plastik berisi barang-barang yang dibeli oleh Dewi
Karmila.
“Letak kat situ saja Juan,” ujar Dewi
Karmila sebaik sahaja daun pintu dibuka.
Seorang gadis keluar ke ruang tamu.
“Hai Juan!” Hamidah menyapa.
“Hai Midah... lawa kau hari ni,” puji
Rizuan.
Hamidah ketawa. “Aku pakai baju tidur pun
lawa.”
“Dia puji... ada maksud lain, kau jangan
salah sangka.” Dewi Karmila yang bersuara sambil menjeling ke arah Rizuan yang
tersengih-sengih.
“Kau ni... tak ada kerja lain, asyik nak
pandang serong kat aku,” rungut Rizuan.
“Dah memang fikiran kau ke lain. Macam aku
tak tau.” Dewi Karmila tersengih.
“Sampai hati kau... aku dah tolong hantar
sampai depan rumah pun kau kutuk aku lagi. Teruk betul kawan kau ni Midah.”
Rizuan bercekak pinggang di hadapan Dewi karmila.
Hamidah hanya ketawa kecil sambil
tergeleng-geleng kepalanya. Ada-ada saja yang hendak digaduhkan oleh mereka
berdua.
“Kau orang tahu tak... orang tua-tua kata,
kalau lelaki dan perempuan suka sangat bergaduh... jodoh mereka tu kuat,” ujar
Hamidah.
Rizuan ketawa kesukaan mendengar kata-kata
Hamidah.
“Betul tu Midah... aku setuju,” sokong
Rizuan sambil mengangkat tangannya.
“Mula dah... jangan dilayan playboy ni Midah. Rosak kau nanti.
Jom... jom...” Dewi Karmila menarik lengan baju Rizuan dengan dua hujung
jarinya. Lelaki itu masih ketawa, diikut juga langkah Dewi Karmila kembali ke
keretanya. Suka dia mendengar kata-kata Hamidah itu.
“Tak habis-habis dengan miang dia.” Dewi
Karmila membebel. Panjang muncungnya.
“Macam mak nenek la kau ni. Sebiji macam
nenek aku... kerjanya membebel dua puluh empat jam,” balas Rizuan.
“Dah tu... pergilah balik. Dah lewat.”
Dewi Karmila menjegilkan matanya. Ada baiknya lelaki itu segera beredar dari
hadapan rumah sewanya. Tidak manis bila dia dan Rizuan berdua-duaan di situ
ketika jam sudah melewati angka 12.
Rizuan tersenyum. “Kalau aku tak nak
balik...”
“Tidurlah dalam kereta kau tu,” balas Dewi
Karmila.
“Sampai hati kau...”
“Memang sampai. Okey sekarang kau pergi
balik, terima kasih sebab tolong aku hari ni. Aku dah letih... aku nak berehat,
nak tidur.”
“Aku tidur dengan kau boleh.”
Bulat mata Dewi Karmila menjilat
keseluruhan wajah Rizuan yang tersenyum-senyum.
“Gatal...” pantas tangannya mengetip bahu
lelaki itu.
Terkekeh-kekeh Rizuan ketawa sambil
mengusap bahunya. Perit. Sakit dek kerana tamparan Dewi Karmila di bahunya tadi
masih terasa, Dewi Karmila menambahnya lagi dengan satu cubitan.
“Aku ingatkan ketam berjalan dalam
panggung saja.. kat sini pun ada ketam juga.”
“Juan !” Sedikit menjerit Dewi Karmila
dibuatnya.
Lelaki itu ketawa kesukaan sambil
meloloskan diri masuk ke dalam kereta sebelum jejari Dewi Karmila bergerak
sekali lagi. Namun hatinya terasa cukup bahagia... biarlah dia dicubit atau
ditampar berkali-kali, dia sanggup menerimanya.
“Aku balik dulu.” Rizuan meminta diri.
“Hati-hati.”
“Okey... cium sekali boleh...”
“Hesy... pergilah balik. Menyampah aku
tengok muka kau.”
“Okey.. okey...”
Rizuan masih ketawa. “Selamat malam Dewi.
Malam nanti mimpikan aku ya.”
“Ah... buang masa aku.” Dewi Karmila
menjegilkan matanya.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Kereta Honda CR-Z milik Rizuan bergerak
perlahan, lelaki itu melambai ke arahnya. Tersenyum-senyum Dewi Karmila bila
teringatkan kemesraan yang wujud di antara mereka. Sakit hatinya bila diusik
dan dikenakan oleh Rizuan... sakitnya cuma seketika, lelaki itu bijak memujuk.
Ada saja idea yang datang di kepalanya untuk membuatkan dia ketawa.