27
MENJELANG pukul tiga petang, mereka tiba di Pantai Datai,
Pulau Langkawi. Sebuah bot persiaran mewah sedia menanti. Izzul Haq terus
menarik tangan Iris Suhayla, mendekati bot mewah itu melalui jeti kecil sebelum
menaikinya melalui anak tangga.
"This is my first time."
Ujar Izzul Haq seraya
menanggalkan cermin mata hitam yang melindungi matanya. Iris Suhayla melepaskan
nafas, penat namun kata-kata Izzul Haq
mengundang tanda tanya.
"Apa yang first time?"
"To navigate the boat."
Beritahu Izzul Haq lagi,
berlaku jujur. Iris Suhayla tercengang namun suaminya senyum sahaja sambil
menyeluk poket, mengeluarkan kunci lalu menghidupkan enjin bot itu. Ia persis
seperti memandu kereta.
"Jom balik."
Ajak Iris Suhayla, menarik
tangan Izzul Haq namun lelaki itu menarik pula tangannya. Dia memeluk kejap
pinggang isterinya. Iris Suhayla terus diam di dalam pelukan suaminya. Betapa
kencang debaran di dada dek pelukan hangat itu.
"Bagusnya duduk diam
macam ni. Senang nak buat kerja."
Usik Izzul Haq Dia membaca doa
di dalam hati, mengharapkan pelayaran mereka selamat sebelum mengemudi bot itu
perlahan-lahan. Dia tidaklah bercadang hendak memandu bot itu jauh, cukup
sekadar melalui persisiran Pulau Langkawi.
MALAM itu terus sunyi tanpa kelibat Iris Suhayla. Siti
Hajar duduk di ruang tamu sambil melihat gambar-gambar di majlis perkahwinan
Iris Suhayla hujung minggu yang lalu. Dia mengamati wajah suami Iris Suhayla.
Wajahnya sangat mirip dengan wajah CEO kereta yang diminati Iris Suhayla itu.
Kemudian dia memadankan gambar itu dengan gambar Izzul Haq yang diselak dari
internet.
"Takkan kebetulan
kot."
Siti Hajar berbicara sendiri.
Dia teringat akan perbualan mereka tempoh hari tetapi segan untuk bertanya
tentang pekerjaan lelaki itu. Ada juga bisik-bisik rakan sejawatan yang
bertanya tentang suami Iris Suhayla. Kata mereka rupa lelaki itu saling tak
tumpah dengan lelaki yang dikaitkan dengan Putri Ariyana baru-baru ini. Ya, dia
juga sependapat dengan mereka.
Siti Hajar teringat akan kad undangan perkahwinan yang
diberi Iris Suhayla tempoh hari, lalu dia segera mendapatkannya. Nama pengantin
lelaki pada kad tersebut dibacanya.
"Ha, tengok! Nama pun
sama. Geramnya aku dengan Su ni. Dia main-mainkan aku rupanya selama ni. Jaga
dia!"
Omelnya lalu menyimpan kembali
kad undangan perkahwinan tersebut.
Kemudian, dia duduk di atas
katil, bersedia untuk menutup tirai hari ini. Tambahan pula, teman serumah
tiada di sisi. Terasa sunyi sekali hari-harinya. Siti Hajar bangun kembali lalu
menutup suis lampu. Dia baru sahaja hendak berbaring ketika telefon bimbitnya
berdering.
"Assalammualaikum."
"Waalaikumussalam. Cik
Siti Hajar?"
"Ya, saya."
Jawabnya, berhemah. Dia
menanti bicara seterusnya dari suara yang kedengaran asing di telinganya.
"Saya buat panggilan dari
Hot Communication Sdn Bhd ya cik. Kami dapati Cik Siti Hajar telah melanggar
kontrak langganan Hot Broadband."
"Hot mana pulak ni? Kontrak
langganan broadbandapa? Bila saya
sain kontrak dengan encik? Ni mesti nak perangkap orang ni."
Tingkah Siti Hajar, meragui ketelusan
perbualan itu.
"Cik Siti Hajar baru aje
sain kontrak di hati saya, dua bulan yang lepas, masa Cik Siti Hajar masakkan
patin masak tempoyak tu. Ingat lagi tak?"
Ujar lelaki itu lagi. Siti
Hajar lantas menyelak kembali halaman memori satu per satu sehingga tiba pada
saat dia makan semeja bersama Iris Suhayla dan Riyad ketika lelaki itu melawat
Iris Suhayla dua bulan yang lepas.
"Dah ingat kan? Ni Riyad.
