DEWI KARMILA
matikan suiz mesin jahit. Baju yang hampir selesai jahitannya dilipat kemas.
Malas hendak diteruskan.“Kau nak keluar ?” tanya Hamidah. Dia
mendengar Dewi Karmila berbual di telefon sebentar tadi.
“Yup”
“Dengan siapa ?”
Soalan itu dibiarkan sepi.
“Pian or
Juan.” Hamidah cuba meneka.
“Juan,” hanya nama itu yang disebut.
Panggilan ringkas untuk Rizuan.
Hamidah menegakkan tubuhnya sambil
merenung wajah Dewi Karmila teman serumahnya. Tidak serik Dewi Karmila dengan
peristiwa beberapa bulan yang lalu? Seorang gadis menerpa dan memarahinya
sebaik saja terpandang Dewi Karmila bergandingan dengan si Playboy KL bernama Rizuan itu.
“Tak serik-serik,” omel Hamidah
Dewi Karmila tersengih. Pastinya kerana
peristiwa itu, Hamidah tidak pernah bersetuju jika dia ke mana-mana dengan
Rizuan. Bimbang benar Hamidah andai dia menjadi mangsa gadis-gadis yang pernah
diusung oleh Rizuan itu.
“Dia kawan sepejabat, bukan boy friend. Sesekali keluar makan berdua
apa salahnya.” Dewi Karmila tidak mahu mengalah.
“Kalau kena serang ?” duga Hamidah.
“Juan ada, takkan dia nak tengok saja.”
Dewi Karmila tersenyum.
“Masa Juan ada, kalau Juan tak ada.”
“Aku cabut lari.”
Besar tawa Hamidah sebaik Dewi Karmila
menghabiskan ayat ringkasnya.
“Kau ni...”
“Duduk kat rumah, berdua saja dengan kau
pun bosan juga. Kau tengok muka aku. Aku tengok muka kau... nak tengok muka si
Alya, jangan harap la jawabnya, berkepit dua puluh empat jam.”
Hamidah hanya tersenyum. “Kirim boleh.”
Dewi Karmila sudah bercekak pinggang.
“Tadi tak bagi aku keluar, sekarang nak kirim pula. Kata tadi nak masak.”
“Dah kau nak keluar... kirim ajalah, nak
masak alang- kepalang, aku sorang saja nak makan.”
“Tapi kalau aku balik lambat, kau jangan
marah... kebulur kau nanti.”
“Janganlah nak dera aku.”
Dewi Karmila tersengih. “Tengoklah... ada
juga alasan aku nak ajak Juan balik awal. Tahu sajalah kalau keluar dengan Playboy KL tu, lagi tak cecah jam satu
dua pagi, jangan harap reti nak balik.”
Hamidah tertawa kecil. “Dah tahu macam tu
pun, kau nak keluar dengan dia juga.”
“Banyak songeh pula.. aku tak beli apa
yang kau pesan baru tahu.”
Hamidah tersengih. “Okey... okey... jangan
lupa nasi lemak aku.”
“Nak lauk apa ?”
“Bedal sajalah.”
“Okey... aku nak mandi.”
Dewi Karmila berlalu masuk ke biliknya.
Hamidah hanya memandang sambil tersenyum. Siapa sebenarnya di hati Dewi
Karmila... Sofian atau Rizuan ?
HON kereta berbunyi
sekali lagi. Terganggu tumpuannya pada majalah di tangan. Dikerling jam di
dinding, masih ada sepuluh minit dari masa yang dijanjikan. Masakan Rizuan.
Lelaki yang tidak pernah menepati masanya setiap kali berjanji. Mungkin orang
lain... jiran tetangga yang menanti kedatangan seseorang atau ada kereta yang
menyekat laluan. Masyarakat kota besar itu bermacam ragamnya, bermacam gayanya.
Pentingkan diri sendiri, salah satu dari corak hidup mereka.
“Dewi! Kau tak dengar ke bunyi hon tu.”
Terjengul Hamidah di muka pintu, berkerut
seperti termakan asam boi yang masam dan masin rasanya.
“Orang lain kot.”
“Kau main teka aja... bingit telinga aku
tau tak... kereta Juan kat luar tu.”
Sekali lagi jam di dinding menjadi sasaran
mata. Biar betul, lelaki itu sampai sebelum waktunya. Bergegas dia bangkit dan
menjenguk melalui tingkap. Benar kata Hamidah, kereta si playboy kl tersadai di luar pagar. Lelaki itu berdiri di sisi
keretanya sambil berpeluk tubuh.
“Okey... aku keluar dulu.”