Angah kepada Su. Su ada?"
Siti Hajar ketawa akhirnya.
Soalan itu dikira sebagai jenaka dari lelaki bernama Riyad. Teringat ketika
bertandang ke rumah Iris Suhayla minggu lepas, lelaki itu sempat meminta nombor
telefonnya.
"Lagi mau tanya pasal Su.
Bukan Su ada kat kampung ke?"
"Tak ada. Entah ke mana
dia dua longgok tu menghilang. Semalam kata nak keluar makan aiskrim, sampai
hari ni tak balik-balik."
Jawab Riyad. Semalam dia memang
merancang untuk menghubungi Iris Suhayla namun tidak sampai hati hendak
mengganggu pasangan pengantin baru itu.
"Eh? Makan aiskrim kat
Dubai kot. Tu yang lambat balik tu."
"Ha ah. Mungkin dah
sampai ke Asia Timur. Emm...lupakanlah pasal Su tu. Siti apa khabar? Sihat
ke?"
Soal Riyad, melarikan tajuk
perbualan mereka. Bukan hal Iris Suhayla tidak pulang ke rumah yang menjadi
alasan untuk menghubungi Siti Hajar. Sebetulnya, dia memang lama hendak
menghubungi Siti Hajar tetapi dia tidak punya nombor telefon gadis itu.
Pertemuan kali kedua sempena majlis perkahwinan Iris Suhayla tempoh hari dikira
sebagai tuah buatnya lantas dia meminta nombor telefon gadis itu.
"Sihat, alhamdulillah.
Cuma kesunyian sikit. Kalau ada Su ceria sikit rumah."
"Su dah jadi bini orang.
Siti bila pulak?"
"Bila pulak apa?"
Tanya, pura-pura tidak
mengerti walau mukanya terasa hangat dek soalan itu.
"Bila pulak boleh
dirisik?"
"Bila-bila pun
boleh."
"Yahooooooooooo!!!"
Jerit Riyad, teruja. Tak
sangka usaha pertama kali membuahkan hasil. Pertama kali melihat Siti Hajar,
hatinya sudah terpaut tetapi dek kesibukan di pelantar minyak, dia membiarkan
perasaan itu bercambah tanpa usaha.
"Apa yang suka sangat tu?
Saya belum habis cakap lagilah."
"Err...belum lagi
ke?"
"Belum. Saya sambung
kejap. Bila-bila masa pun boleh tapi belum ada yang sudi."
"Saya sudi. Sebab tu saya
tanya."
DIANAH duduk di atas pangkin sambil melihat pokok bunga
melambai-lambai dihembus bayu. Kakaknya Aini sedang menyapu sampah. Hari itu
hari Rabu. Hampir seminggu dia meninggalkan rumah selepas diceraikan. Selama
seminggu itu juga dia berkurung di dalam bilik, merintih akan nasib yang
menimpa diri.
"Barang yang lepas jangan
dikenang. Ada banyak benda lagi yang menunggu kita di depan."
Pesan Aini, mengumpul sampah
di satu tempat . Dia terbongkok-bongkok menghidupkan api. Setelah berhasil, dia
menunggu sekejap. Memerhatinya supaya api itu tidak terlalu marak.
"Saya sayangkan lagi
abang Bakri tu."
"Apa erti sayang kalau
hidup merana? Diah suka disepak terajang seumur hidup?"
Tanya Aini kepada adiknya. Dia
melangkah mendekati pangkin itu lalu duduk di sebelah Dianah. Simpati terhadap
nasib yang menimpa adiknya menggunung tinggi. Jika dia yang berada di tempat
Dianah, mampukah dia memikul beban itu bersendirian? Barangkali hati anak-anak
sudah digerak untuk menjemput ibu saudara mereka. Bagaimana jika tiada siapa
yang menjemput? Mungkin penderitaan itu akan terus berlangsung untuk sekian
lama lagi.
"Mungkin itu erti sayang,
kak. Biar diri merana, asal dapat hidup di sisi suami yang dikasihi."
Jawab Dianah, kelat. Matanya
kembali bergenang. Kemudian, sedikit demi sedikit air mata itu menuruni
pipinya.
"Itu bukan sayang, Diah.
Itu zalim. Zalim pada diri sendiri."
Tekan Aini, tidak mahu berputs
asa menasihati adik sedarah dagingnya itu. Dianah terus membuang pandangannya
jauh-jauh, sehingga terlihat dek matanya bayangan Bakri. Air matanya terus
bercucuran laju. Rumah tangga yang dibina bersandarkan cinta dan kasih sayang
itu akhirnya runtuh jua.
"Kak Aini tahu Diah kuat.
Janganlah cepat berputus asa. Kita mulakan cerita yang baru. Diah jangan
bimbang. Kak Aini akan bantu Diah."
Tutur Aini lagi namun tiada
jawapan yang kedengaran dari mulut Dianah. Perlahan-lahan Dianah bangkit lalu
masuk ke dalam rumah. Aini menghantar sahaja langkah itu dengan ekor matanya.
Dia kembali membuang pandang ke hadapan, melepaskan nafas yang terasa berat
untuk ditanggung.
IRIS Suhayla memijak anak tangga menuju ke dek. Usai
solat Asar sebentar tadi, Izzul Haq menghilangkan diri. Hari pertama di atas
bot itu, dia berasa gayat dan bimbang kerana bot asyik bergerak setiap kali
dilambung ombak. Malam pertama di atas bot itu juga tidak berkesudahan dengan
baik. Dia kerap terjaga sedang Izzul Haq di sisi tidur dengan begitu nyenyak
namun apabila hari berganti, dia mula dapat menyesuaikan diri di atas bot itu.
Iris Suhayla terus
mencari Izzul Haq sehingga kelibat suaminya tertangkap sedang berenang tidak
jauh dari bot itu. Iris Suhayla menarik nafas lega. Dia menyangka ditinggalkan
sendirian di atas bot itu, rupa-rupanya itu andaian semata-mata. Iris Suhayla
kembali ke bilik tidur mereka, mendapatkan telefon bimbitnya. Mindanya sempat
merencana sesuatu lantas sekembalinya dia ke dek, dia merakam gelagat Izzul Haq
yang sedang asyik berendam di dalam laut itu. Kemudian, dari rakaman itu, dia
dapat melihat Izzul Haq kembali berenang ke arah bot.
"Iris, kalau tersebar
gambar yang Iris ambil tu jaga, ya!"
Izzul Haq memberi amaran
sebelum memanjat tangga bot. Iris Suhayla ketawa lantas melarikan diri. Izzul
Haq mendekatinya dengan pantas, cuba merampas telefon bimbit itu dari
tangannya. Iris Suhayla pula enggan mengalah, dia menolak Izzul Haq jauh
darinya namun lelaki itu tidak berganjak.
"Jauhlah, awak basah.
Nanti baju saya basah jugak."
"Padan muka awak. Siapa
suruh ambil gambar saya curi-curi."
Balas Izzul Haq, terus menarik
Iris Suhayla ke dalam dakapannya.
"Ahhhhhhhh!"
Jerit Iris Suhayla, halus. Dia
meronta-ronta cuba melepaskan diri, namun Izzul Haq terus memeluk erat.
Kemudian, dia mengambil telefon bimbit itu sebelum menyelak album digital. Dia
menekan butang main dan melihat kembali aksinya yang dirakam oleh Iris Suhayla
tetapi tidak lama kerana telefon itu berbunyi, menandakan ada pesanan ringkas
yang masuk. Izzul Haq pura-pura hendak membaca pesanan ringkas itu namun Iris
Suhayla cepat mengambil telefon bimbit itu kembali.
"Amboi, lamanya makan aiskrim. Makan aiskrim kat
Dubai ke?"
"Angah yang mesej. Dia
kata, lamanya makan aiskrim. Makan kat Dubai ke?"
Tutur Iris Suhayla sambil
menunjukkan pesanan ringkas itu kepada Izzul Haq.
"Saya reply tau."
Izzul Haq menaip sesuatu di
telefon bimbit Iris Suhayla namun isterinya cepat-cepat merampas telefon bimbit
itu. Izzul Haq mengangkat muka sambil tertawa.
"Pergi mandilah. Bersidai
bawah matahari ni, karang jadi ikan masin pulak."
"Ikan masin? Ikan masin
ni mahal tau, bukan sebarang ikan masin."
Tingkah Izzul Haq sambil
mengenyit mata. Iris Suhayla mencebik, dalam mindanya sudah disusun sebaris
ayat.
"Bukan sebarang ikan
masin? Ikan masin terubuklah tu. Yang banyak tulang. Kalau tengok, tolak ke
tepi aje."
"Amboi!"
Balas Izzul Haq lalu mencuit
hidungnya. Iris Suhayla menepis dengan spontan, kemudian dia menggigit hujung
bibir. Terlepas reaksi dengan tidak sengaja. Izzul Haq memegang hidungnya yang
tegak terletak sebelum berpura-pura menjauhkan diri.