Dewi Karmila segera mencapai beg
tangannya. Setelah memastikan daun pintu dikunci dia segera melangkah ke arah
Rizuan yang masih bersandar di keretanya.
“Kenapa cepat sangat sampai ?” tanya Dewi
Karmila. Rizuan bukan orangnya yang selalu menepati masa.
Rizuan tertawa kecil. “Cepat salah, lambat
salah... bila aku lambat, kau kata aku tak reti tengok jam. Sekarang kau nak
kata apa pula kat aku.”
“Hmm... nanti aku fikirkan apa yang
sesuai.”
Daun pintu dibuka, seperti biasa Rizuan
tetap dengan sifat gentlemannya.
Bukakan pintu kereta dan menutupnya semula setelah pasti akan keselesaan si
gadis. Hmm... patutlah ramai gadis yang tersangkut dengan lelaki ini. Apakah
dia juga sudah tersangkut dengan lelaki Playboy
itu ?
“Kita nak ke mana ?” tanya Rizuan.
“Weh... tadi dia yang beria-ria nak makan
nasi lemak, ini dah tanya kita pula.”
“Manalah tahu kot-kot kau tukar fikiran,
nak tengok wayang dengan aku.” Rizuan mengenyit matanya.
Dewi Karmila mencebek. “Jangan harap, aku
tak tengok wayang dengan lelaki.”
“Ini lagi pembohong besar... yang aku
nampak kau dengan Sofian di Mid Valley tu apa. Tengok wayang ke, wayang tengok
kau.” Terjongket kening Rizuan.
“Yalah... tapi bukan berdua dengan Sofian.
Rina pun ada kan. Maksud aku... tengok wayang berdua-duaan dengan lelaki.
Faham...” tekan Dewi Karmila. Rizuan sengaja mencari peluang.
Rizuan tersengih. “Kau tak sebut pun
tadi.”
Dewi Karmila mencemikkan hidungnya.
“Yalah tu.”
“Aku tengok Sofian tu caring gila... takkan tak ada apa-apa kot,” duga Rizuan.
Dewi Karmila goyangkan tangannya. “Tak
ada... kalau ada, jangan harap aku nak keluar dengan kau.”
“Kiranya kau ni jenis setia pada yang satu
la.”
“Insya-ALLAH.”
“Kalau macam tu, kau saja jadi girl friend aku,” duga Rizuan.
“Weh... jangan nak perasan, dari aku pilih
kau lebih baik aku pilih Sofian. Playboy
kl...”
Besar tawa Rizuan sambil menepuk stereng
keretanya, berbunyi hon kereta tersebut dek kerana ketukan yang agak kuat.
“Hey ! Janganlah buang tabiat.”
“Tak ada... lawaklah kau ni. Ada ke kau
gelar aku playboy kl.”
Masih bersisa tawa Rizuan. Lucu dengan
gelaran yang baru didengarnya malam ini. Setakat playboy itu biasalah tapi penambahan KL di belakang gelaran itu
membuatkan dia terasa geli hati. Macamlah dia seorang sahaja playboy di kota Kuala Lumpur.
“Okey... perut aku dah lapar, banyak
sangat ketawa, dah masuk angin.”
“Siapa suruh kau ketawa.”
“Dah kau jadi tukang karutnya.”
“Ha ah, aku jadi si tukang karut, dan kau
pengikutnya.” Dewi Karmila bercakap dengan sedikit pelat Indonesia.
Kereta diberhentikan tidak jauh dari
deretan gerai makanan. Dewi Karmila tanggalkan tali pinggang, begitu juga
dengan Rizuan. Kedua-duanya mengatur langkah ke arah tempat yang dituju.
“Kau order
minuman untuk aku. Aku ambil nasi untuk kau.”
“Okey... nak minum apa ?”
“Macam tak biasa.”
Rizuan ketawa. Ditinggalkan Dewi Karmila
setelah menarik kerusi untuk gadis itu. Tidak ramai pengunjung yang beratur
untuk menunggu giliran.
“Hai !”
Dewi Karmila menoleh, masakan dia tidak
mengenali suara lelaki itu tapi apa pula yang dibuatnya di sini.
“Pian !”
Kerusi yang berada di sisi Dewi Karmila
ditarik cermat.
“Kau pun ada kat sini ?”
“Hmm... aku pun nak makan kat sini juga.”
“Sorang ?”
“Tu...” panjang muncungnya ke arah
rakan-rakan yang duduk semeja dengannya. Masing-masing mengangkat tangan,
tentunya mereka juga mengenali Dewi Karmila.
“Aku beramai-ramai tapi kau berdua saja.”