"Awak orang pertama yang
mencederakan hidung kesayangan saya."
"Tak sengaja."
Katanya, menggigit hujung jari
telunjuk pula. Dia rasa bersalah kemudian mendekati Izzul Haq yang sudah
berjalan meninggalkan dirinya. Iris cepat mengejar sebelum kaki suaminya sempat
mencecah anak tangga.
"Izzul, sorry, tak sengaja."
"Sorry naik lorry." Usiknya,
dengan nada agak keras.
"Izzul..."
Iris Suhayla memanggil lagi,
dengan rasa serba tak kena. Izzul Haq memandang ke belakang.Oh, dia tak sanggup
mendengar suara isterinya merintih begitu. Dia kalah.
"Izzul."
"Iya...saya nak mandi
ni."
"Sebelum jadi ikan
masin."
Si suami menambah lagi. Iris
Suhayla hendak ketawa tetapi dia terus kemam mulut rapat-rapat.
"Hidung awak tu?"
"Lepas mandi nanti awak
baiki balik."
Jawabnya, terus melangkah ke
arah kamar mereka. Ada sebuah bilik air khusus buat penghuni bot itu dan dia
akan menyiram diri di sana sebelum memikir cara untuk terus menikmati hari yang
indah bersama isteri tercinta.
IRIS Suhayla masih terkial-kial mengayuh basikal. Tidak
cukup tiga ratus enam puluh darjah mengayuh, kakinya tergelincir dari pedal. Kadang-kadang
kaki kanan, kadang kala kaki kiri pula.
"Iris, cepatlah! Mari
kita keliling Pulau Langkawi dalam tempoh dua jam. Saya cabar awak."
Sakat Izzul Haq dari depan. Dia
memberhentikan basikal, dan menongkatnya dengan kaki. Melihat reaksi isteri
yang masih terkial-kial, dia memusing kembali basikal lalu mengayuhnya
mengelilingi si isteri. Iris Suhayla menjeling tajam.
"Bukan nak tolong
orang."
"Tak mahu tolong. Nak
tengok awak buat sendiri."
"Saya tak pernah naik
basikal lah!"Jawab Iris Suhayla, hampir menjerit. Izzul Haq ketawa kecil.
Dia berhenti di tepi dan melihat kegigihan Iris Suhayla menyahut cabaran itu. Sekali
lagi Iris Suhayla mencuba, perlahan-lahan walaupun agak goyang, dia terus juga menunggang,
kemudian tidak lagi menoleh ke belakang.
"Amboi, bila dah pandai
berbasikal. Dia tinggal pulak suami dia di belakang!"
"Moh kita pusing Pulau Langkawi
dalam tempoh dua jam. Siapa sampai lambat, kena belanja dinner."
"Amboi!"
Iris Suhayla ketawa kecil. Dia
tahu Izzul Haq masih berada di belakang. Barangkali menjaga keselematan isteri
dari disodok kenderaan lain.
"Hati-hati bawak basikal
tu. Jangan suka sangat goyang kiri-kanan! Kereta-kereta yang lalu lalang ni
boleh tahan juga lajunya."
"Tengoklah dulu macam
mana." Jawabnya sambil tersenyum.
"Oh, sombong! Kalau jatuh
bangun sendiri tahu. Saya tak mahu tolong. Malu nak tolong perempuan tua jatuh
basikal."
"Deal! Awak jatuh pun saya tak mahu tolong. "
Jawab Iris Suhayla, tanpa
menoleh ke belakang. Dia hanya ingin fokus teradap satu perkara, iaitu mengayuh
basikal dengan selamat, kerana sepanjang beberapa minit kayuhan itu, dia
terpaksa memberi laluan kepada pengguna utama jalan kecil dan bengkang-bengkok
itu. Sedar tak sedar, senyumannya berbunga sepanjang jalan dek suara sumbang
suami yang sedang menyanyi di belakang.
"Riang hatiku, badan
bertuah
Punya teman yang comel dan
manja
Berjanji akan selalu bersama
Menemaniku sepanjang masa"
"Aku hidup serba
sederhana
Tiada harta, tiada rupa
Hanya yang ada budi bahasa
Harta sekadar basikal tua
"Orang biasa....basikal
tua
Orang biasa...basikal tua
Sedar tak sedar Iris Suhayla
turut sama menyanyi. Dia ingat memori manis ketika kecil dahulu. Menyanyi lagu
basikal tua ketika membonceng basikal tua yang dikayuh Riyad.