Dewi Karmila tersenyum kelat. Sofian sudah
mula menyindir.
“Orang dah ajak, aku ikut la.”
Ada keluhan yang dilepaskan oleh Sofian.
“Kau dari mana tadi ?” tanya Sofian. Ada
rasa cemburu yang menyerbu hatinya. Cemburu melihat Dewi Karmila bersama
Rizuan.
“Rumah.”
“Dia jemput.”
“Hmm... malas nak drive ke sini.”
“Yalah tu... dapat naik kereta mewah, atau
kau naik motor dengan dia.” Sofian menyindir lagi.
Apa
yang tidak kena dengan lelaki yang seorang ini. Cemburukan Rizuan ? Hmm...
susahnya. Sudah beberapa kali dia tegaskan pada Sofian mereka berdua cuma
bersahabat. Begitu juga dia dan Rizuan. Dia berhak keluar dengan sesiapa sahaja
selagi dia tahu menjaga dirinya. Dia tahu menjaga batas pergaulannya. Sofian
tidak perlu risaukan dirinya. Dia bukannya anak hingusan yang tidak tahu
menjaga diri.
“Hey Pian! Kau pun ada kat sini,” sapa
Rizuan sambil meletakkan pinggan berisi nasi lemak di atas meja. Rizuan
hulurkan tangan untuk berjabat.
Sofian tersenyum hambar. Panas hatinya
melihat senyuman Rizuan. Lelaki playboy
itu juga yang dipilih oleh Dewi Karmila. Disambut juga huluran tangan Rizuan
tapi hati di dalam semakin membengkak.
Rizuan hanya tersenyum. Tidak pula dia
menyangka mereka akan bertemu di situ. Dia dan Dewi Karmila. Sofian datang ke
situ bersama siapa pula ?
“Kau dengan siapa?” tanya Rizuan sekadar
berbahasa. Dia dapat mengesan perubahan pada wajah Sofian. Tentunya hati Sofian
diserbu rasa cemburu melihat dia bersama Dewi Karmila. Rizuan tertawa di dalam
hati. Hari ini dia beroleh kemenangan tanpa perlu bertanding.
“Aku dengan kawan-kawan,” jawab Sofian
sambil menoleh ke arah rakan-rakannya..
“Hmm... nak join kami ?” Rizuan mempelawa.
Sofian tersenyum. Apakah Rizuan Ikhlas
mengajak dia menyertai mereka. Dia dapat merasakan Rizuan juga menyimpan
perasaan pada Dewi Karmila tapi kata Dewi Karmila Rizuan itu cuma sahabat, sama
seperti dirinya. Mungkin hanya Dewi Karmila yang berfikiran begitu, menganggap
mereka berdua sekadar sebagai sahabat.
“Tak apalah... kawan-kawan aku di sana. Enjoy your dinner.”
Sofian bangkit dari kerusi, sekali lagi
kedua tangan bertaut.
“Jumpa lagi nanti.”
Dewi Karmila hanya mengangguk. Langkah
Sofian dihantar dengan rasa yang kurang enak. Kenapa harus bertemu di tempat
itu?
“Hmm... jumpa si buah hati kat sini,
hilang selera makan.” Rizuan mengusik.
Biar sepuluh kali pun Dewi Karmila
menidakkan perasaannya pada Sofian tapi lelaki itu... besar hajatnya untuk Dewi
Karmila. Renungan, jelingan dan nada suara Sofian sebentar tadi sudah cukup
sebagai jawapan... tercalit rasa cemburu di hati lelaki itu.
“Jangan nak membebel... aku lapar, nak
makan.” Dewi Karmila membesarkan matanya.
Wajah Dewi Karmila menjadi sasaran. Dewi
Karmila menyuap nasi ke mulut, matanya merenung pinggan nasi lemak berlaukkan
ayam, udang dan sotong di hadapannya.
“Banyaknya lauk.”
Rizuan ketawa. Hah... Dewi Karmila
berangan sebentar tadi... saat mulut sudah mengunyah, baru disedari akan rupa
nasi lemak yang sarat di dalam pinggannya.
“Mana boleh aku habiskan semua ni,” omel
Dewi Karmila.
“Tak boleh habis... aku habiskan.” Rizuan
tersengih.
Dewi Karmila mencebek.
“Dah tu, makan.”
Dewi Karmila menyuap lagi.
Rizuan tertawa kecil. Terhibur hatinya
melihat gaya si gadis, lembut dan sopan. Itulah Dewi Karmila... gadis cantik
jinak-jinak merpati. Mesra tapi sukar didekati. Rizuan menyuap nasi ke
mulutnya.